Majlis Makan Malam Penghargaan Kepada Ybhg. Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara

June 22, 2012 12:29 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abd. Razak, Perdana Menteri Malaysia, dan isteri,
Y.A.Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansur

Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri

Y.B. Ahli-Ahli Jemaah Menteri

YB Timbalan-Timbalan Menteri
YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datin Sri-Datin Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan

Saudara-saudari rakan-rakan Perkhidmatan Awam yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, atas limpah izin dan kurnia Nya, kita dapat bersama-sama bertemu di dalam majlis ini.

2. Saya amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, khususnya kepada Y.A.B. Perdana Menteri, di atas penganjuran majlis ini dan membolehkan saya menyampaikan ucapan sepatah dua kata pada malam ini. Sesungguhnya saya amat terharu dan menghargai ucapan kata-kata dan ucapan Dato’ Sri tadi. And I must say, Y.A.B. Dato’ Sri, your announcement on my appointment as PETRONAS Chairman do come as a surprise. I will commit to do my best to fully discharge the trust, Insya Allah.

3. Hari ini, genaplah 5 tahun, 9 bulan, 19 hari saya memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Negara yang ke-12. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi, dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Y.A.B Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia kerana memberi peluang kepada saya untuk mengetuai rakan-rakan dalam Perkhidmatan Awam Malaysia bagi melaksanakan perubahan, menangani cabaran-cabaran baru, meninggikan kualiti penyampaian perkhidmatan, dan membuat anjakan berganda bagi menambah nilai pengetahuan, inovasi dan daya saing, di setiap peringkat. Saya percaya usaha-usaha ini akan diteruskan pada sepanjang masa, supaya setiap penjawat awam dapat memahami, menghayati dan melaksanakan strategi untuk memacu negara melalui proses transformasi menuju era negara maju berpendapatan tinggi.

4. Seperti mana yang dihasratkan oleh Kerajaan, saya amat bercita-cita untuk melihat setiap kita penjawat awam sentiasa mengambil langkah-langkah positif untuk meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Ini termasuk menerapkan minda terbuka yang mengutamakan kualiti dan elakkan daripada menjalankan tugas sambil lewa. Rakyat memerlukan kita penjawat awam yang mempunyai daya fikir yang tinggi, kemahiran menganalisis situasi, mempunyai high-level critical thinking serta kreatif, cepat dan cekap mengambil tindakan, berlandaskan integriti. Ini akan membolehkan Perkhidmatan Awam Malaysia bukan hanya menanda aras perkhidmatan awam negara lain, tetapi sebaliknya ditanda aras oleh negara-negara lain, termasuk negara-negara maju. To be benchmarked by the best.

Y.A.B. Dato’ Sri dan para hadirin sekalian,

5. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Malaysia, khususnya kepada Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib, Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin, Menteri-Menteri Kabinet dan semua Anggota-Anggota Pentadbiran sekarang dan dahulu, termasuk Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi, Bekas Perdana Menteri serta Yang Berhormat Tan Sri Rafidah Aziz di atas sokongan, bimbingan, panduan dan kerjasama yang diberikan terutama kepada saya semasa berkhidmat sebagai KSN, dan juga sebelum itu. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada sahabat-sahabat dan rakan-rakan daripada Perkhidmatan Awam Malaysia, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara; yang berkhidmat di dalam negara dari Sabah hingga ke Perlis, mahupun yang berkhidmat di luar negara, kerana telah berganding bahu dalam bersama-sama berusaha untuk memastikan Perkhidmatan Awam Malaysia kekal relevan dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Sesungguhnya perkhidmatan Saudara-saudari sama ada sebagai Ketua Perkhidmatan, Ketua Setiausaha, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Agensi, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Badan-Badan Berkanun, Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri, PBT, Kesatuan-Kesatuan Pekerja, CUEPACS, Pentadbiran Am JPM, dan semua penjawat awam dari pelbagai lapisan peringkat kumpulan Pengurusan dan Profesional serta semua Kumpulan Pelaksana, amatlah saya hargai dalam kita menggalas tanggungjawab untuk membangunkan negara kita yang tercinta. Kesempatan berkhidmat bersama dengan Saudara-saudari sekalian adalah suatu yang sangat bermakna kepada diri saya. Pada rakan-rakan dalam PEMUDAH yang banyak membantu dalam meningkatkan daya saing negara, terima kasih jua.

Y.A.B. Dato’ Sri dan para hadirin sekalian,

6. Kesempatan ini juga saya ambil untuk mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada isteri saya, Wan Noorlina atas sokongan dan dorongan yang diberikan hampir pada setiap masa sejak 36 tahun yang lalu. Juga kepada anak-anak: Suzi, Todd, Rieza, Hani, Liza dan Ridzwan di atas sokongan padu yang diberikan. Tidak juga lupa kepada semua rakan saya yang bertugas di Pejabat KSN, yang telah banyak membantu saya dalam memastikan kelancaran tugas-tugas saya sebagai KSN selama 5 tahun 9 bulan ini.

7. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Y.Bhg. Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa, di atas pelantikan sebagai Ketua Setiausaha Negara yang ke-13. Pelantikan ini sesungguhnya satu pilihan yang tepat dan satu bukti pengiktirafan di atas pencapaian YBhg. Dato’ Sri sepanjang karier dalam Perkhidmatan Awam Malaysia. Sehubungan itu saya berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga YBhg. Dato’ Sri dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh integriti semasa mengetuai Perkhidmatan Awam Malaysia. Saya percaya YBhg. Dato’ Sri mampu menjadi pemangkin utama kepada pelaksanaan langkah-langkah pemodenan dan penambahbaikan yang perlu diambil sehingga dapat diimplementasikan oleh setiap Agensi Kerajaan serta dibudayakan oleh semua penjawat awam. Menerusi sokongan dan kerjasama rakan-rakan, saya percaya Perkhidmatan Awam Malaysia akan sentiasa merealisasikan secara berterusan hasrat murni Kerajaan untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang benar-benar menepati kehendak rakyat dan setiap golongan pelanggan, yang mana penjawat awam sendiri adalah juga pelanggannya.

Y.A.B. Dato’ Sri dan para hadirin sekalian,

8. Sebagai ingatan kita bersama, memandangkan saya tidak akan lagi berada dalam Perkhidmatan Awam Malaysia, saya ingin membacakan petikan dari Puisi bertajuk Pakaian Pemimpin oleh Tenas Affendi, yang mungkin dapat kita hayati untuk dijadikan iktibar. Puisi ini pernah saya bacakan terdahulu, tetapi ingin saya ulanginya semula pada malam ini:

Menjalankan tugas tahan beragas
menjalankan amanah tahan dilapah
menjalankan yang hak tahan diinjak
menunaikan janji tahan dikeji
membela rakyat tahan dikerat
membela bangsa tahan binasa
membela negeri tahan mati
menolong tak harap sanjung
berbudi tak harap puji
berkorban tak harap imbalan
bekerja tak harap upah
memberi tak harap ganti
mengajar tak harap ganjar.

Saudara-saudari sekalian,

9. Saya berdoa ke hadrat Illahi, agar Saudara-saudari dapat melaksanakan semua dasar dan strategi yang telah dan akan digariskan oleh Kerajaan terutama untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua pihak. Berikan sepenuh tumpuan dan komitmen kepada tanggungjawab kita sebagai penjawat awam, walau apa pun jawatan yang kita pegang. Buktikan bahawa kehadiran kita benar-benar memberi sumbangan yang signifikan kepada Perkhidmatan Awam dan membawa impak kepada peningkatan kesejahteraan rakyat dan negara kita.

10. Marilah kita memanjatkan doa kepada Allah SWT semoga kita diberikan kekuatan untuk sama-sama memperbaiki diri dan memperkasa Perkhidmatan Awam Malaysia demi kelangsungan negara kita. Mudah-mudahan segala usaha murni kita akan diberkati oleh Allah SWT.

11. Akhir kata, saya dengan rasa rendah diri, ingin memohon kemaafan daripada semua di atas salah dan silap saya, terlanjur kata dan bicara, apa jua yang menyinggung rasa, yang terpendam di hati dan jiwa nurani, kerana saya merupakan insan biasa, hamba Allah yang diberi tanggungjawab dan amanah. Dan, yang berusaha untuk melaksanakannya.

Wabillahittaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaratuh.

Leave a Reply



7 × one =

Categories