Majlis Pelancaran Karnival Kempen #YouCanDuit di Negeri Sabah
Sabtu, 24hb September 2016
Pusat Perdagangan Sabah, Kota Kinabalu, Sabah
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalammualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh,
Salam Sejahtera,
Dan Salam 1 Malaysia,
Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah,
Yang Berhormat Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia,
Yang Berbahagia Dato’ Yasmin Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC,
Yang Berbahagia Datuk Bruno Vun, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah,
Wakil-wakil dari Agensi dan Organisasi yang terbabit,
Dif-Dif Kehormat,
Teman-teman warga kerja MDEC,
Rakan-Rakan Media Cetak dan Elektronik,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan dan Para Hadirin yang dihormati sekalian
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Illahi, kerana atas izin dan kurnia Nya jua, kita dapat bersama-sama bertemu di Pusat Perdagangan Sabah pada hari ini untuk Majlis Pelancaran Kempen #YouCanDuit yang kini telah tiba di Negeri Di Bawah Bayu ini, sebagai pemangkin pendapatan digital.
2. Pertama sekali, bagi pihak MDEC, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah dan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk menghadiri majlis pada petang ini. Sesungguhnya, kehadiran kedua-dua Yang Berhormat memberi makna yang cukup besar kepada semua warga MDEC, agensi dan organisasi yang turut terlibat terutamanya rakyat tempatan yang hadir pada hari ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
3. Kota Kinabalu adalah lokasi kelima kempen #YouCanDuit selepas pelancaran sulungnya yang telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia di Kuching, Sarawak pada bulan Mac tahun ini. Kempen #YouCanDuit ini juga telah sampai ke negeri Terengganu, Johor dan juga Pahang.
4. Sebelum saya meneruskan ucapan saya ini, saya juga ingin mengambil peluang ini untuk memperkenalkan Ahli Lembaga Pengarah MDEC terbaru, Tuan Haji Mohamed Rifai Mohd Razi yang berasal dari Sabah. Selamat bertugas dan menyumbang kepada Negara, Tuan Haji Rifai.
5. Sejak penubuhannya 20 tahun yang lalu, MDEC telah diberikan mandat untuk melangkah lebih luas daripada Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai MSC, dan kini menjurus kepada ekonomi digital secara holistik, bagi memacu agenda digital Malaysia. Langkah ini meliputi empat bidang tumpuan strategik MDEC iaitu:
a. pertumbuhan pelaburan;
b. melahirkan juara-juara teknologi tempatan;
c. menjadi pemangkin ekosistem inovasi digital; serta
d. membina keterangkuman digital ke seluruh pelusuk negara kita.
6. Justeru itu, MDEC sebagai peneraju agenda digital negara berwawasan supaya Malaysia mencapai tahap “competitiveness” dan produktiviti yang tinggi, setanding dengan negara-negara maju. Di samping itu, agenda digital Negara juga akan meningkatkan lagi kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat di seluruh Negara.
7. Ekonomi digital merupakan salah satu agenda Nasional dan menjadi tumpuan penting Kerajaan kerana ia berpotensi besar untuk menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020. Pelbagai langkah proaktif telah di ambil oleh Kerajaan untuk merakyatkan ekonomi digital di bawah inisiatif Transformasi Ekonomi Digital Kebangsaan atau lebih di kenali sebagai – Digital Malaysia. Adalah menjadi visi Digital Malaysia untuk merakyatkan ekonomi digital di negara ini supaya rakyat Malayssia dan perniagaan di negara kita boleh berkembang maju dalam persekitaran perniagaan baru ini.
8. Selaras dengan agenda ini, MDEC telah memperkenalkan kempen #YouCanDuit. Ia adalah sebuah kempen digital untuk memperkasakan rakyat dengan teknologi digital melalui inisiatif e-Usahawan dan e-Rezeki yang akan dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia dengan memperkenalkan dan menghasilkan kesempatan untuk menambah pendapatan melalui platform digital.
9. Ia juga akan mengalakkan keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia dengan menumpukan kepada ekonomi digital.
10. Melalui kempen #YouCanDuit ini, MDEC menyasarkan untuk menjangkau kumpulan sasar termasuk B40, pelajar-pelajar T-VET, warga belia serta para surirumah tangga. Ini mencerminkan kesungguhan dan fokus MDEC bagi memberi peluang dan kesempatan kepada kumpulan ini untuk menambahkan lagi pendapatan dan seterusnya, memperkukuhkan ekonomi masing-masing.
Saudara-Saudari sekalian,
11. Program e-Usahawan yang diterajui oleh MDEC ini berhasrat untuk menerapkan nilai-nilai dan ilmu keusahawanan digital di kalangan usahawan muda dan juga usahawan mikro.
12. Initiatif ini disampaikan kepada golongan sasaran melalui institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (T-VET). Di dalam program ini, ilmu keusahawanan digital telah diterapkan ke dalam kurikulum formal yang diajar kepada pelajar-pelajar T-VET yang kami harapkan bakal menjadi usahawan muda. Ilmu berharga ini juga telah diadaptasikan sebagai kursus jangka pendek yang sesuai untuk usahawan-usahawan mikro.
13. Di bawah program perintis e-Usahawan yang dijalankan pada 2015, sebanyak 147 pusat T-VET di seluruh negara telah terlibat. MDEC menyasarkan pada hujung tahun ini, sebanyak 383 pusat T-VET akan dapat bekerjasama untuk program e-Usahawan. Program e-Usahawan ini telah menyalurkan latihan kepada lebih 400 pensyarah sebagai pelatih induk dan lebih 6,000 pelajar. Hasilnya, 42% daripada mereka berjaya menjana pendapatan keseluruhan terkumpul hampir RM2 juta dalam masa 6 bulan sahaja.
14. Program e-Usahawan turut di perluaskan kepada usahawan mikro di seluruh negara melalui kursus pendek selama seminggu di pusat-pusat T-VET terpilih. Sejak awal tahun ini sehingga 31 Ogos, lebih 20 ribu pelajar T-VET dan usahawan mikro telah mengikuti kursus ini dan hasil jualan keseluruhan terkumpul yang dijana ialah RM14.3 juta. Menjelang akhir tahun ini, seramai 45,000 peserta dijangka akan mengikuti kursus ini dengan sasaran hasil jualan terkumpul sebanyak RM21 juta.
15. Saya ingin mengambil peluang ini untuk memperkenalkan antara contoh-contoh usahawan mikro yang berjaya, yang berasal dari Negeri Sabah.
Saudari Sakinahtul Nabilah binti Bitis. Sakinah pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan beliau hilang keupayaan untuk menggunakan tangan kirinya. Beliau menjalankan perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan percetakan t-shirt, “banner”, “bunting” dan lain-lain dari rumah sahaja. Sebelum ini beliau berniaga secara “offline” dengan membuka gerai di majlis-majlis tertentu. Beliau mula menjalankan perniagaan “online” apabila beliau memiliki akaun Facebook sendiri secara suka-suka dan ingin mencuba namun sambutannya kurang menggalakkan. Selepas menghadiri kursus e-Usahawan, perniagaan Sakinah semakin dikenali. Laman Facebook Sakinah semakin popular dan beliau juga mempunyai ramai pengikut di Instagram. Kini pendapatan Sakinah telah meningkat sebanyak 275% dari sebelum dia mengikuti kursus e-Usahawan ini.
Seterusnya, Saudari Tan Kim Yen. Sebelum mengikuti kursus e-Usahawan, saudari Tan telahpun mula menjual mee organik untuk menampung kehidupan keluarganya. Beliau telah mengikuti kursus pada bulan Mei baru-baru ini. Kini, pendapatannya meningkat sebanyak 180% berbanding sebelumnya. Syabas!
Para hadirin yang dihormati sekalian,
16. Program e-Rezeki pula menyasarkan golongan B-40 atau isirumah yang berpendapatan rendah dengan membuka peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan tambahan melalui kerja sambilan yang ditawarkan secara atas talian. Para peserta program ini cuma perlu menjalani latihan singkat di pusat-pusat e-Rezeki yang disediakan. Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan lebih ramai ‘warga kerja digital’ yang dapat meraih pendapatan sampingan melalui kaedah digital.
17. Sehingga Ogos 2016, program e-Rezeki telah menghasilkan pendapatan tambahan terkumpul berjumlah lebih dari RM 18.3 juta ringgit kepada lebih 20 ribu peserta. Bagi tahun 2016, program e-Rezeki telah memperkenalkan beberapa fokus dan landasan baru bersesuaian dengan keperluan dan kemahiran golongan B40 yang berbagai-bagai.
18. MDEC turut membuka pusat e-Rezeki yang menyediakan kemudahan bagi melatih golongan B40 untuk melaksanakan tugasan digital. Di Sabah sahaja, lebih dari 900 peserta telah pun mendaftar di pusat e-Rezeki di University College Sabah Foundation (UCSF). Sejak mula beroperasi pada bulan Jun 2016 tenaga pengajar e-Rezeki telahpun memulakan sesi latihan dengan para peserta yang berdaftar. Selain dari Kota Kinabalu, terdapat juga wakil-wakil e-Rezeki di Kolej Komuniti Tawau dan Sandakan.
19. Kami juga akan membuka satu lagi pusat e-Rezeki di Sabah dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Sabah. Ini bertujuan supaya lebih ramai peserta akan dapat menyertai dan memanfaati program e-Rezeki ini.
20. Saya juga ingin mengambil peluang ini sekali lagi untuk memperkenalkan kejayaan anak jati Negeri Di Bawah Bayu yang telah menyertai program e-Rezeki kami.
Adeline Osong telah menyertai program e-Rezeki “High Income Apprentice” untuk mengubah nasib beliau dan keluarganya. Dengan kepakaran dalam bidang grafik dan rekaan, beliau mengikuti program ini secara intensif dan mempelajari selok-belok “sewing game” menjadi pekerja digital sepenuh masa. Dalam masa 7 minggu sahaja, Adeline telah berjaya membida 5 tugasan digital. Nilai tugasan yang telah berjaya dilaksanakan, saya difahamkan bagus bayarannya.
Ethericlaire Esteban adalah seorang lagi anak jati Sabah yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kreatif dan mempunyai kemahiran bahasa. Beliau telah mengikuti program e-Rezeki “High Income Apprentice” juga selama 7 minggu dan di situ beliau mempelajari cara-cara membina profil untuk membuat bidaan dan mendapatkan kerja-kerja digital. Melalui program ini, Ethericlaire telah berjaya menjana pendapatan yang agak lumayan.
21. Saya berharap dengan kejayaan-kejayaan yang telah disebutkan sebentar tadi, lebih ramai yang akan berminat untuk menyertai program e-Rezeki dan juga e-Usahawan. Sekiranya mereka boleh berjaya, saya pasti anda juga pasti akan berjaya seperti mereka.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
22. Perkembangan pesat ekonomi digital negara dewasa ini membuka peluang pelbagai perniagaan dan cara baru dalam meningkatkan pendapatan secara atas talian. Kerajaan juga telah terus berusaha mengukuhkan kedudukan dan penyertaan rakyat Malaysia dalam pembangunan ekonomi negara serta menyediakan peluang-peluang bagi rakyat menjana sumber kewangan dan mencipta kekayaan.
23. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada usahawan-usahawan dan juga bakal-bakal usahawan yang terpendam untuk merebut peluang keemasan yang disediakan menerusi kempen #YouCanDuit ini dan mengambil langkah seterusnya dengan menyertai program e-Usahawan dan e-Rezeki yang dikendalikan oleh MDEC di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
24. Adalah amat penting untuk kita semua sama-sama mengambil peluang yang sedia ada dalam arus perubahan teknologi kini dan impaknya kepada ekonomi digital. Sekiranya kita tidak merebut peluang ini semua, maka pesaing-pesaing kita akan pasti merebutnya.
25. Oleh sebab itu, saya amat berbangga dengan pencapaian anak-anak tempatan seperti Juhaidah Joemin dari Kota Belud dan Zeno Gabing dari Tambunan, di mana mereka sebagai Pengasas syarikat Giggle Garage Sdn Bhd yang memenangi Hadiah Utama Anugerah ASEAN Character 2016 di Tokyo, Jepun minggu lepas. Produksi mereka, Origanimals, ialah sebuah rancangan televisyen animasi untuk kanak-kanak, telah berjaya dipilih dikalangan 55 penyertaan dari seluruh rantau ASEAN. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga adalah ‘co-producer’ rancangan Kazoops! di mana mereka bertanggungjawab ke atas kerja-kerja animasi dan kesemua aset-aset “Computer Generated Imagery” (CGI) seperti watak-watak dan “props” dalam rancangan ini. Kazoops! kini menjadi produksi animasi pertama Malaysia yang boleh ditontoni melalui Netflix di serata dunia. Kejayaan ini menunjukkan anak Negeri Sabah, anak Malaysia boleh mencapai kejayaan di arena global. Ini jelas menunjukkan kita semua, tidak kira dari mana “Can Do It”. Kita Boleh! Termasuk dalam arena baru seperti bidang digital.
26. Semoga kempen ini dapat memberi kesedaran mengenai peluang-peluang yang sedia ada dan semoga ia dimanfaatkan oleh semua yang hadir pada hari ini. Saya berharap juga supaya kempen ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dan segala usaha murni yang dilakukan demi kesejahteraan rakyat Malaysia, memenuhi matlamat utama iaitu mempertingkatkan kedudukan ekonomi rakyat di Negeri Sabah dan Malaysia.
27. Sebagai penutup, bagi pihak MDEC, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah dan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, serta pihak Kerajaan Negeri Sabah, kerana sudi bersama kita dan memberi lebih makna kepada majlis pada petang ini. Saya yakin dan saya percaya kerjasama erat di antara MDEC dan Kerajaan Negeri Sabah, serta pihak swasta dan semua badan-badan terlibat akan dapat membuahkan hasil yang membanggakan bagi membantu rakyat Sabah secara langsung dan Malaysia secara amnya, mengungguli keusahawanan digital.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.