MEREALISASIKAN TEKAD 2008 PELAN INTEGRITI NASIONAL – CABARAN DAN HARAPAN
Bismillahir Rahmannir Rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Para hadirin yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu marilah bersama-sama kita mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas izin dan rahmat Nya Konvensyen Integriti Nasional 2007 ini dapat dianjurkan buat julung kalinya.
2. Tajuk kertas kerja yang akan saya bentangkan pada pagi ini ialah “Merealisasikan Tekad 2008 Pelan Integriti Nasional – Cabaran dan Harapan”.
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
PELAN INTEGRITI NASIONAL
3. Pelan Integriti Nasional atau ringkasnya PIN digubal dan Institut Integriti Malaysia ditubuhkan dengan objektif untuk menyahut cabaran keempat Wawasan 2020, iaitu “membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.”
4. Ianya dibentuk merangkumi semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan serta menyerap falsafah dan prinsip Rukun Negara. PIN digubal oleh rakyat untuk rakyat dengan bimbingan dan sinergi bersepadu kepimpinan negara. Justeru, usaha ini merupakan suatu jalinan dan rangkaian yang kukuh serta menjadi suatu kekuatan rakyat dan negara bagi menghadapi pelbagai cabaran dan saingan, khususnya dalam pelaksanaan agenda integriti nasional.
5. PIN merupakan pelan induk yang bertujuan menetapkan hala tuju dan bimbingan kepada semua sektor supaya dapat bekerjasama dalam suatu usaha bagi membina masyarakat yang bermoral, beretika dan berintegriti. PIN juga merupakan pelan tindakan yang komprehensif dan digerakkan oleh pucuk pimpinan dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum, sektor dan wilayah. Sinergi bersama secara kolektif ini menjadikan PIN suatu pelan tindakan yang mempunyai kekuatan mengubah nilai dan amalan masyarakat serta mereformasi institusi-institusinya ke arah membudayakan integriti.
6. Objektif khusus PIN merangkumi 5 perkara, iaitu:
• memberikan hala tuju dan bimbingan multi sektor, iaitu Kerajaan, swasta, parti politik, kalangan agama, wanita, NGO, media, belia, pelajar, serta lapisan lain masyarakat, supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika;
• meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor terhadap usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang;
• menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti;
• menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat; dan
• meningkatkan daya saing dan daya tahan negara dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.
FASA PERTAMA PELAKSANAAN PELAN INTEGRITI NASIONAL – TEKAD 2008
7. Walaupun disedari bahawa pengukuhan dan pemantapan integriti memerlukan suatu jangka masa panjang, namun begitu, bagi menentukan pelaksanaan PIN mencapai objektifnya dan hasrat untuk membudayakan integriti masyarakat dan negara dijayakan, PIN telah menetapkan bagi fasa pertama pelaksanaannya, iaitu dari tahun 2004 hingga 2008, lima sasaran keutamaan yang perlu dicapai. Penetapan sasaran ini diiringi dengan pengukuran pengurusan prestasi pencapaiannya.
8. Lima Sasaran yang dikenali sebagai TEKAD 2008 ialah:
• Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan;
• Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi;
• Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan
• Memantapkan institusi keluarga dan komuniti; dan
• Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
9. Penetapan sasaran mungkin mudah untuk dilakukan. Namun untuk mencapai sasaran tersebut adalah merupakan suatu cabaran yang lebih besar.
CABARAN MEREALISASIKAN TEKAD 2008
10. PIN mengetengahkan lima faktor utama atau cabaran yang boleh menyebabkan kemerosotan integriti. Faktor pertama ialah mengenai kepimpinan. Kepimpinan sangat penting dalam mencorakkan budaya dalam keluarga, organisasi dan masyarakat. Kepimpinan pelbagai peringkat perlu mempunyai azam dan iltizam yang teguh untuk memberi pedoman dan petunjuk serta melakukan perubahan untuk kebaikan.
11. Ibu bapa sebagai pemimpin dalam aspek kekeluargaan. Kepimpinan masyarakat dan organisasi, baik dalam sektor awam, swasta, NGO dan sebagainya merupakan tonggak dan peneraju dalam suatu kumpulan yang dipimpin. Pemimpin itu, sama ada dipilih atau menawarkan diri untuk memimpin, memainkan peranan penting. Namun begitu kadangkala wujud iltizam yang lemah, pemimpin tidak menunjukkan teladan yang baik, “cakap tidak serupa bikin” dan “bikin pula tidak serupa cakap!”.
12. Ada juga di kalangan pemimpin yang tidak mematuhi undang-undang, prosedur dan peraturan yang ditetapkan. Hal ini sudah tentu menjejaskan integriti kerana tidak dapat menunjukkan contoh teladan yang baik. Perlu ditekankan bahawa setiap diri individu itu sendiri adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap mereka yang dipimpin. Setiap individu adalah khalifah di muka bumi ini.
13. Faktor kedua ialah wujudnya kelemahan dalam sistem, prosedur dan garis panduan dalam pelaksanaan tugas. Akibatnya ialah, wujud ketidakcekapan, kecelaruan, dan perselisihan pendapat di kalangan petugas. Penguatkuasaan dan tindakan punitif yang kurang berkesan serta gagal mengambil tindakan yang setimpal; kurang penyelarasan, pemantauan dan penilaian mengenai keberkesanan sesuatu strategi atau program; kurang ketelusan dalam urusan yang melibatkan kepentingan awam; dan keupayaan sumber yang terhad sama ada sumber manusia ataupun material adalah antara punca-punca kelemahan dalam pelaksanaan sistem dan prosedur sedia ada.
14. Faktor ketiga adalah berkaitan struktur dan institusi, yang merupakan komponen penting dalam menjamin kelancaran pentadbiran kerajaan, swasta dan masyarakat umum. Struktur sesebuah organisasi perlu kemas, terfokus serta mempunyai matlamat yang jelas dan munasabah. Struktur organisasi perlu diubah dan diperkemas dari semasa ke semasa bagi menangani tuntutan dan cabaran baru. Struktur yang tidak kemas, kurang fokus dan berlaku pertindihan akan membazirkan sumber, tidak berkesan, pengabaian tanggungjawab dan tidak diselaraskan dengan sempurna akan gagal mencapai matlamatnya.
15. Faktor keempat yang boleh menjejaskan integriti ialah aspek budaya. Budaya dipengaruhi oleh faktor sejarah dan tradisi, nilai agama, kelompok sesuatu bangsa, persekitaran, proses sosialisasi, world view serta perkembangan semasa. Budaya berubah dan boleh diubah. Budaya yang menjunjung tinggi integriti akan memberi persekitaran yang kondusif kepada individu untuk tidak menyimpang dalam tingkah lakunya. Sebaliknya, budaya negatif akan mewujudkan kepincangan dalam organisasi dan masyarakat. Gejala dadah, seks bebas, “mat rempit”, “bohsia”, “bohjan”, budaya lepak, kutu rayau dan sebagainya merupakan manifestasi budaya “pak turut”. Apa yang orang lain lakukan maka dilakukan pula oleh mereka tanpa menilai baik buruknya.
16. Seterusnya, faktor kelima yang boleh menjejaskan integriti adalah kerana kelemahan individu itu sendiri. Individu yang lemah didikan agama, akhlak dan moral serta penghayatan nilai-nilai murni, tidak berdisiplin, memiliki sikap tidak peduli, hanya melihat kelemahan orang lain dan enggan mengakui kelemahan diri merupakan antara kelemahan dalam diri individu. Tekanan hidup juga boleh menyebabkan individu terjerumus kepada perkara tidak berintegriti seperti rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan gejala tidak bermoral.
17. Melihat kepada cabaran-cabaran tersebut, kita perlu mengkaji dan menilai kembali sejauh mana semenjak PIN dilancarkan dan IIM ditubuhkan, gerakan bagi merealisasikan TEKAD 2008 itu dilaksanakan dengan cekap, berkesan serta memberi impak kepada masyarakat dan negara seluruhnya. Misalnya, antara tanda aras yang digunakan bagi menilai tahap rasuah di negara ini masih lagi mengguna pakai Corruption Perception Indexs (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI).
18. PIN meletakkan sasaran untuk memperoleh skor sebanyak 6.5 daripada 10 mata yang terbaik. Namun begitu, berbanding tahun 2005 bilamana negara memperoleh skor sebanyak 5.1, pada tahun 2006 skor kita turun kepada 5.0. Sesetengah pihak mungkin melihat ini sebagai suatu pengukuran di mana jenayah rasuah bertambah buruk. Namun begitu perlu diperjelaskan bahawa kajian ini merupakan suatu persepsi. Persepsi ini pula datangnya dari suatu kajian yang tidak menyeluruh dan diakui sendiri oleh TI bahawa kajian ini bersifat bias. Justeru itu, IIM telah merangka dan membangunkan Indeks Persepsi Integriti Nasional. Kajian ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia.
MEREALISASIKAN TEKAD 2008
19. Gerakan untuk merealisasikan objektif PIN mempunyai kekuatannya tersendiri, di mana keseluruhan komponen atau institusi masyarakat digembleng bersama. Sektor atau institusi yang dimaksudkan ialah keluarga; komuniti; masyarakat sivil; sosiobudaya yang merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, sukan dan rekreasi, media massa, seni, sastera dan warisan; agama; ekonomi; politik; dan pentadbiran.
20. Namun begitu, untuk merealisasikan TEKAD 2008, kita perlu melihat sejauh mana program dan aktiviti yang dirancang benar-benar dilaksanakan oleh agensi-agensi pelaksana, bukan bergantung pada IIM sahaja untuk memikir dan melaksanakannya. Jika dilaksanakan,
• Adakah teratur, berkesan serta mencapai matlamat atau objektif program?
• Adakah kumpulan sasaran yang ditentukan dirangkumi sepenuhnya atau hanya sebahagian kecil yang terlibat?
• Adakah semua pihak berkaitan memperoleh impak dan menikmati manfaat dari pelaksanaannya?
21. Penentuan kejayaan bagi setiap strategi dan program yang dijalankan memerlukan penelitian dan penilaian, serta mewujudkan pengukur prestasi bagi aktiviti atau program yang dijalankan. Setelah itu, penambahbaikan berterusan yang sewajarnya perlu dilaksanakan.
22. Pelaksanaan dan penyelarasan program integriti seperti yang telah diperakukan di dalam PIN di setiap komponen atau institusi adalah tanggungjawab agensi yang sudah sedia wujud dalam komponen itu sendiri. Bagi komponen yang belum ada ataupun belum mempunyai mekanisme berkenaan, usaha ke arah pembentukan mekanisme ini perlu dilakukan.
23. Sebagai contoh, pada masa ini dalam sektor awam sudah pun terdapat beberapa mekanisme pelaksanaan seperti Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di pelbagai peringkat, Pasukan Petugas Khas Bagi Mengurangkan Karenah Birokrasi dan Mekanisme Audit Nilai. Mekanisme seperti ini perlu diperkukuhkan dengan komitmen yang lebih tinggi semua lapisan kepimpinan supaya ia menjadi lebih berkesan.
24. Bagi sektor swasta pula, terdapat badan-badan yang mewakili kepentingan majikan seperti dewan perniagaan dan persatuan lain yang boleh memainkan peranan ini. Badan pengawalan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berperanan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang ditetapkan untuk sektor-sektor berkenaan. Dalam aspek ini, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan badan-badan ikhtisas yang lain telah mengambil langkah proaktif bersama-sama IIM dan agensi-agensi lain untuk membincangkan dan menggerakkan pelaksanaan agenda integriti yang baik.
25. Bagi komponen keluarga, komuniti, masyarakat sivil, dan sosiobudaya, terdapat pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah sedia wujud. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Persatuan Penduduk, National Council of Women’s Organisation (NCWO), PENGASIH dan lain-lain, boleh menjadi penggerak dalam melaksanakan program integriti masing-masing. Pemantauan oleh agensi-agensi seperti Pendaftar Pertubuhan, misalnya, perlu dilakukan secara berkesan. Walau bagaimanapun, pemantauan dan penyelarasan paling berkesan ialah oleh badan-badan dalam komponen itu sendiri.
26. Bagi kelompok seperti pelajar, belia, dan wanita dan pelbagai kumpulan etnik, khususnya golongan minoriti, penduduk bandar dan luar bandar, terdapat banyak organisasi yang mewakili mereka. Bahkan, di peringkat kebangsaan terdapat Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan, Majlis Perundingan Belia Kebangsaan, dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Bagi golongan pekerja, terdapat misalnya CUEPACS dan MTUC masing-masing untuk pekerja sektor awam dan sektor swasta. Bagi golongan petani dan nelayan, terdapat Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan, untuk kelompok masing-masing yang bergerak di peringkat nasional dan juga peringkat akar umbi.
27. Bagi kumpulan agama, terdapat banyak pertubuhan dan institusi agama pelbagai kaum di peringkat nasional dan tempatan. Badan-badan ini perlu membimbing ahli mereka supaya menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni agama masing-masing. Badan-badan ini juga perlu memainkan peranan memperkukuh perpaduan dan persahabatan, sekali gus memupuk sikap saling memahami dan menghormati antara penganut agama yang berlainan. Di samping itu, institusi-institusi keagamaan boleh menjadikan rumah-rumah ibadat masing-masing sebagai institusi kemasyarakatan.
HARAPAN
28. Bagi menjamin kejayaan gerakan pemantapan integriti, penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan program haruslah dilakukan “dari bawah” melalui pemerkasaan komponen atau sektor masing-masing. Pemantauan dan penyelarasan yang dilakukan secara pentadbiran yang birokratik boleh membantutkan daya usaha di peringkat akar umbi dan ini perlu dielakkan. Sensitiviti pelbagai lapisan atau komponen masyarakat terhadap campur tangan pihak lain juga perlu diambil perhatian. Sentiasa mengamalkan sikap yang terbuka, positif dan membina terhadap mana-mana golongan ataupun pertubuhan. Justeru, dalam hal ini toleransi dan konsultasi dalam semua aspek perlu wujud, agar kesefahaman dan perpaduan sentiasa terjalin dalam satu rangkaian kehidupan masyarakat berintegriti.
Sekian, terima kasih.