UCAPAN PENERIMAAN ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR PENGURUSAN UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA
Bismillahir Rahmanir Rahim,
Assalaamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera,
dan Salam 1Malaysia
Yang Amat Berbahagia Tun Haji Mohd Khalil bin Yaakob,
Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM),
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Ali bin Rustam,
Ketua Menteri Melaka,
Yang Amat Berbahagia Tan Sri Johari bin Mat,
Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka,
YBhg. Datuk Dr. Ahmad Zaidee bin Laidin,
Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM,
YBhg. Profesor Datuk Dr. Ahmad Yusoff bin Hassan,
Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka,
Ahli-ahli Senat dan Pengurusan Universiti Teknikal Malaysia Melaka,
Para Graduan Konvokesyen UTeM Ke-8,
Para Ibu-Bapa serta Saudara Mara Graduan,
YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SubhanahuWata’ala kerana atas limpah kurnia dan keizinanNya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir dalam majlis yang amat bermakna ini.
2. Sesungguhnya, majlis pada hari ini amat bermakna bagi diri saya dan keluarga, kerana dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan. Ribuan rasa syukur saya rafakkan ke hadrat Allah SubhanahuWata’ala dengan penganugerahan ini.
3. Penghormatan ini amat istimewa kerana ianya diberikan oleh Universiti Teknikal yang pertama di Malaysia. Bumi Melaka memang bertuah. Sentiasa di hadapan, mempelopori era baru. Beratus-ratus tahun sebelum Negara Malaysia ditubuhkan, Melaka sudah menjadi pusat perdagangan yang mahsyur di seluruh dunia. Pada zaman itu, ianya dianggap antara negeri yang paling kosmopolitan di dunia. Dan kini, Universiti Teknikal Pertama. Pusat Industri Solar terbesar. Saya pasti banyak lagi sedang dalam perancangan. Syabas Melaka!
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
4. Saya menganggap penganugerahan ini sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan Perkhidmatan Awam dalam mempertingkatkan tahap perkhidmatannya dan menjadi pemangkin untuk kerajaan merealisasikan agenda Transformasi Negara. Pencapaian ini bukanlah sumbangan seorang individu ataupun sekumpulan kecil Pegawai-Pegawai tinggi kerajaan. Pencapaian ini dimungkinkan kerana setiap anggota Perkhidmatan Awam bertekad untuk memudahkan urusan orang awam dengan agensi-agensi kerajaan. Ianya dimungkinkan kerana setiap anggota Perkhidmatan Awam merasakan dirinya bertanggungjawab untuk perkhidmatan yang diberi. Justeru itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anggota-anggota Perkhidmatan Awam yang masih berkhidmat, mahupun yang sudah bersara.
5. Kerjaya dianggap sebagai ibadah, sekiranya ia dilakukan dengan niat yang betul dan membawa kebaikkan. Pada pendapat saya, kerjaya di dalam Perkhidmatan Awam adalah antara yang paling mulia sekali. Kerjaya ini mengutamakan Perkhidmatan, atau Service. Berkhidmat ke arah kesejahteraan rakyat. Berkhidmat ke arah pembangunan Negara. Jika dilihat sebagai satu perniagaan, pelanggannya adalah orang awam, kita semua. Prestasi sahamnya adalah kepuasan orang awam berurusan di kaunter. Dan keuntungannya adalah kepercayaan dan keyakinan orang awam. Fokus ‘perniagaan’ ini bukannya duit. Bukan sekumpulan kecil pemegang saham. Objektifnya amat murni. Kesejahteraan Rakyat. Sebab itulah, saya mengatakan Perkhidmatan Awam adalah antara kerjaya yang paling mulia.
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. Di sini ingin saya berkongsi beberapa faktor yang menjadi asas untuk peningkatan perkhidmatan awam ke tahap yang begitu membanggakan, sehingga menjadi ukuran dan contoh untuk diteladani oleh negara-negara lain. Pada hemah saya, nilai –nilai yang sama juga harus dihayati oleh setiap graduan dalam usaha kita memberi sumbangan yang bermakna dalam membantu Negara kita mencapai Wawasan 2020.
7. Yang pertama adalah Kesegeraan, atau “Sense of Urgency”. Dalam urusan harian, kita seharusnya mempunyai sasaran masa yang cepat dan jelas, dan mempertanggungjawabkan satu pegawai. Bukan satu unit. Atau satu jabatan. Bak kata pepatah Inggeris, ”What gets measured, gets done”.
8. Yang kedua adalah sifat Mengutamakan Pelanggan. Jika kita meletakkan diri kita dalam situasi pelanggan, sifat ini amat mudah untuk dihayati. Kita sudah pasti mahu memudahkan urusan, bukan menyusahkan. Apabila menerima Aduan pelanggan, anggaplah ianya sebagai hadiah. Aduan memudahkan pemantauan keberkesanan perkhidmatan kita. Era “Government knows best” sudah lama berlalu. Pelanggan merupakan ‘telinga’ dan ‘mata’ kita. Kita harus mendengar dan melibatkan mereka dalam proses memperkenalkan dasar-dasar atau pendekatan-pendekatan yang baru.
9. Yang ketiga adalah nilai pemilikan, atau ownership. Jika kita menguruskan perniagan sendiri, sudah pasti kita mahu berjimat. Berkongsi sumber. Pemikiran yang sama juga harus wujud bila kita bekerja dengan orang lain, sama ada swasta ataupun kerajaan. Apabila kita berkongsi sumber dan maklumat, kita juga dapat melihat apa yang terbaik untuk semua. Bukan kita sahaja. Ini akan mengelakkan pemikiran silo.
10. Yang keempat adalah Inovasi dan kreativiti. Mencabar status quo dan keberanian untuk bersuara. Apabila kita berhadapan dengan satu situasi yang baru, mungkin polisi dan proses yang sedia ada tidak dapat menanganinya. Kita harus berani untuk menyoal polisi yang mungkin sudah lapuk, dan kreatif untuk menggubal polisi baru yang dapat mengharungi peredaran masa.
11. Yang kelima, dan pada pendapat saya, yang terpenting, adalah Integriti. Integriti bukan sahaja bermakna kita menjauhkan diri daripada amalan-amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam konteks yang lebih luas, ia juga merangkumi nilai-nilai taat, jujur dan amanah. Integriti sepatutnya dilihat sebagai asas personaliti kita, dari mana segala tindakan, pemikiran dan perkataan kita tercetus. Integriti adalah satu nilai yang mutlak, yang tidak mempunyai peringkat, sedikit atau banyak.
Hadirin yang dihormati sekalian,
12. Begitulah sedikit sebanyak yang dapat saya berkongsi tentang pengalaman saya dalam mengemudi Perkhidmatan Awam selama lebih-kurang enam tahun. Adalah menjadi harapan ikhlas saya agar apa yang dikongsi dapat memberi dorongan dan menjadi iltizam untuk para graduan pada hari ini.
13. Sebelum mengundur diri, sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka atas penghormatan yang diberikan.
14. Tidak lupa saya ingin mengucapkan terima kasih kepada isteri saya Wan Noorlina, anak-anak dan menantu-menantu serta kaum keluarga yang telah memberi sokongan dan dorongan kepada saya supaya sentiasa melaksanakan yang terbaik dan melakukannya dengan integriti, InsyaAllah.
15. Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua anggota Perkhidmatan Awam. Teruskan usaha murni kalian dalam memacu negara kita ke era yang lebih gemilang. Saya menitipkan sebutir harapan semoga Perkhidmatan Awam Malaysia akan terus mencipta kecemerlangan, dan menjadi kayu-ukur bukan sahaja untuk Negara membangun, tetapi juga untuk Negara-Negara maju, InshaAllah.
Wabillahi taufiq walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh