Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARA Peringkat Ibu Pejabat, Wilayah Persekutuan dan Selangor Tahun 2011
Bismillaahir rahmaanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Y.B. Dato’ Seri Idris bin Jusoh
Pengerusi MARA
YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad
Ketua Pengarah MARA
YBhg. Dato’ Nursiah binti Arshad
Timbalan Ketua Setiausaha
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Ahli-ahli Majlis MARA,
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah
Ahli-ahli Pengurusan MARA dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Subsidiari MARA,
Pengawal-Pengawal Pusat Pentadbiran MARA
Para Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARA
YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin
Wakil Media
Tetamu Jemputan
Tuan-Tuan dan Puan-puan, Sidang hadirin yang dihormati sekalian
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia Nya jua kita dapat bersama-sama pada petang ini, sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARA 2011 Peringkat Ibu Pejabat, Wilayah Persekutuan dan Selangor.
2. Terlebih dahulu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada hari ini. Saya berharap agar saudara-saudari bukan sahaja menunjukkan prestasi cemerlang pada tahun 2011 sahaja, bahkan mampu terus meningkatkan kecemerlangan bagi tahun-tahun yang akan datang. Jadikanlah anugerah ini sebagai satu pemangkin serta inspirasi kepada warga kerja MARA yang lain ke arah peningkatan prestasi kerja yang lebih berkualiti lagi.
3. Penganugerahan ini sebenarnya adalah tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan terhadap prestasi cemerlang penjawat awam. Ia juga perlu dilihat sebagai satu bentuk motivasi untuk terus melaksanakan transformasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam negara kita. Saya yakin banyak perkara positif yang mampu dicapai sekiranya kita dapat bergerak bersama ke arah kecemerlangan dan mewujudkan persaingan sihat dengan niat yang ikhlas untuk memajukan bangsa dan negara kita
Saudara-saudari sekalian,
MARA PENGGERAK TRANSFORMASI
4. Sekiranya saudara-saudari masih ingat dan sebagaimana yang disebut oleh Ketua Pengarah sebentar tadi, pada 1 Mac tahun lepas, saya telah bersama-sama dengan warga kerja MARA melancarkan Kerangka Transformasi Strategik MARA 2011-2020. Saya telah berkesempatan meneliti dan melihat perkembangan program transformasi MARA ini, dan berpuas hati ianya telah dijajarkan bagi menepati inti pati dan hasrat kerajaan di bawah Government Transformation Program, Economic Transformation Program, Rural Transformation Program, Gagasan 1Malaysia dan Rancangan Malaysia Ke-10. Adalah penting usaha yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan adalah selari dengan hala tuju yang ditetapkan oleh Kerajaan, demi untuk memastikan kejayaan segala usaha pembangunan yang dihasratkan.
5. Dalam konteks transformasi ini, saya melihat perlunya MARA fokus ke arah menjayakan Rural Transformation Program yang menjadi salah satu agenda utama masa kini dalam membangunkan masyarakat luar bandar. Usaha perlu ditumpukan kepada 2 asas utama pembangunan masyarakat, iaitu pendidikan dan keusahawanan. Pada hemah saya, MARA telah pun mempunyai asas yang kukuh untuk melatih serta mendidik anak-anak luar bandar terutamanya dalam bidang berkemahiran tinggi. Dengan gugusan Institusi Pendidikan MARA dari peringkat asas di GIATMARA sehinggalah peringkat pengajian tinggi, anak muda luar bandar perlulah dididik supaya mereka menjadi sebahagian daripada guna tenaga berkemahiran yang mampu menjana pendapatan tinggi.
6. Model Baru Pendidikan MARA yang fokus kepada pembangunan insaniah dan peningkatan akhlak, kemudian dituruti oleh ilmu dan kemahiran adalah amat relevan. Dalam hubungan ini, sistem pendidikan akademik sedia ada, yang bermula dari peringkat menengah di Maktab Rendah Sains MARA perlu diperkukuh supaya anak-anak luar bandar dapat diberikan pendidikan terbaik sehinggalah ke universiti-universiti terkemuka luar negara dalam pelbagai bidang yang diperlukan negara kita.
Saudara-saudari sekalian,
7. Selain fokus akademik dan latihan kemahiran, usaha juga perlu diperkasakan untuk pembangunan Usahawan Luar Bandar. Saya melihat komuniti usahawan MARA kini amat luas dan meliputi pelbagai bidang perniagaan. Melalui strategi pendekatan bersepadu yang sedang dilaksanakan, saya yakin MARA dapat membangunkan usahawan Bumiputera terutamanya di luar bandar untuk mereka mencipta aktiviti ekonomi dan kekayaan bagi masyarakat Bumiputera. Sehubungan dengan ini, pada hemah saya, sasaran MARA untuk membantu 100,000 Usahawan Bumiputera IKS dalam tempoh RMK-10 adalah amat bertepatan dan relevan sekali. Jumlah sasaran ini ialah melalui program-program pembudayaan, pewujudan, pemantapan dan “groom big”.
8. Dalam masa yang sama, usahawan-usahawan baru terutamanya dari kalangan belia perlu dilatih supaya mereka menjadi tenaga penggerak ekonomi usahawan Bumiputera pada masa hadapan. Saya difahamkan MARA telah pun mengadakan pelbagai program keusahawanan untuk remaja seperti Program Persediaan Keusahawanan Sains yang merupakan kerjasama antara MARA dengan Universiti Malaysia Kelantan. Melalui program pengajian pra universiti ini, diharapkan graduan sains berlatar belakang kukuh dalam bidang keusahawanan akan dapat dilahirkan, Insya Allah.
9. Dalam aspek keusahawanan ini juga, saya melihat anak-anak didik MARA telah melahirkan begitu banyak inovasi dalam pelbagai bidang sains, teknologi dan teknikal. Maka perlunya ada satu platform untuk mengkomersialkan produk-produk inovasi ini. Dalam hubungan ini, MARA telah pun mengorak langkah tepat berkolaborasi dengan Agensi Inovasi Malaysia, sebagaimana yang disebut oleh Datuk Ibrahim, MOSTI dan MIMOS. Oleh itu, amat penting untuk MARA mempertingkatkan usaha-usaha kolaborasi dengan agensi berkaitan inovasi yang lain sama ada di peringkat Kementerian, NGO, syarikat korporat dan sebagainya, bagi memastikan produk-produk inovasi yang dihasilkan akan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan rakyat Malaysia.
10. Sebagai contoh, program MRSM IDEAPRENEUR INNOVATION PROGRAMME dengan tema Moving Innovation telah menjadi platform kepada pelajar-pelajar MRSM mengemukakan cadangan projek yang kreatif dan inovatif yang seterusnya dapat diketengahkan kepada masyarakat. Program kolaborasi antara MARA dan Yayasan Inovasi Malaysia ini bukan sekadar mewujudkan pelajar MRSM yang berfikiran kritis dan kreatif, tetapi dalam jangka masa panjang ciri-ciri keusahawanan dapat ditanamkan ke dalam diri mereka.
Saudara-saudari sekalian,
STRATEGI PERKHIDMATAN AWAM YANG KEJAT
11. Bagi membawa aspirasi dan hasrat menjayakan strategi transformasi ini, MARA hendaklah lebih utuh, kukuh serta mampu menjadi enabler ke arah menjayakan program-program yang telah digariskan. Maka, penekanan perlulah diberikan ke arah mewujudkan modal insan yang berintegriti tinggi, komited dan berinovasi untuk menghasilkan produktiviti dan mutu kerja yang tinggi dan dalam masa yang sama dapat meminimumkan kos.
Multi-Skilling Dan Multi-Tasking
12. Jika dahulu sesuatu tugasan memerlukan kemahiran 2 hingga 3 pekerja, namun dengan mengambil kira strategi perkhidmatan awam yang kejat, pekerjaan tersebut boleh dilakukan oleh seorang pekerja sahaja melalui peningkatan kemahiran, bantuan teknologi serta proses kerja yang lebih kemas lagi. Oleh itu, warga kerja MARA perlu melengkapkan diri dengan pelbagai aspek pengetahuan, kemahiran baru dan kreativiti agar mampu melaksanakan tugas secara multi-skilling dan multi-tasking, seterusnya memastikan produktiviti secara keseluruhannya berada pada tahap paling maksimum.
Penempatan Semula (Redeployment)
13. Saya kira MARA kini telah melaksanakan beberapa pendekatan di bawah Strategi Perkhidmatan Awam Kejat di mana salah satunya adalah melalui kawalan saiz struktur perkhidmatan dengan penempatan semula dan trade-off 3% daripada keseluruhan perjawatan di MARA. Di bawah Kajian Pertindihan Fungsi pula, MARA telah melaksanakan penstrukturan di beberapa Bahagian peringkat Ibu Pejabat supaya lebih jelas dan terperinci lagi fungsi setiap Bahagian. Sebagai contoh, Bahagian Pembangunan Usahawan telah dirungkaikan kepada 3 Bahagian yang lebih jelas fungsinya, iaitu Bahagian Pembangunan Usahawan, Bahagian Pembangunan Industri dan Perniagaan serta Bahagian Pelaburan dan Pembangunan Subsidiari.
Pengkorporatan
14. Dalam melaksanakan organisasi yang kejat ini juga, saya melihat MARA turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pengkorporatan pengurusan di beberapa fungsi MARA. Usaha ini bukan sekadar dapat meningkatkan keupayaan sistem penyampaian MARA, bahkan ia turut menjimatkan kos, meningkatkan kadar efisiensi, mewujudkan kerjasama awam dan swasta serta mengukuhkan daya saing kita.
15. Antara usaha pengkorporatan pengurusan yang dimaksudkan ialah melibatkan fungsi pembiayaan perniagaan dan kutipan hutang di bawah subsidiarinya, iaitu Rural Capital Sdn. Bhd. Syarikat ini beroperasi sebagai sebuah syarikat pengurusan yang akan mengendalikan pengurusan pembiayaan perniagaan yang dahulunya dikendalikan oleh Bahagian Pembiayaan Perniagaan, dan pengurusan kutipan hutang yang dikendalikan oleh Bahagian Kawalan Kredit.
16. Saya difahamkan projek perintis untuk aktiviti syarikat ini telah dilaksanakan di Pejabat MARA Negeri Selangor dan Pejabat MARA Wilayah Persekutuan di mana hasilnya memberikan kesan yang positif dan amat menggalakkan. Saya berharap MARA akan terus mengkaji dan mengambil tindakan penambahbaikan terhadap projek perintis ini bagi memastikan ia dapat memberikan pulangan pelaburan yang signifikan apabila syarikat telah beroperasi sepenuhnya kelak.
17. Selain itu, usaha MARA mengkorporatkan pengurusan Kenderaan Bas MARA di bawah Bahagian Industri Pengangkutan dan dikendalikan oleh subsidiari MARA iaitu MARALiner Sdn. Bhd. merupakan langkah bijak bagi mewujudkan budaya kerja korporat. Pendekatan ini sudah pasti akan meningkatkan keupayaan pengurusan dan yang lebih penting, menarik minat lebih ramai orang awam untuk menggunakan perkhidmatan MARALiner. Saya yakin usaha ini juga dapat mengelakkan berlakunya ketirisan dalam operasi seharian serta meningkatkan lagi nilai perkhidmatan yang disediakan.
Saudara-saudari sekalian,
Cross Fertilisation And Cross Assignment
18. Dalam usaha mewujudkan organisasi yang kejat, adalah amat penting keupayaan setiap anggota kerja sedia ada ditingkatkan. Dalam hal ini, saya berbangga MARA telah menyambut saranan kerajaan untuk melaksanakan program cross fertilisation dan cross assignment, di mana pegawai-pegawai MARA terpilih telah ditempatkan di pelbagai agensi dan GLC seperti di Khazanah, Telekom Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Talent Corp, Tenaga Nasional Bhd, Lembaga Urusan & Tabung Haji, dan Malaysia Airlines. Ini merupakan satu kaedah yang baik untuk warga kerja MARA menimba dan mempelajari ilmu serta meningkatkan kepakaran dalam bidang tertentu yang kemudiannya dapat memberi sumbangan positif kepada MARA.
19. Seterusnya, warga kerja MARA hendaklah terus melakukan perubahan dan mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi. Ini bagi memastikan MARA dapat bergerak sejajar dengan transformasi yang sedang dilakukan oleh kerajaan. Sememangnya transformasi memerlukan kepada keberanian, pemikiran positif, keupayaan tinggi dan yang lebih utama adalah tekad untuk menjunjung amanah rakyat. Justeru saya harap setiap warga kerja MARA dapat membudayakan nilai-nilai keusahawanan yang murni seperti integriti, komited, sense of urgency, inovatif, kreatif, value for money, belajar dari kesilapan serta lain-lain nilai yang murni. Ini bagi memastikan MARA terus berperanan sebagai organisasi berorientasikan keusahawanan yang disegani dengan keupayaan dan kebolehan mencorakkan pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi negara kita.
URUS TADBIR KORPORAT
20. Dalam hal nilai keusahawanan ini juga, saya kira MARA perlu memberi perhatian kepada penghayatan urus tadbir korporat yang baik. Sememangnya isu urus tadbir sering menjadi perhatian serta tumpuan masyarakat negara kita. Adalah penting urus tadbir korporat yang membanggakan diberikan penekanan supaya tidak ada elemen yang boleh menggugat kepercayaan masyarakat terhadap kewibawaan MARA kini.
21. Dalam hal ini, saya dimaklumkan MARA telah mengambil inisiatif proaktif ke arah melaksanakan urus tadbir korporat yang baik melalui usaha sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. MoU berkaitan usaha sama ini telah dimeterai pada 10 April 2012 yang lalu. Saya berharap dan saya berdoa melalui kaedah ini, MARA akan lebih telus, berdaya maju dan mampu membawa Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi dalam pelbagai aspek dan lapangan.
Saudara-saudari sekalian,
22. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya menyeru kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk menjadi agen perubahan serta memimpin kecemerlangan tidak kira di mana sahaja saudara-saudari menjalankan tugas. Saya yakin peranan saudara-saudari bukan sekadar untuk menjadi seorang individu yang cemerlang sahaja, tetapi juga turut bertanggungjawab untuk menjadi contoh kepada rakan-rakan sekerja yang lain untuk turut serta mencipta kecemerlangan.
23. Dengan kata-kata itu dan dengan lafaz Bismillaahir rahmaanir rahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MARA Peringkat Ibu Pejabat, Wilayah Persekutuan dan Selangor 2011.
Sekian
Wabillaittaufik walhidayah
Wassalaamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh