Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang: PEMUDAH Challenge: Back to school
Bismilahir rahmanir rahim.
YBhg. Tan Sri Datuk Yong Poh Kon, Pengerusi Bersama PEMUDAH
YBhg. Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Ahli-ahli PEMUDAH
Guru Besar dan Guru-Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara dan Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan
Yang diraikan, anak-anak murid, para pemenang PEMUDAH Challenge: Back to School
YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datuk-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, marilah memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas limpah rahmat dan keizinan Nya, kita dapat hadir bersama-sama pada pagi ini sempena Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pemenang PEMUDAH Challenge: Back to School. Saya merasa amat terhibur dengan persembahan oleh murid-murid sekolah yang sungguh menarik sebentar tadi. Saya percaya para hadirin juga turut terhibur. Terima kasih diucapkan kepada Guru-Guru Besar, Guru-Guru Sekolah dan juga semua murid yang hadir bagi menjayakan acara pada hari ini, dan saya berharap program PEMUDAH Challenge: Back to School akan dapat diperluaskan untuk melibatkan lebih banyak sekolah pada masa hadapan.
2. Majlis ini diadakan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada para murid, pemenang PEMUDAH Challenge: Back to School yang berjaya mencetuskan idea-idea inovasi yang signifikan serta boleh memberi impak yang besar kepada suasana persekolahan, khususnya di peringkat sekolah rendah.
Saudara-saudari sekalian,
3. PEMUDAH Challenge: Back to School adalah kesinambungan dari PEMUDAH Challenge Musim Pertama dan Kedua yang telah dilaksanakan pada tahun 2010 di kalangan penjawat awam, dan kemudiannya diperluaskan melibatkan orang awam pada tahun 2011. Program ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, di mana pada PEMUDAH Challenge Musim Pertama, daripada 1,105 jumlah penyertaan yang diterima, 67 idea telah terpilih ke peringkat akhir. Manakala bagi PEMUDAH Challenge Musim Kedua jumlah penyertaan telah bertambah lebih 2 kali ganda mencecah 3,946 penyertaan. Melalui peringkat saringan yang makin sengit, hanya 57 idea dipilih sebagai pemenang musim kedua.
4. Ini menunjukkan kriteria penilaian telah dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan proses penilaian yang telus telah dijalankan oleh ahli panel penilai yang terpilih, dari kalangan sektor awam dan swasta. Idea-idea ini kemudian telah dihantar ke Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan yang terlibat untuk diambil tindakan serta dilaksanakan.
5. Memandangkan impak yang tinggi serta manfaat terhadap kecekapan proses penyampaian Kerajaan, program PEMUDAH Challenge ini telah diperluaskan untuk melibatkan bakal-bakal pemimpin negara di masa hadapan, agar barisan pelapis ini dapat diketengahkan serta berani bersuara bagi menyalurkan pandangan dalam usaha meningkatkan keberkesanan Kerajaan dan daya saing negara. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biar dari rebungnya. Walaupun mungkin pada hari ini, hanya setakat dalam hal yang berkaitan dengan sekolah mereka, peluang ini akan menggalakkan murid-murid ini berfikir secara lebih kreatif dan inovatif.
6. Pada kali ini, program PEMUDAH Challenge: Back to School telah menerima sambutan yang baik dengan 198 penyertaan diterima oleh pihak Sekretariat. Daripada jumlah ini, PEMUDAH telah mengenal pasti 24 atau 12% idea-idea bernas yang boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah. Idea-idea ini dipilih berdasarkan kreativiti, inovasi, keberkesanan dan impak kepada sistem pembelajaran. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada para murid di atas sumbangan idea-idea inovatif dan kreatif tersebut.
Hadirin yang dihormati sekalian,
7. Kadangkala kehebatan sebuah idea itu terletak kepada betapa mudahnya idea tersebut. Sebagai contoh, antara idea-idea yang diterima melalui PEMUDAH Challenge: Back to School ini adalah:
– Cadangan penggunaan kad Touch-N-Go sewaktu pembelian makanan dan minuman di kantin dan pinjaman buku di perpustakaan;
– Pengasingan sudu, garpu, dan pinggan dan cawan di kantin bagi memudahkan proses pembersihan;
– Penggunaan portal sekolah yang komprehensif supaya murid-murid, guru-guru dan ibu bapa dapat berhubung di samping murud-murid dapat memperolehi nota-nota, soalan-soalan peperiksaan yang lepas serta ulang kaji subjek-subjek yang dipelajari di sekolah;
– Kelas dilengkapi LCD dan projektor bagi membolehkan semua guru dapat menggunakan kaedah “power-point” dalam proses pengajaran; dan
– Bilik robotik berserta set yang lengkap supaya murid-murid dapat membina dan mencipta robot tersendiri.
8. Alhamdulillah, saya amat berbangga melihat generasi muda begitu peka dan dapat berfikir secara kreatif. PEMUDAH dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran akan berusaha memastikan agar idea-idea yang berjaya ini dilaksanakan di sekolah-sekolah. Saya juga berharap agar program PEMUDAH Challenge: Back to School ini akan diteruskan lagi dengan melibatkan sekolah-sekolah lain.
9. Akhir kata saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program PEMUDAH Challenge: Back to School ini. Semoga dengan adanya program ini para murid sekolah akan ditanamkan dan terbiasa dengan budaya inovatif dan kreatif serta meyakinkan mereka untuk bersuara dengan berani dalam menyumbangkan idea-idea yang boleh memantapkan lagi sistem pelajaran negara.
Selamat Maju Jaya kepada semua.
Sekian.
Wabillahittaufik walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.