Perasmian Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-17
Bismillaahir rahmaanir rahim
Assalaamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Y.Bhg. Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
Y.Bhg. Dato’ Dr. Ismail bin Alias
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi)
Y.Bhg. Datuk Farida binti Mohd Ali
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan)
Yang Berusaha Dr. Aris bin Kasan
Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur
Seminar Psikologi Dalam Perkhidmatan Awam Ke-17
Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian
Ketua-Ketua Jabatan
Pengarah-Pengarah Bahagian JPA
Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan
Hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan izin Nya dapat kita sekali lagi berada di dalam dewan ini sempena Perasmian Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-17 pada tahun 2011.
2. Seminar ini menemukan sebahagian besar Pegawai Sumber Manusia dan Pegawai Psikologi dalam perkhidmatan awam, dan merupakan satu-satunya seminar tahunan yang memberi peluang kepada penjawat awam untuk menambah ilmu pengetahuan dan maklumat berkaitan psikologi serta kaunseling dalam perkhidmatan awam.
Saudara-saudari sekalian,
TEMA – BUDAYA PENGIKTIRAFAN: ANTARA REALITI DAN EKSPEKTASI
3. Saya amat tertarik dengan tema yang dipilih bagi Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam pada kali ini iaitu, “Budaya Pengiktirafan: Antara Realiti dan Ekspektasi”. Seperti yang diketahui, budaya pengiktirafan adalah perihal menerima dan menghargai. Dalam konteks pekerjaan, pengiktirafan boleh dilihat sebagai maklum balas bersifat konstruktif dan ikhlas berasaskan kepada penghargaan dan penghormatan sebagai mengakui sumbangan seseorang pekerja dengan selayaknya.
4. Pengiktirafan kepada pekerja boleh dilihat daripada dua aspek, iaitu yang pertama, berkait dengan ganjaran atau imbuhan tradisional seperti kewangan atau kebendaan. Kedua, pengiktirafan berbentuk ucapan, pujian, maklum balas positif, sokongan moral dan sebagainya. Kedua-dua aspek pengiktirafan ini akan memberikan motivasi kepada penjawat awam dalam melaksanakan fungsi hariannya, Insya Allah.
5. Dewasa ini para pekerja sangat menginginkan pengiktirafan, kepercayaan dan autonomi dalam melaksanakan tugas. Di samping itu, mereka juga sangat memerlukan sokongan dari segi sosial dan moral secara konsisten. Firma penyelidikan terkemuka Watson Wyatt Worldwide dalam kajiannya di organisasi terkemuka, mendapati 66% pekerja menyatakan faktor paling signifikan dalam menentukan motivasi mereka ialah faktor pengiktirafan. Ini menunjukkan bahawa selain dari ganjaran kewangan, faktor-faktor bukan kewangan juga boleh mempengaruhi motivasi untuk pekerja mengekalkan prestasi.
6. Pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan bagi meningkatkan motivasi kerja serta produktiviti perkhidmatan awam. Sebagai contoh, apabila kerajaan memutuskan untuk memansuhkan bayaran wad kepada kakitangan dan pesara perkhidmatan awam yang mendapat rawatan di hospital kerajaan berkuat kuasa 1 April 2010, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010, maka itu juga merupakan satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada penjawat awam. Apatah lagi, keistimewaan sama turut dinikmati anggota keluarga dan ibu bapa penjawat awam. Saya percaya ramai penjawat awam amat mensyukuri langkah kerajaan tersebut dan ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana kos perubatan yang semakin meningkat.
Saudara-saudari sekalian,
7. Pengiktirafan memberi kesan sangat besar untuk seseorang meningkatkan komitmen dan prestasi kerja. Selain berbentuk kewangan atau anugerah khas, pengiktirafan yang diberikan melalui ucapan ikhlas “terima kasih” dan “tahniah”, sudah mencukupi untuk menjadi ledakan motivasi bagi seorang yang jujur dan komited dalam melaksanakan tugasnya. Malah, pengiktirafan yang dinyatakan melalui sebatang pen atau sehelai sijil yang diserahkan melalui majlis ringkas juga akan menjadi kenangan manis dan cerita hebat sepanjang hayat bagi pekerja.
8. Pengiktirafan turut meningkatkan kesetiaan serta menebalkan rasa tanggungjawab untuk mempertahankan organisasi. Pengiktirafan akan meningkatkan sokongan dan keyakinan bahawa majikan melihat sumbangan seseorang kepada organisasi. Biar pun kecil, pengiktirafan adalah sangat bermakna dan akan sentiasa dikenang dan dihargai.
REALITI BUDAYA PENGIKTIRAFAN DALAM PERKHIDMATAN AWAM
9. Kajian oleh Bahagian Pengurusan Psikologi pada tahun 2010 mendapati bahawa budaya pengiktirafan dalam organisasi perkhidmatan awam perlu dipertingkatkan. Dapatan kajian, menunjukkan sekitar 45% daripada seramai 1,891 orang responden melihat bahawa budaya pengiktirafan dalam organisasi perkhidmatan awam masih berada pada tahap yang agak rendah.
10. Kajian yang sama juga menunjukkan bahawa penambahbaikan terhadap amalan, pelaksanaan aktiviti dan kemahiran memberi pengiktirafan perlu dipertingkatkan. Satu dapatan yang turut membimbangkan ialah seramai 49% responden berpendapat pengiktirafan dalam organisasi mereka tidak dilakukan secara adil. Kajian juga mendapati sebilangan besar responden, iaitu sebanyak 84%, berpendapat bahawa latihan adalah diperlukan bagi meningkatkan kemahiran memberi pengiktirafan di tempat kerja.
Hadirin yang dihormati sekalian,
11. Dalam membentuk sistem ganjaran dan pengiktirafan yang efektif, ekspektasi pekerja perlu difahami. Kajian menunjukkan bahawa penjawat awam lebih menghargai dan menginginkan pengiktirafan yang datang daripada pengurusan atasan atau ketua jabatan (59.1%), berbanding daripada penyelia terdekat (16.2%) mahupun rakan sekerja atau pasukan (12.5%). Ini kerana pekerja mempunyai persepsi bahawa pengiktirafan daripada pihak yang mempunyai autoriti tinggi adalah lebih bermakna dan berharga berbanding sumber-sumber lain.
12. Sementara itu, kajian juga turut mendapati bahawa ganjaran berbentuk kewangan atau kebendaan bukanlah merupakan perkara utama yang diinginkan oleh penjawat awam. Selain peluang kenaikan pangkat dan kemajuan kerjaya, penjawat awam turut melihat aspek seperti sokongan moral, kata perangsang, ruang mengemukakan idea serta pendapat dan peningkatan diri turut dilihat sebagai antara perkara penting yang diinginkan. Malahan, peluang untuk mengikuti latihan dan kursus juga dinilai sebagai salah satu bentuk pengiktirafan yang penting.
13. Bagi memenuhi ekspektasi dan kehendak, agar bersesuaian dengan keadaan semasa, setiap ketua atau penyelia perlu lebih bersifat kreatif dan imaginatif dalam mencari kaedah-kaedah terbaik untuk mengiktiraf pekerja di dalam organisasi mereka.
Saudara-saudari sekalian,
14. Menyedari akan realiti pengiktirafan dalam perkhidmatan awam yang masih rendah serta ekspektasi di kalangan ketua, rakan sekerja, orang bawahan mahupun pelanggan, saya amat menggalakkan ketua-ketua kementerian dan jabatan supaya sentiasa mengiktiraf perkhidmatan anggota organisasi masing-masing agar prestasi perkhidmatan awam yang cemerlang akan dapat terus dipertingkatkan.
15. Memberi pengiktirafan hendaklah dijadikan sebagai budaya kerana kesan positifnya bukan saja dirasai oleh yang empunya diri, malah juga kepada keseluruhan organisasi. Aspek memberi pengiktirafan perlu difahami, disedari, dihayati dan diamalkan secara konsisten supaya ia mampu menjadi pemangkin motivasi serta keseronokan bekerja yang akhirnya mendorong peningkatan kualiti output dan outcome perkhidmatan awam keseluruhannya.
16. Namun demikian, harus juga diingatkan bahawa seiring dengan aspek pengiktirafan adalah aspek hukuman. Penjawat awam yang disabitkan melakukan kesalahan hendaklah dijatuhkan hukuman yang setimpal. Ini adalah penting supaya dapat memberi pengajaran kepada penjawat awam yang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama. Dalam apa jua tindakan, kita sentiasa dinaungi oleh peraturan dan undang-undang tertentu. Apabila berlaku perlanggaran undang-undang sedia ada, maka akibatnya hendaklah ditanggung oleh yang bersalah.
Hadirin yang dihormati sekalian,
17. Adalah menjadi harapan saya, agar warga perkhidmatan awam dapat bersama-sama memahami, menghayati dan mengamalkan aspek pengiktirafan ini. Kita harus membiasakan diri memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada sesiapa sahaja di atas setiap perkara baik yang mereka lakukan untuk organisasi. Melalui usaha ini, saya percaya ianya akan menjadi perlakuan yang baik atau habit buat diri kita dan akhirnya aspek pengiktirafan ini akan terjelma sebagai suatu budaya yang positif.
18. Sehubungan itu juga, hasrat kepimpinan organisasi dan negara untuk membentuk kesejahteraan, keharmonian dan kesungguhan di kalangan warga organisasi akan dapat dicapai. Keadaan ini, sudah pastinya akan memberi kesan yang sangat positif kepada usaha kepimpinan negara untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
19. Akhir kata, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia atas kejayaan menganjurkan Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-17. Saya juga ingin mengucapkan selamat berseminar kepada semua peserta.
20. Dengan lafaz Bismillaahir rahmaanir rahim, saya merasmikan Seminar Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-17 tahun 2011.
Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalam’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.