Majlis Perasmian Penutup Konferens Pelan Transformasi MARA

March 1, 2011 7:48 am 0 comments

Share this Article

Author:

TEKS UCAPAN YBHG TAN SRI MOHD SIDEK HASSAN
KETUA SETIAUSAHA NEGARA

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP KONFERENS PELAN TRANSFORMASI MARA

1 MAC 2011 (SELASA), 8.30 PAGI
PULLMAN LAKESIDE RESORT, PUTRAJAYA

Bismillahir rahmaanir rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Y.B. Dato’ Seri Idris bin Jusoh
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA)

Y.Bhg. Dato’ Seri Abu Bakar bin Haji Abdullah
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Malaysia

Y.Bhg. Dato’ Ibrahim bin Muhamad
Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah

Y.Bhg. Tuan Haji Ibrahim bin Ahmad
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA)

Ahli-Ahli Majlis MARA

YBhg. Datuk, Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan izin Nya jua kita dapat bersama-sama di dalam Majlis Perasmian Penutup Konferens Pelan Transformasi MARA pada pagi ini.

2. Saya amat menghargai kesempatan untuk berkenalan serta beramah mesra dengan Ahli Majlis MARA, Ahli Pengurusan MARA serta para hadirin sekalian pada hari ini. Walau pun ini merupakan pertama kali saya bertemu Pengurusan MARA di dalam majlis rasmi seperti ini, tetapi sebenarnya saya sentiasa mendapat maklum balas dan memantau prestasi MARA dari masa ke semasa. Bahkan pada bulan Disember lalu, di awal pelantikan Tuan Haji Ibrahim Ahmad sebagai Ketua Pengarah MARA, saya berkesempatan mengadakan pertemuan dengan beliau untuk berbincang mengenai beberapa perkara bagi memajukan lagi MARA. Terima kasih diucapkan atas jemputan ini.

Saudara-saudari sekalian,

MENONGKAH ARUS PERUBAHAN

3. Perkembangan serta perubahan ekonomi yang pesat di peringkat global menyedarkan kita bahawa Malaysia perlu segera melakukan perubahan agar lebih berdaya saing untuk terus berdaya maju di persada antarabangsa. Menyedari akan hakikat ini, Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, telah merencanakan pelbagai pelan transformasi yang padat dalam usaha melonjakkan kedudukan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan menjelang tahun 2020. Ini termasuk Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi, dan Rancangan Malaysia Ke-10, yang semuanya digubal di bawah naungan prinsip “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

4. Sejajar dengan agenda transformasi ini, adalah penting bagi semua jentera kerajaan menyahut cabaran untuk bersama-sama melaksanakan perubahan. Dalam hal ini MARA juga tidak ketinggalan, malah sudah tiba masanya untuk MARA melakukan realignment supaya segala strategi dan program yang dilaksanakan adalah menepati hala tuju dan aspirasi negara.

5. Saya amat menekankan perkara ini kerana MARA mempunyai peranan penting sebagai sebuah agensi yang mengubah serta membentuk sosio-ekonomi masyarakat di negara ini, iaitu sebuah socioeconomic engineering agency. Kejayaan MARA secara tidak langsung menentukan kejayaan kerajaan, khususnya dalam membangunkan kaum Bumiputera. Perubahan yang dilakukan oleh MARA perlu bermula di peringkat asas dan dasar, kerana transformasi yang dibawa oleh kerajaan pada hari ini meliputi segenap perkara yang merentasi dasar-dasar utama yang menunjangi pembangunan negara.

6. Perubahan dasar ini pastinya akan membawa perubahan besar terhadap grand design dan kerangka gerak kerja MARA. Dalam merancang transformasi, MARA perlu memandang ke hadapan untuk mempersiapkan generasi baru negara menghadapi cabaran dan kegetiran 50 tahun akan datang. Sekiranya generasi pertama yang mengemudi MARA ketika zaman Tun Razak telah memacu MARA dan mempersiapkan agenda negara sehingga 45 tahun, maka pada hari ini MARA perlu merancang untuk 3 generasi seterusnya, iaitu menjangkau 4 dekad yang akan datang.

Saudara-saudari sekalian,

TERAS PERJUANGAN MARA

7. Untuk itu, MARA perlu meneliti semula hala tuju strategik MARA supaya selari dengan agenda transformasi kerajaan. Perubahan kepada visi, misi dan teras perjuangan MARA amat penting kerana ia akan menentukan arah dan hala tuju MARA. Pada hemat saya, sudah sampai masanya MARA melakukan transformasi untuk menjadi sebuah organisasi yang bersifat keusahawanan sepenuhnya.

8. Orientasi bersifat keusahawanan ini memungkinkan MARA untuk berdikari, mampu menjana pendapatan sendiri dan yang lebih penting mampu mewujudkan suasana organisasi berprestasi tinggi, peningkatan kepada sistem penyampaian serta pengurangan birokrasi. Selain itu, setiap individu dalam MARA hendaklah menghayati ciri-ciri keusahawanan serta mengutamakan outcome. Saya percaya sekiranya MARA melakukan transformasi menjadi sebuah organisasi yang berorientasikan keusahawanan, kita mampu meningkatkan pencapaian individu Bumiputera, dan seterusnya menyumbang ke arah kemakmuran ekonomi negara serta mencapai transformasi seperti yang digagaskan oleh Y.A.B. Perdana Menteri.

9. Dalam hubungan ini, saya ingin mencadangkan supaya MARA memberi fokus kepada 3 bidang utama yang berteraskan aspek keusahawanan, iaitu, pembangunan program keusahawan yang lebih bersepadu; pendidikan yang lebih tertumpu kepada outcome; dan penceburan dalam bidang-bidang strategik baru dan bakal muncul. Izinkan saya untuk menghuraikan sedikit mengenai 3 bidang fokus utama ini.

10. Pertamanya, mengenai pembangunan program keusahawanan yang lebih bersepadu, MARA perlu memberi fokus kepada program pembangunan usahawan secara menyeluruh serta menjadi one stop centre bagi program pembangunan usahawan Bumiputera. Program-program keusahawanan sedia ada perlu disepadukan, supaya para usahawan dapat diperkasa serta mampu menerjah ke pasaran antarabangsa.

11. MARA juga perlu melihat kemungkinan untuk berkolaborasi dengan agensi-agensi keusahawanan yang lain bagi menawarkan akses yang lebih besar kepada para usahawan. Ini adalah penting bagi mewujudkan lebih banyak syarikat yang berdaya saing yang boleh disenaraikan di bursa saham. Program keusahawanan juga perlu difokuskan di Institusi Pendidikan MARA supaya lebih ramai anak-anak didik MARA muncul sebagai usahawan. Aspek pendidikan dan keusahawanan perlu diperkemas atau streamline di dalam program pembangunan modal insan MARA supaya lebih ramai usahawan yang inovatif dan berpengetahuan diwujudkan.

12. Kedua, ialah program pendidikan yang berasaskan outcome. Ini pastinya melibatkan perubahan strategik, bertujuan untuk membangunkan serta menyediakan sistem pendidikan MARA yang berkualiti secara sistematik dan holistik, ke arah membina insan cemerlang. MARA hendaklah menjadi peneraju pembangunan modal insan dengan menambah bilangan guna tenaga bumiputera yang profesional dan terlatih. Ini perlu meliputi pelbagai bidang dan di semua peringkat, khususnya untuk keperluan sektor perdagangan dan perindustrian. MARA juga perlu berusaha untuk membantu kerajaan memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, mengarusperdanakan pendidikan teknikal, memperbanyakkan program pendidikan yang menyumbang kepada penjanaan pendapatan tinggi dan juga pengantarabangsaan. Selain itu, semua sistem pendidikan MARA perlu menjurus kepada aspek keusahawanan selaras dengan teras entrepreneurial orientation yang dibawa oleh MARA.

13. Ketiga, adalah penceburan dalam bidang-bidang strategik baru dan bakal muncul. Dalam hal ini, MARA perlu menggunakan aset fizikal, modal insan serta good will yang ada untuk menyertai bidang-bidang strategik dan berpendapatan tinggi. Penyertaan MARA adalah perlu untuk membuka ruang kepada usahawan Bumiputera terlibat di dalam value chain yang dicipta oleh MARA. MARA perlu melaksanakan aktiviti pelaburan strategik sebagai platform untuk memaksimumkan pulangan dari semua kekuatan yang ada. Dengan cara ini, MARA dapat mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan dan seterusnya menjadi peneraju dalam bidang-bidang baru yang diperlukan oleh negara.

14. Bagi merealisasikan hasrat ini MARA boleh mengambil beberapa pendekatan, iaitu dengan cara memperkasakan program-program sedia ada, mempelbagaikan aktiviti-aktivitinya, serta meneroka bidang-bidang baru khususnya bidang NKEA yang telah diumumkan oleh Kerajaan. Seterusnya syarikat-syarikat subsidiari MARA hendaklah digembleng bagi menjana aktiviti-aktiviti pelaburan. Dalam hal ini, MARA perlu menilai setiap aktiviti dan penceburan bidang baru supaya menjurus kepada perspektif keusahawanan.

15. Saya percaya melalui penumpuan dalam 3 bidang utama yang dihuraikan tadi, MARA akan dapat mencapai aspirasi sebuah agensi yang berorientasikan keusahawanan yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara. Namun demikian, perancangan yang padat dan jitu akan hanya tinggal perancangan, sekiranya tidak diiringi dengan pelaksanaan yang agresif. Langkah seterusnya adalah pelaksanaan program-program yang telah dirancang, dan yang paling penting adalah aspek pemantauan bagi memastikan kelancaran serta keberkesanan program-program untuk menghasilkan outcome berbentuk B.H.A.G., iaitu, big, hairy, audacious goals.

Saudara-saudari sekalian,

PENSTRUKTURAN MARA

16. Sebagaimana semua sedia maklum, pembangunan modal insan adalah merupakan core business MARA, di mana MARA turut berusaha untuk merealisasikan agenda negara dalam memperkasa Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera melalui program pembangunan modal insan yang efektif. Bagi menjayakan ini, MARA perlu mengukuhkan modal insan dalaman MARA terlebih dahulu supaya setiap jentera pentadbiran MARA adalah benar-benar ampuh untuk menggerakkan agenda besar negara.

17. MARA perlu meningkatkan daya kecekapan teras tenaga kerjanya supaya lebih berdaya saing, kreatif, kompetitif dan inovatif di peringkat global. Tenaga kerja MARA era baru perlulah menghapuskan apa jua halangan dan peraturan lapuk demi mewujudkan urus tadbir korporat yang dinamik. MARA perlu mengukuhkan potensi modal insan secara inklusif dan intensif bagi membawa MARA ke arah kecemerlangan, setanding dengan syarikat-syarikat GLC yang terbaik.

18. Sehubungan dengan ini, saya difahamkan bahawa MARA telah pun mengemukakan cadangan penstrukturan semula MARA kepada Jabatan Perkhidmatan Awam yang bertujuan memantapkan lagi peranan MARA. Namun demikian, saya ingin menegaskan bahawa pemerkasaan struktur sesebuah organisasi tidak bermakna pertambahan dalam jumlah perjawatan semata-mata. Sebaliknya, perjawatan-perjawatan sedia ada hendaklah diselaraskan semula serta dimantapkan lagi dengan peranan serta tanggungjawab yang lebih besar. Saya berharap, setelah penstrukturan semula nanti, kita akan dapat melihat lebih banyak program-program strategik yang menyokong agenda kerajaan dan juga Bumiputera khususnya, digerakkan oleh MARA dalam jangka waktu terdekat. Tetapi apa yang lebih penting adalah transformasi minda, di mana kita hendaklah berubah serta berusaha menjadi yang terbaik di dalam negara dan juga di peringkat global.

Saudara-saudari sekalian,

PENUBUHAN TERAJU

19. Sesungguhnya kerajaan memandang serius dalam menjayakan agenda pembangunan bumiputera. Oleh itu, pada 8 Februari yang lalu, Y.A.B. Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera, atau TERAJU, bagi menerajui, mengurus serta memacu inisiatif untuk memperkukuhkan lagi agenda pembangunan Bumiputera.

20. Dalam hal ini, saya percaya MARA turut menyambut baik agenda besar Kerajaan bagi memperkasa ekonomi Bumiputera. MARA hendaklah bekerjasama dengan TERAJU bagi memantapkan inisiatif yang bakal dilaksanakan kerana kalau diperhatikan, 5 bahagian utama TERAJU adalah hampir sama dengan peranan MARA iaitu, keusahawanan dan penciptaan kekayaan; pembiayaan; pendidikan dan penggajian; penilaian institusi dan instrumen dasar; dan pengurusan stakeholder.

21. Justeru, saya berharap MARA dapat melihat peluang-peluang yang boleh digerakkan secara agresif dengan tertubuhnya TERAJU. Saya yakin semua program yang sedang dilaksanakan oleh MARA sememangnya bertepatan dengan kehendak kerajaan serta menyokong usaha Majlis Tindakan Agenda Bumiputera secara keseluruhan. Apa yang penting kini adalah usaha MARA untuk bergerak secara kolektif serta mewujudkan synergy melalui smart partnership, kolaborasi serta pelbagai kaedah lain. Harus ditekankan di sini bahawa TERAJU bukanlah pesaing atau ancaman kepada kewujudan MARA, tetapi ia lebih bersifat complimentary untuk terus memajukan agenda pembangunan Bumiputera secara kolektif.

Saudara-saudari sekalian,

PENUTUP

22. Bagi mengakhiri ucapan, saya ingin mengingatkan diri saya serta para hadirin sekalian bahawa Perkhidmatan Awam merupakan tunjang kepada kekuatan sesebuah negara. Amanah yang ditanggung selaku penjawat awam amat besar. Saya yakin semua warga kerja MARA amat maklum akan perkara ini kerana Majlis Amanah Rakyat, melambangkan betapa besarnya harapan dan amanah yang perlu dijunjung. Oleh itu, sewajarnya setiap warga kerja MARA sentiasa berusaha, komited dan bersungguh-sungguh melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh integriti serta sebaik mungkin, supaya segala amanah dan tanggung jawab terlaksana dengan cemerlang dan jayanya.

23. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir rahamaanir rahim, saya dengan rasminya menutup Konferens Pelan Transformasi MARA pada hari ini.

Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Leave a Reply



9 − six =

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →