Majlis Penghargaan Kontraktor Sarawak
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh
Salam Sejahtera
dan Salam 1Malaysia
Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak,
Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II,
Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian,
Yang Berhormat Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Menteri Kemajuan Tanah,
Yang Berhormat Tan Sri Datuk Amar Haji Mohammad Morshidi bin Abdul Ghani, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak,
Yang Berbahagia Datuk Mohd Anuar Taib, Naib Presiden Kanan PETRONAS,
Dif-Dif Kehormat,
Wakil-wakil Media,
Vendor-vendor,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wata’ala atas limpah izin dan kurnia Nya jua, kita dapat bersama-sama bertemu di dalam majlis ini.
2. Pertama sekali, bagi pihak PETRONAS, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Datuk Patinggi Tan Sri menghadiri majlis pada pagi ini. It is most appreciated Datuk Patinggi Tan Sri. Thank you so much.
3. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri yang kini lebih setahun memimpin negeri Sarawak dengan jayanya. Saya yakin dengan visi serta pengalaman beliau, Sarawak akan terus membangun menjadi negeri yang lebih maju, lebih makmur dan berpendapatan tinggi, InsyaAllah.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
4. Sebagai pemegang amanah khazanah minyak dan gas Negara, PETRONAS adalah komited dan sentiasa berusaha untuk memastikan sumber ini memberikan manfaat yang maksima ke arah kesejahteraan Negara kita. Berteraskan kerjasama erat yang sedia terjalin dengan Kerajaan Negeri, kita juga dapat meningkatkan daya saing vendor tempatan, membangunkan modal insan melalui pendidikan dan latihan teknikal, serta menyumbang dalam aspek tanggungjawab sosial koporat di peringkat Negeri Sarawak.
5. Salah satu daripada usaha ini adalah Bengkel Perlesenan seperti yang diadakan pada pagi ini untuk menggalakkan lebih banyak vendor-vendor yang layak dari Sarawak untuk turut serta dalam usaha memajukan industri minyak dan gas di Sarawak.
6. Dalam majlis ini kita juga disertai lebih daripada 450 vendor berdaftar dengan Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ) Sarawak yang menghadiri bengkel perlesenan pada hari ini. Saya maklum bahawa bengkel perlesenan dan tender kerap kali diadakan di Sarawak terutamanya di Kuching, Miri dan Bintulu.
7. Selain daripada PETRONAS, peluang untuk menyertai industri minyak & gas juga terbuka melalui kontrak-kontrak yang ditawarkan oleh rakan-rakan kontraktor pengeluaran bersama, atau Production Sharing Contractors, seperti Shell, Murphy dan Nippon Oil yang aktif beroperasi di Sarawak. Malah, adalah menjadi harapan PETRONAS agar vendor-vendor tempatan dapat mengasah kemahiran melalui kontrak-kontrak tempatan dan melangkau lebih jauh dan menempa nama sebagai vendor yang kompetitif di persada industri minyak dan gas global.
8. Pada hari in, PETRONAS juga akan menganugerahkan beberapa kontrak kepada vendor-vendor tempatan yang telah berjaya memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.
9. Majlis ini juga akan menyaksikan penyampaian anugerah vendor cemerlang, atau Outstanding Vendor Award, kepada kontraktor tempatan yang telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada anak-anak syarikat Kumpulan PETRONAS di Sarawak, iaitu PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Malaysia LNG dan ASEAN Bintulu Fertilizer.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
10. PETRONAS sentiasa menitik-beratkan pembangunan sosio-ekonomi di setiap lokasi operasinya. Pelaburan yang berterusan di dalam operasi PETRONAS di Sarawak, termasuk Train 9 LNG dan PETRONAS Floating LNG 1 (PFLNG), mempunyai potensi untuk menjana limpahan ekonomi, atau multiplier, yang amat besar kepada negeri dan rakyat Sarawak. Saya yakin dan percaya, kerjasama erat yang sedia terjalin di antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri akan dapat memastikan projek-projek ini akan menjana peluang pelaburan tempatan, peluang pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja mahir dan berdaya-saing di dalam sektor minyak dan gas.
11. Dari konteks tanggung jawab sosial atau CSR pula, PETRONAS komited untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan tempatan dalam program-program CSR yang merangkumi pendidikan, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
12. Tidak dilupakan juga aspek pembelajaran dan pembangunan modal insan. PETRONAS amat berbangga dengan tahap kompetensi dan keupayaan tenaga kerja yang telah dapat dimajukan di dalam sektor minyak dan gas tempatan. Apabila kita mengatakan ‘sumber manusia adalah sumber yang paling penting untuk syarikat’, ianya bukanlah setakat slogan yang kosong. Kemahiran dan keupayaan sumber tenaga kerja kita akan dapat memastikan kita dapat memaksimumkan hasil daripada sumber semulajadi kita. It is our capability and competencies that will determine whether we just exploit our resources, or we sustainably optimise the returns from our resources. Sebagai pemegang amanah untuk sumber minyak dan gas Negara, adalah menjadi tanggungjawab PETRONAS untuk memastikan sumber ini di bangunkan secara mampan dan memberi pulangan yang optimum.
13. Dalam aspek ini, PETRONAS telah memberikan biasiswa kepada golongan muda Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi PETRONAS, Institut Latihan Kemahiran Teknikal PETRONAS dan Akademi Laut dan Maritim Malaysia. InsyaAllah, saya berharap para pelajar ini akan dapat kembali ke Negeri Sarawak untuk meningkatkan penyertaan anak-anak tempatan dan sekaligus menyumbang ke arah pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak.
14. Sebagai penutup, bagi pihak PETRONAS, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Hj Adenan Bin Haji Satem, kerana sudi bersama kita untuk memberi lebih makna kepada majlis kita pada pagi ini. Saya berharap kerjasama erat di antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sarawak akan berkekalan dalam usaha bersama kita untuk menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat dan negeri melalui pembangunan industri minyak dan gas tempatan yang mampan dan kompetitif, InsyaAllah.
Sekian, Wabillahhi Taufik Walhidayah, Wassamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh.