Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Ke-29

May 5, 2011 3:44 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir rahmanir rahim

Assalaamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Y. Bhg. Puan Sri Dato’ Wan Noorlina Binti Wan Hussin
Yang Di Pertua PUSPANITA Kebangsaan

Y. Bhg. Dato’ Sri Abu Bakar Hj Abdullah
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Y. Bhg. Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Y. Bhg. dan Y.B. Penasihat-Penasihat PUSPANITA Cawangan Kementerian dan Negeri

Y.Bhg. Datin Sri Dato’ Hjh Zuraidah Hj Mohamed
Timbalan YDP I PUSPANITA

Y. Bhg. Puan Sri Hayati Omar
Timbalan YDP II PUSPANITA

Naib-Naib YDP PUSPANITA

Ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi PUSPANITA

Ahli Majlis Tertinggi PUSPANITA

Ahli Perwakilan PUSPANITA

YBhg Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datin Sri-Datin Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan izin Nya kita dapat bersama-sama hadir pada petang ini, sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA kali ke-29. Saya mengucapkan terima kasih kepada PUSPANITA Kebangsaan kerana menjemput saya bagi menyampaikan sepatah dua kata, dan seterusnya merasmikan Majlis pada petang ini.

2. Saya juga ingin memohon maaf kerana Majlis Perasmian yang sepatutnya berlangsung pada pagi ini terpaksa ditangguhkan ke sebelah petang kerana saya serta beberapa orang Ketua Setiausaha Kementerian perlu menghadiri Istiadat Sambutan Rasmi Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Lesotho pada pagi tadi. Namun saya difahamkan Mesyuarat Agung Perwakilan telah pun berlangsung dengan lancar serta Pemilihan Jawatankuasa Kerja Tertinggi PUSPANITA juga telah diadakan dengan jayanya.

3. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada barisan ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi PUSPANITA yang baru dilantik, yang akan menyumbang khidmat untuk tempoh 2 tahun, iaitu 2011 hingga 2013. Semoga amanah yang diberikan akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi memartabatkan peranan serta sumbangan wanita dalam pembangunan negara, khususnya melalui PUSPANITA. Tidak lupa juga saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan ahli JKT yang lama atas sumbangan khidmat menggerakkan program PUSPANITA dengan jayanya sepanjang tempoh 2009 hingga 2011.

Saudara-saudari sekalian,

4. Setiap kali Mesyuarat Agung Tahunan ini diadakan, saya telah dijemput untuk merasmikannya, dan pada setiap kali itu juga saya telah cuba sedaya upaya untuk menghadirkan diri. Ini kerana selaku Penasihat PUSPANITA Kebangsaan, adalah menjadi kewajipan saya untuk lebih mendekati PUSPANITA serta mengambil tahu akan perkembangan dan aktivitinya. Seterusnya di mana perlu, berkongsi pandangan dan nasihat demi memastikan PUSPANITA terus relevan dengan perkembangan semasa dalam melaksanakan objektif penubuhannya. Sehubungan itu, saya berharap di peringkat Cawangan, sokongan yang sama dapat diberikan oleh Penasihat-Penasihat Cawangan Kementerian dan Negeri dalam membantu PUSPANITA menjadi sebuah NGO yang matang dan bergerak atas landasan yang betul, Insya Allah.

5. Dalam hubungan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada PUSPANITA kerana dari maklum balas yang diterima, PUSPANITA sangat aktif menjalankan aktiviti-aktiviti, bukan sahaja untuk ahli-ahlinya, malah merangkumi kaum wanita secara amnya. Dengan keahlian yang semakin meningkat serta aktiviti yang padat yang dianjurkan pada setiap bulan, boleh saya simpulkan bahawa PUSPANITA ialah sebuah persatuan yang dinamik. Saya sendiri dapat merasakan kesannya kerana Yang Di Pertua PUSPANITA sering kali sibuk dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan, sehinggakan kadang kala mungkin saya yang lebih dahulu pulang ke rumah sementara beliau masih terlibat dengan aktiviti PUSPANITA.

Saudara-saudari sekalian,

6. Saya dimaklumkan peruntukan telah diagih-agihkan supaya program dan aktiviti PUSPANITA boleh dijalankan di peringkat Kebangsaan dan juga di cawangan-cawangan. Selain daripada mengadakan aktiviti yang merangkumi pelbagai bidang, PUSPANITA juga telah mewujudkan Tabung Latihan dan Tabung PUSPADARA yang bukan sahaja dimanfaatkan oleh ahli, malah keluarga ahli juga dapat menikmati faedahnya. Setiap tahun, PUSPANITA, melalui Tabung Latihan dan Tabung PUSPADARA telah dapat membantu purata 450 orang yang terdiri daripada ahli dan anak-anak ahli. Ini bermakna sekiranya dihitung untuk tempoh 10 tahun, PUSPANITA telah membantu lebih kurang seramai 4,500 orang ahli serta keluarga ahli.

7. Ini membuktikan bahawa aktiviti PUSPANITA yang berbentuk bantuan dan kebajikan telah sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada peningkatan mutu hidup ahlinya dan juga masyarakat umum. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan supaya rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Syabas diucapkan kepada PUSPANITA dengan barisan ahlinya yang sentiasa prihatin dengan kebajikan ahli serta orang ramai, amnya.

8. Memandangkan kemampuan PUSPANITA serta jumlah ahlinya yang ramai, iaitu mencecah 98,563 orang, sudah tiba masanya PUSPANITA lebih kreatif dan inovatif dalam penganjuran aktiviti-aktivitinya. Oleh itu, saya ingin menyarankan supaya PUSPANITA berusaha untuk mencungkil bakat-bakat dari kalangan ahlinya dengan menganjurkan pertandingan-pertandingan tertentu – sebagai contoh pertandingan dalam bidang penulisan, seni kreatif, hasil gubahan, dan mungkin inovasi-inovasi bagi meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar, dan sebagainya.

9. Melalui pertandingan yang dianjurkan, PUSPANITA akan dapat mengenal pasti bakat-bakat cemerlang di kalangan ahli PUSPANITA yang berkelayakan dalam apa jua bidang untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan dan seterusnya jika berkelayakan, di peringkat antarabangsa pula. Secara tidak langsung PUSPANITA akan dapat membantu kerajaan untuk membina modal insan cemerlang yang boleh menyokong pembangunan negara.

10. Selain daripada itu, dalam era informasi dan teknologi maklumat serta dunia tanpa sempadan masa kini, PUSPANITA harus seiring dengan kemajuan teknologi ICT dan menggunakan Internet sebagai platform untuk membolehkan ahli PUSPANITA di seluruh pelosok negara mencapai maklumat mengenai program dan aktiviti PUSPANITA dalam masa yang singkat.

11. Di samping itu, media sosial seperti Facebook yang semakin popular penggunaannya di kalangan anak-anak muda boleh digunakan untuk menarik lebih ramai golongan muda penjawat awam untuk menjadi ahli PUSPANITA. Ahli-ahli juga berupaya memperluaskan rangkaian perhubungan antara ahli dengan persatuan sendiri atau dengan persatuan yang lain di dalam dan di luar negeri melalui saluran Internet.

Hadirin yang dihormati sekalian,

12. Saya percaya PUSPANITA adalah antara Persatuan yang mengamalkan tadbir urus yang baik. Namun, sebagai Penasihat adalah menjadi tanggungjawab saya untuk sentiasa mengingatkan supaya pengurusan PUSPANITA di setiap peringkat dijalankan dengan penuh integriti. Seperti yang diketahui umum, kerajaan telah melancarkan Pelan Integriti Nasional pada 23 April 2004, dan pelan ini telah juga menggariskan peranan Badan Bukan Kerajaan, atau NGO, dalam memartabatkan integriti.

13. Sehubungan dengan ini, saya amat mengalu-alukan usaha PUSPANITA menyediakan satu garis panduan untuk memantapkan tadbir urus PUSPANITA. Pada hemah saya, tindakan ini amat wajar bagi memastikan ada “check and balance” dan akauntabiliti di dalam pentadbiran PUSPANITA, khususnya yang berkaitan dengan aspek kewangan. Saya juga berharap agar garis panduan tersebut akan turut diguna pakai di peringkat cawangan bagi memastikan keseragaman proses dan prosedur di dalam pengurusan PUSPANITA.

14. Di samping itu, komitmen ahli-ahli dalam melaksanakan tugas dan aktiviti dengan jujur dan ikhlas adalah sangat penting. Saya percaya PUSPANITA mempunyai ramai ahli yang komited dan berdedikasi untuk menjalankan tugas secara sukarela. Jika tidak, mana mungkin PUSPANITA dapat mencapai prestasinya yang baik pada masa ini.

Saudara-saudari sekalian,

15. Saya percaya penasihat-penasihat PUSPANITA bersetuju dengan saya bahawa PUSPANITA mempunyai peranan dalam menjayakan agenda kerajaan dan pergerakannya sehingga kini telah membuktikan bahawa ahli-ahli PUSPANITA adalah aset kepada negara.

16. Dalam hubungan ini, saya ingin menyarankan kepada semua penasihat cawangan kementerian dan negeri supaya memberi galakan kepada pegawai-pegawai wanita di semua peringkat untuk menjadi ahli PUSPANITA di jabatan masing-masing. Dari masa ke semasa berilah sokongan kepada mereka untuk menghadiri mesyuarat serta melibatkan diri di dalam program dan aktiviti PUSPANITA di peringkat cawangan dan kebangsaan.

17. Akan tetapi seyogia juga diingatkan agar pegawai-pegawai tidak mengambil kesempatan atas “sokongan” yang diberikan dengan mengabaikan tugas dan tanggungjawab hakiki di jabatan masing-masing. Dengan pengurusan masa yang bijak, saya percaya kita boleh memberikan tumpuan kepada tugas-tugas hakiki di samping tanggungjawab kepada keluarga serta aktif berpersatuan. Malah, sekiranya penglibatan aktif pegawai di dalam PUSPANITA dapat diimbangi dengan pelaksanaan tugas hakiki yang berkesan, saya ingin mengesyorkan supaya mereka diberikan merit yang tinggi untuk tujuan kenaikan pangkat, menghadiri latihan di luar negara, dan sebagainya.

Saudara-saudari sekalian,

18. Tempoh 29 tahun kewujudan PUSPANITA merupakan satu tempoh yang telah mematangkan pertubuhan ini. Kejayaan yang dicapai oleh PUSPANITA kini, pastinya tidak datang bergolek, malah merupakan usaha gigih serta semangat juang semua ahli-ahlinya dari dahulu sehingga sekarang.

19. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Yang Di Pertua PUSPANITA serta personaliti-personaliti PUSPANITA yang terus aktif menyumbang kepada kemajuan PUSPANITA serta sentiasa menyokong aktiviti yang dianjurkan. Antara mereka ialah Y.Bhg. Toh Puan Datin Sri Sagiyah Salikin, Y.Bhg. Puan Sri Teh Zahariah Jahidin, Y. Bhg. Puan Sri Datuk Suslita Abdul Majid dan ramai lagi.

20. Berkat keazaman dan keprihatinan perancangan Yang Di Pertua serta ahli Jawatankuasa Tertinggi yang terdahulu, PUSPANITA kini semakin dikenali ramai dan program-program PUSPANITA sentiasa dinantikan serta mendapat sambutan. Saya percaya kehadiran dan penglibatan “veteran” PUSPANITA di dalam aktiviti-aktiviti PUSPANITA sentiasa dialu-alukan dan amat dihargai oleh semua ahli.

Saudara-saudari sekalian,

21. Bagi mengakhiri ucapan, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penasihat serta para hadirin yang telah meluangkan masa untuk sama-sama meraikan majlis pada petang ini. Semoga semangat kekitaan dan talian persahabatan yang terjalin dalam PUSPANITA sentiasa diteruskan, dan turut dizahirkan semasa melaksanakan tugas-tugas harian kita.

22. Akhir kata, saya mendoakan agar PUSPANITA terus maju dan berjaya pada masa akan datang. “Wanita Sepakat, Negara Meningkat”.

Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply



6 − five =

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →