Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12
TEKS UCAPAN YBHG. TAN SRI MOHD SIDEK HASSAN
KETUA SETIAUSAHA NEGARA
DI MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KEDUA BELAS (MAPPA XII)
“TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM BERPAKSIKAN PENCAPAIAN BERORIENTASIKAN RAKYAT”
Bismillahir Rahmaanir Rahiim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Yang Berhormat Tan Sri Abu Zahar Ujang, Presiden Dewan Negara
Yang Berhormat Menteri-Menteri
Yang Amat Berhormat Menteri Besar
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri
Y.Bhg. Dato’ Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Perkhidmatan
Y.B. Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri
Ketua-Ketua Jabatan
Ketua-Ketua Eksekutif Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs)
Ahli PEMUDAH
Y.Bhg. Dato’ Omar Osman serta barisan EXCO CUEPACS
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Kehormat
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian.
Pertamanya marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’aala atas limpah rahmat dan kurnia Nya jua dapat kita berhimpun pada pagi ini sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam, atau MAPPA, kali yang ke-12. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, di atas kesudian Yang Amat Berhormat Dato’ Sri untuk menghadiri Majlis tahunan ini dan seterusnya menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam.
2. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Yang Berhormat Presiden Dewan Negara, Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Dif-Dif Kerhormat serta tuan-tuan dan puan-puan ke Majlis pada hari ini. Sesungguhnya kehadiran anggota pentadbiran bersama-sama penjawat awam di dalam Majlis ini adalah sangat bermakna yang merupakan manifestasi komitmen, hubungan mesra dan kerjasama erat yang telah sedia terjalin di dalam Kerajaan demi untuk merealisasikan aspirasi serta wawasan negara.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dan para hadirin yang dihormati sekalian,
3. Tema bagi MAPPA ke-12 ini ialah “Transformasi Perkhidmatan Awam – Berpaksikan Pencapaian, Berorientasikan Rakyat”. Kita sedia maklum, kewujudan perkhidmatan awam adalah sebagai satu entiti pentadbiran negara yang bertanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan penuh prihatin, adil dan saksama. Perkhidmatan awam berperanan untuk melaksanakan setiap dasar dan keputusan kerajaan dengan pantas, tepat dan berkesan. Bagi tujuan itu, perkhidmatan awam sentiasa berusaha untuk berada di hadapan kelok, bersifat sistematik dan pragmatik dalam setiap tindakan serta mahir menilai kemahuan dan kehendak stakeholders dan pelanggan seperti kisah perilaku Si Kembang Cina, pembantu Raden Galuh Cenderakirana di dalam Hikayat Malim Deman yang diungkapkan melalui pepatah,
Belum dipanggil sudah datang
Belum disuruh sudah pergi
Belum diminta sudah diberi
Belum ditanya sudah jawab
4. Hakikat bahawa rakyat sentiasa menilai prestasi penjawat awam, dan rakyat juga sentiasa mengharapkan perkhidmatan yang terbaik daripada penjawat awam, perlu sentiasa dihayati dan diberi keutamaan oleh setiap anggota perkhidmatan awam. Semangat untuk sentiasa memberikan yang terbaik ini, telah disemai dan dibajai bagi membentuk satu pasukan yang mantap dengan satu wadah yang sama, iaitu berpaksikan pencapaian, dan berorientasikan rakyat. Ini juga adalah selaras dengan gagasan yang dibawa oleh Y.A.B. Dato’ Sri, “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Para hadirin sekalian,
5. Pada tahun 2010 seruan transformasi telah digemakan melalui pelbagai program yang padat dan jitu ke arah meningkatkan persekitaran sosio-ekonomi rakyat serta merancakkan daya saing negara kita. Pastinya tahun 2011 merupakan tahun pelaksanaan bagi mengimplementasikan program-program yang sarat dengan elemen pembaharuan. Derap langkah perlu dipertingkatkan sejajar dengan pacuan momentum transformasi. Corak kepimpinan kini lebih berteraskan nilai pengisian dan bukan lagi tradisi. Kompetensi pemimpin dijadikan faktor pengukuran utama produktiviti negara. Fleksibiliti dan daya tahan perlu dijadikan kriteria pelengkap kepada kepimpinan yang berorientasikan rakyat.
6. Dalam masa yang sama, jentera perkhidmatan awam negara juga telah diperkukuhkan dengan pengurusan sumber manusia yang lebih efektif dari aspek pengurusan bakat dan pembangunan kerjaya. Salah satu inisiatif yang telah dilaksanakan ialah program cross-fertilisation anggota perkhidmatan awam dengan GLC, dan sebaliknya, yang memungkinkan pegawai awam mempelajari aspek amalan terbaik di GLC bagi tujuan meningkatkan profesionlisme dalam perkhidmatan awam. Bukan setakat itu sahaja – pihak GLC juga didedahkan kepada pelbagai aspek amalan terbaik yang terdapat di dalam perkhidmatan awam.
7. Beberapa inovasi juga telah diperkenalkan bagi menambah baik urusan dengan pelanggan, antaranya ialah dengan memperbanyakkan perkhidmatan online, serta memperluaskan aplikasi E-government.
8. Bagi melancarkan lagi momentum transformasi ini, usaha segenap lapisan dan peringkat di dalam perkhidmatan awam digembleng untuk melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh komited dan secara menyeluruh. Dari Ketua Setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan, agensi sehinggalah ke pegawai-pegawai di peringkat Bahagian, Unit dan akar umbi, marilah kita bersama-sama menyingsing lengan serta mengotorkan tangan, bergotong royong dalam sebuah pasukan yang bersatu hati, bagi menjayakan agenda transformasi ini, demi masa depan negara kita yang lebih gemilang.
9. Sebagai mewakili anggota perkhidmatan awam, saya ingin menyatakan ikrar dan komitmen berterusan kami untuk bersama-sama memperjuangkan agenda kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara yang diterajui oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Perkhidmatan awam akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kecekapan, dan lebih mesra pelanggan agar penyampaian kerajaan dapat memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.
10. Akhir kata, kesudian Yang Amat Berhormat Dato’ Sri menyampaikan amanat dan nasihat pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam kali ke-12 ini merupakan satu dorongan kepada perkhidmatan awam untuk meneruskan aspirasi kecemerlangan negara. Sesungguhnya kepercayaan dan pengharapan ini amat kami hargai dan, Insya Allah akan kami laksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin.
11. Seterusnya, dan tanpa melengahkan masa lagi, saya dengan segala hormatnya menjemput Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia untuk menyampaikan amanat, sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam kali ke-12.
Dengan segala hormatnya dipersilakan, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri.