Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2018 Peringkat Negeri Sabah
Jumaat, 29 Jun 2018
Hotel Hilton, Kota Kinabalu, Sabah
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan
Salam Sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Dr. Yusof Yacob, Menteri Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah, mewakili Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah,
Yang Berbahagia Datuk Pengiran Hassanel Datuk Pengiran Hj Mohd Tahir, Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan Negeri Sabah, yang juga Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS,
Yang Berbahagia Dato’ Raiha Azni Abdul Rahman, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, PETRONAS
Yang Berusaha Encik Mohd Zaini Mohd Yunus, Pengerusi PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan,
Dif-Dif Kehormat,
Pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri,
Warga keluarga PETRONAS,
Rakan-rakan Media,
Para pelajar dan ibu bapa,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama melafazkan rasa syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya kita diberi kesempatan untuk berkumpul di majlis yang amat bermakna pada pagi ni.
2. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan di bulan Syawal ini, untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat Islam. Semoga perayaan ini terus memberi ruang kepada kita untuk mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan persaudaraan, apatah lagi di Negeri Di Bawah Bayu ini yang sememangnya kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya.
3. Bagi pihak PETRONAS, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian YB Datuk Dr. Yusof Yacob untuk menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah, Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2018 Negeri Sabah pada pagi ini. Sesungguhnya, kehadiran YB Datuk memberi makna yang amat besar kepada semua warga PETRONAS, institusi-institusi lain yang turut terlibat terutamanya para pelajar dan ibu bapa yang hadir pada hari ini.
4. Seterusnya, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah di atas amanah yang diberi di dalam Pilihan Raya baru baru ini. Saya berdoa Negeri Sabah akan terus pesat membangun menjadi negeri yang lebih maju dan lebih makmur, InsyaAllah.
PETRONAS TERUS KOMITED JALANKAN CSR
Para hadirin yang dihormati,
5. PETRONAS meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap pendidikan dalam konteks Tanggjungjawab Sosial Korporat (CSR) kami. Bermula dengan penzahiran komitmen kami di dalam penyataan misi kami – “We Contribute To The Wellbeing of Society”, PETRONAS telah menggariskan tiga teras CSR yang utama iaitu: Pendidikan, Kesejahteraan & Pembangunan Komuniti, serta Pemuliharaan Alam Sekitar. Dengan 3 teras inilah, PETRONAS, khasnya anak-anak syarikat kami yang beroperasi di Sabah menggembeling segenap sumber sebagai sokongan padu kepada kerajaan Negeri dalam membangunkan sosio-ekonomi Sabah secara lebih holistik ke arah kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang mampan.
6. PETRONAS telah memperkenalkan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PETRONAS Education Sponsorship Program – PESP) setahun selepas penubuhannya, iaitu pada tahun 1975. Ini bermakna sudah 43 tahun program Penajaan Pendidikan PETRONAS ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM. Hingga ke hari ini, lebih 36,000 pelajar cemerlang telah menerima penajaan PESP membabitkan peruntukan lebih RM 3 bilion. Walaupun adakalanya berdepan pasaran minyak mentah global yang rendah, PETRONAS komited untuk meneruskan tajaan pendidikan menerusi PESP kepada pelajar-pelajar yang layak bagi menyumbang kepada pembangunan negara. Aspek pembinaan negara bangsa yang komprehensif menjadi pendorong kepada peruntukan berterusan syarikat dalam PESP ini. PETRONAS bangga alumni PESP kini menjadi golongan profesional dan memegang jawatan penting dalam Kerajaan dan swasta.
7. Tahun ini PETRONAS menerima lebih 8,000 permohonan untuk PESP. Dari jumlah ini, 1,400 calon telah disenaraipendek untuk menghadiri sesi ujian serta temuduga yang dikenali sebagai PETRONAS Youngstars Day pada pertengahan April lalu. Siri ujian dan temuduga ini menggunakan sukatan piawaian antarabangsa bagi membolehkan kita menilai calon yang benar-benar berkelayakan. Daripada jumlah tersebut, PETRONAS menganugerahkan sebanyak 300 penajaan dengan peruntukan sebanyak RM 113.4 juta iaitu bersamaan purata RM 378 ribu untuk setiap pelajar. Seramai 34 pelajar atau kira-kira 11% dari mereka, adalah anak-anak Sabah dari serata negeri – Lahad Datu, Kota Belud, Keningau, Tawau, Sandakan dan juga Kota Kinabalu. Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang kita raikan pada hari ini. Mereka akan meneruskan pengajian di Universiti Teknologi PETRONAS dan universiti-universiti terkemuka di luar negara. Mari kita berikan satu tepukan gemuruh buat mereka!
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
8. Selain daripada PESP, PETRONAS juga berkolaborasi erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri serta rakan strategik yang lain bagi menjayakan beberapa lagi inisiatif di dalam bidang pendidikan. Di Sabah, pelbagai program berteraskan pendidikan dilaksanakan, antaranya Program Sentuhan Ilmu (PSIP) yang memberi manfaat kepada lebih 800 orang anak-anak Sabah sejak 2003. Ini diikuti oleh Program Sekolah Amanah atau Trust School bergandingan dengan Yayasan AMIR melibatkan 5 buah sekolah dalam Kluster Kimanis sejak 2015 bertujuan memacu transformasi sekolah awam. Di samping itu, PETRONAS juga bekerjasama dengan MARA menerusi pelaksanaan Program BUDI yang membantu pelajar-pelajar MRSM dari latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan agar dapat terus melanjutkan pembelajaran mereka. Dari aspek pembangunan infrastruktur pendidikan pula, PETRONAS berbesar hati diberi amanah dan tanggungjawab dalam menaja pembinaan sebuah sekolah MRSM baru di Ranau dan pembinaan sebuah asrama harian luar bandar di Pulau Balambangan, Kudat.
9. Tidak hanya tertumpu kepada peringkat rendah dan menengah, PETRONAS juga memberi penekanan kepada pendidikan vokasional dan kemahiran. Kerana itulah PETRONAS mengambil langkah penajaan beberapa institusi latihan kemahiran menerusi program VISTA memberi manfaat kepada lebih 2,000 orang pelatih dari kalangan anak-anak Sabah sejak 2007. Dan komitmen ini dikukuhkan lagi dengan tertubuhnya Kimanis Petroleum Training Centre (KTC) yang berhasrat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang minyak dan gas juga serta industri-industri relevan, dari kalangan anak watan Sabah.
Hadirin, hadirat sekalian,
10. PETRONAS turut terlibat di dalam Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti, iaitu teras kedua dalam fokus CSR kami. Antaranya Program Planting Tomorrow di Kota Marudu dan Imbak di mana golongan masyarakat diperkasakan untuk meningkatkan taraf hidup dengan siri latihan keusahawanan serta menyediakan ruang kebolehpasaran mereka. Program “All About Youth” yang semakin dikenali di kalangan pelajar-pelajar juga telah memberi impak secara langsung kepada komuniti terpilih di seluruh Sabah. Semakin banyak aktiviti ekonomi dan komuniti telah lahir menerusi cetusan projek-projek para pelajar yang mengikuti Program “All About Youth”.
11. Di dalam teras Pemeliharaan Alam Sekitar pula, PETRONAS berbangga dapat diberikan kesempatan untuk berbakti dalam pembangunan Imbak Canyon Conservation Area yang merangkumi 30 ribu hektar hutan simpanan. Ini adalah satu inisiatif berskala besar sebagai menyokong Yayasan Sabah dan Kerajaan Negeri dalam pemeliharaan khazanah alam sekitar yang cukup unik dan kaya dengan pelbagai flora dan fauna di negeri ini. Banyak lagi usaha-usaha tanggungjawab sosial yang telah dilaksanakan oleh anak-anak syarikat PETRONAS yang beroperasi di Sabah.
12. Kesemua inisiatif yang dilaksanakan lahir di atas semangat amanah kepada Negara dan rasa ingin melihat kemakmuran Negara dikecapi bersama.
MENDEPANI CABARAN REVOLUSI PERINDUSTRIAN 4.0
Hadirin sekalian,
13. Sejak akhir-akhir ini, kita sering didedahkan mengenai Revolusi Perindustrian ke-4, atau Industrial Revolution 4.0. Secara amnya, ia menyentuh aspek perubahan besar dalam era perindustrian di seluruh dunia. Ia umpama sebuah gelombang yang menuntut agar semua pihak mempunyai kemampuan menghadapi perubahan sama ada dalam organisasi, keluarga mahupun di peringkat individu.
14. Di PETRONAS, kami juga sedar bahawa perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng. Justeru itu, kami mengambil pendekatan positif, dengan menekankan aspek daya tahan yang kental di kalangan setiap kakitangan, dan pada masa sama menjadikan perubahan itu suatu peluang untuk kita mencipta lebih banyak penambahbaikan terhadap organisasi.
15. Sehubungan dengan itu, saya ingin berpesan kepada anak-anak penerima tajaan pendidikan PESP sekalian. Satu ciri keperibadian yang perlu ada dalam setiap individu yang ingin berjaya adalah resilience. Kecekalan. Ketekunan. Binalah kekuatan diri dengan iman, jatidiri yang teguh serta sentiasa amalkan budaya positif dalam kehidupan seharian. Tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Dan tidak ada resipi lain untuk kita bertahan sebagai khalifah yang memegang amanah, melainkan kekuatan dalaman yang akhirnya diterjemahkan kepada produktiviti serta kualiti diri yang unggul.
16. Saya juga menyeru kepada ibubapa, penjaga dan keluarga, untuk terus memberikan sokongan dan bimbingan kepada anak-anak kita. Keluarga andalah sistem sokongan yang paling penting buat mereka semua dalam mengharungi tahun-tahun penting sepanjang tempoh pengajian. Kami menjunjung dan memandang tinggi pengorbanan anda semua!
17. Saya berdoa semoga anak-anak semua menjadi insan berjaya yang akan kembali untuk menabur bakti bukan sahaja kepada keluarga dan komuniti anda, malah lebih dari itu, untuk PETRONAS, untuk Negeri Sabah dan untuk Negara kita. Dan ingatlah dalam apa jua bidang, baik masih belajar atau setelah bekerja, kita semua perlu melakukan kerja dengan penuh integriti. SYABAS! YOU CAN DO IT!
PENUTUP
Para hadirin sekalian,
18. Mengakhiri ucapan saya pada hari ini, bagi pihak PETRONAS, saya ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Yusof Yacob kerana sudi meluangkan masa menghadiri majlis pada hari ini. Saya yakin dan percaya kerjasama erat di antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah, serta semua institusi terbabit akan terus dipertingkatkan lagi dalam usaha kita bersama memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sabah. Lebih daripada itu, saya yakin kerjasama erat dan bersepadu ini juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan yang meliputi segenap industri di negeri Sabah, InsyaAllah.
Wabillahi taufik walhidayah, wassamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.