Majlis Pelancaran Program Pelaburan Sosial Korporat PETRONAS di Negeri Sabah
Khamis, 9 Februari 2017
Dewan Komuniti, Kota Marudu, Sabah
Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera,
Dan Salam 1 Malaysia,
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah,
Menteri-Menteri Kabinet,
Setiausaha Kerajaan Negeri,
Pembantu-Pembantu Menteri,
Dif-dif kehormat,
Wakil Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah,
Wakil Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,
Wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah,
Wakil Majlis Amanah Rakyat,
Wakil Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan, Sekretariat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),
Wakil Jabatan Kerja Raya,
Wakil Yayasan Sabah,
Wakil Yayasan Sejahtera,
Teman-teman warga kerja PETRONAS,
Rakan-rakan Media Cetak dan Elektronik,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan dan Para Hadirin yang saya hormati sekalian,
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana atas berkat limpah kurnia dan izin-Nya jua, kita dapat bersama-sama berhimpun di dalam majlis yang amat bermakna pada pagi ini.
2. Bagi pihak PETRONAS, saya ingin mengucapkan ribuan terima di atas kesudian YAB Ketua Menteri untuk menghadiri majlis pagi ini di Dewan Masyarakat, Kota Marudu dan seterusnya merasmikan Program Pelaburan Sosial Korporat PETRONAS di Negeri Sabah. Sesungguhnya kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima menambahkan lagi seri dan memberi makna yang amat besar kepada kesemua warga PETRONAS serta agensi-agensi dan organisasi-organisasi yang turut terlibat terutamanya rakyat tempatan yang hadir bersama pada pagi ini.
3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan daerah di Sabah. Sokongan padu yang telah diberikan oleh semua yang terlibat adalah faktor yang kritikal kepada kejayaan inisiatif PETRONAS di negeri Sabah.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
4. Majlis hari ini merupakan satu lagi titik bersejarah dalam susur perjalanan PETRONAS di Sabah. Walaupun harga minyak global merundum, PETRONAS kekal komited dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya. Ini adalah sejajar dengan misi kami untuk terus menyumbang ke arah kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang mampan. Lebih daripada hanya pelaburan, PETRONAS sebagai syarikat minyak dan gas Negara melihat inisiatif seperti yang akan dirasmikan hari ini sebagai tanggungjawab sosial korporat, demi kepentingan Negara kita.
5. Komitmen jangka panjang ini meliputi tiga turus utama iaitu pembangunan dan kesejahteraan masyarakat; pendidikan; dan pemuliharaan alam sekitar.
6. Disepanjang tahun 2016, hampir 40 jenis program dengan nilai sumbangan berjumlah RM 70 juta telah berjaya membawa manfaat kepada ribuan masyarakat di Sabah.
7. Saya berharap tidak lama lagi Pusat Pembelajaran Imbak Canyon, iaitu hasil usahasama PETRONAS dan Yayasan Sabah akan siap dibina dan mula beroperasi. Ini merupakan sebahagian daripada komitmen pemuliharaan khazanah hutan simpan 30 ribu hektar Imbak Canyon yang kaya dengan pelbagai flora dan fauna.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
8. Bagi membuka tirai tahun 2017, pagi ini kita bakal menyaksikan Pelancaran Pelaburan Sosial Korporat PETRONAS di negeri Sabah dalam aspek pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. Pelaburan tersebut dilaksanakan melalui tiga inisiatif sulungnya: iaitu Program Planting Tomorrow, Program Food Basket, dan Program Pembangunan Belia. Bagi menjayakan pelaksanaan ketiga-tiga program ini, PETRONAS akan menyumbangkan sebanyak RM 18 juta secara berperingkat-peringkat sehingga tahun 2020.
9. Setiap program ini mempunyai misi-misi yang tersendiri. Namun ia dicetuskan oleh satu inspirasi yang sama – yakni, setiap insan, tanpa mengira usia dan latar belakang, mempunyai impian dan juga potensi; meskipun kadang kala ia seolah-olah tidak tergapai dek tangan, tidak terjangkau dek fikiran.
10. Berbekalkan inspirasi ini, PETRONAS terus berusaha untuk memperkasakan lagi pelbagai lapisan masyarakat menerusi program-program bantuan yang diolah khusus untuk keperluan mereka.
Saudara dan saudari sekalian,
11. Menerusi Program Planting Tomorrow, kami menganggarkan 1,000 penduduk kampung di sekitar Pitas, Kota Marudu dan Tongod akan mengalami perubahan positif pada kualiti hidup mereka.
12. Dengan kerjasama Yayasan Sejahtera, pembinaan sistem penapisan dan bekalan air alternatif untuk 10 buah kampung yang dikenalpasti sudah mula giat dijalankan. Di samping membolehkan penduduk kampung di kawasan terpencil menikmati bekalan air bersih, latihan kemahiran dalam bidang pertanian juga akan diberikan yang berpotensi untuk menambah sumber pendapatan penduduk.
13. Penduduk Kampung Imbak di Tongod pula akan dapat memanfaatkan pembinaan inap desa atau “Homestay” menerusi kolaborasi PETRONAS dengan Yayasan Sabah. Ini adalah untuk memanfaatkan ekonomi penduduk dari pelancongan yang dijangka akan berkembang pesat setelah Pusat Pembelajaran Imbak Canyon siap dan beroperasi nanti.
14. Menerusi usahasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pula, PETRONAS menerajui satu program yang dikenali sebagai Food Basket. Tahun ini, lebih daripada 700 kanak-kanak miskin tegar berusia 6 bulan hingga 6 tahun dari 5 kawasan utama iaitu Lahad Datu, Tuaran, Beaufort, Kudat dan Kinabatangan akan mendapatkan bekalan makanan bernutrisi. Program ini merupakan usaha kami untuk memberi peluang bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik, membesar dengan cerdas dan sihat seperti kanak-kanak lain.
15. Demi memupuk gaya kehidupan yang sihat di kalangan belia pula, PETRONAS kali ini bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah untuk Program Pembangunan Belia. Selain membantu dalam usaha menaiktaraf Kompleks Sukan Likas, program ini juga menawarkan latihan yang bertujuan untuk mencungkil bakat anak-anak muda Sabah dalam sukan bola sepak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
16. Sukacita saya maklumkan di sini bahawa, PETRONAS juga akan menyumbang pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains MARA di Ranau di mana ia bakal menempatkan seramai 450 orang pelajar. Di samping itu, dua buah Asrama Harian Luar Bandar juga bakal dibina di lokasi-lokasi terpilih untuk kemudahan pelajar-pelajar Tahun 6 yang akan menduduki UPSR agar mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran mereka dan bagi mengelakkan keciciran dalam pelajaran.
17. PETRONAS melalui inisatif-inisiatif berteraskan pendidikan amat komited dalam membentuk generasi muda yang berwibawa untuk menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraaan sosioekonomi negara di masa hadapan.
18. Ini dilaksanakan melalui Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP), untuk pelajar-pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Program Sentuhan Ilmu dan Program BUDI PETRONAS pula menyediakan program bimbingan pelajaran dan juga pembiayaan untuk sekolah rendah dan menengah.
19. Buat golongan belia pula, PETRONAS berkolaborasi dengan enam buah institusi vokasional bagi menjayakan Program Penajaan Bantuan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) yang mula diperkenalkan pada tahun 2007. Sehingga penghujung Disember 2016 seramai 2,277 orang pelatih dari Sabah telah mendapat manfaat daripada program ini yang bertujuan untuk memenuhi keperluan bekalan tenaga mahir dalam industri minyak dan gas.
20. Sehingga ke hari ini, lebih 5,000 anak-anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini telah menerima manfaat daripada pelbagai program biasiswa PETRONAS dan kembali menyumbang kepada masyarakat. Lebih membanggakan, ada di kalangan mereka yang kini berkhidmat dengan PETRONAS termasuklah di kalangan pucuk kepimpinan tertinggi PETRONAS sendiri seperti Puan Emeliana Rice Oxley (Naib Presiden, Ekplorasi) dan Encik Bacho Pilong (Naib Presiden, Aset Antarabangsa).
Para hadirin sekalian,
21. Kami berasa amat bersemangat apabila melihat usaha-usaha ini sudah mula membuahkan hasil apabila, bakat dan daya saing anak-anak Sabah telah terbukti – di mana, para pelajar tingkatan empat dari SMK Tamparuli berjaya menjuarai program PETRONAS All About Youth tahun 2015 menerusi projek inovasi mereka, “Sistem Amaran Banjir”. Sistem ini telahpun digunapakai untuk kemudahan penduduk di beberapa lokasi sekitar Sabah tahun lepas. Mereka seterusnya dicalonkan oleh PETRONAS untuk Pertandingan Inovasi Kebangsaan yang julung kali diadakan pada bulan Jun 2016 dan berjaya mencipta nama sekali lagi apabila dinobatkan sebagai Naib Juara di pertandingan anjuran National Blue Ocean Strategy (NBOS).
22. Tahniah! Kita Pastinya Boleh! Kejayaan seperti ini menunjukkan anak Negeri Sabah, anak Malaysia – boleh mencapai kejayaan di mana jua! Satu tepukan gemuruh untuk anak-anak Malaysia ini!
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
23. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan kolaborasi kami yang terdiri daripada Yayasan Sabah, Yayasan Sejahtera, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah di atas kerjasama yang begitu baik.
24. Semoga usaha kita hari ini dan hari hari mendatang sentiasa diberkati oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan membawa ke arah kesejahteraan dan pembangunan masyarakat yang berterusan .
25. Akhir kata, bagi pihak PETRONAS, saya ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman kerana sudi meluangkan masa menghadiri majlis pada hari ini. Saya yakin dan percaya kerjasama erat di antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah, serta semua Agensi dan Organisasi terbabit akan terus dipertingkatkan lagi dalam usaha kita bersama memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sabah. Malah, majlis pelancaran hari ini, terutama sekali Planting Tomorrow dan Food Basket, melambangkan kolaborasi erat, antara PETRONAS, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Pusat, kerana kesemuanya mendorong kepada menjayakan agenda Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy – NBOS) yang telah diinspirasikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Menjayakan Agenda Kebangsaan. Agenda Negara kita.
Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufiq’ wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Photos courtesy of PETRONAS Group Strategic Communications.