PERASMIAN FESTIVAL NASYID PERINGKAT KEMENTERIAN SEMPENA SAMBUTAN MAAF HIJRAH 1428H/2007M
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Y. Bhg. Dato’ Mohtar bin Abas, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maal Hijrah Peringkat Jabatan/ Kementerian Tahun 1428 Hijrah / 2007 Masehi;
Y. Bhg. Dato-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia Nya dapat kita berkumpul di Auditorium ini bagi sama-sama mendengar dan menyaksikan persembahan kumpulan-kumpulan nasyid yang mewakili Kementerian masing-masing sempena Festival Nasyid Peringkat Kementerian Tahun 1428 Hijrah / 2007Masehi.
2. Penganjuran Festival Nasyid sempena Sambutan Maal Hijrah ini adalah suatu langkah murni yang telah diambil sejak ianya mula diadakan pada tahun 2001 oleh Jawatankuasa Sambutan Maal Hijrah Peringkat Jabatan dan Kementerian.
3. Selain daripada pertandingan nasyid, aktiviti-aktiviti lain, seperti lawatan ke perkampungan orang asli, lawatan muhibah ke rumah-rumah anak yatim, warga emas dan hospital-hospital memberikan peluang kepada anggota perkhidmatan awam untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dan murni, yang di luar skop pekerjaan mereka setiap hari.
4. Dengan adanya penglibatan Kementerian-Kementerian dalam festival ini akan dapat mengeratkan lagi persaudaraan dan silaturahim di antara pasukan-pasukan yang bertanding secara khususnya, dan keseluruhan perkhidmatan awam secara amnya, Insya Allah.
5. Saya dimaklumkan bahawa sebanyak 14 buah kumpulan nasyid dari 14 Kementerian yang akan mengambil bahagian dalam festival nasyid pada tahun ini. Penglibatan yang menggalakkan daripada Kementerian-Kementerian pada setiap tahun dalam Festival Nasyid ini, merupakan satu tanda bahawa anggota perkhidmatan awam kita sentiasa bersedia menyertai apa juga peraduan atau pertandingan yang dianjurkan dan berlumba untuk menjadi yang terbaik.
6. Ciri yang positif seperti ni seharusnya diterjemahkan di dalam konteks melaksanakan tugas seharian, di mana kita perlu “berlumba” untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta memberikan yang terbaik kepada para pelanggan kita.
Saudara-saudari sekalian,
7. Pada tahun ini negara kita akan menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan. Dalam tempoh tersebut, banyak perubahan yang telah berlaku, bukan sahaja dari sudut landskap fizikal negara, malah pengetahuan dan minda rakyat juga telah turut meningkat.
8. Rakyat Malaysia pada masa kini bukan seperti rakyat pada 20 atau 30 tahun yang lalu. Mereka kini inginkan sebuah perkhidmatan awam yang cekap dan berkualiti. Ini hanya akan dapat dicapai sekiranya setiap anggota perkhidmatan awam memahami dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita dengan sebaik mungkin.
9. Kita harus ingat bahawa segala tindakan dan tingkah laku kita sentiasa dilihat dan dinilai oleh orang ramai. Oleh itu kita perlu berusaha supaya kita tidak dilabel sebagai mempunyai sikap “tidak apa”, tidak mematuhi peraturan, cuai dalam melaksanakan tugas, serta buat kerja sambil lewa. Saya berkeyakinan penuh kita berupaya menangani tanggapan-tanggapan yang negatif tersebut dengan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan komited, cekap, responsif, telus dan berintegriti.
Hadirin yang dihormati sekalian,
10. Selain daripada bakat, sikap berusaha dengan gigih tanpa jemu, bekerjasama, saling bantu membantu, serta berfikiran kreatif dan inovatif adalah antara elemen-elemen penting untuk melahirkan sebuah kumpulan nasyid yang baik. Elemen-elemen itu jugalah yang harus ada pada setiap diri warga perkhidmatan awam tanpa mengira di Jabatan atau Kementerian mana kita bertugas.
11. Bagi yang menyaksikan persembahan nasyid ini, di samping kita berhibur dengan lagu-lagu nasyid yang akan diperdengarkan, marilah kita bersama-sama menghayati lirik lagu-lagu nasyid tersebut. Ini adalah kerana saya berkeyakinan lirik lagu-lagu nasyid mengandungi banyak kata-kata nasihat, penguat semangat serta menjadi pendorong dan panduan untuk melahirkan anggota perkhidmatan awam yang berkualiti khususnya, dan boleh dijadikan amalan bagi kita dalam melaksanakan tugas seharian untuk menjadi Muslimin dan Muslimat yang sejati.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
12. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Urus setia yang telah sudi menjemput saya untuk merasmikan Festival Nasyid ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan serta anggota-anggota yang turut hadir bagi memberikan sokongan serta menjayakan festival nasyid ini.
13. Harapan saya ialah, lebih banyak penyertaan akan diterima dari Kementerian dan Jabatan dalam pelbagai aktiviti yang diadakan, sama ada ia berbentuk kesenian, sukan, pertandingan dan sebagainya.
14. Kepada semua pasukan yang bertanding saya berharap tuan-tuan dan puan-puan akan berusaha untuk memberikan persembahan yang terbaik dan seterusnya muncul sebagai johan untuk ke Festival Nasyid Peringkat Kebangsaan yang akan dianjurkan kelak.
15. Akhir kata, dengan lafaz BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM, saya merasmikan Festival Nasyid Peringkat Kementerian Bersempena Sambutan Maal Hijrah 1428 Hjirah /2007 Masehi.
Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.