MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG JABATAN PERDANA MENTERI
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri, Dato’-Dato’, Datin-Datin dan tuan puan yang dihormati sekelian.
Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah keizinanNya, kita dapat melangsungkan Majlis Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2006 Jabatan Perdana Menteri pada hari ini.
TAHNIAH KEPADA PENERIMA
2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada saudara-saudari yang telah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perdana Menteri bagi tahun 2006. Penganugerahan ini merupakan penghargaan, pengiktirafan dan ucapan terima kasih Kerajaan, khususnya pihak pengurusan Jabatan Perdana Menteri terhadap prestasi kerja yang baik dan sumbangan yang telah diberikan oleh saudara-saudari, yang boleh dicontohi oleh orang lain.
3. Selaku penerima, saudara-saudari merupakan hanya 8 peratus daripada keseluruhan bilangan pegawai dalam organisasi yang saudara saudari sertai di Jabatan Perdana Menteri. Beberapa kriteria telah digunakan dalam menilai pegawai yang layak diberikan anugerah ini. Disamping prestasi dalam melaksanakan kerja, penglibatan dan sumbangan di dalam aktiviti-aktiviti sukan dan kebajikan serta kesesuaian lain secara keseluruhan telah turut diambil kira.
4. Selepas penganugerahan ini, saudara-saudari akan dinilai pula oleh pegawai lain apabila kembali semula bertugas di pejabat masing-masing. Justeru, apakah benar saudara-saudari mempunyai ciri-ciri yang lebih baik daripada mereka untuk menerima anugerah ini? Oleh itu, saudara-saudari haruslah menyedari bahawa anugerah ini membawa bersamanya tanggung jawab untuk menjadi pegawai yang boleh dicontohi oleh orang lain. Saya percaya saudara-saudari sememangnya mempunyai motivasi yang tinggi untuk terus berusaha meningkatkan lagi prestasi sebagai menghargai pengiktirafan yang diberikan ini.
5. Dalam hubungan ini, saya suka menegaskan bahawa bagi pegawai lain yang tidak terpilih menerima anugerah pada tahun ini, bukanlah bermakna mereka tidak merupakan pegawai-pegawai yang cemerlang. Kita haruslah faham bahawa di dalam sesuatu pemilihan itu, ia merupakan satu saingan bagi kedudukan yang lebih baik.
6. Justeru itu, setiap pegawai hendaklah sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan tanpa hentinya dan bagi yang belum berjaya menerima anugerah ini, hendaklah tidak berkecil hati, malahan akan terus melibatkan diri dalam pertandingan yang sihat.
Kenaikan Gaji Dan Peningkatan Sistem Penyampaian
7. Pada 21 Mei 2007 yang lalu, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2007. Saya percaya tiada di kalangan kita yang tidak gembira apabila mendengar berita ini. Apa yang penjawat awam akan dapat adalah satu lonjakan besar dalam pendapatan, yang saya percaya akan mampu merubah kehidupan ke tahap yang lebih selesa. Walau pun demikian, suka jugalah saya menasihati supaya kita mengamalkan kehidupan yang sederhana dan sentiasa berjimat cermat.
8. Namun begitu, di dalam kesempatan ini, saya suka mengingatkan bahawa di dalam kita bergembira ini, tersirat di sebalik keputusan Kerajaan ialah untuk semua anggota sektor awam membuat perubahan yang besar dari segi prestasi kerja masing-masing. Pepatah Melayu menyatakan “orang berbudi kita berbahasa”. Oleh itu, saya meminta setiap peringkat penjawat awam hendaklah mengambil tanggungjawab secara sedar untuk mengambil langkah memperbaiki lagi kecekapan dan keberkesanan kerja harian masing-masing, baik dari segi kuantiti atau pun kualitinya. Saya berharap perubahan yang sama besar lonjakannya akan dapat kita laksanakan dalam memperbaiki diri dan sekali gus secara bersama menyumbang ke arah meningkatkan secara bermakna sistem penyampaian Kerajaan.
Saudara-saudari dan hadirin yang dihormati sekalian,
Disiplin
9. Kenaikan gaji adalah satu reward. Begitu juga Anugerah Khidmat Cemerlang yang diberikan hari ini, juga merupakan satu reward. Namun suka saya menegaskan bahawa dalam aspek Pengurusan Sumber Manusia biasanya, reward dan punishment adalah dilaksanakan secara seiring. Di samping memberi reward kepada yang layak menerimanya, punishment juga perlu dilaksanakan terhadap mereka yang melanggar peraturan. Hanya apabila kedua-dua mekanisma ini dilaksanakan dengan berkesan barulah perkhidmatan awam dapat dibimbing ke arah mencapai tahap kecemerlangan yang diharapkan.
10. Di dalam hubungan ini, saya ingin menasihatkan supaya Ketua-ketua Jabatan melaksanakan dengan tegas dan adil tanggungjawab untuk memberi reward dan melaksanakan punishment ke atas mereka yang berhak terhadapnya. Umumnya, bagi semua pegawai Kerajaan, saya berharap mereka peka akan perkara ini dan mengambil iktibar untuk melaksanakan sepenuhnya tugas yang diamanahkan oleh stake holders dan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah peraturan dan prosedur Kerajaan. Adalah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa cemerlang atau tidaknya sesebuah organisasi itu bergantung pada tahap disiplin pegawainya. Oleh itu, warga yang tinggi disiplinnya, yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cekap dan berkesan, akan membantu bagi mewujudkan organisasi berprestasi tinggi. Marilah kita warga JPM menjadikan Jabatan Perdana Menteri sebagai Kementerian contoh dalam serba serbi kebaikan.
Saudara-saudari dan hadirin yang dihormati sekalian,
Nilai Murni dan Cara Bekerja
11. Saya ingin juga menarik perhatian kepada ekspektasi Kerajaan terhadap pegawai-pegawainya. Sebagaimana kita tahu, anggota sektor awam adalah tulang belakang kepada pelaksanaan dasar dan program Kerajaan.
12. Dalam hal ini, Kerajaan sentiasa mengharapkan integriti pentadbiran awam berada di tahap integriti yang tinggi. Ini bukan hanya bermaksud pegawai yang bersih dari rasuah tetapi juga meliputi semua aspek yang berkaitan dengan menjaga maruah sebagai seorang penjawat awam. Justeru itu pegawai Kerajaan hendaklah sentiasa jujur, beramanah, cepat di dalam mengambil tindakan, sentiasa bersedia untuk menyelesaikan apa jua masalah dan responsive terhadap isu-isu yang berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Kejayaan seseorang sangat bergantung pada niatnya yang baik, usaha gigih yang diambil dan sanggup bekerja sebagai satu pasukan.
13. Kita harus ingat bahawa apabila sesuatu jawatan di dalam sektor awam diwujudkan dan kita berkesempatan menyandangnya juga adalah kerana perkhidmatan tertentu diperlukan oleh pelanggan. Pelanggan adalah terdiri bukan sahaja daripada orang ramai, pihak swasta, malah termasuklah kita sendiri penjawat-penjawat awam. Saya percaya kita semua mahu apabila sesuatu kerja itu dilakukan untuk kita oleh orang lain, ia perlu dibuat dengan mesra, cepat dan berkualiti. Contohnya, seperti untuk mendapatkan tuntutan bayaran ataupun diproses urusan kenaikan pangkat mahupun untuk menduduki rumah kerajaan yang kita mengharapkan ianya segera dilaksanakan.
14. Sehubungan dengan itu, saya ingin menarik perhatian tuan-puan dengan membaca email yang saya terima pada pagi ini. Ianya dihantar oleh seorang bekas kakitangan Bahagian Pinjaman Perumahan bernama Puan Siti Salwa bt. Abdullah Salwa. Ianya berbunyi:
“Y Bhg. Tan Sri, Saya terlalu ingin menerangkan sikap ataupun akhlak bekas kakitangan kerajaan yang menjadi peminjam Pinjaman Perumahan. Untuk makluman Y Bhg saya adalah bekas kakitangan di Bahagian Pinjaman Perumahan. Semasa berkhidmat di sana, rata-rata peminjam perumahan kerajaan adalah bekas kakitangan awam termasuk tentera dan polis.
Apa yang peliknya, bekas k/tangan awam seperti tentera mempunyai sikap yang cukup buruk apabila berurusan dengan pejabat kerajaan khususnya di bahagian ini.
Kata-kata nista dan kecaman menjadi senjata mereka untuk menyegerakan urusan fail mereka. Di mana hilangnya, sikap kesabaran dan timbang-rasa mereka. Perkara yang sama terjadi -kami mengharungi situasi bila berdepan dengan mereka yang ada gelaran seperti bekas Dato’ dan bekas pegawai JUSA yang bersikap ‘lebih teruk’ dari mereka yang kumpulan D. Mereka berkebolehan memaki hamun dan mengancam k/tangan awam bagi menyegerakan proses fail mereka.
Makluman/perhatian Y Bhg Tan Sri Sidek.
Sakit Hati
Jalan Duta, KL”
15. E-mail ini telah saya balas dan salinkannya kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan serta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mereka juga mengetahui dan mengambil ikhtibar tentang perkara ini. Email balasan saya kepada Puan Siti Salwa adalah:
“Saya sering mengingatkan diri saya sendiri dan lain-lain penjawat awam supaya semasa masih berkhidmat, baik di mana sahaja, KITA HENDAKLAH MEMBERI PERKHIDMATAN YANG TERBAIK KEPADA PELANGGAN. Dan kita hendaklah berusaha memperbaiki lagi tatacara dan proses pemberian perkhidmatan supaya ianya boleh diberikan dengan mudah dan menyenangkan.
Saya sangat takut apabila kita bersara kelak dan diberi layanan yang kita fikir buruk oleh penjawat awam, kita menyesal kenapa kita tidak memperbaikinya semasa kita masih boleh membuat sesuatu! Dan sekarang semasa saya masih berkhidmat, adakalanya layanan yang diterima (daripada mereka yang tidak mengenali) dari beberapa agensi boleh diperbaiki lagi.
Saya percaya semua kita penjawat awam YANG MASIH BERKHIDMAT sekali pun, tidak mengira apa pangkat dan darjat, bila berurusan dengan agensi Kerajaan yang lain, harus pernah mengeluh dan mengharapkan layanan yang lebih baik daripada apa yang diterima. SAYA TAHU KERANA SAYA BANYAK MENDAPAT RINTIHAN DARIPADA BEBERAPA ORANG PENJAWAT AWAM YANG MASIH BERKHIDMAT MENGENAI LAYANAN SEDEMIKIAN. TERMASUK SEBAGAI CONTOH MENGENAI BAHAGIAN PINJAMAN PERUMAHAN. Kesemua pelanggan Bahagian Pinjaman Perumahan adalah dari kalangan kita, samada masih berkhidmat atau bekas penjawat awam. Sekiranya kita tidak dapat memberikan layanan yang baik kepada kita sendiri, saya tidak yakin kita akan memberikan layanan yang lebik baik kepada orang lain!
Tidak ada sebab kenapa orang akan bersikap buruk kepada kita, sekiranya kita memberikan perkhidmatan yang baik dan bersopan, baik di jabatan mana sekali pun!
Assalamualaikum”
16. Begitulah juga perasaan kesemua pelanggan yang mahukan mereka diberi sesuatu perkhidmatan dengan segera. Oleh yang demikian, saya ingin mengajak semua pegawai kerajaan, khususnya di Jabatan Perdana Menteri ini supaya mendukung nilai-nilai integriti dan melaksanakan tugas secara berlipat ganda lebih baik lagi daripada tahap sekarang.
Saudara dan Saudari dan hadirin sekalian,
Pelaksanaan Keputusan
17. Dari masa ke semasa, Kerajaan memperkenalkan dasar-dasar baru dan dari itu adalah menjadi tanggungjawab pegawai Kerajaan untuk melaksanakannya. Pegawai-pegawai Kerajaan tidak boleh kekal pada tahap sedia ada dan menganggap apa yang diberikan sekarang adalah yang terbaik hingga tidak perlu berusaha memperbaikinya lagi. Kita mesti ingat bahawa persekitaran sentiasa berubah dan ada di antara sistem dan prosedur bekerja kita yang boleh diperbaiki dan tempoh masa melakukan sesuatu kerja boleh dipercepatkan lagi. Umpamanya, dengan menggunakan kemudahan ICT, kita boleh membuat dan menyampaikan keputusan dengan cepat melalui e-mail. Dengan sebab itu, kita hendaklah menyemak kembali sistem dan prosedur kerja yang digunakan selama ini untuk diubahsuai selaras dengan keperluan dan kemudahan yang ada. Hanya kita yang lebih tahu bidang tugas kita secara mendalam dan sama ada sistem yang diguna pakai, peraturan dan prosedur yang kita gunakan masih relevan atau tidak. Kita hendaklah mengambil tindakan proaktif untuk membuat penilaian dan mencadangkan perubahan-perubahan yang perlu umpamanya meminda peraturan-peraturan yang lapuk dan meningkatkan keberkesanan tugas yang kita jalankan.
18. Dalam konteks ini, kita akan merasa lebih selesa sekiranya pembaharuan-pembaharuan ini datang daripada kita sendiri, berbanding daripada orang lain apabila mereka menunjukkan kelemahan kita yang perlu diperbaiki. Oleh yang demikian, sekiranya setiap penjawat awam mengambil langkah-langkah untuk maju supaya tidak ketinggalan zaman, perkhidmatan awam secara keseluruhannya akan dapat dibawa ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.
19. Saya juga ingin menyentuh dari segi pematuhan kepada arahan oleh pegawai-pegawai Kerajaan di dalam urusan kerja. Kita sentiasa memahami dalam konteks kerja seharian, kita sering menerima berbagai arahan dan keputusan tertentu daripada pihak atasan. Di dalam hal ini, seorang penjawat awam hendaklah sentiasa bersedia untuk melaksanakan arahan dan keputusan tersebut. Satu perubahan yang saya kehendaki dibuat oleh penjawat awam ialah untuk tidak menggagalkan sesuatu arahan dan keputusan yang telah dibuat, malahan melaksanakannya dengan komitmen yang tinggi dan dilakukan dengan segera.
JPM – To Be The Best
20. Dalam usaha untuk membawa perubahan kepada sikap dan cara kita bekerja ini, saya berharap semua peringkat pegawai di JPM memberi perhatian yang sangat serius dalam isu pelaksanaan. Saya mengajak saudara saudari semua untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan menyumbang ke arah menjadikan JPM sebagai sebuah organisasi contoh. Pada masa ini, kita telah berjaya melaksanakan dasar menguruskan bayaran bil dan tuntutan dalam tempoh 14 hari, di mana sejak November 2006 hingga Mei 2007, sebanyak 99% daripada bil yang diterima telah berjaya dibayar dalam tempoh 14 hari. Malahan bagi bulan April 2007, kesemua bil (100%) JPM telah dapat dibayar dalam tempoh tersebut. Pencapaian ini telah menjadi tanda aras kepada Kementerian-kementerian lain. Saya berharap lebih banyak aspek pengurusan di JPM ini mencapai tahap terbaik supaya JPM menjadi sebuah organisasi yang terbilang. Harapan saya ialah perubahan sikap dan cara bekerja baru di JPM diamalkan oleh semua warganya sehingga menjadikan satu budaya kerja yang boleh diteladani bukan sahaja oleh lain-lain kementerian, tetapi juga oleh pihak swasta.
Saudara-saudari yang dihormati,
Pengukuran Prestasi Kerja
21. Dalam memastikan prestasi kerja penjawat-penjawat awam dapat diukur dengan lebih adil dan objektif, adalah perlu satu mekanisma pengukuran prestasi yang sesuai dapat diguna pakai oleh semua jabatan. Dalam hal ini, sukalah saya menarik perhatian Ketua-Ketua Jabatan supaya mengguna pakai sistem pemarkahan dalam LNPT yang berpatutan, wajar dan tidak terlalu ekstrem. Sebagai contoh, adalah kurang wajar sekiranya pegawai diberikan markah LNPT yang melebihi 95 peratus kerana ianya memberikan gambaran bahawa pegawai yang dinilai itu mempunyai prestasi yang menghampiri tahap maksima sedangkan masih banyak ruang di mana pegawai tersebut boleh memperbaiki lagi prestasi kerjanya. Oleh itu, adalah wajar sekiranya penilaian prestasi ini dapat dilakukan dengan lebih objektif.
Saudara saudari yang dihormati,
Cabaran
22. Kita sentiasa berhadapan dengan cabaran hari muka yang tiada kepastian. Kita didepankan dengan keperluan untuk melengkapkan diri dengan kemahiran baru, pendedahan-pendedahan baru serta kualiti pemikiran dan sikap yang lebih baik, yang berupaya memberikan ruang baru, sumber aspirasi baru dan anjakan baru dalam pelbagai konteks. Dalam kata lain, kejayaan warga yang cemerlang dan kecemerlangan sesebuah organisasi merupakan satu perjalanan yang perlu melalui pelbagai pancaroba. Namun, apa yang penting di sini ialah memahami apa yang perlu dipelajari, mengulangi proses pembelajaran, dan menerokai ruang baru untuk mencapai kejayaan yang lebih besar. Ingatlah, bahawa dengan ketabahan dan keupayaan untuk mengadaptasi idea-idea baru pasti akan membuahkan banyak kejayaan kepada kita.
Penutup
23. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2006 Jabatan Perdana Menteri. Harapan saya agar kecemerlangan ini akan terus dikekalkan dan menjadi pendorong kepada kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. Bagi yang tidak terpilih, jangan berputus asa. Insya Allah akan beroleh kejayaan pada suatu hari nanti.
Sekian, saya sudahi dengan Wabillahitaufiq Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.