Majlis Penyampaian Surat Kenaikan Pangkat Jawatan Utama Sektor Awam dan Jawatan Gred Khas Sektor Awam Bil.3/2011
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Y. Bhg. Tan Sri Abu Bakar bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Para hadirin yang dihormati sekalian.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan keizinan Nya kita dapat bersama-sama pada petang ini, sempena Majlis Penyampaian Surat Kenaikan Pangkat Jawatan Utama Sektor Awam dan Jawatan Gred Khas Sektor Awam.
2. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada saudara-saudari yang telah dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan awam. Kenaikan pangkat ini adalah merupakan pengiktirafan di atas prestasi cemerlang serta usaha gigih dan komitmen saudara-saudari dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan. Saya sentiasa menegaskan, setiap penjawat awam yang komited dan cemerlang, pastinya mempunyai peluang menyandang jawatan yang lebih tinggi, tanpa mengira jantina, agama, kaum mahupun dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Asas utama yang sentiasa ditekankan berhubung kenaikan pangkat adalah MERIT, dan saya percaya komitmen, ketekunan serta kegigihan saudara-saudari juga mempunyai peranan penting yang menyumbang kepada kejayaan masing-masing.
Saudara-saudari sekalian,
3. Landskap perkhidmatan awam negara ini bakal berubah menjelang tahun 2012 dengan pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA. SBPA digubal dengan matlamat untuk mentransformasikan Perkhidmatan Awam supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan lebih lagi berorientasikan prestasi. SBPA juga memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja.
4. SBPA menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama.
5. Selain SBPA yang akan ditawarkan kepada semua penjawat awam, Kerajaan juga telah membuat penambahbaikan laluan kerjaya bagi beberapa skim perkhidmatan tertentu, seperti Pegawai Perubatan dan Pegawai Pendidikan, yang membolehkan kenaikan pangkat secara time-based. Penambahbaikan juga turut melibatkan anggota tentera, Polis, pegawai-pegawai kontrak dan tidak ketinggalan pesara kerajaan. Semua ini adalah bagi menghargai khidmat dan pengorbanan anggota perkhidmatan awam yang sentiasa gigih dan tekun menyumbang terhadap pembangunan dan kemajuan negara. Namun apa yang lebih penting, penambahbaikan yang dilakukan melalui SBPA adalah bertujuan untuk menjadikan Perkhidmatan Awam lebih progresif, dinamik dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran-cabaran baru abad ke-21.
Saudara-saudari sekalian,
6. Kerajaan sedar bagi menjayakan agenda transformasi yang direncanakan tidak dapat tidak memerlukan perkhidmatan awam untuk dapat menghayati, menyokong dan melaksanakannya dengan berkesan. Namun begitu, perkhidmatan awam sering dianggap sebagai menjanjikan pekerjaan sepanjang hayat tanpa mengira prestasi anggotanya. Juga, dalam pemberian bonus, semua anggota akan menikmati insentif yang sama tanpa membezakan antara yang cemerlang dengan yang tidak. Ini telah menimbulkan banyak kritikan daripada orang ramai mahupun di kalangan penjawat awam sendiri, dan oleh itu perkhidmatan awam negara ini tidak boleh lagi kekal di dalam paradigma lama, tetapi harus berubah mengikut kehendak semasa.
7. Perkhidmatan Awam Negara kita perlu menyangkal dengan prestasi, kenyataan Peter Drucker, iaitu, “There is mounting evidence that government is big rather than strong; that it is flabby rather than powerful; that it costs a great deal but does not achieve much.” Drucker menyarankan adalah penting bagi Kerajaan melakukan transformasi sejajar dengan amalan perniagaan moden yang menekankan kepada aspek keterbukaan serta meluaskan penyertaan dalam proses membuat dasar dan penyampaian perkhidmatan.
8. Keadaan perkhidmatan awam masa kini bakal berubah dengan pelaksanaan SBPA yang berteraskan prestasi dan KPI. Yang pasti, tiada lagi jaminan pekerjaan sepanjang hayat bagi anggota yang tidak menunjukkan komitmen serta prestasi kerja yang baik. Bagi mereka yang ingin keluar, ini akan dipermudahkan dengan dasar pemisah yang bakal dilaksanakan. Pada asasnya, setiap pergerakan dan setiap pengiktirafan adalah berdasarkan kepada merit. Dan pastinya, dalam menentukan merit, faktor integriti adalah paling utama.
Saudara-saudari sekalian,
9. Negara Korea mempunyai ribuan tahun sejarah dan budaya yang unik dan mengkagumkan, tetapi ia menjadi salah sebuah negara termiskin di dunia selepas melalui pemerintahan penjajah Jepun dan tragedi Perang Korea dalam abad ke-20. Namun pada tahun 2009, Korea menyertai OECD Development Assistance Commitee bagi memberi bantuan kepada negara-negara yang memerlukan. Ironinya, Korea adalah merupakan salah sebuah negara penerima bantuan selepas Perang Dunia Ke-2. Korea kini menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan GDP per kapita dianggarkan sebanyak USD30,000 pada tahun 2010.
10. Dalam pada itu, kereta-kereta buatan Korea seperti KIA dan Hyundai semakin mendapat sambutan di kalangan pembeli dunia dengan reka bentuk yang menarik serta aksesori yang menepati kehendak pelanggan, setanding jika pun tidak lebih baik lagi dari kereta buatan Jepun. Dari aspek elektronik dan ICT pula, jenama-jenama seperti Samsung dan LG adalah tidak asing lagi. Malah Samsung Galaxy Tab adalah di kalangan 10 produk Amazon Best Sellers bagi kategori tablet selain jenama seperti Apple, Acer, Motorola dan Toshiba. Selain itu, para suri rumah pasti akan bersetuju bahawa sitkom Korea adalah yang terbaik dan menyentuh perasaan, serta penyanyi k-pop menjadi pujaan remaja masa kini.
11. Keupayaan Korea untuk bangkit dari sebuah negara miskin dalam tempoh 50 hingga 60 tahun adalah suatu yang amat mengkagumkan. Profesor Chan Kim, pengasas Blue Ocean Strategy, selalu berseloroh dengan saya bahawa pada satu ketika dahulu Malaysia selalu mengalahkan Korea dalam perlawanan bolasepak.
12. Presiden COTI atau Central Officials Training Institute di Korea, Dr. Yoon Eun-Key, dalam ceramah di INTAN pada hari Jumaat, 18 November, menegaskan bahawa kejayaan Korea terletak pada 2 perkara asas yang utama, iaitu pendidikan dan “budaya cepat-cepat” atau “quickly-quickly culture” yang diamalkan oleh semua rakyat Korea, termasuk di kalangan penjawat awamnya.
13. Saya amat tertarik dengan “budaya cepat-cepat” ini. Negara Korea dikatakan antara negara terpantas di dunia, dan rakyat Korea dikatakan mempunyai tahap kesabaran yang singkat, berikutan “budaya cepat cepat” yang diamalkan sekian lama. Rakyat Korea dikatakan sentiasa tergesa-gesa sehinggakan tangan mereka sering kali melecur terkena air panas dari mesin kopi, akibat mereka kurang kesabaran menunggu sehingga aliran air panas berhenti.
14. Saya percaya berlandaskan “budaya cepat cepat” inilah yang menjadikan Korea berjaya seperti mana sekarang. Mereka cepat bertindak, cepat belajar perkara-perkara baru, cepat menangani cabaran yang mendatang serta cepat mengambil kesempatan terhadap peluang-peluang yang ada. Dalam hubungan ini, Alvin Toffler, futuris terkenal dunia berpendapat bahawa perkampungan global kini, tidak lagi dibahagikan kepada yang kuat dan yang lemah, mahupun yang besar dan yang kecil, tetapi ia terbahagi kepada yang cepat dan yang lambat.
15. Hakikatnya, kecepatan atau kelambatan bertindak akan menentukan daya saing sesebuah negara, dan ini pastinya bergantung kepada rakyatnya, malah lebih penting lagi anggota perkhidmatan awamnya, yang diamanahkan untuk melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh pucuk pimpinan negara. Dan bersesuaian dengan Majlis pada hari ini saya sarankan kepada saudara-saudari semua untuk membuat keputusan, tindakan dan susulan dengan cepat dan pantas.
16. Akhir kata, sekali saya mengucapkan tahniah kepada saudara-saudari yang menerima surat kenaikan pangkat bagi menyandang jawatan-jawatan penting dalam perkhidmatan awam. Harapan saya, agar saudara-saudari tidak complacent pada tahap ini, malah terus berusaha melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh komited dan berintegriti demi meningkatkan daya saing negara yang kita sayangi ini.
Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.