Majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2011
Bismillaahir rahmaanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
YBhg. Datuk Othman bin Mahmood
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan
Jabatan Perdana Menteri
YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin
Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Para Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPM
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan keizinan Nya, Majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri 2011 dapat diadakan pada pagi ini.
2. Sebagaimana sedia maklum, Majlis ini bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada warga Jabatan Perdana Menteri atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka dalam melaksanakan tugas rasmi, di samping penglibatan aktif dalam kegiatan sukan dan sosial. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai yang berjaya memperolehi pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini serta Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri pada tahun ini.
3. Sesungguhnya saya amat berbangga di atas keupayaan pegawai-pegawai kita menunjukkan prestasi cemerlang dan berharap ia dapat dijadikan contoh dan dorongan kepada yang lain untuk mengorak langkah yang sama. Majlis Anugerah Kecemerlangan pada hari ini membuktikan bahawa modal insan berprestasi tinggi sentiasa diberi penekanan di JPM, malah di dalam seluruh pentadbiran awam di negara kita. Pemberian pengiktirafan dalam bentuk anugerah kecemerlangan ini merupakan satu manifestasi keprihatinan Pengurusan Atasan JPM dan Kerajaan terhadap modal insan berkualiti serta budaya berprestasi tinggi.
Saudara-saudari sekalian,
4. Dalam senario perkhidmatan awam masa kini yang sentiasa berubah dengan keperluan untuk memenuhi ekspektasi stakeholder dan pelanggan yang semakin kompleks, budaya kecemerlangan merupakan teras kepada kelangsungan perkhidmatan awam. Dalam konteks ini, bagi memastikan peranan perkhidmatan awam terutamanya kredibiliti penjawat awam sentiasa relevan, semua warga JPM perlulah menjiwai budaya berprestasi tinggi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dari segenap aspek.
5. Pengiktirafan kepada warga kerja yang menunjukkan prestasi cemerlang bukan hanya dilaksanakan di JPM. Secara umumnya, Kerajaan sentiasa komited menyediakan pelbagai jenis ganjaran kepada mana-mana individu yang berprestasi tinggi serta mempamerkan pencapaian yang luar biasa. Antara anugerah kecemerlangan utama negara adalah seperti Anugerah Inovasi Perdana Menteri, penganugerahan tokoh-tokoh sempena sambutan majlis dan perayaan seperti Maal Hijrah dan Tokoh Guru, misalnya. Penganugerahan seperti ini, diharapkan menjadi platform bagi menggalakkan dan mendorong individu untuk memberikan yang terbaik kepada negara dan kepada rakyat.
6. Pada tahun ini pengiktirafan turut diberikan kepada 29 orang pegawai yang telah memberikan idea bernas di dalam pertandingan Pemudah Challenge. Saya merasa bangga warga JPM turut mengukir nama sebagai pemenang dan berharap lebih ramai lagi yang akan menghasilkan idea-idea baru dan unik untuk kita laksanakan. Saya telah seringkali menyatakan “Bring the 27th century forward to now”, yang membawa maksud kita hendaklah sentiasa mencabar akal dan minda kita untuk berfikir jauh ke hadapan bagi membuahkan idea yang futuristik untuk direalisasikan dan dimanfaatkan pada hari ini. Dengan cara ini, perkhidmatan awam akan sentiasa berada dihadapan keluk serta dapat menandingi arus perubahan serta kehendak pelanggan yang dinamik.
Saudara-saudari yang dihormati,
7. Usaha mengadakan Anugerah Inovasi bertujuan untuk menggalakkan penciptaan serta penyuburan inovasi, sekali gus memberi pengiktirafan ke atas pelaksanaan inovasi di jabatan dan agensi di bawah JPM. Pada tahun ini, sebanyak 15 buah jabatan dan agensi telah menyertai pertandingan yang melibatkan 31 produk dan projek inovasi. Bilangan ini masih kecil berbanding 63 buah jabatan dan agensi di bawah JPM pada masa ini. Justeru, saya berharap lebih banyak jabatan akan menyertai pertandingan ini pada masa hadapan. Saya juga ingin mengesyorkan agar ketua-ketua jabatan menjadikannya sebagai satu KPI untuk menghantar sekurang-kurangnya 1 penyertaan inovasi dalam pertandingan Anugerah Inovasi JPM untuk setiap tahun.
8. Selaras dengan sifat pertandingan berbentuk inovasi, penganjuran Anugerah Inovasi tahun 2011 juga mengalami pembaharuan berbanding tahun sebelumnya. Elemen pembaharuan yang dimaksudkan adalah pengenalan 4 kategori baru untuk pemberian hadiah, iaitu kategori ICT; kategori bukan-ICT; kategori Most Promising; dan kategori Most Innovative bagi jabatan dan agensi di bawah JPM.
9. Pengenalan 4 kategori ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada kepelbagaian dimensi inovasi serta membuka peluang kepada pelbagai jabatan dan agensi mendapat pengiktirafan sesuai dengan perkhidmatan teras masing-masing. Sebelum ini, sering kedengaran rungutan bahawa pemenang-pemenang anugerah hanya dari kalangan “big brothers” dan “big sisters” seperti MAMPU, JPA dan ICU. Saya berharap dengan mempelbagaikan kategori pertandingan pada kali ini, tradisi dominasi tersebut akan dapat dipecahkan.
10. Namun begitu, pembudayaan inovasi tidak seharusnya tertumpu setakat mengadakan pertandingan dan meraikan pihak yang berjaya semata-mata. Apa yang lebih penting dan perlu ditekankan adalah pembudayaan berfikir secara inovatif dalam mencipta cara-cara baru melaksanakan tugas serta memberikan perkhidmatan yang menepati, hatta melepasi kehendak pelanggan.
11. Saban tahun, banyak produk inovasi hasil ciptaan jabatan dan agensi telah dipertandingkan. Walaupun tidak semuanya mendapat pengiktirafan dan memenangi anugerah, sebahagian besarnya sesuai untuk diadaptasi dan diperluaskan penggunaannya oleh pelbagai jabatan dan agensi. Sehubungan itu, diharapkan terdapat usaha untuk mengkomersialkan produk-produk inovasi tersebut di kalangan jabatan serta dipergiatkan penggunaannya dalam konteks perkongsian pintar. Dengan cara ini, jabatan dan agensi tidak perlu “reinvent the wheel” bagi mendapatkan penyelesaian kepada masalah yang sama.
Saudara-saudari sekalian,
12. Penggunaan sumber secara optimum adalah sesuatu yang perlu sentiasa ditekankan oleh setiap organisasi perkhidmatan awam. Sejak tahun 2010, JPM telah mengambil pendekatan menggabungkan beberapa majlis pengiktirafan menjadi satu majlis dan dengan itu telah berjaya menjimatkan perbelanjaan Kerajaan. Penggabungan beberapa majlis dan dibuat secara serentak juga mengurangkan overhead cost serta menjimatkan masa pegawai yang bertindak sebagai urus setia. Sekiranya kita melaksanakan 5 majlis yang berbeza, maka terdapat beberapa aspek penganjuran tersebut akan berulang sebanyak 5 kali. Tetapi sekiranya digabungkan, hanya perlu dilakukan sekali sahaja.
13. Sebagai contoh, pada tahun ini 42 jabatan telah menyertai Majlis Anugerah Kecemerlangan JPM 2011 yang melibatkan seramai 985 penerima. Sekiranya dibuat secara berasingan dan setiap jabatan membelanjakan hanya RM20,000 sahaja pun, keseluruhan jumlah yang akan dibelanjakan oleh Kerajaan adalah RM840,000. Jumlah ini jauh lebih tinggi dari RM185,000 yang dibelanjakan untuk penganjuran majlis pada hari ini. Ini merupakan satu lagi contoh perkongsian pintar dan kolaborasi strategik antara jabatan yang memberi manfaat kepada Kerajaan dari aspek dasar perbelanjaan berhemat. Syabas diucapkan kepada ketua-ketua jabatan yang membuat keputusan untuk menyertai Majlis Anugerah Kecemerlangan pada hari ini. Saudara-saudari adalah wira negara.
14. Namun begitu saya ingin mengingatkan agar ketua-ketua jabatan jangan pula mengadakan majlis lain selepas ini untuk meraikan penerima anugerah di jabatan masing-masing. Memadailah dengan menyebutkan nama penerima pada Majlis Perhimpunan Bulanan jabatan sebagai hebahan dan perkongsian maklumat di kalangan warga jabatan keseluruhannya.
Saudara-Saudari sekalian,
15. Sebagai memberi pengiktirafan dan penekanan akan peri pentingnya mengamalkan aspek kecemerlangan secara berterusan, pada tahun ini Anugerah Khas JPM telah diperkenalkan. Penerima Anugerah ini adalah salah seorang dari kalangan 985 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPM 2011. Anugerah khas ini diperkenalkan sebagai pengiktirafan istimewa kepada penerima yang mempunyai rekod yang paling cemerlang berbanding penerima yang lain. Antara kriteria yang digunakan adalah pegawai telah menerima sekurang-kurangnya 3 pengiktirafan perkhidmatan cemerlang di sekurang-kurangnya 2 buah jabatan yang berbeza di sepanjang perkhidmatannya. Selain itu, sumbangan di luar tugas rasmi juga turut diambil kira. Justeru, sama-samalah kita tunggu siapakah pemenangnya yang akan diumumkan pada penghujung majlis ini nanti.
16. Seterusnya, sebagaimana saudara-saudari sedia maklum Jabatan Perdana Menteri melalui Kelab Bukit Perdana, MAKSAK dan MAKSWIP amat aktif dalam menganjurkan program-program berkaitan sukan dan aktiviti sosial. Selain menumpukan perhatian terhadap tugas rasmi yang dipertanggungjawabkan, tidak kurang pentingnya juga bagi kita melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti sukan, kebajikan dan sosial. Melalui penglibatan ini kita akan dapat memupuk semangat bekerjasama, tolong-menolong dan sifat saling mempercayai di kalangan rakan-rakan setugas.
17. Di samping menjalin “networking” yang baik sesama kita, penglibatan di dalam aktiviti sukan juga dapat “merehatkan” minda daripada terus-menerus memikirkan urusan harian dan pekerjaan. Justeru saya amat menggalakkan penjawat awam untuk meluangkan masa menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Dalam kesibukan melaksanakan tugas-tugas rasmi, ketua-ketua jabatan juga hendaklah turut sama meluangkan masa menjayakan program sukan, kebajikan dan sosial di jabatan masing-masing, bagi meningkatan persefahaman serta mengukuhkan semangat bekerja berpasukan antara majikan dan pekerja, seterusnya menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti.
Saudara-saudari sekalian,
18. Bagi mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pegawai dan agensi Jabatan Perdana Menteri yang menerima Anugerah Kecemerlangan 2011. Adalah penting komitmen serta pencapaian cemerlang ini diteruskan malah sentiasa dipertingkatkan. Semoga kesungguhan dan kecemerlangan yang ditunjukkan akan dapat mendokong serta merealisasikan usaha Kerajaan ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
Sekian,
Wabillahittaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.