Majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2010
Bismilahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Y.B. Menteri-Menteri serta Y.B. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Ketua-Ketua Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datin Sri-Datin Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin
Penerima Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2010
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan keizinan Nya jua, kita dapat bersama-sama pada malam yang gilang-gemilang ini sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2010.
2. Lebih teristimewa dan bermakna lagi, majlis pada malam ini turut dimeriahkan dan diserikan dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Saya, mewakili semua warga JPM, mengucapkan ribuan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesudian Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dan isteri bersama-sama meraikan majlis yang penuh bermakna pada malam ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. Majlis pada malam ini adalah merupakan gabungan 4 majlis utama di JPM, iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Inovasi, Anugerah Pencapaian Pengurusan serta Anugerah Pencapaian Sukan dan Sosial JPM yang lazimnya diadakan secara berasingan. Pada tahun ini, JPM mengambil inisiatif menggabungkan keempat-empat majlis tersebut sebagai langkah proaktif ke arah merealisasikan prinsip pengurusan nilai atau value management. Y.A.B. Dato’ Sri, di dalam amanat kepada penjawat awam pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam atau MAPPA ke-12 pagi ini, telah menekankan bahawa pengurusan nilai perlu menjadi alat pengurusan bagi mencapai nilai untuk wang.
4. Ini pastinya merupakan satu peralihan paradigma cara bekerja yang biasa, sesuai dengan maksud untuk mencapai nilai yang optimum dan berganda dari sumber-sumber yang sedia ada. Di samping menjimatkan perbelanjaan, penggabungan ini juga telah dapat menjimatkan masa Y.A.B. Dato’ Sri, dan kita semua, yang boleh digunakan untuk melaksanakan tugasan lain yang tidak kurang pentingnya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
5. Pencapaian agensi-agensi di bawah JPM sepanjang tahun 2010 adalah amat membanggakan kerana telah banyak melaksanakan transformasi serta semakin cemerlang. Warga JPM begitu gigih memartabatkan mekanisme urus tadbir terbaik di agensi masing-masing. Sebagai contoh, semua agensi di bawah JPM adalah komited untuk mensifarkan pembayaran di bawah AP58a, serta gigih memastikan semua tuntutan dan invois dibayar dalam tempoh 14 hari. Di samping menjalankan tugas rasmi, penglibatan di dalam aktiviti ko-kurikulum juga diberi penekanan di JPM, melalui aktiviti sukan dan sosial yang aktif dilaksanakan oleh Kelab Bukit Perdana. Inilah keterampilan warga JPM yang perlu ditonjolkan, iaitu bukan sahaja cemerlang dalam memberikan perkhidmatan tetapi juga aktif di dalam aktiviti sukan dan riadah.
6. Kejayaan transformasi di kalangan warga JPM ini bukanlah sesuatu yang mudah dan bukan juga sesuatu yang mustahil. Dengan 58 buah Jabatan dan Agensi yang mempunyai pelbagai portfolio dan tanggungjawab, pencapaian dan kejayaan yang diperoleh dan diraikan pada malam ini adalah sesuatu yang sangat bermakna. Sesungguhnya pemberian anugerah ini adalah amat dititikberatkan dalam usaha membudayakan kreativiti, inovasi, meritokrasi dan budaya berprestasi tinggi di kalangan warga JPM khasnya, serta anggota perkhidmatan awam, amnya. Matlamat akhirnya ialah ke arah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, selaras dengan tema MAPPA ke-12 yang telah disempurnakan oleh Y.A.B. Dato’ Sri pada pagi tadi, iaitu “Transformasi Perkhidmatan Awam – Berpaksikan Pencapaian, Berorientasikan Rakyat”.
7. Kejayaan serta pencapaian pada sepanjang tahun 2010 tidak mungkin diperoleh tanpa komitmen, dedikasi, teamwork serta sinergi yang terjalin antara pegawai-pegawai di setiap agensi di JPM. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan kesyukuran dan mengucapkan terima kasih kepada semua warga JPM atas usaha gigih serta sokongan padu yang telah membuahkan kejayaan demi kecemerlangan JPM.
8. Saya juga percaya, salah satu faktor utama kejayaan penerimaan anugerah ini adalah keikhlasan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Penglibatan penuh pucuk pimpinan dan ketua agensi sendiri dalam menerajui gerakan untuk menerapkan budaya berprestasi tinggi, adalah juga sangat penting dan amat dialu-alukan.
9. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dan isteri menyerikan majlis pada malam ini.
10. Kepada semua penerima dan agensi yang berjaya, syabas dan tahniah di atas pengiktirafan sebagai individu dan agensi yang cemerlang. Semoga kecemerlangan ini menjadi contoh kepada yang lain untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang ikhlas dan terbaik demi memartabatkan budaya berprestasi tinggi di dalam perkhidmatan awam.
Sekian.
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.