Ucapan Aluan Presiden Sempena Mesyuarat Agung Kali Ke-19 Kelab Golf Perkhidmatan Awam

April 7, 2012 5:10 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan-Nya dapat kita hadir dan berkumpul bersama untuk Mesyuarat Agung KGPA kali ke-19 ini.  Saya mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kehadiran ahli-ahli pada Mesyuarat Agung tahun 2012 ini.

2. Mesyuarat hari ini sekali lagi memberi kita peluang untuk sama-sama meneliti dan membincangkan laporan pelbagai perkembangan dan kemajuan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2011 yang lalu di KGPA.  Sebagai mewakili Jawatankuasa Am KGPA, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas kerjasama dan juga kepercayaan yang telah diberikan oleh semua ahli kepada JK Am yang sedia ada.   Tanpa sokongan ahli, pasti sukar untuk kita bersama-sama meningkatkan usaha menjadikan KGPA sebuah kelab sukan dan rekreasi yang yang disukai dan disegani.  Saya sentiasa meletakkan harapan yang tinggi untuk KGPA sentiasa menjadi sebutan ramai sebagai kelab golf dan rekreasi yang boleh diteladani atau ditanda aras oleh lain-lain kelab golf di negara ini, dalam pelbagai aspek.

3. Dalam hubungan ini, saya amat mengalu-alukan SETIAP AHLI KGPA untuk bersama-sama menyumbang idea, atau memberi kritikan yang membina, mahupun menyumbang apa jua bentuk kerjasama bagi menjayakan aktiviti dan perkhidmatan di KGPA.  Meskipun pembangunan dan perkhidmatan KGPA adalah dipertanggungjawab-kan kepada setiap ahli Jawatankuasa Kecil untuk mengurus bidang tugas masing-masing dengan sebaik mungkin, SETIAP sumbangan idea yang bernas daripada ahli akan dapat dimanfaatkan dalam usaha kita untuk memastikan KGPA terkenal sebagai kelab golf yang mesra, mudah, indah, cantik dan menyeronokkan kepada ahli, keluarga kita dan tetamu yang mengunjungi dan menggunakan perkhidmatannya.

Hadiran yang dihormati sekalian,

Menjiwai Transformasi KGPA

4. Pada tahun lalu iaitu semasa Mesyuarat Agong KGPA Ke-18 yang diadakan pada hari Sabtu, 16 April 2011, saya telah memberikan cabaran kepada kita semua supaya usaha-usaha transformasi dilaksanakan melalui pelbagai kaedah dan strategi yang bersesuaian supaya ia membantu menjadikan KGPA sebagai destinasi pilihan utama kepada pemain-pemain golf untuk mengasah dan mempertingkatkan kemahiran mereka dalam permainan golf.  Saya juga memberikan perbandingan untuk KGPA dapat memberikan persaingan yang kompetitif kepada lain-lain kelab golf yang ternama di Lembah Kelang yang mengenakan fee yang lebih tinggi tetapi berjaya menarik minat ramai untuk membayar dan bermain. Alhamdulillah, dalam tempoh satu tahun ini, saya berpendapat imej KGPA sebagai kelab golf yang terkenal dengan kesusahannya untuk bermain, telah berjaya kita kikis, berdasarkan pemerhatian saya dan maklum balas yang diterima.  Saya secara peribadi berpandangan usaha transformasi ini memberi impak permulaan yang amat positif dan baik, serta perlu dikekalkan dan dipertingkatkan ke arah yang lebih sempurna.

5. Menerusi transformasi yang dilakukan, kita pada hari ini boleh merasa bangga dengan keadaan lapangan golf dan kecantikan padang yang diusahakan melalui projek-projek landskap, telah membuahkan hasil yang begitu baik.  Menerusi sistem saliran yang telah dipertingkatkan, kita dapat melihat kepuasan para pemain kerana dapat meneruskan permainan walaupun selepas hujan yang lebat kerana padang, fairway dan green tidak lagi digenangi oleh air.  Usaha-usaha penambahbaikan secara berterusan ini telah mendapat pujian di kalangan ahli, pemain dan tetamu yang menggunakan kemudahan golf KGPA. Y.Bhg. Tan Sri Sallehuddin Mohamad, bekas Presiden KGPA yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Piala Presiden pada 18 Mac 2012 lalu, dan diberi kesempatan membawa masuk bugi ke dalam fairway, turut memberikan pujian ikhlas terhadap kualiti padang KGPA pada masa ini, sungguhpun hujan yang lebat telah turun pada hari sebelumnya. Sehubungan itu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Encik Bobby Tan, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Padang dan Lanskap serta ahli-ahli beliau yang sentiasa bertungkus-lumus dan bersengkang mata untuk memastikan kualiti padang golf KGPA sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

6. Apa yang lebih menyeronokkan kita adalah sejak kebelakangan KGPA mendapat pengiktirafan dan kerjasama erat daripada Malaysian Golf Association (MGA) yang mampu melonjakkan nama KGPA sebagai destinasi utama permainan golf. Untuk itu, KGPA telah dipilih sebagai lokasi Kejohanan National Trial 2012 pada 16-18 Januari 2012; Kejohanan Kuala Lumpur Amatuer Open 2012, pada 21-24 Februari 2012; dan Kejohanan Tertutup Remaja Malaysia Kali Pertama pada 5-7 Jun 2012 kelak. Kejohanan seumpama Kuala Lumpur Amatuer Open secara tidak langsung turut mempromosikan kehebatan KGPA bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa, menerusi penyertaan pemain-pemain amatur luar negara dari Thailand, Singapura, Korea, Filipina dan Amerika Syarikat.

7. Dalam pada itu, MGA juga turut menjadikan KGPA sebagai gelanggang latihan untuk 16 orang pemain pasukan golf kebangsaan.  Kerjasama positif ini memberi ruang yang terbaik kepada KGPA dalam mempromosikan kelab kita terutama ke arah mempertingkatkan pendapatan kelab. Saya percaya bahawa pengiktirafan terhadap fasiliti golf yang dimiliki oleh KGPA akan turut menyumbang kepada usaha-usaha pembangunan golf yang dilaksanakan kelab seperti pembangunan golf peringkat junior KGPA dan mempertingkatkan jumlah keahlian kelab kita.

Hadiran yang dihormati sekalian,

Keahlian KGPA

8. Saya menaruh harapan dan bercita-cita untuk melihat fasiliti golf dan kemudahan rekreasi yang disediakan oleh KGPA dikongsi oleh seberapa ramai penjawat awam.  Pada tahun 2011, seramai 94 orang ahli baru telah menyertai KGPA di mana 71 orang merupakan penjawat awam yang masih dalam perkhidmatan, seramai 12 orang sebagai Ahli Bersara, 9 orang sebagai Ahli Berjangka dan 2 orang sebagai Ahli Keluarga Berbayar. Penambahan keahlian ini bukanlah sesuatu yang dapat kita banggakan, dan wajar dipertingkatkan lagi terutama di kalangan pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam.  Berbanding satu atau dua dekad yang lalu, permainan golf telah berkembang pesat di kalangan penjawat awam sejajar dengan perkembangan dan promosi industri golf negara.  Kebanyakan pemain-pemain golf yang muda dan baru dalam Perkhidmatan Awam belum menjadi ahli kepada mana-mana kelab golf dan rekreasi. Kalangan mereka ini akan dijadikan sasaran untuk menambah ahli-ahli baru KGPA. Sebagai contoh, JPM di bawah Kelab Sukan Bukit Perdana mempunyai ramai pemain muda yang aktif dalam permainan golf. Oleh itu, saya berharap Y.Bhg. Datuk Othman Mahmood, TKSU Kanan JPM dapat membantu dalam menggalakkan pegawai-pegawai muda JPM menyertai keahlian KGPA.

9. Sehubungan itu, Jawatankuasa Am telah berusaha sedaya-upaya untuk memudahkan penjawat awam yang layak menjadi ahli terutama menarik keahlian pegawai-pegawai muda Perkhidmatan Awam dari pelbagai skim perkhidmatan.  Ini termasuk mereka yang belum disahkan dalam jawatan atau yang dilantik secara kontrak. Perkara ini, insyaAllah akan kita bincangkan dalam agenda mesyuarat pada hari ini.  Kita berharap dan menaruh keyakinan bahawa penglibatan pelbagai lapisan dan gabungan ini akan menambah baik lagi imej dan kesungguhan kelab kita, sebagai kelab sukan dan rekreasi yang utama bagi penjawat awam.

Kebajikan dan Motivasi Pekerja

10. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama dan usaha kakitangan di KGPA yang telah meningkatkan perkhidmatan di KGPA. Saya percaya kakitangan KGPA mampu melaksanakan tugas masing-masing dengan lebih baik pada sepanjang masa, demi menambah nilai positif dan reputasi KGPA yang dihormati. Sebagai pengiktirafan, Jawatankuasa Am memutuskan pemberian sumbangan bonus RM500.00 kepada kakitangan kelab untuk khidmat bakti mereka sepanjang tahun 2011.  Semoga dengan pemberian ini, daya produktiviti dan kreativiti mereka akan bertambah dan dipertingkatkan. Kepada semua ahli, saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan bagi pembayaran bonus ini.

11. Selain itu, sebagai Presiden KGPA, saya amat berbangga dengan prestasi Encik Mahat Bahari sebagai Pengurus Besar KGPA yang dilantik hampir setahun lalu. Menerusi daya usaha beliau dan sokongan daripada Jawatankuasa Am KGPA dan ahli-ahli, kelab kita telah mula menerima pengiktirafan sebagai kelab golf yang menarik, mudah dan menyeronokkan terutama di kalangan ahli dan pemain-pemain golf. Kejayaan Pengurus Besar dalam menghasilkan impak yang positif kepada kelab, banyak dijayakan menerusi pandangan, dorongan dan penglibatan yang diterima daripada pelbagai pihak terutamanya ahli dan pelanggan kelab. Adalah sukar untuk kita mengusahakan kejayaan sesuatu perubahan, tanpa kita merunding atau mendapatkan pandangan pihak-pihak yang terlibat dalam proses transformasi tersebut.

12. Sebagaimana yang telah saya nyatakan semasa memberi ucapan sempena Piala Presiden 2012 pada 18 Mac 2012 lalu, menguruskan sebuah kelab golf seumpama KGPA ini, sebenarnya adalah sama seperti mana kita menguruskan Perkhidmatan Awam. Ia menjadi lebih mudah lagi sekiranya kita mempunyai pegawai-pegawai yang terbaik untuk memastikan segala keperluan kelab dan pelanggan dapat disediakan dengan sebaik mungkin. Kita juga perlu meletakkan kepercayaan kepada pegawai yang dilantik untuk mereka menjalankan tugas yang diberikan. Pegawai yang menerima amanah dan kepercayaan yang telah diberikan, perlu melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi, komited dan berintegriti.

13. Berdasarkan prestasi KGPA yang amat baik ini, kita sebenarnya berjaya menyangkal persepsi bahawa Perkhidmatan Awam tidak boleh menguruskan sebuah kelab golf dan rekreasi dengan jayanya. Kita pada masa ini berada di landasan yang terbaik, bukan sahaja kejayaan dalam pengurusan kelab tetapi mampu merubah imej KGPA sebagai antara kelab golf dan rekreasi yang terbaik negara dan menjadi tumpuan ramai.

Hadiran yang dihormati sekalian,

Galakan Penggunaan Fasiliti KGPA

14. Saya ingin menarik perhatian ahli-ahli dengan pelbagai kemudahan rekreasi yang terdapat di KGPA selain lapangan golf untuk sama-sama kita manfaatkan. Ada kalanya sebagai ahli, kita kadangkala terlupa dengan kemudahan rekrasi yang disediakan ini, kerana keasyikan dan keseronokan kita dengan kemudahan dan perkhidmatan golf yang disediakan. Untuk itu, marilah kita bersama keluarga turut sama memaksimumkan penggunaan kompleks kolam renang, kemudahan gimnasium, 2 buah gelanggang tenis dan sebuah karaoke lounge. Yang paling terbaru ialah kemudahan Taman Eko Rimba yang telah dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). Fasiliti ini menawarkan sebuah taman untuk seisi keluarga bersantai menikmati udara segar bersuasanakan persekitaran hutan tropika di tengah kesibukan bandar raya Kuala Lumpur.

15. Selain daripada kita sama-sama menghargai dan menikmati kemudahan rekreasi ini, amatlah wajar juga untuk budaya senggaraan yang konsisten diamalkan dan diberi penekanan pada setiap masa, terutamanya dalam menjaga kebersihan, kecantikan dan keselesaan KGPA sebagai kelab yang diterajui oleh anggota Perkhidmatan Awam.

16. Hasil dari amalan penyenggaraan ini, kita akan merasa kepuasan apabila menggunakan kemudahan rekreasi kelab atau semasa bermain golf, menerusi keindahan dan kehijauan pokok-pokok, padang golf dan green yang berkualiti, termasuk layanan para pekerja yang berbudi bahasa. Imej positif sebegini perlu dihayati sentiasa dan dijadikan budaya demi reputasi KGPA secara keseluruhannya.

Hadiran yang dihormati sekalian,

Semangat Kesefahaman dan Perpaduan

17. Menerusi sifat keterbukaan, saling faham memahami serta semangat toleransi antara satu sama lain, kita berharap semangat kesefahaman, keharmonian dan perpaduan di KGPA dapat dikekalkan pada sepanjang masa. Ini, adalah sangat penting.

18. Sebagai ahli KGPA, kita perlu sentiasa menyedari bahawa kita turut melaksanakan peranan yang penting dalam memasarkan imej KGPA kepada masyarakat luar.  Oleh yang demikian, tingkah laku kita perlu sentiasa diberi perhatian demi menjaga nama baik dan reputasi KGPA.  Kita perlu merasa gembira, jika Jawatankuasa Kecil Kapten memaklumkan tiada pelanggaran disiplin di kalangan ahli pada tahun 2011.  Ini akan membuktikan bahawa ahli-ahli sentiasa mematuhi etika permainan dan dihayati sebagai satu budaya di KGPA.  Dan saya berharap dan percaya ini patut ditunjukkan oleh Ahli Jawankuasa Am.

Hadiran yang dihormati sekalian,

19. Pada hari ini, mesyuarat akan melaporkan kedudukan kewangan dan juga Laporan-Laporan Jawatankuasa bagi tahun 2011. Untuk itu, Jawatankuasa Am akan mengambil tindakan bagi memberi perhatian kepada perkara-perkara yang dibangkitkan dan jika bersesuaian melaksanakannya dengan secepat mungkin. Penglibatan semua ahli dalam memajukan kelab kita amatlah penting kerana kita semua adalah pengguna tetap segala kemudahan yang disediakan di sini.  Setiap cadangan atau idea akan diambil kira dan akan dilaksanakan sekiranya bersesuaian dan wajar.

20. Akhir kata, terima kasih kepada semua kerana hadir pada Mesyuarat Agong KGPA kali ke-19 pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply



× nine = 27

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →