MAJLIS PERJUMPAAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA DENGAN PEGAWAI-PEGAWAI TADBIR GRED N41 (KONTRAK) YANG MENGISI JAWATAN HAKIKI PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK GRED M41

July 24, 2007 6:21 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir rahmanir rahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Y. Bhg. Tan Sri Ismail bin Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Y. Bhg. Puan Sri Zaiton binti Mhad Ali
Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia

Y. Bhg. Dato’ Ahmad bin Said
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi)

Y. Bhg. Datuk Abdul Khalil bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan),

Y. Bhg. Dato’ Dr. Ismail Alias,
Pengarah Bahagian Perkhidmatan, JPA,

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya, kita dapat berhimpun bersama-sama dalam Majlis Pertemuan dengan Pegawai-pegawai Tadbir Gred N41 Kontrak yang mengisi jawatan hakiki Pegawai Tadbir dan Diplomatik, P.T.D. Gred M41 di seluruh negara.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam kerana mengatur Majlis ini, bagi memberi peluang kepada saya menyampaikan sepatah dua kata kepada pegawai-pegawai yang hadir pada hari ini. Saya percaya majlis ini sangat besar ertinya bukan sahaja kepada semua yang terlibat, termasuk kepada diri saya sendiri, kerana dapat bertemu dengan saudara-saudari sekalian.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Objektif Penganjuran Majlis

3. Pembangunan modal insan adalah merupakan agenda penting yang sentiasa dititikberatkan oleh kerajaan. Ini adalah kerana kecemerlangan modal insan adalah aset terpenting untuk melahirkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan efisien. Bagi mencapai tahap kecemerlangan, sesebuah organisasi tidak boleh bergantung kepada kecekapan dan kemahiran segelintir warganya sahaja. Sebaliknya ia memerlukan semua anggota dalam organisasi berganding bahu dan bekerjasama sebagai satu pasukan, bukan sahaja di kalangan anggota lantikan tetap, tetapi termasuk juga pegawai-pegawai yang dilantik secara kontrak.

4. Justeru, Majlis pada hari ini diadakan bagi membolehkan saya berkongsi hasrat dan aspirasi supaya kita terus berusaha dengan gigih, demi mencapai kejayaan dan kecemerlangan diri serta organisasi. Di samping itu, saya juga berharap majlis ini dapat dimanfaatkan sebagai satu platform untuk mendapat gambaran sebenar isu-isu pegawai-pegawai lantikan kontrak, terutamanya yang ditempatkan ke jawatan P.T.D. di seluruh negara. Ini kerana, saudara-saudari juga adalah daya penggerak usaha-usaha kerajaan dalam memastikan setiap program dan aktiviti yang dirancang berjalan dengan sempurna dan lancar. Insya Allah, segala kekangan dan masalah yang dihadapi oleh setiap anggota perkhidmatan awam akan sentiasa diberi perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya.
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Latar Belakang Pelantikan Pegawai Kontrak

5. Saya difahamkan bahawa saudara-saudari adalah Pegawai Lantikan Kontrak yang telah dilantik daripada pelbagai sesi lantikan mulai 1 Disember 2003. Tarikh tersebut adalah juga merupakan tarikh di mana pegawai Skim Sangkut dan Latihan (SSL) ditukar taraf perkhidmatan mereka ke status kontrak. Pertukaran taraf perkhidmatan tersebut sebenarnya adalah merupakan satu penambahbaikan bagi memberi lebih faedah kepada pegawai-pegawai yang terlibat, memandangkan di bawah skim perkhidmatan SSL, pegawai hanya menerima gaji asas, tanpa elaun-elaun berkaitan. Ini juga dilakukan oleh Kerajaan sebagai usaha untuk membantu sebilangan graduan yang tidak berjaya mendapatkan pekerjaan tetap pada waktu itu.

6. Namun demikian senario tersebut telah berubah. Objektif pelantikan pegawai-pegawai kontrak kini lebih bermatlamatkan membantu kerajaan dalam pengisian jawatan, khususnya jawatan P.T.D. yang mengalami kekosongan yang agak kritikal. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam juga, pada masa yang sama, telah memberikan penurunan kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk membuat pelantikan bagi tujuan tersebut.

7. Dengan perubahan ini, di samping mendapat pekerjaan dan faedah kewangan, saya percaya saudara-saudari pasti telah mendapat faedah yang paling berharga, iaitu diberikan pendedahan sebagai front liner kepada segala aspek sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, di dalam semua sektor, baik di peringkat Persekutuan, Negeri, mahupun Pihak Berkuasa Tempatan.

Saudara-saudari sekalian,

Prestasi Pegawai-Pegawai Kontrak

8. Dari maklum balas yang saya terima, para Pegawai Tadbir Gred N41 Kontrak telah menunjukkan kesungguhan bekerja serta kerjasama yang tinggi dalam melaksanakan segala amanah dan tugasan yang diberikan. Malah komitmen tersebut diperakui ada yang melangkaui prestasi pegawai-pegawai lantikan tetap yang baru. Saya amat berbangga dengan kesungguhan ini, dan saya harap semangat bekerja sedemikian akan berterusan dan dipertingkatkan lagi.

9. Saya selalu mengingatkan diri saya dan juga rakan-rakan lain bahawa bekerja itu adalah suatu ibadah, dan ianya harus dilaksanakan dengan penuh jujur dan ikhlas. Pekerjaan kita, tanpa mengira status kontrak atau tetap atau sangkut, adalah punca rezeki. Maka biarlah rezeki yang diterima itu adalah halal, dengan cara kita bekerja bersungguh-sungguh dan beramanah.

Saudara-saudari sekalian,

10. Organisasi yang cemerlang ditentukan oleh modal insannya yang komited dan berdedikasi. Saya amat berbangga serta memandang tinggi terhadap mana-mana jabatan atau agensi kerajaan yang berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang. Ini juga memberi gambaran bahawa sumber manusia di dalam jabatan atau agensi tersebut adalah juga cemerlang.

11. Dalam memastikan kejayaan dan perkhidmatan yang cemerlang sentiasa berterusan, pada tahun 2005, JPA telah membuat keputusan supaya calon-calon yang dilantik sebagai Pegawai Tadbir secara kontrak, yang mengisi jawatan P.T.D. Gred M41, dikehendaki mempunyai tahap kompetensi minima sebagaimana pengambilan P.T.D. tetap. Justeru, hanya calon-calon P.T.D. yang telah lulus peperiksaan memasuki skim Perkhidmatan P.T.D. dan P.T.D. Assessment Centre sahaja akan ditawarkan lantikan sebagai Pegawai Tadbir Gred N41 kontrak bagi mengisi serta menjalankan segala tugasan P.T.D. Gred M41.

12. Sejajar dengan peningkatan kualiti perkhidmatan dan sebagai usaha menjaga kebajikan pegawai, JPA bersama-sama dengan SPA selaku Pihak Berkuasa Melantik, baru-baru ini telah memberi pertimbangan khas kepada 125 orang Pegawai Tadbir Gred N41 Kontrak untuk hadir ke sesi temu duga P.T.D. Gred M41. Mereka ini adalah dari kalangan pegawai yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun, memperoleh markah penilaian tahunan LNPT sekurang-kurangnya 85%, diperakukan oleh Ketua Jabatan serta memenuhi syarat skim, iaitu lulus peperiksaan memasuki P.T.D. Dari jumlah tersebut, saya dimaklumkan seramai 82 orang atau 65.6 peratus telah berjaya, dan akan melaporkan diri sebagai pegawai lantikan tetap pada 20 Ogos 2007 akan datang. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada yang berjaya.

Saudara-saudari sekalian,

13. Dalam setiap pertemuan dengan pegawai-pegawai baru mahupun pegawai-pegawai kanan Kerajaan, saya suka mengambil kesempatan untuk mengingatkan beberapa perkara, nasihat dan panduan dalam mengharungi cabaran serta memenuhi tuntutan kecemerlangan dalam perkhidmatan. Perkara-perkara yang akan saya sentuh ini merupakan perkara-perkara asas yang perlu sentiasa diberikan perhatian dan diamalkan oleh setiap anggota Perkhidmatan Awam.

Mengamalkan Budaya Kerja Cemerlang

14. Baru-baru ini, The World Governance Indicators Report 1996 – 2006 yang diterbitkan oleh Bank Dunia pada Julai 2007, menunjukkan bahawa kualiti perkhidmatan awam negara ini telah bertambah baik, di mana indeks bagi keberkesanan Kerajaan telah meningkat ke 80.6 peratus pada tahun 2006 dari 79.1 peratus pada tahun 2005.

15. Peningkatan ini selaras dengan indeks yang dikeluarkan oleh Institute of Management Development (IMD), iaitu 53.9 peratus pada tahun 2006 kepada 57.5 pada tahun 2007. Ini bermakna usaha-usaha penambahbaikan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam yang dilaksanakan selama ini, telah menyumbang kepada PERSEPSI bahawa prestasi dalam sistem penyampaian Kerajaan telah meningkat.
16. Namun demikian, saya perlu menegaskan bahawa bukan sahaja setakat persepsi yang perlu kita perbaiki, tetapi perkhidmatan yang diberikan hendaklah benar-benar dipertingkatkan supaya para pelanggan yang berurusan dengan agensi-agensi Kerajaan mendapat faedah atau manfaat secara langsung daripada penambahbaikan tersebut.

17. Bagi tujuan tersebut, selaras dengan hasrat budaya kerja cemerlang kita perlu sentiasa mengenal pasti, menilai dan mengkaji semula amalan-amalan masa kini dan membuat penambahbaikan sewajarnya terhadap sistem dan prosedur kerja, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara.

18. Sebagai contoh, kita telah membuat perubahan pada Arahan Perbendaharaan, di mana bil-bil tuntutan perlu dibayar dalam tempoh 14 hari, berbanding 30 hari sebelum ini. Namun demikian, kita tidak perlu menunggu sehingga tempoh 14 hari hampir tamat untuk memulakan proses pembayaran. Setiap permohonan pembayaran yang diterima hendaklah diproses dengan segera, lebih-lebih lagi bagi permohonan yang lengkap dan disokong dengan dokumentasi yang diperlukan.

19. Begitu juga, kita perlu menerapkan budaya menjawab panggilan telefon dengan segera, iaitu tidak melebihi 3 kali deringan; menyediakan minit mesyuarat dalam tempoh 3 hari; memaklumkan keputusan mesyuarat pada hari yang sama atau selewat-lewatnya pada keesokan harinya. Pendek kata, kita perlu ada sense of urgency dalam melaksanakan setiap tugasan, tanpa melengah-lengahkan sesuatu arahan, sebaliknya memaksimumkan sumbangan kita dalam melaksanakan setiap arahan.

20. Pegawai yang cekap sentiasa bekerja dengan pantas, does not procrastinate, and will just do it setelah keputusan yang wajar dibuat. Perbuatan menangguhkan kerja akan menyebabkan banyak perkara lain yang akan terlepas pandang. Perkara yang boleh dibuat awal perlu terus diselesaikan pada hari yang sama, kerana pada hari esok mungkin banyak lagi perkara yang mungkin perlu diselesaikan.

21. Begitu juga apabila membuat keputusan, ianya perlu dibuat dengan segera tanpa mengorbankan kualiti. Sekiranya sesuatu keputusan itu lewat disebabkan oleh kerja yang banyak dan berterusan, maka kerja-kerja tersebut perlu disusun semula dengan meletakkan keutamaan. Tetapi kalau keputusan lambat disebabkan kerja yang lembap, perkara ini perlu diteliti dan seterusnya diperbaiki.

Saudara-saudari sekalian,

Integriti

22. Dalam apa jua tugas yang dilaksanakan, adalah penting saudara-saudari melaksanakannya dengan penuh amanah dan berintegriti. Sebagaimana saudara-saudari sedia maklum, saya tidak akan bertolak ansur berhubung aspek integriti. Integriti bukan sekadar bermaksud menghindari dari perlakuan rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan wang ringgit.

23. Integrity means doing your best in every way possible. Ini bermaksud apabila saudara-saudari menghadirkan diri di pejabat untuk menjalankan tugas pada setiap hari, pastikan bahawa saudara-saudari benar-benar “HADIR” dengan memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Tiada elemen main-main, ponteng atau tangguh kerja.

24. Integriti dalam pengurusan masa, integriti dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, integriti dalam menyampaikan maklumat, integriti dalam komunikasi dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan pelanggan. Sekiranya kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan jujur, ikhlas dan beramanah, keberkatannya akan menyusul, Insya Allah. Manakala, perbuatan yang tidak baik akan mendapat balasan yang setimpal.

Saudara-saudari sekalian,

Mempertingkatkan Kompetensi Diri

25. Kepantasan perubahan pada era sekarang memerlukan sikap daya saing yang tinggi dalam siri setiap penjawat awam. Sikap berlumba-lumba dan gembira dengan kejayaan orang lain dan ingin mengatasi mereka tanpa menganiayai sesiapa adalah sesuatu yang positif, malah digalakkan.

26. Peningkatan dalam penggunaan ICT masa kini perlu disalurkan secara positif bagi memantapkan perkhidmatan dan merupakan mekanisme terbaik untuk meningkatkan daya saing. Dalam hubungan ini, saya amat menggalakkan penggunaan mel elektronik, atau e-mel, di kalangan anggota perkhidmatan awam bagi mempercepatkan urusan kerja harian. Penggunaan e-mel juga memudahkan maklum balas serta meningkatkan komunikasi di kalangan penjawat awam, dan juga dengan pelanggan-pelanggan. Ianya cepat, ringkas dan berkesan – perkhidmatan seumpama inilah yang dituntut dalam dunia tanpa sempadan masa kini.

27. Di samping itu, saudara-saudari perlu meningkatkan kemahiran berkomunikasi, khususnya dalam Bahasa Inggeris. Kemahiran ini akan memudahkan jalinan kerjasama dan mewujudkan rangkaian (networking) yang mana semua ini akan memudahkan pelaksanaan urusan saudara-saudari kelak. Namun demikian, ini tidak bermakna yang kepentingan Bahasa Malaysia diketepikan. Malah penguasaan kedua-dua bahasa adalah sama penting dalam usaha untuk meningkatkan daya saing negara.

Saudara-saudari sekalian,

28. Matlamat perkhidmatan awam ialah untuk mewujudkan pekerja yang berpengetahuan serta mempunyai pelbagai kemahiran (multi skilling). Seorang pegawai yang berpengetahuan akan dapat membantunya menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan; mampu mengeluarkan idea yang bernas; dan mampu meyakinkan orang dengan aplikasi pengetahuannya.

29. Oleh yang demikian, saya suka menasihatkan supaya saudara-saudari sentiasa memperlengkapkan ilmu pengetahuan dengan menghadiri kursus yang dianjurkan oleh INTAN mahupun agensi luar, dan yang paling penting adalah sentiasa menambahkan pengetahuan menerusi pembacaan, dan kemahiran untuk mendengar. Banyak membaca dan banyak mendengar akan menjana banyak idea, dan idea-idea inilah yang akan memantapkan perkhidmatan awam kelak.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Penutup

30. Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada saudara-saudari kerana telah mencurahkan bakti untuk memajukan negara walaupun bagi tempoh yang agak pendek, iaitu selama tempoh kontrak berjalan. Saya percaya dalam tempoh tersebut pengalaman yang saudara-saudari peroleh tidak mungkin dinilai dengan wang ringgit. Dengan pengalaman sedemikian saya yakin saudara-saudari tidak akan sukar menempuhi cabaran-cabaran yang akan datang, dan menyesuaikan diri dalam mana-mana jawatan tetap di pelbagai sektor awam mahupun swasta nanti.

31. Akhir kata, saya berharap saudara-saudari dapat menghayati segala nilai-nilai murni dalam perkhidmatan dan mengamalkan semangat dan prinsip kerja yang telah saya nyatakan tadi. Anggaplah jawatan kontrak yang saudara-saudari pegang sekarang sebagai amanah negara, amanah rakyat, dan untuk itu marilah sama-sama kita memikulnya bagi melahirkan perkhidmatan awam yang bertaraf dunia.

Sekian.
Wabillahitaufiq walhidayah Wassalamuailkum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply



+ 5 = fourteen

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →