UCAPAN PERASMIAN PENASIHAT PUSPANITA KEBANGSAAN SEMPENA MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN PUSPANITA
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Y. Bhg. Puan Sri Wan Noorlina binti Wan Hussin
Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan
Y. Bhg. Tan Sri Ismail Bin Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Penasihat-Penasihat dan Pengerusi-Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kementerian dan Negeri
Ahli Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Tertinggi PUSPANITA
Ahli-ahli Perwakilan PUSPANITA serta
Hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya, kita dapat bersama-sama dalam majlis tahunan PUSPANITA ini, iaitu Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Kebangsaan Kali Ke-25.
2. Terlebih dahulu, saya mengucapkan tahniah kepada PUSPANITA Kebangsaan kerana dapat melangsungkan mesyuarat agung perwakilannya pada hari ini. Saya juga merakamkan ucapan ribuan terima kasih kerana diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan perasmian, khususnya kepada semua ahli PUSPANITA yang datang dari seluruh negara ke majlis ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini sesungguhnya menandakan sokongan padu terhadap perjuangan PUSPANITA selama kini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. Apabila saya dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 3 September 2006 yang lalu, secara automatik isteri saya akan memegang jawatan Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan dan saya pula selaku Penasihat. Jawatan tersebut tidak boleh dirundingkan atau diserahkan kepada orang lain. Sehubungan itu, kerjasama serta tunjuk ajar semua pihak, khususnya yang telah lama berkecimpung dalam persatuan ini, amatlah dihargai dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah banyak membantu.
Saudara-saudari sekalian,
4. Sebagaimana kita sedia maklum, PUSPANITA banyak berhubung kait dengan Perkhidmatan Awam. Ini adalah kerana ahli PUSPANITA terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam wanita, dan juga isteri kepada anggota Perkhidmatan Awam lelaki. Di dalam buku Rancangan Lima Tahun PUSPANITA yang diterbitkan sendiri oleh PUSPANITA, salah satu dasar perancangannya ialah untuk membantu meningkatkan prestasi dan imej perkhidmatan awam ke arah menyokong pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan.
5. Dalam konteks ini, saya ingin menasihatkan ahli PUSPANITA, apabila mengurus, mentadbir dan melaksanakan apa jua kegiatan dan program PUSPANITA, saudari-saudari hendaklah sentiasa prihatin berhubung aspek integriti dan ketelusan. Apa jua yang dilaksanakan perlu mengikut panduan, peraturan serta prosedur yang telah ditetapkan oleh Persatuan, dan sebaik-baiknya hendaklah berpandukan kepada amalan semasa dalam kerajaan. Dengan cara ini, adalah diyakini bahawa apa jua yang dilaksanakan adalah telus dan saksama, dan dengan secara tidak langsung ini akan dapat memperkukuhkan imej Perkhidmatan Awam.
6. Dalam hubungan ini, saya sentiasa mengingatkan anggota Perkhidmatan Awam bahawa integriti merupakan antara tonggak utama bagi memastikan kejayaan dalam merealisasikan agenda-agenda yang telah disusun bagi kemajuan dan kemakmuran negara. Begitu juga, bagi PUSPANITA, integriti perlu dijadikan sebagai prinsip utama dalam melaksanakan program dan aktiviti, serta mentadbir amanah yang diberikan.
7. Integriti bukan hanya terfokus kepada isu-isu rasuah dan salah guna kuasa sahaja, malah ia merupakan suatu konsep yang lebih besar. Amalan budaya kerja yang cemerlang juga adalah sebahagian dari integriti. Integriti dalam ketepatan waktu, integriti dalam menyampaikan maklumat, integriti dalam memberi perkhidmatan yang terbaik, integriti dalam berhubung dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan juga kakitangan sokongan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Sebagaimana kita sedia maklum, PUSPANITA telah diberi amanah untuk menjaga dan mentadbir aset-aset tertentu seperti pengurusan dan pentadbiran PUSPANITAPURI, tabung PUSPANITA dan sebagainya. Sehubungan itu, amanah dan tanggungjawab ini perlu ditadbir dan dijaga dengan sebaik mungkin.
9. Dari laporan tahunan yang diterbitkan saya mendapati bahawa PUSPANITA mempunyai kewangan yang kukuh. Begitu juga saya perhatikan bahawa banyak aktiviti yang dianjurkan oleh PUSPANITA pada setiap tahun. Perkembangan ini amat baik dan begitu menggalakkan, dan saya mengucapkan syabas kepada pengurusan PUSPANITA di setiap peringkat atas usaha tersebut.
10. Walau bagaimanapun, saya ingin mengingatkan saudari-saudari supaya sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah, atau dalam lain perkataan, menguruskan hal kewangan dengan bijak, serta berbelanja dengan cermat. Ini bukan bermaksud supaya saudari-saudari menjadi “kedekut” dan tidak langsung mengadakan aktiviti dan sebaliknya mengumpul wang semata-mata. Amalan seperti itu juga adalah kurang sihat kerana PUSPANITA diwujudkan bagi menggalakkan ahli berpersatuan serta menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dan bermanfaat untuk ahli.
11. Dalam melaksanakan perbelanjaan berhemah, bagi sebut harga yang diterima untuk pembelian-pembelian tertentu, kita perlu pastikan harga yang diberikan adalah yang terbaik dan munasabah. Bagi tujuan itu, kita boleh mendapatkan sebut harga daripada beberapa pembekal, supaya perbandingan harga boleh dibuat dan diputuskan sewajarnya. Melalui cara ini juga, kita akan dapat mengelakkan unsur-unsur tidak puas hati oleh pihak-pihak tertentu kerana keputusan dibuat adalah berdasarkan proses dan prosedur yang betul dan telus.
Hadirin yang dihormati sekalian,
12. Saya telah mengingatkan semua jabatan dan agensi Kerajaan supaya menghentikan amalan meminta sumbangan, sama ada daripada pihak swasta mahupun individu-individu tertentu, bagi tujuan menampung perbelanjaan untuk menganjurkan program atau aktiviti tertentu. Saya berharap persatuan atau NGO yang berkaitan Kerajaan, termasuk PUSPANITA, juga mengikuti peringatan ini. Sekiranya kita sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah, saya percaya kita akan dapat menampung segala keperluan kewangan bagi setiap aktiviti yang akan dilaksanakan, tanpa sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak pun.
Para hadirin sekalian,
13. Kenaikan gaji untuk anggota Perkhidmatan Awam baru-baru ini, turut memberi manfaat kepada anggota-anggota yang dilantik oleh PUSPANITA. Ini adalah kerana, setelah mendapatkan pandangan dan persetujuan pelbagai pihak, pengurusan PUSPANITA telah bersetuju untuk menaikkan gaji bagi kakitangan PUSPANITA.
14. Sehubungan itu, saya amat berharap dengan kenaikan gaji bagi anggota PUSPANITA ini, mutu perkhidmatan akan dapat dipertingkatkan lagi, setimpal dengan kenaikan gaji yang diberikan. Bekerjalah dengan lebih gigih dan berdedikasi. Work smart, supaya dengan demikian, mungkin tiada keperluan untuk bekerja lebih masa, iaitu di luar waktu pejabat, melainkan terdapat perkara-perkara yang begitu mendesak yang perlu disiapkan, dari masa ke semasa.
15. Sebagaimana yang diketahui, moto PUSPANITA ialah “Wanita Sepakat, Negara Meningkat”. Ini adalah merupakan suatu aspirasi yang harus dipuji dan perlu dijayakan. Bagi mencapai aspirasi ini, hubungan silaturahim dan muafakat antara ahli perlu dipertingkatkan. Cadangan Yang Dipertua tadi untuk berjumpa dengan ahli-ahli di semua peringkat adalah baik, dan harus diteruskan serta diamalkan juga oleh semua cawangan. Apabila terdapat hubungan yang baik dan rapat di kalangan ahli, maka banyak perkara yang berfaedah boleh dilaksanakan secara bersama, ataupun isu-isu yang berbangkit dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
16. Seterusnya, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada Penasihat-Penasihat Cawangan PUSPANITA, sama ada di peringkat kementerian, negeri atau daerah. Saya mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan kerana melapangkan masa untuk ke majlis perasmian pada hari ini. Kehadiran saudara-saudara menunjukkan sokongan saudara-saudara terhadap perjuangan dan aspirasi PUSPANITA. Saya berharap Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri dan Dato’-Dato’ akan sentiasa memberikan perhatian dan bimbingan terhadap perjalanan PUSPANITA di cawangan masing-masing, sekurang-kurangnya untuk memberi motivasi dan semangat.
17. Sesungguhnya apabila diikuti perkembangan PUSPANITA, kita merasa bangga dengan kemajuan yang telah dicapai sehingga kini. Dalam masa lebih kurang 25 tahun pewujudannya, PUSPANITA telah mencapai banyak kemajuan. Bukan sahaja bilangan ahlinya telah bertambah sehingga mencapai 70,000 orang, nama PUSPANITA juga telah terkenal di seluruh negara.
18. PUSPANITA juga telah mewujudkan tabung-tabung tertentu dalam usaha membantu ahli, khususnya, serta wanita lain, amnya seperti tabung PUSPADARA, tabung latihan dan lain-lain. Saya difahamkan PUSPANITA amat prihatin dan proaktif dalam menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Saya mengucapkan syabas atas usaha dan keprihatinan ini. Semoga program seumpama ini akan berterusan serta mendapat impak seperti yang diharapkan. Ini juga menunjukkan bahawa PUSPANITA adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan atau NGO yang dinamik dan prihatin.
Hadirin yang dihormati sekalian,
19. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih atas jemputan ini dan saya berharap mesyuarat agung PUSPANITA pada hari ini akan berjalan dengan lancar dan jayanya.
20. Akhir kata, saya ucapkan ”Selamat Maju Jaya” kepada seluruh anggota PUSPANITA. Semoga PUSPANITA akan tertambah maju dan mencipta kejayaan demi kejayaan pada masa hadapan.
21. Seterusnya, dengan lafaz Bismillahhir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Kali Ke-25.
Sekian,
Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.