Ucapan di Konvensyen Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Cik Nor Afizah Hanum Mokhtar, moderator forum pada pagi ini yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan,
Yang Amat Berbahagia Tun Dato’ Seri Abdul Hamid Haji Mohamad,
Yang Berbahagia Datuk Dr Khaw Lake Tee,
Ketua-Ketua Jabatan Agensi Penguatkuasaan,
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
Alhamdulillah, saya bersyukur kehadarat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurnia dan keizinanNya jua, saya berpeluang menghadiri konvensyen yang sangat bermakna ini.
2. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk Heliliah Mohd Yusof, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, SIAP kerana mengundang saya untuk memberi pandangan mengenai Integriti, suatu topik yang pada pendapat saya, adalah nilai yang terpenting untuk Perkhidmatan Awam. Malah, untuk sebarang perkhidmatan, termasuk juga tidak kurang pentingnya untuk sektor Korporat. Untuk NGO. Juga untuk Media. Malah untuk sesiapa sahaja.
3. Kita di Malaysia nampaknya begitu asyik dan terpukau dengan topik integriti. Kita ada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, atau SIAP, ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM dan Institut Integriti Malaysia, IIM. PDRM dan Suhakam juga turut terlibat dalam isu-isu melibatkan integriti. Selain juga daripada Transparency International Malaysian Chapter, dan mungkin banyak lagi. Adakah ini kerana kita begitu bersemangat untuk memupuk nilai integriti dalam kehidupan kita sampai memerlukan begitu banyak agensi dan badan? Ataupun kerana kita menghadapi krisis integriti?
4. Sebagai sebuah negara yang mana agama rasminya adalah Islam dan dengan kebudayaan Timur yang menitik beratkan nilai-nilai tradisional yang murni, kita sepatunya tidak mempunyai masalah dengan isu integriti.
5. Isu ini sepatutnya lebih menghantui Negara-negara Barat dimana secara kasarnya lebih liberal – – mungkin terlalu liberal, dan ramai yang berpendapat rendah dari nilai moralnya. Tetapi di masyarakat Negara-negara Maju didapati individu dan juga masyarakat mengambil berat akan tanggungjawab mereka; dan bertanggungjawab atas tindakan mereka. Sebagai contoh, pada tahun 1987, Gary Hart yang pada ketika itu mendahului calon-calon bagi mewakili parti Demokrat dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat telah menarik diri dari bertanding setelah berhadapan dengan tuduhan terlibat dalam hubungan sulit dengan seorang model. Gambar beliau dengan Donna Rice di atas kapal layar ‘Monkey Business’ tersiar di akhbar-akhbar tempatan. Gary Hart menarik diri bukan sebab kelakuannya melanggar undang-undang. Tindakannya didorong oleh kesedaran diri. Dan juga kesedaran bahawa walaupun masyarakat Amerika Syarikat liberal mengenai pelbagai isu sosial, pada waktu itu dan saya percaya pada hari ini juga, masyarakat tersebut tidak dapat menerima defisit integriti dari seorang pemimpin. Ini adalah integriti yang dikuatkuasakan oleh kesedaran diri dan harapan masyarakat, bukannya undang-undang semata-mata. Dan, ianya dilaksanakan, “dikuatkuasakan”!
6. Sepuluh hari yang lepas, iaitu pada hari Jumaat, 10 haribulan Mei, Financial Times menyiarkan berita tentang tuduhan bahawa Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah mendapatkan nombor telefon pejabat, rumah dan telefon mudah-alih wartawan Associated Press tanpa izin untuk tujuan penyiasatan mengenai kebocoran maklumat melibatkan satu operasi sulit CIA. Kita sedia maklum Amerika Syarikat mempunyai antara undang-undang yang paling tegas dalam hal-hal berkaitan hak wartawan dan kebebasan media. Seperti yang dijangkakan, berita ini telah tersebar dengan luas dalam sekelip mata sahaja melalui internet.
7. Pada hari yang sama, tersebar juga berita bahawa Internal Revenue Service, atau IRS, yang bertanggungjawab untuk kutipan cukai, telah mensasarkan organisasi-organisasi tertentu berdasarkan fahaman politik mereka untuk melakukan audit cukai.
8. Kedua-dua berita ini telah menjadi topik hangat di media dan Presiden Obama terpaksa mengeluarkan kenyataan media untuk menyangkal tuduhan bahawa tindakan itu dilakukan dengan pengetahuan pihak Pentadbiran atau White House; dan sesiapa yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan kerana tuduhan-tuduhan tersebut adalah amat berat. Ianya mempersoalkan kredibiliti dan integriti perkhidmatan awam Amerika Syarikat. Lima hari kemudian, Pesuruhjaya IRS telah mengambil tanggungjawab penuh untuk kejadian itu dan meletak jawatan.
9. Episod ini mempunyai dua pengajaran yang harus diambil iktibar. Pertama, sebarang salah-laku akan tersebar dengan luas dalam sekelip mata sahaja melalui internet. Oleh yang demikian, tindakan susulan oleh pihak berkuasa juga harus diambil dengan cepat. Kedua, setiap tindakan seseorang anggota perkhidmatan awam dianggap sebagai tindakan kolektif bukan sahaja jabatan tersebut, malah seluruh jentera kerajaan. Walaupun episod ini hanya melibatkan dua jabatan, tempiasnya terkena kepada keseluruhan Perkhidmatan Awam. Maka adalah penting setiap penjawat awam, bukan sahaja di agensi-agensi Penguatkuasaan, tetapi semua penjawat awam, di setiap peringkat, menghayati dan mempraktikkan bahawa oleh kerana kerjaya dalam perkhidmatan awam adalah pilihan kita, ianya adalah amanah, “it is a calling”, dan oleh itu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
10. Sudah lebih 2 tahun Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan ditubuhkan. Fungsinya untuk memantau integriti di kalangan agensi penguatkuasaan. Bagaimana pula dengan integriti di dalam perkhidmatan awam secara amnya? Atau lebih luas lagi, bagaimana pula dengan integriti di kalangan masyarakat kita? Memang kita mempunyai SPRM dan sebagainya dengan bidang kuasa masing-masing. Tetapi dalam membincangkan isu integriti, pada pandangan saya, kita tidak boleh membahagi-bahagikan mengikut bidang kuasa sesuatu agensi. Perbincangannya perlu holistik.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
11. Pada tahun 2012, SIAP menerima 329 kes. Adakah ini mencerminkan tahap integriti di kalangan agensi-agensi penguatkuasaan? Kalau dilihatkan laporan media dan perbualan di dalam media sosial, mungkin banyak lagi kes yang tidak dilaporkan. Apakah yang menghalang orang awam daripada membuat laporan? Mungkin salah satu aspek adalah kesangsian orang awam terhadap tindakan susulan oleh SIAP. Apakah tindakan akan diamabil? Adakah tindakan yang diambil adil? Tegas? Mengambil tindakan yang adil dan tegas sahaja tidak mencukupi, kita perlu dilihat mengambil tindakan tersebut. Ini sepatutnya menjadi sebahagian daripada fungsi SIAP dalam memberi kesedaran kepada orang ramai. Gunakan surat khabar, halaman facebook dan rangkaian youtube untuk menyiarkan statistik prestasi SIAP. Ini bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap fungsi SIAP, malah, lebih penting lagi, ia juga akan meningkatkan kredibiliti SIAP. Apabila orang ramai lebih menyedari fungsi SIAP dan lebih prihatin terhadap isu integriti, maka salah-laku integriti juga akan berkurangan kerana penjawat awam akan merasakan dirinya sentiasa diawasi oleh orang ramai. Oleh ramai orang.
12. Mesejnya adalah penguatkuasaan integriti akan lebih mudah sekiranya orang ramai turut terlibat dalam pemantauan dan mempunyai kesedaran dan harapan yang tinggi. Kesedaran tentang pentingnya integriti dalam menjamin kesejahteraan jangka panjang negara kita. Harapan bahawa setiap penjawat awam akan mendahulukan Negara, bukan kepentingan diri. Untuk meningkatkan kesedaran orang ramai, kita tidak memerlukan suatu masterplan yang canggih. Undang-undang memang penting, tetapi yang lebih penting adalah penguatkuasaan undang-undang tersebut. Apa yang membezakan satu masyarakat yang mematuhi undang-undang dengan yang lain adalah budaya penguatkuasaan. “A culture of enforcement”. Itu sepatutnya menjadi objektif kita – untuk melahirkan satu masyarakat, termasuk perkhidmatan awam, yang tidak akan berkompromi dalam isu integriti.
13. Saya ingin memberikan satu contoh dan berkongsi pengalaman mengenai penguatkuasaan. Pada tahun 2006, banyak bayaran oleh jabatan-jabatan kerajaan mengambil masa sehingga 40 atau 50 hari. Tetapi peraturan mengatakan bayaran harus dibuat dalam tempoh 30 hari. Malangnya, peraturan itu tidak dikuatkuasakan. Apabila peraturan itu diubah dari 30 hari ke 14 hari, didapati rata-rata 70% daripada bayaran dibuat dalam 3 hari sahaja! Tanpa menambah tenaga kerja atau melonggarkan prosedur pembayaran. Apa yang bertukar adalah penguatkuasaan. Pertukaran minda. Saya memantau laporan pembayaran oleh semua Kementerian dan Setiausha Kerajaan Negeri dua kali sebulan, pada 15 haribulan dan penghujung bulan. Dan bagi Jabatan Perdana Menteri setiap malam. Statistik pembayaran ini disiarkan di laman web KSN, PM dan TPM. Orang ramai boleh melihat sendiri prestasi pembayaran kerajaan. Dan mereka boleh “Challenge” sekiranya apa yang diwar-warkan itu berbeza dengan pengalaman mereka sendiri. Dengan adanya ketelusan dalam proses mengumpul dan menyiarkan statistik, dan saluran untuk semua pihak untuk melapor sebarang kekurangan dan kesediaan Jabatan untuk memperbetulkannya, maka masalah dalam pembayaran (sepatutnya) tidak wujud lagi. Mungkin ada satu peratusan kecil yang masih bermasalah, tetapi majoritinya menepati bayaran dalam 14 hari. Dalam erti-kata lain, penguatkuasakan ‘integriti’ dalam bayaran oleh kerajaan telah dijadikan tanggungjawab kolektif.
14. Saya juga ingin menekankan pentingnya konsistensi dalam penguatkuasaan untuk mencapai kredibiliti yang tinggi. Sebagai contoh, apabila saya mendapat tahu bahawa Mahkamah Persekutuan atau Jabatan Peguam Negara telah tidak menepati Piagam pembayaran, saya akan mempastikan YAA Ketua Hakim Negara atau Peguam Negara mengetahui mengenainya, walaupun sekecil RM39! Integriti adalah satu perkara yang mutlak. Kita tidak boleh membeza-bezakan antara jumlah yang kecil dan besar. Antara pegawai bawahan dan Ketua jabatan.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
15. Kita maklum akan objektif dan fungsi SIAP. Saya juga pasti kebanyakan agensi penguatkuasaan turut mempunyai fungsi dan petugas yang bertanggungjawab untuk memupuk dan mamantau integriti dalam agensi masing-masing. Saya percaya ini ada di Jabatan Kastam, PDRM dan lain-lain. Persoalannya, sampai bila kita memerlukan SIAP? Adakah SIAP akan menjadi satu ciri tetap Perkhidmatan Awam? Apakah kita perlu menunggu untuk Datuk Heliliah memberitahu kita apa yang perlu dilakukan untuk memupuk integriti di dalam fungsi jabatan kita? Sepatutnya, ‘SIAP’ mesti ada di dalam diri kita sepanjang masa. Bila kita memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam, kita telah berjanji untuk menegakkan integriti dalam perkhidmatan kita.
16. Kita tidak boleh mengasingkan subjek integriti daripada pemikiran, perlakuan, percakapan dan budaya kerja kita. “It is integral to our being”. Sebagai Pengerusi Institut Integriti Malaysia, ada pihak yang mencadangkan supaya diperkenalkan integriti sebagai satu subjek baru di sekolah. Saya tidak bersetuju. Beg sekolah anak-anak kita sudah cukup berat. Kita hendak tambah lagi satu buku teks dan buku kerja? Kita tidak boleh mewujudkan satu tanggapan di kalangan anak-anak kita bahawa integriti adalah satu topik yang terasing dari subjek-subjek lain. Guru-guru juga tidak boleh mengecualikan diri mereka dari membincangkan isu integriti kerana sudah ada guru khas untuk mengajar integriti. “We should not compartmentalise integrity”. Kita harus memastikan bahawa integriti adalah tanggungjawab setiap guru dan setiap ibubapa. Baik guru agama, guru sejarah, guru sains. Sama juga dalam Perkhidmatan Awam. Kita perlu memastikan bahawa setiap Ketua Jabatan dipertanggungjawabkan untuk menerapkan dan memantau integriti dalam jabatan masing-masing.
17. Pokoknya, integriti adalah tanggungjawab setiap individu. Pertama sekali, kita harus menjauhkan diri daripada salah-laku integriti. Kedua, sekiranya kita melihat rakan sekerja cuba melakukan sesuatu yang melanggari peraturan, kita harus memberi nasihat supaya menjauhinya. Dan ketiga, jika kita mengetahui tentang sesuatu salah-laku, kita juga bertanggungjawab untuk melaporkannya kepada Ketua Jabatan. Dalam konteks ini SIAP tidak diperlukan. Sekiranya setiap warga kerja Perkhidmatan Awam melaksanakan tiga peranan ini: menjauhi diri, menunjuk ajar dan melapor, InsyaAllah, integriti akan menjadi teras budaya kerja kita.
Para hadirin yang saya hormati sekalian,
18. Mesej saya adalah, integriti merupakan tanggungjawab kolektif semua pihak, termasuk SIAP dan agensi-agensi penguatkuasaan. SIAP memerlukan sokongan semua pihak untuk mencapai objektifnya. Dan apabila tahap integriti perkhidmatan awam sudah mencapai satu kedudukan yang tinggi, di mana integriti sudah menjadi teras budaya kerja kita, keperluan untuk Suruhanjaya ini mungkin sudah tiada! “We should see the commission not as a permanent feature, but a short-term tool that should eventually become irrelevant”.
19. Adalah menjadi harapan kita apabila Malaysia mencapai Wawasan 2020, bukan hanya ekonomi kita sahaja yang bertaraf dunia maju, malah integriti perkhidmatan kita juga setaraf dengan yang terbaik.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh