Majlis Perasmian Pameran #tanahairku Street Art dan Majlis Penyampaian Dana Seni Budaya PETRONAS
Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia,
Yang Berusaha Liz Kamaruddin, Pengurus Besar Kanan, Bahagian Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS,
Dif-dif Kerhormat,
Panel Penilai Dana Seni Budaya PETRONAS,
Wakil-wakil Media,
Penerima-penerima Dana Seni Budaya PETRONAS yang diraikan,
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wata’ala atas limpah izin dan kurnia Nya jua, kita dapat bersama-sama bertemu di dalam majlis ini.
2. Terlebih dahulu, izinkan saya bagi pihak PETRONAS mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri, kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kita di majlis ini dan seterusnya merasmikan Pameran #tanahairku Street Art dan Majlis Penyampaian Dana Seni Budaya PETRONAS.
Para Hadirin sekalian,
3. PETRONAS telah melancarkan Projek #tanahairku sempena sambutan Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 pada tahun 2013. Inspirasi kempen ini adalah sebuah sajak bertajuk ‘Tanah Air’ oleh Sasterawan Negara, Usman Awang, yang dinukil pada tahun 1956. Sajak ini adalah satu luahan cinta yang tidak berbelah bahagi kepada negara serta harapan rakyatnya menjelang kemerdekaan.
4. Pada tahun 2013, sajak ini telah diberi nafas baru melalui gubahan lagu oleh seorang komposer tempatan yang terkenal, dan dinyanyikan oleh empat artis muda tanahair.
5. Untuk tahun ini pula, PETRONAS telah bekerjasama dengan 14 orang artis ‘street art’ untuk menghasilkan enam karya baru di sekitar Kuala Lumpur. PETRONAS memilih seni sebagai platfom untuk menyampaikan mesej perpaduan kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, adat dan budaya. Ini adalah kerana seni merupakan bahasa sejagat. Art is a universal language. Understood by everyone, no matter the colour, creed, class or age. Understood by Grandparents. And by grandchildren.
6. ‘Street art’ sebagai satu bentuk seni bukanlah sesuatu yang baru. Malah, ia merupakan salah satu bentuk seni yang paling tua di dunia. ‘Cave art’ yang ditemui di Lascaux (Lasko), Perancis adalah satu contoh ‘street art’ yang paling awal. Ia terdiri daripada gambaran abstrak, dan lukisan haiwan dan manusia dari tahun 15,000 Sebelum Masehi (S.M.) Ini jelas menunjukkan keinginan manusia, sejak zaman purba, untuk memahami dan menghasilkan karya tentang persekitaran serta keperluan untuk berkomunikasi mengenainya melalui seni lukisan. This desire to express ourselves through art is indeed an ancient instinct of humanity.
7. Seorang pelukis jalanan Perancis yang terkenal pernah berkata. “Street art adalah pendemokrasian seni – jika orang ramai tidak dapat datang ke galeri seni, kita membawa seni kepada orang ramai “.
Sejajar dengan ungkapan Blek le Rat tersebut, kita membawa seni kepada orang ramai di 6 lokasi. Dan hari ini, kita membawa street art ke Galeri PETRONAS! PETRONAS amat berbangga kerana dapat menyumbang ke arah pendemokrasian seni lukisan di Malaysia dan membantu artis-artis tempatan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.
8. Kesemua karya Projek #tanahairku merupakan interpretasi golongan belia Negara – masa depan Negara – mengenai erti kemerdekaan. Ianya menggambarkan hasrat serta aspirasi golongan muda untuk memupuk semangat kemerdekaan serta mengemudi Negara kita untuk merealisasikan sepenuhnya erti kemerdekaan.
9. Melalui pameran ini, tuan-tuan dan puan-puan akan dapat menyelami pengalaman serta pandangan peribadi artis-artis tersebut dalam menyiapkan hasil seni mereka menjelang Hari Malaysia 2014 yang telah lepas.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
10. Pada petang yang berbahagia ini, PETRONAS juga amat berbesar hati kerana diberi satu lagi peluang untuk terus memenuhi misinya “untuk menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan Negara”.
11. Pemeliharaan seni warisan tradisional adalah salah satu aspek yang menyumbang ke arah “Kesejahteraan rakyat dan Negara”. Di atas prinsip inilah Dana Seni Budaya PETRONAS ditubuhkan untuk membantu memelihara, memupuk dan mempromosi perkembangan budaya dan seni warisan tradisional Malaysia.
12. Tanah Melayu, dan kini Malaysia, telah menjadi wadah tumpuan pelbagai budaya dan agama sejak sekian lama. Ini adalah satu fakta yang telah didokumenkan pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka.
13. Bharata-natyam, Chingay, Bhangra dan Tarian Singa merupakan warisan budaya Malaysia – sama seperti Zapin, Kuda Kepang, Tarian Sumazau (Sabah) dan Indu Bertandak (Sarawak).
14. Kalau kita tanya YB Dato’ Seri Menteri Pelancongan, beliau pasti bersetuju bahawa ‘Malaysia Truly Asia’ bukan sekadar slogan pelancongan, malah ia adalah realiti kita! Dan kita amat bersyukur dan bangga dengan realiti ini. It’s a reality we are grateful for and extremely proud of!
15. Warisan seni budaya Malaysia juga telah mendapat pengiktirafan dunia. Pada tahun 2005 UNESCO telah mengiktiraf persembahan tradisional Makyong melalui Anugerah Seni Warisan Dunia UNESCO.
16. Pada Majlis ini, PETRONAS dengan berbesar hati ingin menyampaikan Dana Seni Budaya PETRONAS berjumlah RM3 juta kepada 19 kumpulan seni budaya tradisional negara yang kreatif dan berani dalam memperjuangkan kesinambungan warisan seni budaya Negara.
17. PETRONAS yakin bahawa sumbangan ini dapat terus meniupkan semangat ahli-ahli seni kita dalam pemuliharaan seni budaya agar ianya dapat dinikmati dan diwarisi generasi akan datang, InsyaAllah.
Para Hadirin Sekalian,
18. Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang sudi melapangkan masa untuk hadir bersama-sama di majlis yang amat bermakna ini.
19. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak di atas bantuan dan kerjasama yang diberi dalam menjayakan majlis ini.
20. Kami berharap Projek #tanahairku yang dipamerkan di Galeri PETRONAS ini dapat memberi inspirasi dan meningkatkan semangat perpaduan dalam mengekalkan keamanan dan kemakmuran Negara kita yang tercinta, InsyaAllah.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.