Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) Tahun 2010
Bismillaahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia
Yang Berbahagia Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Yang Berbahagia Dato’ Mohamad Zabidi Zainal,
Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Dato’-Dato’,
Tuan-tuan dan Puan-puan
Hadirin yang dihormati sekalian.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat serta keizinan Nya, kita dapat bersama-sama hadir pada malam ini, sempena Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam atau AISA 2010.
2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada MAMPU kerana menganjurkan Majlis yang julung kalinya dilangsungkan pada malam yang penuh bersejarah ini. Kerjasama strategik antara MAMPU, Perbendaharaan, ICU dan KPKT dalam penganjuran majlis berprestij ini sekali lagi menjadi bukti komitmen Kerajaan terhadap usaha-usaha menyemarakkan lagi budaya inovasi di kalangan penjawat awam.
3. Sesungguhnya, Malam Anugerah Inovasi Sektor Awam yang diraikan ini begitu siginifikan kepada kita semua. Selain merupakan yang pertama kali diperkenalkan dalam perkhidmatan awam, majlis yang penuh gilang gemilang ini dianjurkan bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada agensi-agensi sektor awam yang telah memerah idea mencetus keunikan dalam penciptaan inovasi-inovasi terkini yang relevan demi mewujudkan perkhidmatan awam yang terbaik untuk rakyat dan Negara.
4. Inovasi pada hari ini telah menjadi penanda aras baru global dan sudah pasti menuntut kepada keupayaan penciptaan yang bukan sahaja bersifat baharu, unik dan bermanfaat tetapi juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan negara bersesuaian dengan tema Anugerah Inovasi Sektor Awam pada malam ini iaitu, “Inovasi Pemangkin Kesejahteraan Negara”.
Saudara-saudari sekalian,
LIMITLESS INNOVATION
5. Satu ketika dahulu, apabila seseorang ingin mendengar muzik, maka dia akan membuka radio. Untuk mendengar lagu-lagu pilihan, dia harus menunggu juruhebah memutarkan lagu-lagu yang ingin didengari menggunakan piring hitam. Sudah lama menunggu, kadangkala lagu yang dihajati tidak kunjung tiba. Piring hitam dan kaset telah lama digantikan oleh CD dan VCD. Namun pada masa kini, teknologi MP3 yang lebih canggih daripada CD dan VCD juga telah ketinggalan zaman dengan munculnya iPod dan iTunes.
6. Inovasi ini membolehkan ribuan lagu pilihan dimasukkan ke dalam iPod untuk didengari pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Inovasi dalam dunia teknologi moden tidak pernah statik. Ia sentiasa berkembang dalam pelbagai rupa, bentuk dan cara yang tidak terjangkau oleh pemikiran biasa.
7. Kehebatan daya cipta Steve Jobs, pengasas Apple, tercetus dari minatnya yang mendalam untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik, melihat sesuatu dari dimensi yang berbeza, serta memperkasakan ilmu dan teknologi untuk menampilkan sesuatu yang baru. Produk-produk Apple seperti Macbook, iPhone, iPad, Pixar adalah antara ciptaan yang cukup kreatif yang telah merubah gaya hidup sebilangan besar penduduk dunia pada masa kini.
8. Dalam dunia komunikasi pula, perubahan yang sedang berlaku juga begitu pantas dan dinamik. Masyarakat global kini tidak lagi berbicara soal komunikasi secara talian langsung, SMS atau secara instant messaging yang dianggap canggih pada masa kini. Seorang pereka Jepun, Mac Funamizu telah berjaya menginovasikan telefon bimbit 3D biasa kepada konsep telefon bimbit hologram Trou yang menggunakan hologram 3D bagi membolehkan imej individu dijelmakan seolah-olah sedang berkomunikasi secara “live” di hadapan kita.
9. Inovasi bukan sahaja berperanan sebagai langkah kreatif menyelesaikan masalah, bahkan turut merungkai kebuntuan akibat peraturan-peraturan lama yang membelenggu fikiran dan perkhidmatan. Penyampaian perkhidmatan awam yang statik dan biasa hanya akan melayakkan kita sekadar bersaing dalam liga tempatan semata-mata. Iltizam untuk menempatkan negara dalam senarai Ivy League dan berada dalam kelas negara maju global ternyata memerlukan pembudayaan inovasi dan kreativiti secara terancang dan konsisten.
10. Setiap warga perkhidmatan awam seharusnya mencontohi sikap dan pemikiran Steve Jobs dan Mac Funamizu. Kita mesti keluar daripada cara kerja yang rutin. Gaya serta kaedah penyampaian perkhidmatan perlu dilaksanakan di luar kelaziman, iaitu beyond ordinary; making the extraordinary looks so ordinary. Merenungi hakikat ini, saya teringat akan kata-kata Curtis Carlson, CEO SRI International yang menyatakan bahawa “Business as usual is a recipe for Disaster”.
11. Di samping itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah, mencari kekurangan dan kelemahan diri dan organisasi untuk penambahbaikan dan peningkatan. Dalam masa yang sama, kita perlu membentuk satu gandingan yang mantap dan bergerak sebagai satu pasukan. Benarkan kritikan yang membina. Malah, beri penghargaan kepada mereka yang mengkritik kita. Jadikan setiap kelemahan dan kekurangan itu sebagai satu kelebihan dan peluang untuk kita menghasilkan sesuatu yang lebih kreatif dan inovatif.
Saudara-saudari sekalian,
INOVASI GLOBAL: CABARAN KRITIKAL NEGARA
12. Inovasi merupakan faktor penentu kejayaan dalam konteks pengukuhan daya saing negara. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk mentransformasi perkhidmatan awam termasuk membangunkan Pelan Strategik dan Pelan Transformasi Agensi, melaksanakan Business Process Reengineering bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, memperkukuh pelaksanaan strategik ICT, menggembleng tenaga kerja optimum melalui perkongsian strategik antara agensi dan sebagainya.
13. Namun, dalam menongkah arus inovasi, indeks-indeks pencapaian negara seringkali “turun-naik” dan tidak stabil. Sebagai contoh, kedudukan negara dalam laporan Global Innovation Index 2011 meletakkan kita di kedudukan ke 31 tahun ini berbanding kedudukan ke 28 tahun lalu. Begitu juga kedudukan daya saing negara berdasarkan Laporan IMD 2011, menyaksikan kita tersasar ke kedudukan 16 daripada kedudukan di tempat ke-10 pada tahun lalu. Pencapaian kita yang masih tidak konsisten ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk kita terus berusaha dengan lebih gigih mendaki puncak kegemilangan di peringkat global.
14. Impian kita untuk menyaksikan Malaysia menjadi sebuah negara inovatif yang unggul di dunia ini menghendaki perubahan berskala besar dan drastik. Cabaran-cabaran semasa yang muncul, sama ada secara kita sedar ataupun tidak, perlulah diatasi dengan langkah penyelesaian yang kreatif dan bijaksana. Kita mestilah senantiasa bersiap siaga untuk berdepan dengan apa jua cabaran, domestik mahu pun global, bagi memastikan usaha-usaha yang dilaksanakan mencapai kejayaan.
INOVASI: LAKARAN KEPIMPINAN KETUA JABATAN
Hadirin yang dihormati sekalian,
15. Kepimpinan adalah kunci kepada kejayaan sesebuah organisasi. Dalam membudayakan inovasi sebagai teras pemikiran utama mencipta penyelesaian masalah yang kreatif, setiap kepimpinan jabatan mestilah menetapkan momentum agenda transformasi yang diperkukuh dengan semangat ingin tahu yang tinggi serta sikap yang mencabar status quo. Kita mesti berani untuk mempersoalkan sesuatu peraturan yang dirasakan tidak relevan dengan situasi semasa. Memetik kata-kata Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, “be bold and daring… to break new ground and do things differently”.
16. Usaha membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif memerlukan satu corak pemikiran berteraskan penciptaan, seperti yang disebutkan oleh Howard Gardner, sebagai Minda Penciptaan atau The Creating Mind. Minda sebegini memerlukan seseorang itu mencipta sesuatu yang baharu dan unik dalam melaksanakan tugasannya. Minda penciptaan memerlukan kebolehan menjangkau disiplin ilmu serta menggabungjalinkan idea-idea yang tidak terbatas bagi menghasilkan idea-idea baru yang hebat dan mengkagumkan. Minda seperti inilah yang perlu dibudayakan dalam Perkhidmatan Awam.
PENUTUP
Hadirin yang dihormati sekelian,
17. Bersempena Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam yang kita raikan pada malam ini, saya ingin mengambil kesempatan ini mengajak para hadirin sekalian untuk terus memantapkan usaha-usaha mempelbagaikan lagi idea-idea kreatif dan inovatif bagi meningkatkan prestasi dan kualiti perkhidmatan sektor awam. Tanpa usaha keras yang bersungguh-sungguh, sikap mahu mencuba tanpa mengenal erti putus asa serta semangat yang berkobar-kobar dalam menyiapkan tugasan, usaha-usaha pembudayaan inovasi ini hanya sekadar indah di atas kertas semata-mata.
18. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada agensi-agensi yang bakal dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Sektor Awam dalam kategori masing-masing, atas kejayaan menempa sejarah sebagai penerima sulung anugerah yang cukup bermakna ini. Semoga dengan kejayaan ini akan membakar tekad dan semangat agensi berkenaan serta agensi-agensi lain untuk terus meningkatkan rentak inovasi dan kreativiti. Sesungguhnya, kejayaan penerima anugerah kali ini perlulah dicontohi oleh semua agensi perkhidmatan awam dan menjadikannya sebagai benchmark dalam usaha merancakkan lagi pembudayaan inovasi dan kreativiti di agensi masing-masing.
19. Bagi mengakhiri ucapan, marilah sama-sama kita hayati stanza-stanza gurindam hikmah Tonggak 12 oleh Mas Adeki, ditujukan khusus untuk seluruh warga perkhidmatan awam yang dikasihi;
Hendak pandai menghargai masa, Jangan dinanti esok lusa.
Ketekunan akan membawa kejayaan, Kegigihan bekerja dengan keupayaan.
Wajah ceria keseronokan bekerja, Usah berduka bermuram durja.
Hidup alam kemuliaan kesederhanaan, Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.
Ketinggian peribadi jadi amalan, Ketelusan hati jadi bekalan.
Kekuatan sifat baik hati, Bertimbang rasa dan bersimpati.
Pengaruh kepimpinan melalui teladan, Baik buruk jadikan sempadan.
Menjadi kewajipan menjalan tugas, Walaupun sederhana tetapi tegas.
Kebijaksanaan berhemat perlu diutama, Tidak membazir teliti saksama.
Keutamaan kesabaran fikiran tenang, Perkara susah menjadi senang.
Peningkatan bakat diberi sokongan, Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.
Nikmat mencipta budaya kreatif, Kembangkan bakat semoga aktif.
20. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih dan sekalung tahniah kepada pihak MAMPU, Perbendaharaan, ICU, KPKT dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan penganjuran Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam yang penuh bersejarah dan bermakna pada malam ini.
Sekian
Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamu alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.