Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan Ke 28- Tahun 2011
TEKS UCAPAN
YBHG TAN SRI SIDEK HASSAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KONVENSYEN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) PERKHIDMATAN AWAM PERINGKAT KEBANGSAAN KE-28 TAHUN 2011
2 NOVEMBER 2011, 8.00 MALAM
DEWAN UTAMA, KLANA RESORT SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan
Salam 1Malaysia
YBhg Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
Yang Berbahagia Dato’ Mohamad Zabidi bin Zainal
Ketua Pengarah MAMPU
Yang Berusaha Dr. Aminuddin bin Hassim
Pengarah INTAN
YBhg Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian
Y.B. Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri
Ketua-Ketua Jabatan
Y.Bhg. Tan Sri, Dato’ Sri, Datuk-Dato’, Datin-Datin,
Tetamu-Tetamu Kehormat
Peserta Konvensyen KIK Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan keizinan Nya, kita dapat bersama-sama di dalam Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif kali ke-28 pada malam ini.
2. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada INTAN dan Kerajaan Negeri Sembilan kerana telah berjaya secara bersama-sama menganjurkan konvensyen pada kali ini. Kerjasama seumpama ini amat penting bagi mengeratkan lagi hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, khususnya dalam menjayakan program dan aktiviti yang akan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan awam, di setiap lapisan dan peringkat masyarakat. Justeru itu, kerjasama strategik seperti ini haruslah diteruskan dengan lebih agresif dan tersusun di masa-masa hadapan, di pelbagai peringkat dan pelbagai bidang.
Para hadirin sekalian,
3. Kisah epik “Troy” dan “Kuda Trojan” di dalam Tamadun Yunani, saya percaya ramai di kalangan kita telah berulang kali membacanya. Sebuah kisah mitos oleh Homer, seorang penyair buta terkemuka Yunani, melalui sebuah karya sastera agungnya, Iliad telah diceritakan dan disampaikan dari satu generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini. Filem “Troy” yang mula ditayangkan pada 2004 dan merupakan antara filem Hollywood termahal, telah diadaptasikan dari kisah tersebut.
4. Troy adalah sebuah kota yang mempunyai benteng pertahanan sangat kukuh. Serangan demi serangan oleh tentera Yunani dari luar kota, telah menemui kegagalan oleh kerana pertahanan kota yang kebal. Maka, taktik serangan diubah. Tentera Yunani mendapat idea untuk membina sebuah patung kuda kayu gergasi yang diperbuat dari kayu kapal-kapal mereka sebagai hadiah kepada penduduk Troy. Tentera Yunani meninggalkan patung kuda kayu gergasi di tepi pantai, lalu mengundurkan kapal-kapal mereka dari pantai agar tidak kelihatan.
5. Tentera Troy amat gembira dengan pengunduran pihak musuh. Hadiah patung kuda gergasi dibawa masuk ke dalam kota Troy. Tanpa disedari, ia merupakan helah tentera Yunani yang telah bersembunyi di dalam Kuda Trojan tersebut. Pada waktu malam, ketika rakyat Troy sedang lena tidur diulit mimpi, tentera Yunani keluar secara senyap-senyap dari Kuda Trojan dan melancarkan serangan terhadap tentera Troy dan membuka pintu masuk kota Troy seluas-luasnya kepada tentera Yunani lain yang sedang menunggu di luar. Akibatnya, kota Troy tumpas dan dihancurkan akibat kegagalan mensyaki helah pihak musuh.
6. Pastinya kisah Troy dan Kuda Trojan mengandungi iktibar yang boleh kita teladani. Apabila serangan demi serangan tentera Yunani dari luar kota Troy menemui kegagalan, mereka memikirkan cara yang luar dari kebiasaan, iaitu melalui pemberian “hadiah” dan ini telah membawa kejayaan. Dalam hal yang sama, penjawat awam hendaklah sentiasa mencari kaedah yang kreatif dan berbeza dalam menangani permasalahan yang dihadapi. Kadang kala, proses atau tindakan yang sama yang dilaksanakan bertahun-tahun adalah tidak lagi relevan dengan perubahan teknologi dan masa, serta memerlukan perubahan drastik dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada stakeholders dan pelanggan.
7. Kita perlu sedar bahawa kita berada di dalam dunia yang begitu dinamik dan kompetitif masa kini. Kalau penjawat awam “lena diulit mimpi” kerana menganggap kita telah berjaya melaksanakan peranan sedia ada, kita akan diserang oleh “tentera Yunani” dan akan rebah kerana kelalaian serta sikap berpuas hati. Kita juga boleh mengambil iktibar dari kebijaksanaan tentera Yunani bahawa terdapat banyak ruang dan peluang, cara dan mekanisme yang boleh digunakan bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan. Apa yang penting ialah output dan lebih penting lagi, outcome yang hendak dicapai, dilaksanakan dengan terbaik serta memenuhi kehendak pelanggan.
Para hadirin sekalian,
8. Bercakap mengenai kreativiti dan inovasi, perhatian kita pastinya akan beralih kepada mendiang Steve Jobs, pengasas jenama Apple yang visionary. Beliau telah merevolusikan kegunaan komputer, bukan sahaja sebagai sebuah alat mengira atau mesin pengkomputeran semata-mata, malah lebih dari itu, sebagai suatu pengalaman yang menyeronokkan para penggunanya untuk berkomunikasi, berhibur, berkarya serta berinteraksi sesama sendiri. Jobs amat memahami kehendak pelanggan Apple. Beliau komited untuk menyediakan alat yang mempunyai reka bentuk yang mudah digunakan. Prinsip ini merupakan asas penting bagi Apple mengeluarkan produk-produk yang sentiasa mendapat sambutan hebat para pelanggannya kerana reka bentuk yang simple dan elegan seperti iPod, iPhone, dan iPad.
9. Jobs juga menambah nilai serta memupuk hubungan emosi pengguna Apple melalui produk-produk tambah nilai yang terdapat di dalam “Apple Store”, seterusnya memperkaya serta memaksimumkan pengalaman pengkomputeran pelanggannya. Memetik kata-kata Jobs, “People don’t want to just buy personal computers anymore. They want to know what they can do with them, and we’re going to show people exactly that.”
10. Dalam hubungan yang sama, adalah amat penting bagi kita, penjawat awam, mengambil tahu, mengambil berat serta memahami akan keperluan dan kehendak para pelanggan termasuk lain-lain stakeholders. Rata-rata para pelanggan dan rakyat inginkan perkhidmatan yang inovatif, responsif, cepat dan mudah. Suasana sedemikian hanya akan wujud melalui pelaksanaan dasar yang mesra pelanggan serta pelaksanaan urus niaga yang dipermudahkan.
11. Perkhidmatan yang ditambah nilai akan juga memudahkan serta memaksimumkan pengalaman rakyat apabila mendapatkan perkhidmatan Kerajaan. Sebagai contoh, idea untuk membolehkan orang ramai membuat permohonan dan memperbaharui pasport di kaunter pejabat Jabatan Pendaftaran Negara merupakan contoh perkhidmatan tambah nilai yang sangat baik. Perkhidmatan ini telah pun dilaksanakan melalui kaunter JPN di RTC Gopeng, Perak sejak awal bulan September 2011. Selain membuat permohonan MyKad baharu, sijil kelahiran serta sijil pendaftaran perkahwinan, orang ramai juga boleh memperbaharui pasport antarabangsa di kaunter JPN yang sama. Lain-lain Jabatan dan Kementerian perlu juga berhijrah minda dan melakukan transformasi yang diperlukan untuk melakukan sebagai satu kebiasaan perkara baik yang biasanya luar biasa.
Saudara-saudari sekalian,
12. Penganjuran Konvensyen KIK ini adalah suatu inisiatif penting dan tidak harus dilihat sebagai satu acara tahunan semata-mata yang hanya disertai oleh peserta-peserta konvensyen. Dalam konteks yang lebih luas, konvensyen KIK ini hendaklah diterjemahkan sebagai komitmen berterusan Kerajaan untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai. Penganjuran konvensyen ini juga merupakan usaha Kerajaan membudayakan elemen kreativiti dan inovasi di dalam diri setiap penjawat awam di setiap lapisan dan peringkat organisasi. Tidak kira sama ada Ketua Jabatan, Setiausaha Bahagian, Pembantu Tadbir, hatta Pembantu Pejabat sekalipun, setiap anggota perkhidmatan awam berperanan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan masing-masing dengan menyelitkan elemen kreativiti dan inovasi.
13. Y.A.B. Perdana Menteri sering menekankan peri pentingnya kreativiti dan inovasi dititik beratkan dalam melayani kehendak rakyat. Satu elemen penting yang dapat menjamin kelangsungan kreativiti dan inovasi ialah kesediaan kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan untuk berkongsi sumber, tidak lagi bekerja secara silo serta mengakui potensi penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan menjimatkan melalui kolaborasi antara dan di kalangan jabatan dan agensi awam.
14. Sebagai contoh, perkongsian Pusat Latihan Tentera Darat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk melatih kadet polis yang baru memasuki perkhidmatan; pengawalan keselamatan di sempadan tanah air secara bersama oleh ATM dan PDRM; serta kolaborasi penggunaan infrastruktur penyelidikan antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Lembaga Getah Malaysia, adalah merupakan antara contoh perkongsian yang telah membantu menyelesaikan masalah kekangan sumber yang terhad, di samping mencipta nilai tambah yang menghasilkan outcome yang berimpak tinggi dan mengesankan.
15. Pepatah Melayu ada mengatakan, adalah mudah untuk mematahkan lidi sebatang tetapi sukar untuk mematahkan lidi seberkas. Jika kita berusaha dan bekerja secara berpasukan, berkongsi sumber dan berpadu tenaga, maka kaedah-kaedah kreatif dan inovatif yang difikirkan secara bersama akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berjaya.
Hadirin yang dihormati sekalian
16. Hasrat untuk menjadikan perkhidmatan awam Negara kita sebagai tanda aras kecemerlangan peringkat global memerlukan kita, penjawat awam membudayakan pemikiran di luar kotak kebiasaan. Kemajuan dunia masa depan akan diterajui oleh kekuatan daya imaginasi, inovasi dan kreativiti, seperti yang telah dibuktikan oleh Steve Jobs, yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai “Leornado da Vinci era moden”. Idea dan keunikan, dibantu oleh kecanggihan teknologi merupakan wahana utama dalam memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan. Hanya dengan cara ini akan memastikan penjawat awam sentiasa di hadapan keluk, dalam usaha meningkatkan kelebihan daya saing serta memastikan Perkhidmatan Awam Malaysia terus relevan dan unggul di persada antarabangsa.
17. Abraham Maslow yang terkenal dengan teori “Maslow’s Hierarchy of Needs” amat tepat sekali apabila mempersoalkan kebolehan manusia untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Katanya, The key question isn’t What fosters creativity, but it is why in God’s name isn’t everyone creative? Where was the human potential lost? How was it crippled? I think therefore a good question might be not why do people create? But why do people not create or innovate? We have got to abandon that sense of amazement in the face of creativity, as if it were a miracle if anybody created anything.
18. Justeru, kita anggota perkhidmatan awam perlu terus “berkarya” dengan inovatif dan kreatif bagi “menghadiahkan” kepada para pelanggan kita suatu pengalaman yang menggembirakan apabila berinteraksi dengan perkhidmatan awam. Jadikan budaya “berfikir di luar kebiasaan” sebagai suatu kebiasaan. Sekiranya sebelum ini kita terima “complaint as a gift” dari para pelanggan bagi memperbaiki tahap perkhidmatan, apa kata kita memberikan “kejutan gembira” pula kepada pelanggan perkhidmatan awam dengan “hadiah” perkhidmatan yang responsif, mesra, cekap dan pastinya memudahkan, yang berteraskan ketelusan dan integriti.
19. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua kumpulan yang bertanding dalam Konvensyen KIK Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan pada kali ini. Bagi kumpulan yang memenangi anugerah pada malam ini, jadikanlah ia satu inspirasi untuk terus menjana idea-idea kreatif bagi meningkatkan prestasi masing-masing. Bagi kumpulan yang kurang berjaya, ambil pendekatan positif untuk terus berusaha mencungkil idea-idea baru yang lebih kreatif demi kecemerlangan perkhidmatan awam.
Sekian,
Wabillahitaufik Wal Hidayah
Wasaalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.