Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Pasukan Petugas Semakan Semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Y. Bhg. Tan Sri Abu Bakar bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam
Y. Bhg. Dato’ Omar Osman, Presiden CUEPACS
Wakil-wakil Media
Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan keizinan Nya kita dapat bersama-sama pada petang ini, sempena Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Pasukan Petugas Semakan Semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam, SBPA.
2. Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam yang telah dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas ini. Juga, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada ahli-ahli Pasukan Petugas atas pelantikan ini.
Saudara-saudari sekalian,
3. Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang diumumkan pelaksanaannya oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012 pada Jumaat, 7 Oktober 2011, digubal dengan matlamat untuk mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. Dalam usaha mentransformasikan perkhidmatan awam, penambahbaikan secara berterusan dalam penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang sangat diberi tumpuan. Ini bagi merangsang pembangunan negara kita ke arah negara berpendapatan tinggi sesuai dengan inisiatif Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10 yang menekankan kepada kepantasan membuat keputusan serta pendekatan berasaskan keberhasilan.
4. Dengan perubahan persekitaran yang dinamik dan kompleks, sektor awam perlu menjadi lebih mantap dan berdaya saing. Melalui SBPA, sektor awam dirasionalisasikan dalam usaha memperbaharui struktur serta prosedur pentadbiran kerajaan supaya berproduktiviti tinggi, lebih kreatif, inovatif dan lebih efisien bagi mencapai sasaran negara maju. Pada masa yang sama, gaji penjawat awam disemak semula agar lebih kompetitif serta bagi menggalakkan budaya kerja cemerlang dan berprestasi tinggi.
5. Adalah juga diharapkan dengan menikmati gaji yang lebih tinggi, penjawat awam akan dapat melipatgandakan usaha untuk meningkatkan produktiviti. Malah produktiviti yang dihasilkan hendaklah lebih dari jumlah kenaikan gaji yang dinikmati yang bermakna negara mendapat keuntungan hasil dari persetujuan Kerajaan menimbangkan pelarasan gaji ini.
Saudara-saudari sekalian,
6. Kajian yang rapi dan terperinci telah dilaksanakan dalam membuat pelarasan gaji penjawat awam di bawah SBPA, dengan membuat perbandingan kadar gaji dalam sektor swasta dan juga perkhidmatan awam di negara-negara lain seperti Singapura. Namun demikian, terdapat banyak rungutan dan aduan di kalangan penjawat awam sendiri yang merasa terkilan dan tidak puas hati dengan kadar gaji baru yang bakal diterima di bawah SBPA.
7. Sehubungan dengan itu, sebagaimana semua sedia maklum Y.A.B. Perdana Menteri, melalui Kenyataan Media pada Khamis, 12 Januari 2012 menyatakan bahawa Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada hari Rabu, 11 Januari 2012 telah memutuskan supaya pelaksanaan SBPA disemak semula bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak. Kerajaan amat prihatin dengan aduan dan rungutan orang ramai, termasuk oleh penjawat awam, dan bersedia mendengar dan meneliti aduan-aduan tersebut untuk tujuan penambahbaikan secara berterusan.
8. Seterusnya, melalui Kenyataan Media pada hari Jumaat, 13 Januari 2012, saya mengumumkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam. Pasukan Petugas Semakan Semula SBPA ini dipengerusikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia berdasarkan pengalaman beliau yang luas dalam hal-hal perkhidmatan awam setelah menerajui beberapa agensi penting dalam Perkhidmatan Awam.
9. Pasukan Petugas ini dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara dan Presiden CUEPACS. Dalam pada itu, wakil kementerian-kementerian berkaitan, skim perkhidmatan serta wakil persatuan dan kesatuan sekerja yang berkenaan akan dijemput di dalam perbincangan Pasukan Petugas, dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
10. Pasukan Petugas yang ditubuhkan akan berusaha sedaya upaya mendapatkan penyelesaian terbaik berkenaan isu-isu yang dibangkitkan. Namun demikian, seyogia diingatkan bahawa Kerajaan juga mempunyai kekangan-kekangan tertentu yang mungkin tidak akan dapat memenuhi kehendak semua pihak. Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah dihargai dan saya percaya akan diperolehi.
11. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi serta Ahli Pasukan Petugas Semakan Semula SBPA yang akan menerima Surat Pelantikan pada hari ini. Saya percaya saudara-saudari akan melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan ini dengan penuh komitmen, ikhlas dan berintegriti.
Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.