Ucapan Aluan Sempena Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2010
Bismillaahir rahmaanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia
Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet,
Yang Amat Berhormat Menteri Besar,
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Y.B. Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri,
Ketua-Ketua Jabatan
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Dato’-Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah keizinan Nya jua dapat kita sama-sama berhimpun pada malam ini sempena Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2010.
2. Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di atas kesudian Y.A.B. Dato’ Sri menghadiri serta menyempurnakan Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri ini. Sesungguhnya kehadiran serta sokongan padu Y.A.B. Dato’ Sri pada malam yang penuh gilang gemilang ini pastinya memberi suntikan semangat kepada kami dalam usaha berterusan meningkatkan prestasi dan kecemerlangan sektor awam.
3. Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kehadiran anggota-anggota Pentadbiran dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan pada malam ini, yang jelas menunjukkan komitmen dan sokongan padu semua pihak untuk merealisasikan aspirasi dan wawasan negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
4. Anugerah Inovasi Perdana Menteri bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada jabatan, agensi mahupun kumpulan penjawat awam atas penghasilan inovasi yang signifikan serta memberi impak yang besar. Anugerah Inovasi Perdana Menteri menandakan Perkhidmatan Awam mendakap sepenuhnya hasrat Kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi yang berpaksikan kreativiti dan inovasi.
5. Majlis penganugerahan pada malam ini adalah kali kedua diadakan setelah diperkenalkan pada tahun lepas, dan merupakan evolusi serta kesinambungan daripada era budaya kualiti kepada era budaya inovatif dan kreatif.
6. Pemilihan penerima Anugerah AIPM dilaksanakan oleh Search Committee yang terdiri daripada tokoh-tokoh terkemuka daripada sektor swasta, akademia, badan-badan bukan Kerajaan serta juga pegawai tertinggi Kerajaan.
7. Jika pada tahun lalu pemilihan penerima AIPM dibuat berdasarkan pendekatan agency-centric yang memberi penilaian ke atas keupayaan sesebuah agensi untuk menghasilkan inovasi, pada tahun ini Search Committee telah menggunakan pendekatan innovation-centric yang memberi tumpuan kepada inisiatif inovasi itu sendiri yang mungkin melibatkan lebih dari satu agensi, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyemarakkan budaya inovasi merentasi sempadan.
8. Pada tahun ini Search Committee telah mengenal pasti 25 inovasi. Daripada jumlah ini, 6 inisiatif telah disenarai pendek untuk diperhalusi dan diberikan pertimbangan lebih terperinci berpandukan kriteria yang telah ditetapkan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
9. Dalam menimbangkan calon-calon berdasarkan pendekatan innovation-centric ini, Search Committee memberi perhatian kepada 4 kriteria utama yang memberi penekanan kepada keberhasilan dan impak sesuatu inovasi. Kriteria pertama ialah “kreativiti”, di mana aspek yang dinilai merangkumi keunikan inovasi serta amalan pendekatan “di luar kotak” dalam melaksanakan sesuatu inovasi. Turut dipertimbangkan ialah kemampuan inovasi memenuhi keperluan semasa serta keupayaannya “mempermudahkan” atau meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan.
10. Kriteria ke-2 pula ialah “keberkesanan”, di mana inovasi yang dihasilkan perlu memberi faedah yang nyata dari aspek capaian hasil yang segera, ketara dan jelas, sekaligus meningkatkan tahap kepuasan stakeholders dan rakyat. Kriteria ke-3, iaitu “signifikan” melihat kepada potensi inovasi yang dinilai untuk memenuhi objektif yang ditetapkan di samping membuktikan elemen value for money melalui penghasilan inovasi tersebut. Kriteria ke-4 ialah sejauh mana sesuatu inovasi itu “relevan” dengan persekitaran semasa serta menyokong konsep pentadbiran awam yang seamless termasuk kejayaan menghasilkan jaringan kerjasama dan perkongsian strategik dengan pelbagai pihak.
11. Majlis AIPM pada malam ini sudah pastinya menjadi “moment of glory” kepada penerima anugerah yang terulung dan berprestij ini. Pengiktirafan ini juga diharap akan dapat membantu mencetuskan suatu gelombang inovasi dan kreativiti di kalangan agensi-agensi sektor awam bagi membudayakan inovasi melalui pencetusan idea kreatif dalam meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
12. Hari ini, inovasi bukan sahaja menjadi kunci kejayaan kepada sesebuah organisasi, malah ia juga berperanan melonjakkan kemajuan sesebuah negara sehingga berjaya mengukuhkan kedudukan dalam ranking daya saing global. Y.A.B. Dato’ Sri Perdana Menteri sendiri telah menerajui pelbagai gagasan berpaksikan inovasi bertujuan untuk melonjakkan negara ke arah pencapaian status negara maju berpendapatan tinggi. Penampilan Anugerah Inovasi Perdana Menteri adalah tanda komitmen agensi sektor awam untuk berganjak dari paradigma lama ke arah membentuk budaya baru yang mengutamakan inovasi dan penciptaan.
Hadirin Yang Dihormati Sekalian,
13. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli Search Committee yang telah memberi sumbangan yang begitu bermakna dalam menjayakan proses pemilihan anugerah ini.
14. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak MAMPU selaku penganjur, dan rakan-rakan strategik lain yang telah bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dalam memastikan penganjuran Majlis AIPM pada kali ini dapat diadakan dengan penuh gilang gemilang.
15. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerima Anugerah Inovasi Perdana Menteri Tahun 2010.
16. Adalah menjadi harapan kita bersama agar penganugerahan ini menjadi dorongan kepada agensi-agensi Kerajaan lain untuk berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keupayaan penyampaian perkhidmatan melalui pelbagai inovasi yang unik dan berkesan. Semoga kemeriahan dan kegemilangan majlis pada malam ini akan membakar semangat agensi-agensi lain untuk mengintegrasikan hasil dan mengadaptasi ciptaan untuk memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan. Seperti mana kata-kata Pendeta Za’aba:
Kelebihan nabi dengan mukjizat,
Kelebihan umat dengan muafakat,
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia dengan muafakat,
Air melurut dengan bendarnya,
Benar melurut dengan muafakatnya.
17. Sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga dan ucapan ribuan terima kasih Perkhidmatan Awam kepada Y.A.B. Perdana Menteri di atas kesudian YAB Perdana Menteri hadir untuk menyempurnakan majlis pada malam ini. Sesungguhnya warga Perkhidmatan Awam amat menghargai dan merasa bangga dengan sokongan padu dan komitmen YAB Perdana Menteri kepada usaha-usaha pengiktirafan dan pembudayaan inovasi dalam Perkhidmatan Awam.
Sekian,
Wabillahittaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.