Majlis Pengumuman Sumbangan PETRONAS Kepada Negeri Sarawak
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh,
Salam Sejahtera,
dan Salam 1Malaysia,
Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak,
Yang Berhormat Menteri-Menteri,
Yang Berhormat Tan Sri Datuk Amar Haji Mohammad Morshidi bin Abdul Ghani, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak,
Rakan-rakan warga kerja PETRONAS,
Dif-Dif Kehormat,
Wakil-wakil Media,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wata’ala atas limpah izin dan kurnia Nya jua, kita dapat bersama-sama bertemu di dalam majlis yang amat bermakna ini.
2. Pertama sekali, bagi pihak PETRONAS, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Datuk Patinggi Tan Sri menghadiri majlis pada pagi ini. Sesungguhnya, kehadiran YAB Ketua Menteri memberi makna yang besar kepada semua warga PETRONAS, institusi-institusi lain yang turut terlibat serta para pelajar yang hadir pada hari ini.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
3. Sebagai pemegang amanah khazanah minyak dan gas Negara dan rakan kongsi kepada Negeri Sarawak, PETRONAS sentiasa komited dalam memastikan Negeri Sarawak serta rakyatnya mendapat manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada Khazanah Negara kita. Bukan sahaja setakat untuk hari ini, tetapi manfaat yang mampan, dan yang mampu menjadi katalis untuk kemajuan Sarawak secara berterusan. This is in line with PETRONAS Mission Statement – ‘Our objective is to contribute to the well-being of the people and the nation’. And, THIS IS INDEED THE RIGHT THING FOR US TO DO.
4. PETRONAS akan terus berusaha untuk memperkasakan Negeri dan masyarakat Sarawak melalui inisiatif-inisiatif yang lestari yang berteraskan tiga fokus utama iaitu Pendidikan, Kebajikan & Pembangunan Masyarakat, serta Pemuliharaan Alam Sekitar.
5. Sehubungan itu, PETRONAS dan anak-anak syarikatnya telah sekian lama menjalankan pelbagai program-program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’. Dan PETRONAS akan mempergiatkan usaha untuk membantu:
• Anak-anak muda Sarawak yang layak dan berpotentsi melanjutkan pendidikan ke peringkat tertinggi;
• Pemuliharaan khazanah alam Sarawak yang kaya untuk generasi masa depan; dan,
• Masyarakat setempat yang paling memerlukan pertolongan mendapat perhatian yang sewajarnya.
Para hadirin sekalian,
TERAS PENDIDIKAN
6. Dalam membentuk generasi masa depan yang mampu menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan sosioekonomi Negara kita, PETRONAS melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan pendidikan. Ini termasuk Program Sentuhan Ilmu PETRONAS yang bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah, dengan mensasarkan pengukuhan asas akademik dan bukan akademik para pelajar yang berpotensi dan memerlukan perhatian khas.
7. Selain itu, Program Biasiswa Pendidikan PETRONAS dilaksanakan bagi membantu pelajar-pelajar terpilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi di dalam dan luar Negara. Ini termasuk Universiti Teknologi PETRONAS, universiti-universiti terkemuka di luar Negara, Institut Latihan Kemahiran Teknikal PETRONAS, INSTEP, dan Akademi Laut dan Maritim Malaysia atau ALAM.
8. Menyedari akan pentingnya pembangunan kemahiran teknikal untuk perkembangan industri serta ekonomi Sarawak, PETRONAS bekerjasama dengan beberapa buah institusi vokasional di Sarawak bagi program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (Vocational Institution Sponsorship & Training Assistance) atau VISTA. Antara institusi yang terpilih adalah Centre of Technical Excellence, atau CENTEX, Sarawak; Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak, AWISAR; Institut Latihan Perindustrian, ILP, Miri; dan juga Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri.
9. Sehubungan dengan ini, sukacita saya maklumkan, bermula tahun ini, Program VISTA akan ditambah-baik dengan penambahan bantuan penajaan untuk para pelatih terpilih yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan. Ini akan diuruskan bersama-sama dengan Yayasan Sarawak. InsyaAllah, Program VISTA ini akan dapat melahirkan generasi professional muda yang berkemahiran tinggi dan akan meningkatkan penyertaan anak-anak tempatan dari segenap pelosok masyarakat untuk menyumbang tenaga mahir demi pembangunan industri minyak dan gas serta industri-industri yang berkaitan.
TERAS KEBAJIKAN & PEMBANGUNAN MASYARAKAT
10. Di bawah teras Kebajikan & Pembangunan Masyarakat pula, sumbangan PETRONAS, antara lain ditumpukan kepada Program Kenali Anak Kita PETRONAS yang memupuk kesedaran gejala sosial; program Sentuhan Harapan PETRONAS yang mensasarkan rakyat miskin tegar dengan peruntukan makanan asas serta latihan keusahawanan, dan juga program Bantuan Bencana PETRONAS.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
TERAS ALAM SEKITAR
11. Kita sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri memang sentiasa memberi keutamaan kepada pemuliharaan biodiversiti yang amat kaya di Sarawak. Sebagai warga korporat yang prihatin, PETRONAS peka bahawa ini bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi juga tanggungjawab pelbagai pihak. Sumbangan kepada program Biodiversity, Environment and Conservation Project (BEACON) di Taman Negara Similajau dan Piasau Nature Reserve di Miri adalah antara usaha PETRONAS untuk memulihara ekosistem melalui penanaman tukun tiruan bagi menggalakkan pertumbuhan karang laut serta perlindungan kawasan paya bakau.
PELABURAN BARU
12. Mengambil kira aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak, PETRONAS dan Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama untuk melaksanakan program-program berikut:
• Program perlindungan koridor marin di Bintulu dan Miri;
• Penubuhan Petrosains Playsmart Centre;
• Program latihan tindakan kecemasan bencana di peringkat komuniti;
• Sumbangan kepada badan-badan bukan kerajaan di Negeri Sarawak;
• Sumbangan untuk pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains Mara di Bintulu dan asrama-asrama desa; serta,
• Program BUDI-PETRONAS untuk 150 pelajar di MRSM Kuching, MRSM Betong dan MRSM Mukah yang bertujuan memupuk kecemerlangan akademik dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
13. PETRONAS juga akan bekerjasama dengan Yayasan AMIR melalui penajaan lima buah Sekolah Amanah di daerah Lundu, Sarawak. Tajaan untuk SK Siar Campuran, SK Stunggang Melayu, SK Sampadi, SK Bumiputera dan SMK Lundu akan meningkatkan bilangan Sekolah Amanah di Sarawak daripada 7 buah kepada 12 buah sekolah. Tajaan ini juga sejajar dengan objektif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperluaskan pelaksanaan Sekolah Amanah di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025.
14. Untuk tahun ini, PETRONAS telah memperuntukkan sejumlah RM90 juta sebagai dana permulaan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang saya sebutkan tadi. Aktiviti-aktiviti ini adalah komitmen jangka panjang PETRONAS kepada Kerajaan Negeri Sarawak.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
15. Sebagai penutup, bagi pihak PETRONAS, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Hj Adenan Bin Haji Satem, kerana sudi bersama kita untuk memberi lebih makna kepada majlis pada pagi ini. Saya yakin dan saya percaya kerjasama erat di antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sarawak akan dipertingkatkan lagi dalam usaha kita bersama membangunkan industri minyak dan gas tempatan yang mampan dan kompetitif. Lebih daripada itu, saya yakin kerjasama erat dan bersepadu ini juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan yang meliputi segenap industri di Negeri Sarawak, InsyaAllah.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh.