Sempena Kejohanan Dragon Boat dan Hari Keluarga JPM 2011
Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Y. Bhg. Dato’ Zainol Othman
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri
Merangkap Presiden Kelab Bukit Perdana
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datuk-Dato’,
Para peserta Kejohanan Dragon Boat Jabatan Perdana Menteri,
Tuan-tuan dan Puan-puan, warga Jabatan Perdana Menteri serta ahli keluarga yang dihormati sekalian,
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas izin dan limpah kurnia Nya, kita dapat berkumpul pada pagi ini sempena Kejohanan Dragon Boat dan Hari Keluarga Jabatan Perdana Menteri 2011.
2. Pada kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir termasuk ahli-ahli keluarga, khususnya Ketua-ketua Jabatan serta pasukan-pasukan yang mengambil bahagian di dalam kejohanan yang akan berlangsung sebentar nanti. Saya amat menghargai penglibatan saudara-saudari dalam menjayakan program dan aktiviti sukan anjuran Kelab Bukit Perdana, Jabatan Perdana Menteri dalam usaha mewujudkan perkhidmatan awam yang bukan sahaja berkualiti dalam penyampaian perkhidmatan, malah aktif dalam aktiviti sukan dan riadah.
3. Di samping Kejohanan Dragon Boat, pada hari ini kita juga meraikan warga kerja Jabatan Perdana Menteri dalam suasana yang meriah dan santai, iaitu Hari Keluarga Jabatan Perdana Menteri. Dengan tema yang menarik dan bertepatan sekali, iaitu “1JPM: Bersama Bersantai dan Bersukan”, ia menggambarkan suasana serta semangat warga JPM yang sentiasa bermuafakat dan bersatu padu dalam apa jua yang dilakukan, baik dalam melaksanakan tugas-tugas seharian mahupun dalam beriadah dan bersukan.
Saudara-saudari sekalian,
4. Program Hari Keluarga sebegini merupakan peluang dan ruang terbaik bagi semua warga JPM untuk berjumpa serta mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Kadang kala semasa menjalankan tugas, kita hanya mendengar suara rakan sekerja di dalam telefon sahaja tetapi tidak mengenali rupa paras orangnya. Perjumpaan serta pertemuan seperti ini hendaklah digunakan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim warga kerja jabatan dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang terdiri daripada 58 buah agensi, supaya lebih kukuh dan terus bersatu di bawah satu bumbung. Ini juga adalah selaras dengan Gagasan 1Malaysia yang dihasratkan oleh kerajaan, bagi memupuk perpaduan di kalangan penjawat awam, khususnya warga Jabatan Perdana Menteri yang berbilang kaum.
5. Selain daripada itu, penganjuran Hari Keluarga ini sebenarnya adalah selaras dengan dasar dan usaha kerajaan bagi mewujudkan masyarakat penyayang. Sepertimana yang kita sedia maklum, masyarakat kita kini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah sosial dan sering dikejutkan dengan insiden-insiden ganas dan menyayat hati yang kebanyakannya berpunca daripada kerapuhan institusi kekeluargaan. Arus pembangunan dan pemodenan yang dialami negara juga telah menyumbang kepada perubahan yang drastik dalam struktur, sistem dan budaya masyarakat serta menghakis nilai kekeluargaan yang murni yang menjadi teras budaya kita selama ini. Perubahan-perubahan ini memberikan satu cabaran hebat ke atas kekuatan dan ketahanan sistem kekeluargaan, nilai budaya serta mentaliti bangsa kita.
6. Melihat kepada situasi ini, kita harus mengambil iktibar dan berusaha untuk mengukuhkan kembali institusi kekeluargaan dan kejiranan dengan menjalin dan mengeratkan hubungan mesra antara ahli-ahli keluarga, serta juga jiran yang semestinya bermula di rumah kita sendiri. Pada asasnya, semangat kekeluargaan akan berputik dalam keadaan di mana wujudnya sifat dan sikap hormat menghormati antara satu sama lain, bantu membantu, menghargai dan memberikan penghargaan ke atas setiap amalan baik, bertolak ansur, mempamerkan ketelusan, dan amanah serta jujur dalam semua aspek kehidupan. Dalam hubungan ini, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sempena Hari Keluarga JPM ini adalah amat sesuai untuk disertai oleh semua anggota keluarga bagi memberi kesempatan untuk menghabiskan masa secara berkualiti dengan ahli keluarga masing-masing.
Saudara-saudari sekalian,
7. Tahun ini merupakan tahun pertama JPM menganjurkan acara Kejohanan Dragon Boat. Penganjuran serta pengenalan sukan Dragon Boat ini mengambil iktibar dari sambutan yang amat menggalakkan terhadap kejohanan rowing yang telah diadakan pada tahun 2009 dan 2010. Alhamdulillah, walaupun acara ini merupakan julung kali dianjurkan, sukan Dragon Boat telah mendapat sambutan di luar dugaan, dengan 58 penyertaan daripada 26 jabatan dan agensi di bawah JPM. Ini mempamerkan semangat dan daya saing yang kuat di kalangan agensi dan jabatan JPM. Saya sangat mengalu-alukan dan menggalakkan daya saing yang sihat ini, bukan sahaja dalam kerja seharian malah dalam acara riadah dan sukan juga.
8. Saya dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja Kelab Bukit Perdana mempunyai perancangan untuk mempromosikan sukan air di kalangan warga JPM dan penjawat awam, dengan menganjurkan sukan air dragon boat dan rowing ini secara berselang-seli mulai tahun 2011. Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan sihat bagi meningkatkan minat terhadap aktiviti sukan air. Namun, saya berharap sukan ini tidak diadakan sekali setahun sahaja, tetapi mungkin setiap minggu, supaya Tasik Putrajaya dan Putrajaya, dan JPM bukan hanya bermusim.
7. Kita juga berterima kasih kepada pihak Urusetia Kejohanan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Pusat Maritim Putrajaya dan Persatuan Mendayung Malaysia kerana telah bersama-sama membantu dan bekerjasama dalam menjayakan acara kejohanan Dragon Boat ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Sempena Hari Keluarga JPM pula, pelbagai acara menarik telah disediakan untuk warga JPM dan ahli keluarga. Antaranya, ialah pertandingan Indoor Games, acara Sukaneka dan pertandingan fotografi. Tidak ketinggalan pelbagai jualan diadakan di gerai-gerai yang disediakan khas pada sekitar Kompleks Sukan ini. Saya percaya para pengunjung yang datang ke Kompleks Sukan Air ini, sama ada yang tinggal di Putrajaya atau dari luar kawasan Putrajaya akan merasai kemeriahan sambutan Hari Keluarga JPM pada hujung minggu ini. Justeru, kepada semua warga JPM, ambillah peluang dan kesempatan ini untuk membawa ahli keluarga untuk beramah mesra dan berkenalan dengan lebih rapat sesama kita, di samping bersantai, beriadah dan bersukan.
9. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan yang terlibat menjayakan Kejohanan Dragon Boat Jabatan Perdana Menteri ini. Kepada semua pasukan yang terlibat, tingkatkan semangat, padukan tenaga, Insya Allah, kemenangan pasti ada. Saya berharap agar aktiviti seperti ini terus menjadi tradisi di Jabatan Perdana Menteri dan menjadi contoh kepada lain-lain Kementerian atau Jabatan pada masa akan datang.
10. Dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya merasmikan Kejohanan Dragon Boat dan Hari Keluarga Jabatan Perdana Menteri 2011.
Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.