MAJLIS PENUTUP BAKTI SISWA DAYA WAWASAN KG. CHEROK PALOH, KUANTAN
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Yang Berusaha Tn Hj Mohd Arpan b Shari
Timbalan Ketua Pengarah
(Pengurusan & Pembangunan)
Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS )
Y. Bhg. Profesor Madya Umar bin Osman
Timbalan Naib Chanselor
Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar
Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang
Y. B. Dato’ Muhammad Safian b Ismail
Pegawai Kewangan Negeri Pahang
Y Bhg Dato’ Hj Muhammad bin Ubaidullah
Pegawai Daerah Kuantan
Y. Bhg. Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdullillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya, kita dapat berkumpul bersama-sama dalam majlis ini, iaitu acara penutup program Bakti Siswa Daya Wawasan, yang telah berlangsung di Kampung Cherok Paloh, Kuantan, Pahang.
2. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya menyempurnakan Majlis pada pagi ini. Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM), bersama pengiring-pengiring mereka dari kalangan tenaga pengajar USM Pulau Pinang ke kampung halaman saya ini bagi menjayakan satu aktiviti sosial, iaitu Program Bakti Siswa Daya Wawasan untuk tahun 2007. Saya juga mengalu-alukan kedatangan semua ke daerah Kuantan khasnya, dan negeri Pahang Darul Makmur, amnya dan berharap agar kunjungan saudara-saudari ke sini telah membawa manfaat bagi penduduk kampung dan juga kepada diri saudara-saudari sendiri.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. Pada 29 April 2003, Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, semasa menyempurnakan Perasmian Konvensyen Gerakan Daya Wawasan (GDW) di Universiti Tenaga Malaysia, Bangi, Selangor telah menggesa supaya Gerakan Daya Wawasan bagi masyarakat desa diberikan nafas baru dengan digerakkan berasaskan eksploitasi terhadap sumber sedia ada serta pembangunan sumber kekayaan baru.
4. Berikutan itu, Program Bakti Siswa Daya Wawasan telah direalisasikan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, di mana Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bertanggungjawab sebagai Pelaksana Program untuk beberapa buah kampung yang terpilih di bawah Gerakan Daya Wawasan. Saya berharap program ini telah mencapai objektif ke arah situasi menang-menang antara Pelajar USM, JKKK Kampung Cherok Paloh dan KEMAS Daerah Kuantan melalui aktiviti yang telah dilaksanakan mulai 1 hingga 6 Mei 2007.
5. Saya difahamkan bahawa antara objektif program ini adalah,
• Pertamanya, untuk memperkasakan kepimpinan desa dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan dan pengurusan desa Gerakan Daya Wawasan (atau GDW);
• Kedua, untuk mengenal pasti potensi dan sumber ekonomi yang boleh dimajukan sebagai pendapatan penduduk;
• Ketiga, untuk menyebarkan maklumat mengenai program dan dasar-dasar kerajaan menerusi perkongsian pintar dengan IPTA/IPTS; dan
• Keempat, untuk memberi peluang kepada pelajar IPTA/IPTS memberi perkhidmatan dan berbakti kepada masyarakat desa.
6. Pengisian program yang dilaksanakan di bawah GDW meliputi aktiviti pendidikan, kemasyarakatan, latihan dan pengurusan desa seperti Klinik Motivasi, Bengkel Akademik, Sukaneka, Ceramah Pendidikan Keibubapaan, Forum, Gotong-royong, Malam Muhibah / Kebudayaan, Sudut Bacaan, Profil Kampung, mengenal pasti sumber ekonomi baru kampung dan penghayatan cara hidup kampung.
Hadirin yang dihormati sekalian,
7. Saya percaya dengan kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan, program ini telah dapat memberi manfaat dan faedah yang sewajarnya kepada kedua-dua belah pihak, iaitu pelajar-pelajar USM dan juga masyarakat kampung. Bagi para pelajar USM, inilah masanya untuk memupuk semangat kerja berpasukan dan bekerja dengan masyarakat; menimba pengalaman kehidupan bersama masyarakat kampung; melatih kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat desa; dan menyebarkan maklumat kepada keluarga angkat serta masyarakat kampung, khususnya mengenai program-program Kerajaan.
8. Begitu juga, saya berharap agar penduduk kampung ini telah mendapat kesan positif terutamanya dalam aspek mengeratkan hubungan dan silaturahim antara ibu bapa angkat dengan anak-anak angkat mereka; mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan di peringkat kampung; meningkatkan pencapaian akademik di kalangan anak-anak kampung yang masih bersekolah; mengurangkan masalah gejala sosial di kalangan remaja; meningkatkan motivasi Kepimpinan Kampung serta meluaskan kesan perubahan sikap kepada kampung-kampung yang berdekatan.
9. Saya juga berharap JKKK Kg Cherok Paloh telah dapat menggunakan kesempatan ini untuk berkongsi pintar dengan pelajar-pelajar USM dalam merancang aktiviti serta projek jangka pendek dan jangka panjang, di samping melengkapkan profil kampung, supaya apabila Profil Kampung Cherok Paloh ini telah disiapkan ianya dapat dimuat naik (atau upload) ke laman web Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah di bawah Sistem e-GDW.
Hadirin yang dihormati sekalian,
10. Walaupun program ini telah selesai, saya percaya semuanya tidak akan berakhir di sini sahaja. Program yang telah dilaksanakan ini boleh dijadikan sebagai asas kepada aktiviti-aktiviti lain untuk meningkatkan taraf kampung serta pembangunan modal insan di dalam kampung. Penglibatan para pelajar boleh diteruskan melalui aktiviti-aktiviti seperti pengukuhan kekeluargaan, projek meningkatkan ekonomi kampung, membantu golongan miskin, pemantauan kecemerlangan pendidikan, dan sebagainya.
11. Semoga ikatan silaturahim antara para pelajar USM dan penduduk Kg Cherok Paloh ini akan dapat diteruskan dan dieratkan lagi. Dari masa ke semasa kirimkan khabar berita dan bertukar-tukar cerita mengenai perkembangan masing-masing. Mana tahu, mungkin pada suatu hari kelak ada di kalangan pelajar-pelajar ini yang akan kembali untuk berkhidmat di Kampung ini, ataupun di daerah Kuantan, mahupun di negeri Pahang ini.
12. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan rasminya menutup Program Bakti Siswa Daya Wawasan di Kampung Cheruk Paloh, Kuantan, Pahang.
Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.