Majlis Perasmian Program Pegawai Integriti Bertauliah Oleh Y.A.B. Perdana Menteri
Bismillahhirrahmanirrahim
Assalaamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia
Yang Berhormat Timbalan Menteri
Y.Bhg. Dato’ Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Excellencies High Commissioners and Ambassadors
Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan
Ketua-Ketua Eksekutif Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs)
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin,
Dif-dif Kehormat
Saudara-saudari para hadirin yang saya hormati sekalian.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan izin Nya jua kita dapat bersama-sama pada petang ini sempena berlangsungnya Majlis Perasmian Program Pegawai Integriti Bertauliah atau CeIO. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, di atas kesudian Yang Amat Berhormat Dato’ Sri untuk hadir bagi menyampaikan amanat dan seterusnya merasmikan majlis pada petang ini.
2. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat-berhormat, Dif-Dif Kehormat serta tuan-tuan dan puan-puan ke Majlis pada hari ini. Sesungguhnya kehadiran semua pihak di dalam Majlis ini adalah sangat bermakna yang merupakan manifestasi komitmen yang padu, dan kerjasama erat untuk merealisasikan aspirasi negara kita.
3. Usaha membanteras rasuah akan meningkatkan integriti institusi kerajaan dan seterusnya merancakkan lagi pembangunan-pembangunan negara. Justeru, segala dasar yang diilhamkan oleh kepimpinan Y.A.B. Perdana Menteri wajar disokong dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan memerangi rasuah oleh semua pihak.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dan para hadirin sekalian,
4. Program menempatkan Pegawai Integriti Bertauliah di dalam organisasi awam dan GLC adalah merupakan salah satu usaha pemantapan sistem pengurusan pentadbiran organisasi. CeIO mampu meningkatkan keupayaan sesebuah organisasi menjadi organisasi kelas pertama kerana mereka telah dilatih untuk menjamin standard dan kualiti, sekali gus meletakkan integriti pada kedudukan tinggi dalam sesebuah organisasi.
5. Program Latihan Perintis CeIO yang mula dilaksanakan sejak tahun 2010 membabitkan 26 pegawai dari sektor awam dan GLC seperti PETRONAS, Telekom Malaysia, Amanah Raya Berhad, serta agensi-agensi penguatkuasaan seperti SPRM, PDRM, JPJ, KASTAM dan IMIGRESEN. CeIO bakal membentuk rangkaian pegawai yang pakar dalam pencegahan rasuah dan menjadi pemangkin budaya kerja berintegriti.
6. Dalam usaha meningkat integriti di kalangan rakyat Malaysia, SPRM telah menyediakan modul dan prasarana latihan bukan sahaja bagi penjawat awam malahan juga untuk badan-badan berkanun dan syarikat GLC. Inisiatif dan usaha murni SPRM secara proaktif ini diharapkan akan membantu melahirkan individu-individu yang berkebolehan dan berkemahiran dalam pengurusan integriti pada jangka masa panjang bagi mentransformasikan organisasi masing-masing kepada sebuah organisasi yang berpaksikan integriti.
7. Setinggi-tinggi penghargaan kepada SPRM kerana mengambil inisiatif ini dan juga kepada Akademi Pencegahan Rasuah kerana menerajui dan mengimplementasikan program berkenaan. Saya percaya inisiatif seumpama ini akan memberi impak yang besar dalam penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan serta peningkatan kepada hasil pendapatan syarikat GLC. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan pelaburan dan pendapatan negara, seterusnya memberi kesan positif kepada pencapaian di dalam Corruption Perception Index atau CPI yang diterajui oleh Transparency International, serta menjadi penanda aras bagi pelaburan asing di dalam sesebuah negara termasuk juga negara Malaysia.
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Menurut pembentangan International Panel Review di dalam Cabinet Away Day pada Khamis, 9 Februari 2012 pelaksanaan program transformasi kerajaan dan kesannya kepada ekonomi negara berada di atas landasan yang betul dan kesannya mulai dirasakan oleh rakyat. Justeru, derap langkah perlu dipertingkatkan dan diteruskan sejajar dengan pacuan momentum transformasi. Corak kepimpinan kini lebih berteraskan nilai pengisian dan bukan lagi secara tradisi. Kompetensi pemimpin dijadikan faktor pengukuran utama produktiviti negara. Fleksibiliti dan daya tahan pula dijadikan kriteria pelengkap kepada kepimpinan yang berorientasikan kehendak rakyat.
9. Saya percaya masyarakat menerima baik program-program integriti yang dianjurkan oleh kerajaan. Kerajaan-Kerajaan negeri turut memberikan kerjasama di dalam setiap program integriti terutama anjuran Institut Integriti Malaysia. Sehingga Disember 2011, enam buah negeri telah mempunyai Institut Integriti Negeri sendiri manakala yang selebihnya melaksanakan program integriti melalui pejabat Setiausaha Kerajaan negeri. Dalam hubungan ini, saya amat berterima kasih kepada kerajaan-kerajaan negeri kerana terus menjadikan IIM sebagai rujukan dan rakan kongsi dalam usaha memperkukuh dan membudayakan integriti di kalangan masyarakat di negeri masing-masing.
10. Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak, program-program integriti masa hadapan akan lebih fokus kepada generasi muda. Walau bagaimanapun ini tidak akan mengurangkan tumpuan kepada kumpulan sasar yang lain. Generasi muda yang berumur dari 15 hingga 40 tahun, merupakan kumpulan yang mempunyai kedudukan penting dalam masyarakat kerana mereka mewakili lebih daripada 40% jumlah penduduk negara ini.
11. Akhir-akhir ini, golongan muda termasuk profesional daripada swasta dan awam, badan bukan kerajaan dan sayap muda parti politik telah terlibat secara aktif dalam pelbagai program integriti. Saya percaya melalui pendekatan-pendekatan yang bersesuaian dengan cita rasa golongan muda, agenda integriti nasional akan terus mendapat kerjasama dan dokongan kumpulan orang muda yang lebih aktif dan dinamik sifatnya.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri dan para hadirin sekalian,
12. Kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Sri merasmikan Majlis Program Pegawai Integriti Bertauliah ini, serta segala amanat dan nasihat yang bakal disampaikan sebentar lagi merupakan satu dorongan kepada kita dalam usaha memerangi rasuah. Usaha ini bukanlah satu perkara mudah kerana modus operandi pelaku rasuah adalah kompleks serta memerlukan penelitian yang rapi bagi mengesan dan membanterasnya. Strategi yang betul dan diadaptasi sesuai untuk setiap masa dan keadaan seperti program CeIO ini adalah sangat perlu dan ianya bersesuaian.
13. Seterusnya, dan tanpa melengahkan masa lagi, saya dengan segala hormatnya menjemput Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia untuk menyampaikan amanat, sempena Majlis Perasmian Program Pegawai Integriti Bertauliah 2012.
Dengan segala hormatnya dipersilakan, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri.