MAJLIS PERASMIAN SEMINAR SASARAN PENTING TAHUN 2007

August 9, 2007 6:08 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera

Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Aziz bin Mohd Yusof,
Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting,

Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Haji Zainal,
Panglima Angkatan Tentera,

Yang Berbahagia Tan Sri Musa bin Haji Hassan,
Ketua Polis Negara,

Yang Berbahagia Tuan Haji Johari bin Haji Jamaluddin,
Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri
Selaku Setiausaha Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting

Y. Berhormat Dato’-Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selaku Pengerusi Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri,

Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif,

Pengurus-Pengurus Keselamatan Sasaran Penting,

Y. Bhg. Dato-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanu Wata’ala kerana dengan izin Nya dapat kita bersama-sama di dalam dewan ini bagi menghadiri satu lagi majlis yang amat bermakna kepada kita semua.

2. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting atau ringkasnya, JPSP, dan Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia selaku Setiausaha JPSP kerana telah menjemput saya bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Sasaran Penting Tahun 2007 yang bertemakan “Keunggulan Keselamatan Sasaran Penting Menjana Kemakmuran Negara”.

3. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya mengadakan seminar Sasaran Penting Tahun 2007, dengan kehadiran Yang Berhormat-Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN), Setiausaha-Setiausaha JSPN, ahli-ahli JPSP, Pengurus dan Pengurus Keselamatan dari pihak Pemilik atau Penghuni yang bertanggungjawab ke atas Pengurusan dan Keselamatan Sasaran Penting Keutamaan Satu milik Kerajaan dan swasta.

4. Saya difahamkan bahawa Seminar seumpama ini telah diadakan buat pertama kalinya pada 10 Ogos 2006 di Wilayah Persekutuan Labuan, tetapi hanya melibatkan Pengerusi dan Setiausaha JSPN serta ahli JPSP sahaja. Walau bagaimanapun Seminar pada kali ini adalah lebih besar dari segi penyertaannya kerana turut melibatkan pihak Penghuni yang terdiri dari Pengurus-Pengurus Besar, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Keselamatan dari pihak Kerajaan dan swasta, termasuk milik multi national yang bertanggungjawab terhadap operasi, pengurusan dan keselamatan Sasaran Penting Keutamaan Satu seluruh negara.

5. Seminar ini adalah penting supaya kita dapat memahami dengan lebih jelas peranan dan tanggungjawab terhadap keselamatan perlindungan Sasaran Penting. Ia juga memberi peluang kepada para peserta berkongsi maklumat, merancang strategi, menilai dan menetapkan langkah-langkah keselamatan mengikut tadbir urus dan amalan terbaik dalam menyelia keselamatan Sasaran Penting. Semoga usaha murni ini dapat dilaksanakan secara terancang dan berterusan bagi memastikan keberkesanan dan kecemerlangan keselamatan perlindungan Sasaran Penting negara, terjamin sepenuhnya.

6. Semua pihak yang terlibat hendaklah memberikan komitmen yang tinggi terhadap semua perkara berkaitan pengurusan, keselamatan perlindungan dan penyelenggaraan bagi memastikan fungsi, perkhidmatan dan hasil keluaran Sasaran-Sasaran Penting masing-masing tidak menghadapi sebarang gangguan, kompromi atau ancaman. Gangguan, kompromi atau ancaman, walau sekecil mana, boleh menjejaskan imej, kredibiliti dan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan serta mempunyai kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara, keselamatan dan pertahanan negara, perjalanan fungsi Kerajaan dan seterusnya imej negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

7. Keselamatan meliputi apa jua yang membawa impak terhadap keselamatan kepada Kerajaan, baik di dalam mahupun di luar negara. Ianya melibatkan perlindungan dari perbuatan sabotaj, subversif, keganasan, atau mana-mana perbuatan yang menyalahi undang-undang yang bertujuan untuk melemahkan atau merosakkan keselamatan, pertahanan mahupun ekonomi negara. Sehubungan itu, adalah amat penting untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan langkah-langkah perlindungan keselamatan, dan bagaimana untuk melindungi key points atau Instalasi Infrastruktur Kritikal.

8. Keselamatan Infrastruktur Kritikal bukan sahaja berkisar kepada kawalan keselamatan fizikal semata-mata. Malah dengan meningkatnya pergantungan Instalasi Infrastruktur Kritikal kepada komputer dan rangkaian, individu dan organisasi akan lebih terdedah kepada ancaman serangan secara siber pula.

9. Dalam hubungan ini, melindungi Instalasi Infrastruktur Kritikal adalah merupakan elemen penting dalam aspek keselamatan negara pada masa hadapan. Ancaman terhadap Instalasi Infrastruktur Kritikal boleh ditujukan kepada kemudahan Kerajaan, swasta atau komersil. Memandangkan kebanyakan Instalasi Infrastruktur Kritikal dimiliki dan dikendalikan oleh pihak swasta dan komersil, maka kerjasama dan perkongsian di kalangan sektor awam, swasta dan komersil adalah penting bagi memastikan perlindungan yang berjaya.

10. Sehubungan itu, adalah amat penting dan kritikal untuk mewujudkan hubungan kerjasama dan perkongsian maklumat yang boleh dipercayai di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Anggota Keselamatan serta pihak swasta atau komersil. Ini juga adalah bagi mengenal pasti kelemahan-kelemahan (vulnerabilities), yang sekiranya dieksploitasi, akan mengakibatkan operasi di beberapa Instalasi Infrastruktur Kritikal menjadi terganggu atau lumpuh. Satu program perlindungan yang berdaya maju memerlukan kerjasama yang erat antara sektor Kerajaan dengan pihak swasta atau komersil. Kerjasama ini mestilah ikhlas, saling memahami dan bekerjasama bagi memastikan matlamat yang dipersetujui, tercapai.

Hadirin yang dihormati sekalian,

11. Semua pihak yang terlibat perlu mengenal pasti dan memantau semua elemen penting serta berusaha untuk menghapuskan kelemahan yang mungkin wujud dalam infrastruktur kritikal masing-masing. Melalui kerjasama seumpama ini, saya percaya semua yang bertanggungjawab akan sentiasa bersiap sedia, mengenal pasti kelemahan yang ada, menganalisis alternatif-alternatif yang sesuai dan seterusnya meningkatkan keupayaan untuk mengesan dan memberi amaran akan serangan yang bakal berlaku.

12. Dalam hubungan ini, kerjasama erat dengan semua Pihak Berkuasa Keselamatan, penghuni Sasaran Penting dan Malaysian Cyber Security Centre serta pihak luar negara perlu dijalin. Pusat Kawalan untuk memantau kegiatan atau insiden keselamatan termasuk ancaman siber terhadap Key Points atau Instalasi Infrastruktur Kritikal perlu dibangunkan dan diberikan sokongan padu.
13. Saya benar-benar berharap agar pihak JPSP, JSPN dan Penghuni, akan mengadakan usaha sama bagi keperluan tersebut dan mengadakan perjumpaan yang sewajarnya bagi memantau, mengkaji dan menilai keperluan keselamatan perlindungan terhadap Sasaran Penting yang sebenar. Semoga tindakan ini dapat memperkasa dan memberikan keyakinan kepada masyarakat tempatan dan pelabur asing mengenai kaedah yang diguna pakai oleh Malaysia dalam menangani isu ancaman keselamatan termasuk ancaman siber yang melibatkan Sasaran Penting.

Hadirin yang dihormati sekalian,

14. Seminar ini amat bertepatan sekali, lebih-lebih lagi ketika negara di ambang menyambut 50 tahun kemerdekaan. Pada usia yang matang ini kita semua seharusnya maklum bahawa keselamatan bukan sahaja menjadi tanggungjawab dan bebanan Kerajaan semata-mata, malah ia akan menjadi lebih efektif sekiranya semua pihak termasuk pihak swasta dapat sama-sama menggembleng tenaga, kepakaran dan akauntabiliti dalam menanganinya.

15. Pihak Kerajaan akan terus memberikan perhatian dan memastikan supaya pengurusan keselamatan perlindungan Sasaran Penting negara sentiasa diberikan perhatian serius oleh semua pihak yang terlibat serta bertanggungjawab ke atas perkhidmatan dan keluarannya. Keselamatan Perlindungan hendaklah dijadikan agenda utama dan dibudayakan demi memelihara kewibawaan perkhidmatan dan pentadbiran Kerajaan sejajar dengan pembangunan negara.

16. Semua pihak perlu bersikap lebih proaktif terhadap pelaksanaan dan pematuhan Keselamatan Perlindungan ke atas Sasaran Penting negara. Kita perlu ada strategi yang betul bagi mencegah dan melindungi daripada berlaku ancaman atau risiko keselamatan. Tindakan tegas perlu diambil untuk mengatasi apa jua bentuk pelanggaran keselamatan yang berlaku. Kita tidak boleh berkompromi dalam apa jua hal berkaitan keselamatan perlindungan. Pengorbanan amat mustahak dan hendaklah dibuat dengan kesungguhan, iaitu with a sense of mission, dan atas dasar kepada cinta negara bagi mengekalkan keselamatan, kedaulatan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Hadirin yang dihormati sekalian,

17. Langkah yang diambil bagi menganjurkan Seminar ini sekali lagi amat dialu-alukan. Adalah menjadi harapan saya agar saudara-saudari dapat memanfaatkan peluang menghadiri Seminar ini untuk sama-sama memahami akan dasar, strategi, kaedah, peraturan dan peranan sebenar dalam Pengurusan Keselamatan Perlindungan Sasaran Penting.

18. Semoga perkongsian pengalaman antara pembentang-pembentang kertas kerja dengan para peserta yang terdiri daripada CEO, Pengurus Kanan dan Pengurus Keselamatan ke atas Sasaran Penting pelbagai sektor milik Kerajaan dan swasta dapat dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi perhubungan, persefahaman dan kerjasama. Saya percaya bahawa seminar ini akan dapat mencapai objektif seperti yang ditetapkan. Saya juga percaya bahawa kita semua akan lebih komited dan dapat memberikan sokongan sepenuhnya dalam menjayakan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi memastikan semua aset terpenting negara yang dikenal pasti sebagai Instalasi Infrastruktur Kritikal, sentiasa terjamin keselamatannya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

19. Saya berharap agar saudara-saudari akan terus memberikan kerjasama dan sokongan padu terhadap usaha Kerajaan menganjurkan Seminar ini, dan semoga semua resolusi yang dicapai akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi meningkatkan keberkesanan dan kecemerlangan pengurusan Keselamatan Perlindungan di Sasaran Penting seluruh negara.

20. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang telah berusaha dengan gigih bagi menjayakan Seminar ini.

21. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim saya dengan ini merasmikan Seminar Sasaran Penting Tahun 2007.

Sekian.
Wabillahittaufiq walhidayah Wassalamualaikum warahmatuhi wabarakatuh.

Leave a Reply



2 + = ten

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →