BENGKEL PEMBASMIAN KEMISKINAN
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Yang Berbahagia Tan Sri Khalid Ramli,
Ketua Pengarah
Unit Penyelarasan Pelaksanaan
Jabatan Perdana Menteri
Yang Berhormat Dato’-Dato’, Yang Bhg. Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin Nya dapat kita bersama-sama di dalam dewan ini bagi menghadiri satu bengkel yang amat bermakna kepada kita semua.
2. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Pusat Pengajian Pembangunan Kemiskinan, Universiti Malaya kerana berjaya menganjurkan Bengkel Pembasmian Kemiskinan 2007. Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk menyempurnakan penutupan Bengkel yang telah berlangsung selama sehari setengah.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. Saya dimaklumkan bahawa Bengkel seumpama ini telah pernah diadakan sebelum ini, yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi, tetapi hanya di peringkat pusat sahaja. Bengkel pada kali ini adalah lebih besar dari segi penyertaannya kerana turut melibatkan wakil-wakil di peringkat negeri dan daerah, termasuk NGO dan akademia yang bertanggungjawab terhadap penggubalan dasar, pelaksanaan serta pemantauan projek dan program pembasmian kemiskinan seluruh negara.
4. Bengkel ini amat bertepatan sekali, lebih-lebih lagi ketika negara di ambang menyambut 50 tahun kemerdekaan. Pada usia yang matang ini kita semua seharusnya menghayati bahawa kemajuan dan kesejahteraan rakyat bukan tanggungjawab Kerajaan sahaja, malah ia akan menjadi lebih efektif sekiranya semua pihak, termasuk NGO dan swasta dapat sama-sama menggembleng tenaga, kepakaran dan akauntabiliti dalam menanganinya.
5. Bengkel ini adalah penting supaya kita dapat memahami dengan lebih jelas peranan dan tanggungjawab kita bagi mencapai hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar sepenuhnya serta mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada kadar 2.8 peratus menjelang tahun 2010. Sehubungan dengan ini Kerajaan akan menyediakan sasaran tahunan supaya hasrat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010 dapat dicapai dengan jayanya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. Banyak keputusan telah dibuat berkaitan dengan kemiskinan di peringkat Jemaah Menteri dan Kerajaan pusat. Begitu juga pelbagai tindakan telah dan sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi yang terlibat. Bengkel ini memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi maklumat berhubung penekanan tumpuan Kerajaan ke atas pembasmian kemiskinan, supaya dapat merancang strategi, menilai serta menetapkan langkah-langkah pembangunan projek, dan memastikan pelaksanaan yang berkesan agar memberi impak yang besar kepada kumpulan sasar dan kawasan sekitarnya. Usaha-usaha ini seharusnya diselaraskan mengikut tadbir urus dan amalan terbaik dalam memupuk kesejahteraan rakyat.
7. Terdapat lebih 50 agensi dan jabatan termasuk Badan Bukan Kerajaan atau NGO di peringkat pusat dan negeri yang terlibat dalam pembasmian kemiskinan. Pihak-pihak yang terlibat hendaklah memberikan komitmen yang tinggi terhadap semua perkara berkaitan perancangan, pengurusan, pelaksanaan dan pemantauan bagi memastikan fungsi, perkhidmatan dan hasil serta impak projek walau sekecil mana, akan menyumbang kepada usaha-usaha pembasmian kemiskinan sebagaimana yang telah disasarkan di dalam RMK-9. Ini termasuk mengurangkan jurang kemiskinan antara penduduk luar bandar dengan bandar, antara negeri dan antara wilayah, serta memperbaiki akses kepada keperluan asas seperti perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan, utiliti dan pengangkutan.
8. Usaha dan komitmen Kerajaan dalam membasmi serta menangani isu kemiskinan sejak tiga setengah dekad yang lalu telah berjaya menurunkan dengan drastik kadar kemiskinan di negara ini. Pada tahun 1970, separuh isi rumah di Malaysia berada di bawah garis kemiskinan. Pada tahun 1990 kadar kemiskinan telah berjaya diturunkan kepada 16.6 peratus, dan seterusnya kepada 5.1 peratus pada tahun 2002. Malah, pada tahun 1999, Malaysia adalah merupakan antara negara paling awal di Asia yang telah mencapai sasaran The Millennium Development Goals yang diusahakan oleh United Nations, apabila kadar kemiskinan negara berjaya diturunkan kepada kadar 7.5 peratus.
9. Walaupun banyak kejayaan telah dicapai dari sudut penurunan kadar kemiskinan, namun apa yang lebih penting dan mencabar bagi kita pada hari ini ialah untuk “reach out” kepada kumpulan sasar yang insidennya walaupun kini sedikit, tetapi berselerakan di seluruh negara, terutamanya kumpulan masyarakat Orang Asli dan kaum pri bumi di Sabah dan Sarawak. Ini menjadikan kos penyampaian bantuan dan projek lebih tinggi dan lebih mencabar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
10. Pembasmian kemiskinan adalah merupakan isu global. Baru-baru ini semasa berlangsungnya Langkawi International Dialogue 2007 pada 5 hingga 8 Ogos 2007, Pelan Tindakan Untuk Pembasmian Kemiskinan Masa Hadapan telah dirangka, di mana telah dirumuskan supaya pendekatan secara menyeluruh diambil berhubung pembangunan insan dan keupayaan, selaras dengan tema perbincangan LID 2007, iaitu ”Poverty Eradication through Human Capital Development and Capacity Building”.
11. Dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan insan dan keupayaan, tumpuan diberikan kepada pembangunan pengetahuan, kemahiran dan modal intelek serta meningkatkan budaya kerja dan minda yang kreatif, inovatif dan progresif yang diterap dengan nilai moral dan beretika tinggi. Tumpuan ini bukan setakat kepada kumpulan yang disasarkan sahaja, tetapi juga meliputi pelaksana dan penggubal dasar serta pembuat keputusan.
12. Melalui LID 2007, peserta-peserta dialog telah merumuskan bahawa pembasmian kemiskinan boleh diatasi dengan kerjasama Kerajaan dan swasta untuk mengambil tindakan melalui strategi-strategi berikut:
Pertamanya, mewujudkan satu badan yang menyelaras usaha semua kementerian dan agensi yang terlibat dengan pembasmian kemiskinan di peringkat pusat;
Kedua, membangunkan sistem pangkalan data dan maklumat bagi memantau kemajuan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan;
Ketiga, mengutamakan program yang menyediakan kemudahan pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan lain-lain program yang berkaitan;
Keempat, menggalakkan penyertaan Multi National Companies (MNCs) dalam pembasmian kemiskinan melalui program pembangunan modal insan dan pembangunan keupayaan;
Kelima, membangunkan program khusus yang berasaskan kepada model yang telah berjaya bagi menghasilkan manfaat serta impak ekonomi dan sosial seperti yang diharapkan;
dan
Keenam, membangunkan KPI untuk memantau kemajuan pelaksanaan bagi setiap isu utama dan program yang dijalankan.
13. Sehubungan itu, adalah amat penting dan kritikal untuk mewujudkan hubungan kerjasama dan perkongsian maklumat yang boleh dipercayai di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan di peringkat Daerah serta pihak NGO, pihak swasta mahupun orang awam. Ini adalah bagi mengenal pasti kumpulan sasar serta kumpulan yang mudah miskin atau vulnerables, yang mana sekiranya mereka ini disisihkan boleh mengakibatkan kegagalan projek. Satu sistem pangkalan maklumat yang bersepadu perlu dibangunkan, yang memerlukan kerjasama erat di kalangan semua pihak yang terlibat. Kerjasama ini mestilah ikhlas serta saling memahami bagi memastikan matlamat yang dipersetujui tercapai.
Hadirin yang dihormati sekalian,
14. Semua pihak yang terlibat perlu mengenal pasti dan memantau semua elemen penting serta berusaha untuk menghapuskan kelemahan yang mungkin wujud dalam penyampaian bantuan dan projek masing-masing. Melalui kerjasama seumpama ini, saya percaya semua yang bertanggungjawab akan sentiasa bersiap sedia, mengenal pasti kelemahan yang ada, menganalisis alternatif-alternatif yang sesuai, dan seterusnya meningkatkan keupayaan untuk mengesan dan memberi maklum balas dan input kepada keberkesanan projek mengikut acuan dan keperluan kumpulan sasar setempat.
15. Oleh itu, saya berharap agar pihak-pihak yang terlibat akan sentiasa bekerjasama bagi merangka projek-projek tertentu mengikut keperluan kumpulan sasaran dan sentiasa memantau pelaksanaannya bagi menjamin sustainability dan kejayaan projek.
16. Semua pihak perlu bersikap lebih proaktif terhadap pelaksanaan dan pemantauan projek-projek pembasmian kemiskinan negara. Kita perlu ada strategi yang mantap bagi mencegah dan melindungi mereka yang telah terkeluar dari kategori kemiskinan daripada termasuk semula, akibat pembangunan yang tidak seimbang mahupun akibat ancaman bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
17. Penganjuran Bengkel Pembasmian Kemiskinan ini adalah bertepatan pada masanya dan dialu-alukan. Adalah menjadi harapan saya agar saudara-saudari dapat memanfaatkan peluang menghadiri bengkel ini untuk sama-sama memahami dasar, strategi, kaedah, peraturan dan peranan sebenar mengenai usaha-usaha pembasmian kemiskinan negara. Sehubungan dengan ini, saya akan mempengerusikan satu Focus Group yang akan bermesyuarat setiap dua minggu sekali bagi memantau pelaksanaan program-program serta menangani isu-isu berkaitan pembasmian kemiskinan dengan lebih structured. Ahli Focus group ini terdiri dari Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Pembangunan Asas Tani dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Urus setia bagi mesyuarat ini ialah ICU JPM, dan mesyuarat pertama akan diadakan pada hari Isnin, 27 Ogos 2007.
Hadirin yang dihormati sekalian,
18. Semoga perkongsian pengalaman antara pembentang-pembentang kertas kerja dengan para peserta akan dapat dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi perhubungan, persefahaman dan kerjasama. Saya percaya bahawa kita semua akan lebih komited dan dapat memberikan sokongan sepenuhnya dalam menjayakan program-program yang telah dirancang supaya matlamat menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun 2010 akan dapat dicapai dengan jayanya.
19. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang telah berusaha dengan gigih bagi menjayakan Bengkel ini.
20. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim saya dengan ini menutup Bengkel Pembasmian Kemiskinan 2007.
Sekian.
Wabillahittaufiq walhidayah Wassalamualaikum warahmatuhi wabarakatuh.