Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS 2017
Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Batu Rakit, Terengganu
Ahad, 18 Jun 2017
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh,
Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia,
dan Salam Negaraku Malaysia,
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad Razif Bin Abd Rahman, Menteri Besar Terengganu,
Yang Berhormat Haji A. Latiff Bin Awang, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri Terengganu,
Yang Berbahagia Dato’ Raiha Azni Binti Abd Rahman, Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, PETRONAS,
Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman,
Dif-Dif Kehormat,
Warga keluarga PETRONAS,
Teman-Teman Media,
Para pelajar dan ibu bapa,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana atas limpah izin dan kurniaNya jua, kita dapat bersama-sama bertemu di dalam majlis pada pagi ini.
2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan Ramadan Al-Mubarak kepada semua umat Islam. Semoga ibadah kita pada tahun ini dapat disempurnakan dengan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, Insya Allah. Lebih-lebih lagi untuk 7 malam terakhir di bulan Ramadan yang cukup istimewa buat kita semua.
3. Seterusnya, bagi pihak PETRONAS, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang sudi meluangkan masa untuk menyempurnakan majlis ini. Sesungguhnya, kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri memberi makna yang sangat besar buat kita semua.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
4. Negeri Terengganu Darul Iman merupakan salah sebuah negeri terawal yang sama-sama melalui detik-detik pertumbuhan PETRONAS sebagai pemegang amanah khazanah minyak dan gas negara.
5. Di sinilah fasiliti penapisan minyak PETRONAS yang pertama didirikan sejak tahun 1983. Di sini jugalah tercetusnya nadi penghubung rantaian gas negara, di mana stok suapan dari luar pesisir Terengganu diproses menjadi bekalan gas asli untuk penjanaan tenaga dan bahan mentah loji-loji petrokimia.
6. Dengan pertambahan aktiviti minyak dan gas yang rancak maka terbinalah pelbagai sokongan seperti lapangan terbang, pelabuhan, pusat dagangan komersial dan kawasan perumahan.
7. Malah, lokasi majlis hari ini, INSTEP adalah institusi latihan pertama PETRONAS yang ditubuh seawal tahun 1981 untuk mempercepatkan pembangunan modal insan melalui fasiliti pembelajaran bertaraf dunia untuk menyokong pertumbuhan industri minyak dan gas Malaysia. Ia satu contoh komitmen jangka panjang PETRONAS dan merupakan satu-satunya pusat latihan di dunia yang dilengkapi dengan Loji Latihan Huluan dan Hiliran yang menyediakan kemudahan simulasi senario loji sebenar.
8. Pembangunan fasiliti-fasiliti yang mampan ini bukan sahaja memangkin keperluan operasi PETRONAS, lebih dari itu seringkali dimanfaatkan untuk kegunaan komuniti setempat. Fasiliti Bekalan Air KIPC binaan PETRONAS di Dungun yang kini di bawah milik Kerajaan Negeri Terengganu sejak bulan Mei tahun lepas misalnya, telah mengeluarkan bekalan air bersih yang juga disalurkan ke kawasan-kawasan perumahan selama dua dekad lamanya, terus dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.
9. Walaupun telah terbinanya pelbagai infrastruktur di sekitar negeri Terengganu ini, bagi kami tiada yang lebih berharga dari jalinan ikatan antara PETRONAS dengan aspirasi negeri ini, yang berakar umbi daripada pembangunan modal insan anak-anak Terengganu sendiri bagi mencapai matlamat “Transformasi Terengganu Baharu”, demi kepentingan Negara.
Para hadirin sekalian,
10. Komitmen PETRONAS dalam pembentukan modal insan yang mampan di kalangan anak-anak Terengganu termateri dalam pelbagai inisiatif jangka panjang.
11. PETRONAS giat menyokong perlaksanaan program khas Transformasi Bahasa Inggeris atau TRENGLISH oleh Yayasan Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Dilaksanakan sejak tahun 2014, seramai 18,000 pelajar dari 50 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar negeri Terengganu telahpun melalui pelbagai aktiviti untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka.
12. PETRONAS juga telah berkolaborasi dengan Yayasan Amir dan Kementerian Pendidikan Malaysia bermula tahun lalu untuk melaksanakan Program Sekolah Amanah di negeri Terengganu. PETRONAS kini menaja 10 buah sekolah di Terengganu, di mana lima (5) daripadanya membentuk sebuah kluster di Kijal dan lima (5) membentuk sebuah lagi kluster di Marang. Program ini merupakan salah satu usaha PETRONAS dalam memacu transformasi pembelajaran yang holistik dan bertumpukan pada kecemerlangan dalam semua aspek di kalangan pelajar-pelajar.
13. Satu lagi mercu tanda yang melambangkan komitmen PETRONAS dalam aspirasi pendidikan adalah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS atau PETRONAS Education Sponsorship Programme (PESP). Sejak tahun 1975, PETRONAS telah merealisasikan impian lebih daripada 36,000 orang pelajar terpilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi di Universiti Teknologi PETRONAS dan universiti-universiti terkemuka di luar negara. Program ini telah menyaksikan peningkatan kelayakan yang memberangsangkan di kalangan pelajar-pelajar Terengganu. Tahun ini, PETRONAS telah menerima lebih 7 ribu permohonan dari seluruh pelosok negara. Daripada jumlah tersebut, seramai 353 orang pelajar telah meraih anugerah penajaan ini dengan peruntukan sebanyak RM 134 juta. Seramai 54 orang atau 15 peratus daripada jumlah penerima tajaan tahun ini merupakan pelajar-pelajar dari Terengganu. Syabas kerana berjaya dipilih selepas saringan yang ketat.
Para pelajar tajaan PETRONAS,
14. PETRONAS kini menempuh situasi harga minyak global yang rendah yang membawa pelbagai cabaran. Namun komitmen PETRONAS terhadap bidang pendidikan adalah satu amanah yang diambil berat dan akan diteruskan.
15. Oleh itu, amatlah besar harapan kami agar anda semua bekerja keras meneruskan legasi dan amanah ini, bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, malah lebih dari itu, untuk Negara kita. Hari ini adalah titik permulaan kepada fasa baru kehidupan anda semua yang pastinya memerlukan lebih banyak kerja keras, kegigihan berusaha, tumpuan penuh ke arah matlamat, dan sikap tidak berputus asa. Dengan komitmen padu daripada para pelajar sendiri, tidak mustahil suatu hari nanti, barisan pelapis kepimpinan PETRONAS dan Negara datangnya dari kalangan anda yang berada di dalam dewan pada hari ini.
16. Impian kami adalah melihat anda semua menempah kejayaan selepas menamatkan pengajian anda kelak. Ini semua adalah berkat doa restu dan hasil usaha yang tidak mengenal penat lelah oleh ibu bapa, penjaga serta guru-guru anda. Ingati dan hargailah pengorbanan dan jasa mereka yang telah berbakti kepada anda. Oleh itu, janganlah sesekali kita lupakan asal usul kita, terutamanya kepada mereka yang telah membentuk dan membolehkan kita mencapai kejayaan hari ini.
17. Hari ini, anda semua telah menjadi sabahagian daripada keluarga PETRONAS. Oleh itu, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada anda yang dipilih sebagai pelajar-pelajar tajaan PETRONAS! Satu tepukan gemuruh untuk Pelajar cemerlang Negeri Terengganu! Saya yakin anda semua bukan sahaja berupaya menjadi graduan yang berjaya, malah dapat menjadi modal insan contoh yang berketerampilan dan berupaya mengharumkan nama Negeri Terengganu dan tentunya nama Malaysia yang tercinta.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
18. Akhir kata, bagi pihak PETRONAS, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Ahmad Razif kerana sudi meluangkan masa menghadiri majlis pada hari ini. Saya yakin dan percaya kerjasama erat di antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Terengganu akan dipertingkatkan lagi dalam usaha kita untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan di Negeri Terengganu dan Negara kita. Semoga usaha kita hari ini dan hari hari mendatang sentiasa diberkati oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan membawa kearah kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang berterusan, Insya Allah.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh.