Majlis Malam Anugerah MAKSAK Malaysia 2010
TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI MOHD SIDEK HASSAN
KETUA SETIAUSAHA NEGARA MERANGKAP YANG DIPERTUA MAKSAK MALAYSIA
MAJLIS MALAM ANUGERAH MAKSAK MALAYSIA 2010
28 JANUARI 2011 (JUMAAT), 8.00 MALAM
DEWAN A, PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia
Y. Bhg. Dato’ Sri Abu Bakar Abdullah
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Merangkap Timbalan YDP MAKSAK Malaysia, dan ISTERI, YBhg Datin Sri Dato’ Zuraidah Mohamed
Y. Bhg. Naib-Naib YDP MAKSAK Malaysia serta isteri
Y.B. YDP MAKSAK Gabungan dan isteri,
Ahli Jawatankuasa Kerja MAKSAK Malaysia
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin Datin,
Dif-Dif Kehormat,
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan keizinan Nya jua, sekali lagi kita dapat sama-sama berhimpun dan bermesra sempena berlangsungnya Malam Anugerah MAKSAK Malaysia 2010. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran para tetamu serta ahli Gabungan MAKSAK, dan seterusnya merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan padu serta kerjasama erat yang telah diberikan kepada MAKSAK Kebangsaan dalam penganjuran aktiviti-aktivitinya bagi sepanjang tahun 2010.
2. Sebagaimana saudara-saudari sedia maklum, Majlis Malam Anugerah MAKSAK yang diadakan pada setiap tahun adalah bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada Badan-Badan Gabungan MAKSAK. Penghargaan juga akan diberikan kepada individu-individu yang telah mencapai kejayaan serta menunjukkan komitmen dalam mencurahkan khidmat bakti untuk menjayakan program dan aktiviti MAKSAK.
3. Semoga anugerah pada malam ini akan menjadi pembakar semangat bagi penganjuran aktiviti MAKSAK yang lebih meriah dan berjaya bagi tahun-tahun akan datang, di samping menjadi pendorong kepada peningkatan mutu sukan di Malaysia, secara amnya. Malah yang lebih penting, penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti MAKSAK diharapkan dapat membentuk penjawat awam yang lebih bertenaga dan berdaya saing serta mampu mengawal tekanan di tempat kerja, hasil daripada penglibatan aktif di dalam bidang sukan.
Saudara-saudari sekalian,
4. Kerajaan telah memperincikan pelbagai pelan transformasi yang padat dan jitu dalam usaha melonjakkan ekonomi negara ke tahap yang kompetitif dan membanggakan di peringkat global. Ini termasuk Program Transformasi Kerajaan, atau GTP, bersama 6 NKRA-nya yang dilancarkan pada awal tahun 2010. Ia diikuti pelancaran Program Transformasi Ekonomi, atau ETP, dengan 12 NKEA-nya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi dan diikuti oleh pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 dan kemudiannya Bajet Tahun 2011, yang menjadi bajet pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-10. Dalam hal ini, penjawat awam dan institusi Perkhidmatan Awam adalah kumpulan yang sangat penting untuk menentukan segala yang telah dirancang dan dibentangkan sebagai agenda dan dasar utama negara dapat dilaksanakan dan hasilnya disampaikan kepada kumpulan sasar dan rakyat keseluruhannya.
5. Bagi menjayakan ini, tidak dapat dinafikan bahawa penjawat awam yang berkualiti dari aspek pengetahuan dan nilai adalah penting sebagai penentu utama kecemerlangan masa depan negara. Penjawat awam hendaklah menguasai kemahiran-kemahiran yang diperlukan berkaitan skop kerja serta sentiasa bersemangat untuk melaksanakan tugas dengan responsif, kreatif dan terbuka bagi memastikan hasrat dan cita-cita kerajaan terlaksana dengan jayanya.
6. Kehidupan yang cergas dan aktif adalah penting untuk kesihatan tubuh badan dan seterusnya akan menghasilkan fikiran yang cerdas dan minda yang progresif. Badan yang sihat juga akan melahirkan insan yang cergas, sekali gus menyahut saranan Y.A.B. Perdana Menteri supaya penjawat awam bertindak dengan pantas berlandaskan integriti, kreativiti dan inovasi.
7. Dalam hal ini, MAKSAK telah berusaha untuk mendukung hasrat Kerajaan bagi melahirkan tenaga kerja yang sihat, berwawasan dan aktif melalui pelbagai penambahbaikan aktiviti dan program yang dianjurkan. Ini juga bagi memastikan penyertaan maksimum oleh penjawat awam di dalam aktiviti sukan untuk mengembangkan bakat serta meningkatkan prestasi mereka.
8. Saya percaya sifat dedikasi, komitmen dan semangat yang ditunjukkan sewaktu menyertai aktiviti MAKSAK dapat diterjemahkan ketika melaksanakan tugas seharian di pejabat. Kejayaan dalam bidang sukan dan aktiviti MAKSAK boleh dijadikan sebagai pemangkin untuk berjaya dalam kerjaya masing-masing.
9. Dalam pada itu, saya juga ingin mengingatkan MAKSAK Kebangsaan agar kita sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan apabila menganjurkan sesuatu aktiviti kejohanan. Berbelanjalah mengikut keperluan sahaja dan bukan mengikut kemahuan, di samping memastikan setiap aktiviti yang dilaksanakan mematuhi prinsip “value for money”.
Saudara-saudari sekalian,
10. Kejayaan penganjuran program dan aktiviti MAKSAK amat bergantung pada kerjasama, sokongan serta semangat “team work” oleh semua pihak di peringkat kebangsaan dan negeri. Maka di sinilah aspek “networking” adalah sangat penting, di samping mengasah aspek kepimpinan, kebolehan mengurus dan kebijaksanaan berinteraksi.
11. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua Kerajaan Negeri atas kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan penganjuran aktiviti MAKSAK, baik dalam bentuk logistik, protokol mahupun kewangan. Semoga kerjasama yang diberikan akan berterusan bagi penganjuran program dan aktiviti MAKSAK pada masa akan datang.
12. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Anugerah MAKSAK pada malam ini serta pemenang keseluruhan aktiviti MAKSAK bagi tahun 2010. Semoga kejayaan tersebut menjadi inspirasi kepada semua anggota Perkhidmatan Awam untuk terus menunjukkan kecemerlangan di dalam apa jua bidang yang diceburi pada setiap masa.
Kain cindai bawa berjalan,
Buat mengibas nyamuk dan agas,
Rajin dan tabah dalam bersukan,
Minda cerdas jasmani cergas.
Harum sungguh bunga kemboja,
Disusun dara dari Mandilin,
Sukan membentuk semangat waja,
Sentiasa ceria cergas berdisiplin.
Burung undan burung tempua,
Hinggap berehat di pohon kayu,
Sukan amalan untuk semua,
Rakyat sihat Negara maju.
13. Akhir kata, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa Kerja, Yang DiPertua MAKSAK Badan Gabungan dan tidak lupa juga kepada Bekas-bekas Yang Dipertua dan Setiausaha Badan Gabungan MAKSAK yang telah dilantik ke jawatan yang baru ataupun yang telah bersara.
14. Semoga aktiviti sukan yang dianjurkan oleh MAKSAK Malaysia akan dapat menjadi penghubung dalam mengeratkan tali silaturahim di kalangan anggota Perkhidmatan Awam berbilang kaum, selaras dengan semangat dan aspirasi 1Malaysia.
Sekian.
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.