Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penyerahan Report Card UKAS JPM

June 15, 2011 2:25 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir rahmaanir rahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Yang Berbahagia Tan Sri Abu Bakar bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri

Ketua-Ketua Jabatan

Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Yang Menyumbang Tenaga Pakar kepada UKAS, JPM

Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

Para hadirin yang dihormati sekalian.

Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinan Nya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta Penyerahan Report Card, Unit Kerjasama Awam Swasta, atau UKAS, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

2. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada UKAS JPM kerana sudi menjemput saya ke Majlis ini, yang turut diadakan sekali dengan Majlis Pelancaran Kempen “Senyum itu Sihat”. Penganjuran 3 majlis di dalam 1 seperti ini, pastinya akan dapat menjimatkan perbelanjaan, di samping pencapaian matlamat secara optimum, selaras dengan konsep “Value Management” yang dipelopori oleh Kerajaan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Saya masih ingat lagi ketika membuat pengumuman mengenai penubuhan UKAS JPM sebagai sebuah agensi baru di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 22 April 2009, Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa adalah satu-satunya pegawai yang terpilih dan ditempatkan di agensi tersebut yang pada mulanya diberi nama Unit Penswastaan dan PFI, Jabatan Perdana Menteri. Bersama-sama dengan beliau pada masa itu hanyalah seorang “steno” dan seorang pemandu.

4. Seterusnya saya telah meminta Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa untuk berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Perancang Ekonomi mengenai perjawatan di Unit baru tersebut. Alhamdulillah, kini unit baru itu yang lebih dikenali sebagai UKAS telah pun “stabil” dari aspek penubuhannya, dan saya percaya UKAS telah dilengkapkan dengan keupayaan yang sebaik mungkin bagi membolehkannya untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara kita.

5. Sebagaimana sedia maklum, UKAS telah berjaya mendapatkan komitmen pelaburan sebanyak RM40 bilion, berbanding sasarannya sebanyak RM30 bilion pada tahun ini, bagi projek-projek Public-Private Partnership, atau PPP, Penswastaan dan facilitation fund. Ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada UKAS JPM atas kejayaan tersebut.

6. Namun demikian, komitmen pelaburan sektor swasta yang diperolehi ini tidak akan bermakna sekiranya ia tidak disusuli dengan pelaburan sebenar. Sehubungan itu semua kelulusan yang berkaitan, termasuk bagi projek-projek PPP, Penswastaan dan facilitation fund yang dikendalikan oleh UKAS wajar disegerakan. Agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan, termasuk UKAS, hendaklah bertindak dengan pantas bagi memudah cara pelaburan pihak swasta selaras dengan pendekatan Kerajaan di bawah Model Ekonomi Baru yang memberi penekanan kepada pelaburan swasta sebagai penggerak utama ekonomi negara.
Saudara-saudari sekalian,

7. Kerajaan kini dalam usaha untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang kejat atau lean civil service. Perkara ini diambil kira di dalam kajian Sistem Saraan Malaysia yang sedang dilaksanakan dan bertujuan untuk menjadikan perkhidmatan awam negara kita lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi. Kajian komprehensif ini bukan sahaja meneliti aspek saraan semata-mata, tetapi juga bakal mewujudkan struktur dan sistem yang dinamik bagi menterjemahkan agenda transformasi kerajaan.

8. Usaha rasionalisasi perkhidmatan awam ini melibatkan penggunaan anggota yang optimum melalui penjajaran semula fungsi-fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan-jawatan kosong, serta pengagihan semula perjawatan ke agensi yang lebih kritikal. Penjajaran semula fungsi dan agensi Kerajaan kelak akan mengambil kira semua keperluan yang meliputi semua agensi termasuk UKAS JPM.

9. Di samping itu, dalam usaha Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme perkhidmatan awam, khidmat bakat atau talent daripada GLC dan swasta telah dan akan terus digembleng. Kehadiran bakat-bakat ini di dalam perkhidmatan Kerajaan telah diterima baik kerana ia membolehkan berlakunya perkongsian pengetahuan dan amalan-amalan terbaik, pemantapan kepakaran serta penerapan budaya kerja yang lebih dinamik.

10. Dalam hal ini, usaha untuk mendapatkan lebih ramai lagi khidmat pegawai dari syarikat GLC dan swasta telah dipergiatkan melalui program “cross fertilisation”. Melalui program ini juga, pegawai-pegawai Kerajaan telah ditempatkan di GLC dan syarikat swasta bagi memberi peluang kepada pegawai-pegawai kita untuk merasakan suasana bekerja di dalam sebuah syarikat, di samping mempelajari aspek-aspek positif di GLC dan swasta untuk diaplikasikan di dalam sektor awam.

Saudara-saudari sekalian,

11. Saya amat tertarik dengan inisiatif UKAS, sebagai sebuah organisasi baru yang menghadapi kekangan sumber manusia dan kewangan, telah bertindak secara praktikal dengan mengoptimumkan pendekatan kerjasama bijak bersama beberapa stakeholders bagi menangani kekangan yang dihadapi. Dalam hubungan ini, UKAS telah mengambil pendekatan terbuka dengan menggunakan khidmat pegawai sektor swasta dan GLC untuk bertugas di UKAS. Melalui pendekatan ini, UKAS sebenarnya telah menekankan lagi aspirasinya sebagai agensi yang mengamalkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta.

12. Pada hemat saya, pendekatan ini adalah baik dan wajar dikembangkan ke jabatan dan agensi kerajaan yang lain, bagi menggalakkan lagi persefahaman serta keakraban antara sektor swasta dan sektor awam ke arah pembangunan ekonomi negara yang lebih mapan. Bagi pihak kerajaan, saya ingin merakamkan penghargaan kepada sektor swasta yang sudi berkongsi kepakaran dengan Kerajaan, khususnya di UKAS JPM. Mudah-mudahan pengalaman bekerja di agensi Kerajaan akan memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada pegawai-pegawai dan eksekutif-eksekutif yang terlibat.

13. Pendekatan yang dilaksanakan oleh UKAS sebenarnya merupakan satu pendekatan bersepadu yang meliputi beberapa konsep dalam bidang pengurusan, khususnya Blue Ocean Strategy dan Resource-Based View. Saya percaya penerapan konsep-konsep ini telah membantu UKAS untuk mengenal pasti sumber organisasi yang penting dalam membina keupayaannya, khususnya supaya sentiasa berorientasikan keperluan pelanggan, serta mempraktikkan kaedah yang berbeza dalam melaksanakan projek-projek pembangunan secara PPP dengan lebih berkesan dan kos efektif. Inilah yang dikatakan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan.

14. Dalam hubungan ini, saya berharap agar jabatan dan agensi kerajaan sentiasa dapat mengaplikasikan inovasi dalam pelaksanaan operasi harian serta berusaha untuk menggunakan idea-idea baru bagi membuat sesuatu pembaharuan. Dalam dunia serba sofistikated dan berubah dengan pantas pada masa ini, kita hendaklah sentiasa mencabar minda dan diri kita, atau “challenge the status quo” untuk mencapai hasilan atau outcome yang optimum dengan kos yang minimum. Sebagai contoh, UKAS sebagai sebuah agensi pusat yang baru, telah mempraktikkan inovasi dengan menggembleng tenaga sektor swasta, khususnya berkaitan usaha mengurangkan birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam. Amalan ini, saya percaya telah meningkatkan keberkesanan UKAS JPM serta menjimatkan kos dalam usaha untuk meningkatkan lagi daya saing negara di pasaran dunia.

15. Di samping itu, UKAS juga perlu lebih peka dan responsif dengan kehendak serta keperluan semasa. Kepakaran dalaman UKAS perlu dibina dan dipertingkatkan agar setanding, kalau tidak melebihi bakat-bakat yang sedia ada. Dalam hubungan ini, pegawai-pegawai UKAS perlu memberi perhatian kepada usaha meningkatkan kemahiran teknik-teknik perundingan serta melengkapkan diri dengan menambah ilmu pengetahuan terutamanya mengenai PPP, agar lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan cabaran dan kompleksiti masalah yang bakal dihadapi. Ini adalah penting untuk merundingkan terma dan syarat perjanjian konsesi dengan sektor swasta atau syarikat konsesi, supaya hasil yang dicapai adalah mengikut kaedah “menang menang”. Selain itu, pegawai-pegawai UKAS juga perlu mengambil inisiatif untuk memahami keperluan industri serta trend semasa supaya polisi dan garis panduan yang digubal adalah selari dengan perkembangan semasa industri yang berkaitan.

Saudara-saudari sekalian,

16. Sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada hari ini saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri saya serta penjawat awam sekalian, khususnya yang berkhidmat di UKAS JPM, supaya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Seperti yang kerap kali dinyatakan oleh Y.A.B Perdana Menteri, “the days when the Government knows best are over”. Kita perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan yang disampaikan kepada orang ramai kerana pengharapan orang ramai terhadap perkhidmatan awam yang telus, memudahkan, cekap dan berkesan adalah sangat tinggi.

17. Perkhidmatan awam kini bukan lagi seperti dulu, di mana pegawai Kerajaan dihormati dengan panggilan “Tuan”. Pada masa kini, penghormatan hanya akan diperoleh melalui khidmat bakti yang ikhlas serta memudahkan, sebagaimana sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, iaitu “Permudahkanlah dan jangan menyukarkan, berilah khabar gembira dan janganlah memberikan khabar yang menyusahkan hati”.

18. Dalam hubungan ini juga, sempena kempen “Senyum Itu Sihat” yang akan dilancarkan sebentar lagi, saya ingin menggalakkan penjawat awam supaya melaksanakan tugas dengan senyuman. Selain mendapat pahala bersedekah, memberi perkhidmatan dengan senyuman pastinya akan menumbuhkan rasa gembira pelanggan yang berurusan dengan kita serta menyebabkan hati menjadi damai. Ini seterusnya memungkinkan perhubungan yang sihat antara perkhidmatan awam dengan orang ramai.
Saudara-saudari sekalian,

19. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada warga UKAS JPM yang telah terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi Tahun 2010. Tahniah juga diucapkan kepada seluruh warga UKAS JPM di atas khidmat bakti yang telah diberikan sejak ditubuhkan secara rasmi 2 tahun lalu. Semoga UKAS JPM akan terus berjaya dan cemerlang dalam memberikan khidmat bakti kepada perkhidmatan awam dan negara.

20. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir rahmaanir rahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 UKAS 2010, Penyerahan Report Card UKAS JPM dan seterusnya melancarkan kempen “Senyum Itu Sihat” peringkat UKAS JPM.

Sekian
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Leave a Reply



3 − = one

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →