Majlis Peletakan Batu Asas Hospital Pengajar Kuliyyah Perubatan IIUM Kuantan
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera,
Dan Salam 1Malaysia,
Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah, DK, Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
2. Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustai’in Billah.
3. Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustai’in Billah
4. Terlebih dahulu, izinkan patik memunajat kesyukuran kehadarat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurnia dan keizinanNya jua, patik dan seluruh hadirin pada pagi yang mulia ini berpeluang berkumpul bersama-sama untuk mengikuti satu upacara yang penuh bermakna dan bersejarah khususnya bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan Negeri Pahang Darul Makmur, pada amnya.
Ampun Tuanku Beribu-Ribu Ampun, Sembah patik Mohon Di Ampun.
5. Patik, selaku Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, bagi pihak seluruh warga dan komuniti U.I.A.M., merafak sembah menjunjung kasih terhadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku, selaku Ketua Perlembagaan Universiti atas perkenan Tuanku mencemar duli menghadiri majlis pada pagi yang mulia ini.
6. Patik juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada para kerabat Di Raja Negeri Pahang Darul Makmur di atas kesudian melapangkan masa bagi menghadiri Upacara Peletakan Batu Asas Hospital Pengajar, Kulliyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang terletak di Bandar Indera Mahkota, Negeri Pahang ini.
7. Patik memohon perkenan duli Tuanku untuk patik menyampaikan sepatah dua kata kepada hadirin sekalian.
Ampun Tuanku.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang
Yang Berhormat Dato’ Sri Muhammad Safian Bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang
Yang Berbahagia Dato’ Sri Profesor Dr. Zaleha Kamaruddin, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang
Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri Pahang
Ketua-Ketua Jabatan Agensi Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan
Timbalan Rektor-Timbalan Rektor dan Pengarah-Pengarah Eksekutif IIUM
Dekan-dekan dan para pengurusan kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Para pensyarah serta para pelajar, tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekelian,
8. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadarat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurnia dan keizinanNya jua, kita berpeluang berkumpul bersama-sama di pagi yang amat bersejarah untuk U.I.A.M. khususnya, dan Negeri Pahang amnya.
9. Sesungguhnya, Kuliyyah Perubatan IIUM Kuantan telah berkembang dengan pesat sejak penubuhannya pada tahun 1997. Perkembangan dan kemajuan Kulliyah ini tidak dapat direalisasikan tanpa penglibatan, komitmen serta keprihatinan pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang. Seluruh warga kampus IIUM masih ingat bahawa Tuanku lah yang telah mempelopori penubuhannya kira-kira lapan belas tahun yang lalu, dan telah merasmikan Kampus Jalan Hospital Pada 28 Haribulan November, Tahun 1997, Bersamaan 28 Haribulan Rejab, 1418 Hijriah.
10. Pada mulanya, seramai 82 pelajar telah diambil sebagai kumpulan perintis pada tahun 1994 di peringkat matrikulasi. Kesemua pelajar yang berjaya menamatkan pengajian mereka kini berkhidmat di hospital-hospital di seluruh malaysia, malah, ada di antara mereka yang berkhidmat sebagai pensyarah di fakulti perubatan di universiti-universiti di Malaysia.
11. Alhamdulillah, Kulliyyah Perubatan telah berkembang setapak demi setapak sejak penubuhannya. Kulliyyah ini kini mempunyai 650 pelajar dari tahun pertama hingga tahun akhir, dan mampu menawarkan Program Ijazah Sarjana Klinikal (Clinical Masters Programme) dalam Bidang Perbidanan dan Sakitpuan, Ortopedik dan Pembedahan, manakala Program Sarjana dan Doktor Falsafah ditawarkan dalam bidang Parasitology, Microbiology, Anatomy, Physiology, Pharmacology dan Biochemistry.
Ampun Tuanku,
12. Pada hari yang bertuah ini, satu lagi detik bersejarah dalam perkembangan bidang pengajian perubatan U.I.A.M. akan bakal berlangsung, insya’allah, iaitu, Upacara Peletakan Batu Asas Untuk Hospital Pengajar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Hospital Pengajar ini yang mempunyai ciri-ciri syariah compliant, buat permulaanya, akan mempunyai 300 buah katil disamping dilengkapi dengan peralatan canggih dalam usaha untuk memberi rawatan pakar kepada masyarakat setempat.
13. Hospital ini bakal menjadi mercutanda dalam usaha ke arah meningkatkan bidang medical tourism di Negeri Pahang yang bertuah ini, disamping ianya bakal membuka ruang yang lebih luas untuk menjalankan penyelidikan. Namun, khidmat perubatan kepada orang ramai tidak akan diabaikan terutama perkhidmatan perubatan pakar atau specialist clinics.
14. Sebelum patik mengakhiri persembahan ucapan ini, patik juga ingin memaklumkan bahawa di antara banyak pencapaian cemerlang Kulliyyah Perubatan I.I.U.M., termasuklah menjadi fakulti pertama di Malaysia yang telah mendapat kelayakan M.Q.A. disamping mampu menerbitkan The International Medical Journal Malaysia (IMJM) yang di indeks di Scopus, Index Copernicus, Directory of Open Access Journals (D.O.A.J.) dan Open J-Gate EBSCO publishing.
15. Patik dan seluruh warga komuniti U.I.A.M. berharap penubuhan Hospital Pengajar ini akan menjadi pemangkin dalam memacu pertumbuhan dan kemajuan bidang perubatan dan sains kesihatan di Negeri Pahang Darul Makmur disamping ianya juga diharap akan menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan dalam bidang tersebut.
16. Akhir kata, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih terhadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku, selaku Ketua Perlembagaan Universiti atas perkenan Tuanku mencemar duli menghadiri majlis pada pagi ini. Patik serta seluruh warga kerja U.I.A.M. amat mengalu-alukan nasihat, tunjuk ajar serta penglibatan Tuanku dalam usaha untuk merealisasikan pembinaan hospital pengajar kulliyyah perubatan U.I.A.M. dan juga hala tuju universiti ini di masa-masa hadapan.
Sekian dulu persembahan ucapan patik pada pagi ini.
Ampun Tuanku.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh