Sempena Penutupan Pertandingan Pidato Integriti antara Institut Pendidikan Guru, Piala Menteri Pelajaran Malaysia 2011
Bismillaahirrahmaanirahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
Yang Berbahagia Dato’ Abd Ghafar bin Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Dr. Mohd Tap Salleh
Presiden Institut Integriti Malaysia
Y. Berbahagia. Datuk Dr. Haili bin Dolhan, Rektor Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Yang Berusaha Pengarah-Pengarah IPG
Barisan Hakim yang arif,
Para pensyarah, bakal guru-guru serta hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, pertamanya marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia Nya kita dapat bersama-sama pada pagi ini di dalam Majlis Perasmian Penutup Pidato Integriti antara Institut Pendidikan Guru Malaysia.
2. Selaku Pengerusi IIM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, di atas kesudian Yang Amat Berhormat Tan Sri untuk menyempurnakan upacara Majlis Penutup yang akan berlangsung sebentar nanti.
3. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu atas kesudian bekerjasama dengan IIM dalam menganjurkan program ini. Terima kasih juga kepada semua IPG yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan pidato ini. Sesungguhnya, penganjuran program seumpama ini adalah merupakan langkah penting dalam usaha membudayakan integriti di kalangan masyarakat kampus IPG, dan melalui guru-guru ke seluruh rakyat Malaysia amnya, Insya Allah.
Saudara-saudari sekalian,
4. Objektif Pertandingan Pidato Integriti antara IPGM ini adalah untuk mempromosi serta menggalakkan pengamalan etika dan integriti dalam kalangan bakal guru. Di samping dapat menambah kefahaman mengenai usaha pengukuhan integriti dalam masyarakat, pertandingan ini juga akan dapat mengasah bakat-bakat sedia ada dalam golongan pelajar yang akan mempengaruhi dan membentuk identiti dan budaya masyarakat negara kita.
5. Pertandingan pidato ini turut membuka wadah baru dalam usaha mencernakan idea, meluaskan pengalaman serta meningkatkan keyakinan diri bakal guru bagi menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks. Hal ini juga adalah selaras dengan hasrat negara seperti yang digariskan di dalam Pelan Integriti Nasional yang telah dilancarkan hampir genap 7 tahun yang lalu, iaitu pada 23 April 2004.
6. Dalam konteks ini, saudara dan saudari mempunyai peranan penting dalam membantu pihak IPG dan kerajaan untuk membudayakan serta memantapkan integriti dalam diri, serta masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di sekolah. Penglibatan mahasiswa dalam pelbagai aktiviti seperti pertandingan pidato ini, secara langsung akan mampu melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademiknya, bahkan lebih penting juga sahsiah dan keperibadian seseorang individu. Elemen ini sangat penting dalam konteks pembangunan sesebuah negara bangsa yang seimbang dan cemerlang.
7. Menyedari hakikat ini, kesedaran mengenai integriti perlu diberi penekanan dalam sistem pendidikan sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi. IIM telah mengorak langkah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia melalui penyampaian ceramah dan taklimat integriti kepada hampir 60,000 orang pengetua, guru besar, guru kaunselor, guru-guru pendidikan Islam dan pendidikan moral, serta guru-guru pelatih tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara sejak tahun 2007.
8. Dengan pendekatan ini, adalah diharapkan para pentadbir dan guru-guru berkenaan akan dapat menyebarluaskan agenda integriti kepada pelajar, rakan guru dan masyarakat umum. IIM juga secara khusus telah mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menyampaikan taklimat integriti kepada hampir semua pelajar baru dalam Minggu Orientasi atau Haluan Siswa di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, termasuk politeknik dan kolej-kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru (IPG). Hampir 100,000 pelajar baru terlibat dalam taklimat seperti ini dalam sesi pengambilan pelajar IPT pada tahun 2010.
9. Selain daripada Pertandingan Pidato Integriti antara IPG yang dianjurkan ini, IIM juga turut menganjurkan program-program seperti Debat Perdana Integriti, Pertandingan Menulis Esei Integriti, Kongres Mahasiswa, CSR Rebung (dengan kerjasama pelajar-pelajar MRSM), Program Integrity Business Club bersama IPTA dan IPTS serta program dengan pelbagai sektor masyarakat. Usaha ini merupakan satu tindakan yang dirancang khusus bagi memperkasakan nilai, etika dan integriti para mahasiswa sebagai mempersiapkan diri untuk menjadi generasi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.
Saudara-saudari sekalian,
10. Tidak ada satu faktor yang secara mutlak dapat menentukan kejayaan proses pembudayaan integriti. Justeru itu, apa yang penting adalah perancangan yang rapi, pelan tindakan yang sistematik, keseriusan dan komitmen dalam pelaksanaan dan pemantauan, serta anjakan paradigma seluruh komponen masyarakat bagi menjayakan agenda nasional ini.
11. IIM akan terus berusaha dengan gigih untuk membudayakan integriti masyarakat Malaysia; dan saya berharap dan percaya saudara-saudari sekalian akan bersama-sama dalam menjayakan usaha murni ini.
12. Akhir kata, di kesempatan ini saya sekali lagi mengucapkan
ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang sudi hadir pada majlis pagi ini. Sesungguhnya kehadiran Y.A.B. Tan Sri memberikan rangsangan dalam usaha bersama menyemarakkan budaya integriti dalam masyarakat kita.
13. Kepada semua peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini, saya ucapkan selamat berjaya. Saya berdoa semoga usaha murni ini akan berterusan demi menjamin masa hadapan masyarakat Malaysia yang berilmu, berakhlak tinggi dan berintegriti.
Sekian,
Wabillahittaufiq walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.