Ucaptama Persidangan Sumber Manusia UKM 2013

June 25, 2013 11:00 am 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Assalaamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera,

dan Salam 1Malaysia,

Y Bhg Prof Tan Sri Dato’ Seri Sharifah Hapsah, Naib Canselor UKM,

Y Bhg Dato’ Prof Dr Rahmah, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Innovasi UKM,

Saudara-saudari sekalian,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah kurnia dan izin Nya, kita dapat bersama-sama hadir di dalam Persidangan Sumber Manusia UKM 2013. Terima kasih diucapkan kepada UKM atas kesudian menjemput saya menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan Persidangan ini.

PERI PENTINGNYA SUMBER MANUSIA

2.   Pada hari ini saya akan membincangkan tentang pembangunan sesuatu organisasi ke arah pencapaian yang lebih cemerlang di masa hadapan menggunakan aset terpenting yang dimiliki oleh setiap organisasi, iaitu sumber manusia. Tidak kira sama ada asset ini berlabel akauntan, registrar, pentadbir atau apa sahaja. Pada hemah saya, kita tidak seharusnya mewujudkan satu pagar di dalam minda kita yang mengurung sumber manusia mengikut jabatan ataupun fungsi masing-masing. Kita tidak boleh membincangkan usaha-usaha transformasi sesuatu organisasi dari sudut pandangan sempit sebuah jabatan atau fakulti sahaja. Kita perlu berfikir, merancang dan bertindak sebagai satu organisasi yang komprehensif. Hanya dengan pendekatan komprehensif seperti ini sahaja yang boleh memastikan universiti-universiti kita dapat memberi sumbangan yang bermakna melalui kecemerlangan akademik dan penyelidikan, dalam membantu negara kita mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi. Tetapi kita harus ingat bahawa, kecemerlangan akademik dan penyelidikan dengan sendirinya tidak membawa sebarang makna. “It is not the end, they are only means to an end”.  Matlamat kita bukanlah kecemerlangan akademik atau penyelidikan semata-mata. Matlamat kita  adalah penghasilan siswazah-siswazah yang dilengkapi dengan kemahiran, budaya kerja dan pemikiran yang sesuai dengan permintaan pasaran.

PERSEPSI TERHADAP SEKTOR PENDIDIKAN TINGGI

3.   Pada minggu lepas, saya menghadiri Forum CEO 2013 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana. Hampir 500 pemimpin-pemimpin korporat tempatan menyertai forum ini. Banyak topik yang dibincangkan berkaitan daya-saing negara di arena antarabangsa. Salah satu tema utama yang bergema sepanjang hari adalah ketidakupayaan negara untuk menghasilkan jumlah graduan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik. Industri Minyak dan Gas adalah antara industri yang paling teruk terjejas disebabkan kekurangan tenaga kerja mahir. Jika sektor korporat Malaysia tidak mendapat graduan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan operasi di Malaysia, bagaimanakah peluang kita untuk bersaing di ASEAN, Asia, apatah lagi di peringkat global? Anihnya walaupun kita mengalami kekurangan tenaga kerja mahir di banyak sektor industri dan perlu mengimpot pekerja luar, kita juga ada graduan tempatan yang menganggur. Saya sendiri tahu ramai anak-anak saudara saya yang masih menganggur. Ini mungkin disebabkan kemahiran graduan yang dihasilkan tidak sepadan dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri. Ini saya dengar saban tahun, untuk sekian lama, termasuk dalam Dialog Tahunan MITI. Situasi ini perlu diubah. Kita mesti mengubah persepsi bahawa sektor pendidikan tinggi tidak selari dengan usaha kerajaan dan sektor swasta dalam agenda transformasi negara. Ini bukan persepsi saya. Ianya diulangi oleh beberapa tokoh korporat negara. Saya percaya ianya juga berlaku di lain-lain negara, termasuk negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.  Tetapi itu tidak boleh membuat kita selesa!  Saya juga perhatikan di CEO Forum minggu lepas tidak ramai peserta yang hadir dari sektor pendidikan ataupun kerajaan. Saya faham bahawa Forum tersebut adalah Forum CEO, tetapi sangat elok ianya juga disertai oleh sektor awam.  Adakah ini satu petunjuk bahawa sektor pendidikan dan swasta mempunyai agenda dan halatuju masing-masing dan kurang memahami antara satu sama lain?

4.   Berlatarbelakangkan persepsi tersebut, apakah perancangan kita untuk memacu pendidikan tinggi negara ke taraf dunia? Supaya universiti-universiti kita dapat benar-benar menjadi rakan kongsi kerajaan dan sektor korporat dalam mencapai wawasan negara kita!

PENINGKATAN KEMAHIRAN ADALAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

5.   Sebarang usaha untuk meningkatkan peranan dan keberkesanan mana-mana bahagian dalam sesebuah organisasi perlulah dipersetujui bersama di antara individu dan organisasi. Objektifnya, caranya dan juga sasarannya.  Seperti lirik lagu yang popular dalam tahun limapuluhan, “It takes two to Tango”. Jika hanya individu sahaja yang bersemangat untuk memperbaiki diri, siapakah yang akan membiayai perbelanjaanya? Adakah kemahiran yang akan diperolehi itu selaras dengan keperluan universiti? Dan siapakah yang akan memantau perolehan, aplikasi dan faedah daripada kemahiran yang baru itu? Sebaliknya, jika hanya universiti yang merintis penambahbaikan kemahiran, usaha itu akan pasti gagal sekiranya tidak disokong penuh oleh warga kerja universiti. Dalam kedua-dua senario tersebut, yang pasti, wang akan dibelanjakan. Tetapi faedahnya mungkin tiada. Atau, tidak setimpal!

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

6.   Di sini saya ingin berkongsi beberapa faktor yang pada pendapat saya harus di praktiskan oleh seluruh warga kerja universiti, tidak kira fungsi, sekiranya kita mahu sektor pendidikan tinggi Negara mencapai satu kedudukan yang disegani di peringkat antarabangsa. Faktor-faktor yang sama juga perlu dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan awam kita ke tahap yang lebih tinggi.

KESEDIAAN UNTUK MENDENGAR

7.   Yang pertama adalah ‘kesediaan untuk mendengar’ atau ‘willingness to listen’. Di zaman internet ini, Facebook, Twitter, Blog dan banyak lagi platform telah membawa satu budaya di mana setiap individu mahu menyiarkan pendapatnya ke seluruh dunia dalam sekelip mata. Tetapi, tidak ramai yang berminat untuk mendengar pendapat orang lain. “Everyone wants to talk, but who is listening?”. Budaya yang sama juga telah menular keluar dari internet ke organisasi-organisasi kita. Kadang-kadang, sesi perjumpaan di antara pengurusan kanan dengan warga kerja pun sudah mula menjadi “monologue” atau ceramah. Sesungguhnya, banyak yang boleh kita pelajari dan perbaiki sekiranya kita bersedia untuk mendengar pendapat pelanggan dan rakan sekerja kita. Tidak mungkin dapat kita mentadbir universiti-universiti kita dengan cekap sekiranya kita tidak tahu apakah keinginan dan keperluan para akademik, pelajar dan industri. Pada Forum CEO minggu lepas, ada seorang peserta yang berkata, ‘ketidakpastian akan menjadi norma baru’ dalam era globalisasi kini. Dalam Bahasa Inggerisnya, “Uncertainty will be the new norm.” Apa yang kita ketahui dari tahun lepas mungkin sudah menjadi lapuk. Oleh yang demikian, proses untuk melibatkan pelanggan dan mendengar keperluan mereka harus menjadi sesuatu yang berterusan. Sekiranya kita melibatkan lebih banyak pihak dalam usaha untuk mendengar pandangan dan mendapat maklumat, kita dapat membentuk pandangan yang lebih tepat dan merumus polisi dan strategi yang lebih sesuai untuk memacu universiti kita ke hadapan. Apabila setiap seorang daripada kita menjadi ‘repository’ untuk maklumat, pandangan dan idea, hasil daripada kesediaan kita untuk mendengar, barulah kita boleh mengatakan sumber manusia adalah asset terpenting kita. Tidak “lip service”semata-mata.  Tetapi kita perlu berhati-hati supaya ilmu yang diperolehi daripada ‘kesediaan mendengar’ ini jangan di salah anggap sebagai kuasa dan kelebihan untuk memperkecilkan orang lain. “Information is power, only if it is used for a beneficial purpose”. Dalam konteks dimana mungkin wujud “disconnect” dalam perhubungan antara ahli akademik, industri dan kerajaan, di mana setiap pihak kurang memahami kehendak pihak yang lain, perlu wujud satu mekanisma untuk mendengar dan mengetengahkan keperluan dan pandangan ketiga-tiga pihak – iaitu akademik, industri dan kerajaan, untuk memastikan kesemua pihak saling memahami dalam usaha kita untuk membantu Negara kita mencapai objektif Negara maju.

FASILITASI

8.   Yang kedua adalah kemahiran fasilitasi. Kita sering kali mendengar bahawa ahli akademik tidak memahami atau tidak dapat menghayati peraturan-peraturan pentadbiran yang tertentu. Dan ada pula yang mengatakan bahawa pihak pentadbiran tidak memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ahli akademik dan para penyelidik. Seringkali, ini mengakibatkan kelewatan dalam melaksanakan dasar-dasar, atau pelaksanaan yang salah. Ini diikuti dengan ‘blame game’ dan ‘finger-pointing’. Kita faham masing-masing mengutamakan KPI yang perlu dicapai.  Tetapi, setiap KPI individu seharusnya sehaluan dalam menyokong objektif universiti. Sepatutnya, tidak wujud pertindihan antara satu KPI dengan yang lain. Ini mungkin satu contoh klasik, “seeing the tree, but missing the forest.” Di mana, objektif utama universiti dilupakan dalam kelekaan mengejar KPI individu. Di sini, kemahiran interpersonal dan fasilitasi dari pihak pentadbiran akan dapat memastikan seluruh jentera universiti dapat berfungsi bersama-sama dengan lebih efektif. Pihak pentadbiran perlu menyediakan peluang dan memainkan peranan fasilitator dalam interaksi di antara pelbagai pihak di dalam universiti, dan dengan pihak luar. Dalam erti kata lain, bahagian pentadbiran universiti harus menjadi pelincir yang melancarkan perjalanan universiti.

KOLABORASI

9.   Yang ketiga adalah kolaborasi. Kolaborasi dengan universiti-universiti tempatan dan luar negara, industri dan syarikat-syarikat tempatan. Di sini, saya ingin berkongsi satu contoh daripada Manchester Business School (MBS). MBS mempunyai satu unit pentadbiran yang dinamakan ‘MBA Project Consultancy’. Ianya diketuai oleh seorang ahli bukan akademik. Tugasnya adalah untuk mencari projek-projek konsultansi dari kalangan syarikat-syarikat di UK dan Eropah, untuk pelajar-pelajar MBA. Selain mendapatkan projek konsultansi, MBS turut menggunapakai ‘network’ syarikat yang sama untuk menjemput pengurusan kanan  mereka untuk memberi syarahan, untuk mendapatkan penempatan ‘internship’ dan penempatan kerja selepas tamat pengajian. Apakah manfaat pendekatan ini kepada MBS? Setiap pelajar MBA dijamin 600 jam pengalaman perundingan dengan syarikat-syarikat ternama, kebanyakan pelajar mendapat 10 minggu latihan industri, dan 88% graduan mereka mendapat pekerjaan sepenuh masa dalam tempoh tiga bulan selepas tamat pengajian.

10. Satu lagi contoh yang lebih hampir dengan kita adalah Universiti Teknologi PETRONAS, atau UTP. UTP kini mempunyai empat Professorial Chair yang ditaja oleh industri – Technip Chair in Deepwater and Subsea Technology; Shell Chair in Petroleum Geoscience; Schlumberger Chair in Petroleum Engineering; dan, Mitsubishi Chair in Green Technology. Saya pasti kejayaan mendapatkan penajaan ini adalah hasil usaha jangka-panjang di antara UTP dan syarikat-syarikat tersebut. Mereka dapat saling memahami keperluan masa depan dan melihat kerjasama mereka sebagai ‘win-win’. UTP mendapat kemahiran industri dalam pengajaran dan penyelidikannya, dan para pelajar dan para pensyarah dapat berbincang dan berkongsi pendapat dengan pakar industri. Syarikat-syarikat terlibat pula dapat akses kepada kepakaran penyelidikan UTP dan pensyarah-pensyarah. Mereka juga dapat mengenal pasti bakal graduan yang akan diambil bekerja. Win-win.

CROSS-FERTILISATION

11. Apabila kita membincangkan kolaborasi, ia bukan hanya  bermakna pihak industri sahaja yang akan memasuki kampus. Warga kampus juga harus menyeberangi sempadan di dalam minda kita untuk memasuki alam korporat. Objektif yang sama juga menjadi asas untuk Kerajaan mempelopori program ‘Cross-Fertilisation’ di antara Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam Malaysia; Perkhidmatan Awam dan GLC; dan juga Perkhidmatan Awam dengan sector swasta seperti Shell. Antara pertimbangan utama program tersebut adalah keperluan untuk memupuk sikap keterbukaan kepada perubahan, idea-idea dan perspektif berbeda. Ia dapat dicapai apabila kita didedahkan kepada cara berfikir dan proses  implementasi yang baru. Ia akan memaksa kita keluar daripada zon keselesaan kita, atau ‘our comfort zone’. Bagi mereka yang sedang mengecapi kejayaan di dalam bidang mereka, ‘cross-fertilisation’ merupakan satu risiko yang besar. Di mana, kemungkinan untuk gagal akan wujud.  As the saying goes, “If you haven’t failed, maybe you haven’t tried hard enough.” “Cross-fertilisation” merupakan usaha untuk menggalakkan penjawat awam mengambil risiko dalam usaha untuk memperbaiki diri dan organisasi masing-masing. Ia juga bertujuan memupuk kekuatan watak dan personaliti untuk berhadapan dengan situasi yang mencabar dalam persekitaran asing. Pada pendapat saya, pendekatan yang sama perlu diwujudkan untuk meningkatkan kemahiran warga kerja universiti. Kita boleh menghantar Pendaftar IPTA ke IPTS, dan sebaliknya. Kita boleh menghantar Pengurus HR IPTA ke GLC dan sebaliknya. Kemungkinan, dan potensi faedahnya memang banyak.

12. Cross-fertilisation di antara universiti dapat menyegerakan perlaksanaan ‘best practices’ di kalangan universiti-universiti tempatan. “Cross-fertilisation” di antara universiti dan sektor swasta pula dapat memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang cara sektor korporat berfungsi dan berfikir. Kita juga dapat memahami apakah kualiti dan kemahiran yang diperlukan oleh sektor swasta. Jika kita mengamalkan pendekatan ini, dalam jangka masa panjang, saya pasti kita dapat menghasilkan graduan-graduan yang mempunyai kemahiran yang lebih sesuai dengan permintaan negara. Di mana graduan kita dilengkapi dengan kemahiran industri yang tepat. Mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dengan cepat. Mereka juga akan sanggup mengambil risiko untuk memperbaiki diri. Ini akan menjadi kenyataan sekiranya persekitaran universiti dan warga kerja universiti turut mempamerkan perwatakan-perwatakan tersebut. Kita tidak boleh mengharapkan graduan-graduan kita untuk mempamerkan perwatakan dan kemahiran yang kita sendiri kekurangan.

INOVASI

13. Yang keempat adalah inovasi. Kualiti ini menuntut kita berfikir ‘outside the box’ dengan membudayakan amalan kreatif dan inovatif di dalam proses, sistem dan dasar universiti. Kita perlu berani bersuara dan mencabar status quo jika kita pasti perubahan akan membawa lebih manfaat. Jika ketidakpastian akan menjadi norma baru, mungkin status-quo tidak wujud lagi. Dalam dunia globalisasi yang dinamik, situasi baru dan asing akan menjadi kebiasaan. Mungkin polisi dan proses yang sedia ada tidak dapat menangani keperluan yang akan sentiasa berubah. Kita harus berani untuk menyoal polisi yang mungkin sudah lapuk, dan kreatif untuk menggubal polisi baru yang dapat mengharungi peredaran masa.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

14. Begitulah sedikit sebanyak pandangan yang dapat saya kongsi bersama berdasarkan pengalaman saya dalam mengemudi Perkhidmatan Awam selama hampir enam tahun. Adalah menjadi harapan ikhlas saya agar apa yang dikongsi akan memberi sedikit sumbangan dalam perbincangan dan perbahasan di dalam forum ini. Untuk kita bersama-sama menggubal pendekatan yang baru dalam usaha kita memartabatkan universiti-universiti tempatan supaya setaraf dengan yang terbaik. Supaya universiti-universiti kita akan digolongkan di kalangan rakan-kongsi terbaik untuk menyegerakan perjalanan negara ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi.

13. Sebelum mengundur diri, sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia di atas jemputan ini.

15. Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga kerja universiti. Teruskan usaha murni kalian dalam memacu pendidikan tinggi negara ke era yang lebih gemilang. Saya menitipkan sebutir harapan semoga Universiti-universiti awam negara ini akan melipatgandakan usaha ke arah kecemerlangan, dan menjadi kayu-ukur bukan sahaja untuk IPTS tempatan, tetapi juga untuk sektor pendidikan tinggi serantau, InsyaAllah.

16. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Persidangan Sumber Manusia UKM 2013.

Wabillahi taufiq walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply



four − 4 =

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →