Sempena Muzakarah Pakar Pemahaman dan Penghayatan Nilai Menjana Kepada Prestasi

October 12, 2010 12:19 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir rahmaanir rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Berbahagia Datuk Nik Mustapha Haji Nik Hassan,
Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Y.Bhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

Ahli muzakarah yang dihormati sekalian.

2. Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapat kita berkesempatan untuk bersama-sama hadir dalam majlis wacana ilmu pada petang ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah di atas kesudian menjemput saya bagi menyampaikan ucaptama dalam Majlis ini.

3. Wacana muzakarah ini pastinya menjadi satu wahana pemikiran yang penting dalam membincangkan isu-isu berkaitan nilai murni yang begitu signifikan dalam usaha kita memartabatkan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam, iaitu “Pemahaman Dan Penghayatan Nilai Menjana Kepada Prestasi”.

Hadirin yang dihormati sekalian,

PENTINGNYA PENGHAYATAN NILAI

4. Dalam usaha mencapai Wawasan 2020 yang tinggal kurang satu dekad sahaja lagi, Kerajaan amat komited untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai moral dan etika yang utuh. Hasrat negara ini bertujuan untuk memastikan rakyat Malaysia memiliki sifat-sifat yang demokratis, liberal lagi bertolak ansur, penyayang, adil dan saksama, progresif dan makmur serta menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, kukuh serta mempunyai daya ketahanan. Kita berhasrat untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bertamadun tinggi melalui pencapaian taraf ekonomi yang berdaya maju, namun diiringi dengan penghayatan nilai akhlak masyarakat yang tinggi.

5. Sehubungan itu, adalah amat penting anggota Perkhidmatan Awam tidak leka dan sentiasa gigih berusaha supaya prestasi negara berada di tahap jauh lebih tinggi, jauh lebih baik dari apa yang telah kita capai. Dalam menjayakan matlamat dan aspirasi negara, peranan anggota Perkhidmatan Awam sudah pasti besar dan penting. Kerajaan telah memperkenalkan Gagasan 1Malaysia, Government Transformation Program (GTP) dan Economic Transformation Program (ETP) serta Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai agenda utama untuk membawa transformasi kepada negara dalam menuju tahun 2020. Semua ini merupakan falsafah dan hala tuju negara yang perlu didokong oleh anggota Perkhidmatan Awam agar kesemua jentera Kerajaan dapat digembleng sepenuhnya untuk berperanan secara berkesan. Anggota Perkhidmatan Awam bukan sahaja seharusnya menjadi pelaksana kepada dasar kerajaan tetapi sekaligus hendaklah mengambil inisiatif yang memungkinkan matlamat Kerajaan tercapai. Justeru itu, kita perlu mempengaruhi arus serta membentuk suasana dan budaya yang dapat menghasilkan kejayaan kepada negara.

6. Salah satu pendekatan yang boleh dimanfaatkan demi mencapai kejayaan yang dimaksudkan adalah melalui pemahaman dan penghayatan nilai-nilai murni, khususnya dalam melaksanakan tugasan yang dijalankan seharian. Usaha ini merupakan satu perkara yang dinamik dan akan terus relevan dengan usaha-usaha memartabatkan kecemerlangan Perkhidmatan Awam. Ini kerana ia mampu menyeimbangkan prestasi dan seterusnya memastikan tingkah laku seseorang penjawat awam itu berada pada tahap terbaik sebagai satu kebiasaan.

7. Penghayatan kepada nilai-nilai murni juga dapat membimbing penjawat awam membentuk akhlak mulia yang berfungsi menggerakkan perkhidmatan awam dengan berkesan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup. Nilai-nilai inilah yang menggerakkan seseorang itu melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

TIGA NILAI ASAS

8. Saya berpandangan bahawa terdapat 3 nilai asas yang perlu dihayati dan diamalkan oleh semua penjawat awam dalam usaha untuk mewujudkan Perkhidmatan Awam yang berprestasi tinggi dan cemerlang. Ketiga-tiga nilai tersebut ialah:
(a) Integriti;
(b) Prestasi Kerja yang berkualiti; dan
(c) Ilmu Pengetahuan

INTEGRITI

9. Integriti perlu dilihat dan dihayati dalam konteks yang lebih luas. Integriti bukan sahaja bermakna kita perlu menjauhkan diri dari amalan-amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Konsep integriti membawa maksud kepada nilai-nilai amanah, boleh dipercayai, jujur, taat dan mempunyai sifat-sifat keperibadian yang teguh. Integriti juga bererti sentiasa menghargai serta memelihara kepentingan organisasi dan hak orang awam. Malahan, kepentingan organisasi, perkhidmatan serta negara hendaklah mengatasi kepentingan diri sendiri.

10. Anggota Perkhidmatan Awam yang berintegriti sentiasa berpegang kepada konsep kejujuran. Ini bermakna kita perlu sentiasa jujur dalam mentadbir dasar-dasar, program-program serta projek-projek Kerajaan, sentiasa ikhlas dalam memberikan nasihat dan pendapat, tidak menyembunyikan sebarang maklumat penting dan mustahak yang boleh menjejaskan prestasi Jabatan/Agensi. Dalam hubungan ini, penjawat awam hendaklah sentiasa berwaspada dan cermat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab serta sentiasa sedar akan akibat buruk yang menimpa sekiranya kita cuai dalam menjalankan tugas masing-masing. Segala tugas dan tanggungjawab hendaklah dilaksanakan berdasarkan undang-undang negara dan lunas-lunas perundangan yang termaktub.

11. Konsep integriti juga hendaklah sentiasa diperlihatkan apabila melaksanakan tugas-tugas seharian. Contohnya menjawab telefon dengan pantas, menjawab surat-surat dengan segera, memenuhi temujanji-temujanji yang telah dibuat, menyiapkan sesuatu tugas mengikut deadline yang ditetapkan dan sebagainya.

12. Seperkara lagi yang ingin saya beri penekanan adalah supaya kita sentiasa memelihara ‘integriti berpasukan’. Ini bukan sahaja bermaksud tidak melakukan apa-apa kesalahan secara individu tetapi merangkumi sifat positif dan proaktif terhadap apa sahaja tugas yang dilaksanakan. Kita hendaklah sentiasa bertangggungjawab atau “accountable” terhadap semua tindakan yang telah diambil dan juga bertanggungjawab atas apa jua akibat dari sebarang tindakan yang diambil. Dengan lain-lain perkataan anggota Perkhidmatan Awam yang berintegriti akan sentiasa menjaga “mission” atau matlamat Perkhidmatan Awam dengan jujur dedikasi dan penuh semangat dan bertanggungjawab.

Hadirin yang dihormati sekalian,

PRESTASI KERJA BERKUALITI

13. Semua anggota Perkhidmatan Awam dituntut untuk memberikan prestasi kerja yang berkualiti. Hakikatnya, kualiti mempunyai banyak dimensi. Apa yang paling penting ialah mewujudkan sikap serta kesedaran bagi menghasilkan kerja yang berkualiti. Jika sikap ini tertanam di kalangan anggota-anggota perkhidmatan awam maka kita akan sentiasa mencari teknik-teknik, metodologi-metodologi dan sistem-sistem yang akan meningkatkan lagi kualiti dan mutu serta perkhidmatan yang diberikan.

14. Dalam memperkasakan Perkhidmatan Awam, prestasi kerja yang berkualiti adalah menjadi keutamaan. Mutu dan kualiti di dalam perkhidmatan boleh dilihat dalam beberapa bentuk dan cara. Akan ada pandangan bahawa kerja-kerja yang berkualiti memakan masa. Saya tidak bersetuju dengan pandangan ini. Pada saya kerja-kerja yang berkualiti dapat disempurnakan dengan segera atau dilaksanakan dalam tempoh masa yang singkat.

15. Inovasi dan kreativiti yang berkualiti juga merupakan tambah nilai yang penting dalam menjayakan transfomasi Negara. Anggota Perkhidmatan Awam perlu sentiasa memikirkan bagaimana inovasi dapat dilaksanakan secara berkesan di dalam persekitaran organisasi yang boleh membawa manfaat atau hasil yang mampu meningkatkan kecemerlangan organisasi.

16. Produktiviti dan kualiti adalah dua faktor yang menentukan daya saing. Faktor-faktor tersebut adalah ciri-ciri yang kebiasaannya diutamakan oleh sektor swasta untuk menempah kejayaan. Pencapaian kedua-dua faktor tersebut dengan serentak mampu menghapuskan pembaziran dari segi masa dan benda dalam proses penghasilan perkhidmatan dan sekaligus meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.

Saudara-saudari sekalian,

ILMU PENGETAHUAN

17. Seterusnya, penjawat awam yang berperibadi ulung sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan. Di samping itu, pembinaan fikiran dan pembentukan sikap yang positif dapat dipertingkatkan dengan ilmu. Ini pastinya boleh dicapai melalui pembacaan, melihat, mendengar, memerhati, bertukar-tukar fikiran dan sebagainya. Seterusnya, ilmu pengetahuan akan menjadi lebih bernilai sekiranya diamalkan dan dimanfaatkan sebaiknya kepada masyarakat. Malah orang yang berilmu adalah orang yang dipandang tinggi oleh masyarakat, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al Mujaadalah, Ayat 11: “Allah meninggikan orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”.

18. Seseorang pekerja yang berilmu pengetahuan akan menyumbang kepada keberkesanan dan kecekapan organisasi. Ini dapat dilihat daripada hasil kerja yang dikeluarkan di mana dapat diukur melalui kualiti penulisan yang dihasilkan; kuantiti output yang meningkat; masa yang lebih pendek untuk menghasilkan output; kos yang lebih rendah; bilangan aduan yang berkurangan; keputusan yang cepat dan tepat; dan sebagainya. Kesimpulannya, orang yang berilmu pengetahuan akan dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi organisasi.

19. Tiga prinsip yang saya nyatakan ini, tidak akan mudah dicapai sekiranya ia tidak diamalkan dengan penuh kesedaran. Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi semua anggota Perkhidmatan Awam memastikan penghasilan output yang memenuhi matlamat pembangunan yang bersepadu antara rohani dan jasmani sebagaimana yang diperlukan oleh setiap insan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

PEKERJAAN SUATU IBADAH

20. Secara lebih terperinci, bagaimanakah penjawat awam dapat memahami dan menghayati nilai-nilai murni sehingga membolehkan ia menjana prestasi kerja? Bagaimana memastikan ia berlaku dalam perjalanan tugas kita seharian dan dijadikan sebagai kelaziman dalam setiap amal perbuatan kita? Nilai-nilai murni seperti adil, amanah, rasa tanggungjawab, ikhlas, berdedikasi, tekun dan sabar serta berdisiplin merupakan ciri masyarakat yang bertamadun tinggi, yang akhirnya dapat menghasilkan mutu dan prestasi kerja yang cemerlang.

21. Melihat kembali konsep nilai secara keseluruhannya, ia nyata akan membawa kepada kawalan dan keyakinan serta menguatkan daya tahan dalam menghadapi apa jua cabaran atau ujian untuk mencapai budaya kecemerlangan dalam sistem penyampaian perkhidmatan. Walau berapa banyak pun nilai-nilai murni yang cuba diterapkan dan dituntut dalam perkhidmatan awam, faktor paling utama yang menyumbang kepada kejayaan untuk mempraktikkan nilai murni dan seterusnya menjiwainya, adalah kefahaman dan keprihatinan terhadap cabaran bakal dihadapi oleh penjawat awam dan kepakaran dalam membudayakan nilai-nilai murni ini serta memiliki pengetahuan perundangan berkaitan.

22. Asas yang paling baik ialah apabila kita menganggap pekerjaan yang kita lakukan merupakan satu ibadah dan bukannya sebagai beban. Kesedaran bahawa pekerjaan sebagai ibadat akan menambah nilai kepada pekerjaan itu dan menjadikan seseorang lebih menghayati nilai-nilai tersebut dalam melaksanakan tugasnya. Pekerjaan diterima sebagai tanggung jawab, sebagai satu keseronokan akan disusuli dengan keazaman untuk melaksanakannya sebaik mungkin. Dalam menjalankan tugas, kecekapan dan profesionalisme menjadi kayu pengukur.

23. Hal sedemikian adalah sejajar dengan sabda Rasulullah SAW di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Ihsan ialah anda mengabdikan kepada Allah, (beribadat kepada-Nya) seolah-olah anda melihat-Nya, seandainya anda tidak melihat-Nya, maka (ingatlah) bahawa Dia tetap melihat anda.”

Hadirin yang dihormati sekalian,

24. Y.A.B. Perdana Menteri semasa merasmikan Razak School of Government pada hari Jumaat, 8 Oktober 2010, telah menggariskan 4 prinsip utama yang perlu dihayati oleh rakyat Malaysia, khususnya penjawat awam, dalam memastikan momentum yang berterusan ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi. 4 prinsip tersebut ialah:

(a) Pertamanya, prinsip Ketelusan, yang menganjurkan kepada proses kolaborasi, konsultasi dan perbincangan terbuka antara rakyat dan kerajaan. Konsep “Kerajaan lebih mengetahui apa yang baik untuk rakyat” adalah tidak relevan lagi dalam dunia persaingan sengit masa kini. Sebaliknya rakyat, yang merupakan pelanggan penting kerajaan hendaklah sentiasa dirujuk dan dirunding sebelum sesuatu dasar atau peraturan dilaksanakan. Ketelusan adalah juga penting dalam proses membuat keputusan, berpandukan kepada peraturan dan prosedur yang jelas.

(b) Kedua, prinsip daya saing. Kejayaan hanya akan dikecapi bagi mereka yang sanggup berusaha dengan gigih, menguasai ilmu dan kemahiran serta menunjukkan nilai etika kerja yang luar biasa. Kita tidak boleh lagi bertindak secara biasa, tetapi hendaklah mencari kaedah-kaedah baru yang luar biasa yang mampu mengatasi pesaing-pesaing kita. Hanya bangsa yang mampu dan berani bersaing serta sanggup melakukan perubahan akan menjadi bangsa yang berjaya dalam menghadapi persaingan pada abad ke-21 ini.

(c) Ketiga ialah prinsip merit, yang merupakan aspek penting bagi menggalakkan serta memupuk budaya berprestasi tinggi. Sifat memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang terbaik. Sikap sambil lewa dan “acuh tak acuh” tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju. Prinsip merit juga menjanjikan kejayaan dan imbuhan kepada penjawat awam yang mencapai prestasi yang tinggi dalam perkhidmatan masing-masing

(d) Keempat ialah prinsip ilmu pengetahuan dan kesedaran yang tinggi. Y.A.B. Perdana menegaskan bahawa sesebuah negara hanya akan benar-benar maju dan berjaya apabila rakyatnya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Budaya ilmu ialah kecenderungan untuk sentiasa memburu pengetahuan yang terkini dan kesediaan untuk menimba ilmu sepanjang hayat.

25. Saya amat berharap agar semua penjawat awam akan dapat menjiwai prinsip-prinsip yang telah disebutkan tadi, dan seterusnya menjadikannya sebagai suatu budaya dan amalan harian.

26. Seterusnya, sejajar dengan konsep pekerjaan itu sebagai suatu ibadah, saya ingin menggesa kepada semua anggota perkhidmatan awam supaya:

• bekerja dengan penuh keazaman;

• bekerja dengan ikhlas dan amanah;

• bekerja dengan tekun dan cekap;

• bekerja dengan semangat bekerjasama;

• bekerja dengan matlamat kebaikan manusia sejagat.

Diriwayatkan oleh At-Tobrani, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah S.W.T. suka apabila seseorang di antara kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh”.

PENUTUP

27. Muzakarah ini mungkin disusuli dengan perbincangan-perbincangan lain berkenaan nilai-nilai hidup. Hasrat untuk kita terus maju ke hadapan dalam mencapai Wawasan 2020, mudah-mudahan akan dapat diperkembangkan menerusi pandangan-pandangan ahli-ahli muzakarah, pengalaman-pengalaman Jabatan yang dikongsikan bersama pada hari ini berserta kesimpulan yang akan dicapai di penghujung forum ini.

28. Oleh yang demikian, saya secara ikhlas berharap agar kita semua selaku penjawat awam bersungguh-sungguh memberikan sepenuh perhatian kepada perkara pokok yang dibincangkan iaitu berkaitan nilai-nilai yang perlu kita hayati dan amalkan supaya segala pencapaian dapat ditingkatkan demi pemantapan sahsiah diri, yang akhirnya akan membawa kesan kepada kemajuan negara. Dengan niat dan objektif yang jelas, maka mudahlah kita mengukuhkan iltizam, memantapkan perancangan kerja dan melaksanakan apa jua tugasan dengan lebih efisien dan efektif demi mencapai prestasi yang disasarkan.

Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Leave a Reply



7 + = fourteen

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →