MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KONVENSYEN KMK KEBANGSAAN KE24 DAN ANUGERAH INOVASI PERKHIDMATAN AWAM 2007
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Y. Bhg. Dato’ Hj. Ahmad bin Said
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
Y. B. Dato’ Mohd. Aiseri bin Alias
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan
Y. Bhg. Dato’ Normah bt. Md. Yusof
Ketua Pengarah MAMPU
Yg Berusaha Dr. Muhamad bin Hamzah
Pengarah INTAN
Y. Bhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tetamu-tetamu kehormat,
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah kurnia dan izin Nya jua kita dapat bersama-sama menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen KMK Kebangsaan Ke-24 dan Anugerah Inovasi Ke-16 Perkhidmatan Awam pada malam ini.
2. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah menjemput saya untuk menyampaikan ucapan pada majlis malam ini, dan seterusnya menyampaikan anugerah kepada pemenang-pemenang Konvensyen KMK dan Inovasi tahun 2007.
3. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Mohd. Aiseri bin Alias, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim, di atas kesediaan untuk menjadi tuan rumah bagi menganjurkan Majlis ini, bersama dengan MAMPU dan INTAN. Kerjasama seumpama ini melambangkan wujudnya hubungan yang akrab antara Perkhidmatan Awam Persekutuan dengan Perkhidmatan Awam Negeri dalam menjayakan program-program peringkat kebangsaan, dan ianya perlu diteruskan pada masa-masa akan datang.
TEMA KONVENSYEN: MENJANA MODAL INSAN TERBILANG
Para hadirin yang dihormati sekalian,
4. Anggota Perkhidmatan Awam merupakan tunjang kepada sistem pentadbiran negara dan berperanan melaksanakan segala dasar kerajaan bagi memastikan pembangunan negara berjalan dengan lancar dan teratur. Oleh itu, kejayaan pembangunan negara adalah bergantung kepada keupayaan dan kecekapan anggota perkhidmatan awam. Menyedari akan kepentingan modal insan dalam perkhidmatan awam, maka Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen KMK Kebangsaan Ke-24 dan Anugerah Inovasi Ke-16 Perkhidmatan Awam tahun ini telah memilih tema yang sangat berkaitan, iaitu Menjana Modal Insan Terbilang.
5. Pemilihan tema ini juga adalah selaras dengan Teras Kedua Misi Nasional mengenai betapa pentingnya negara melahirkan warga yang “berminda kelas pertama” serta memiliki daya intelek dan keperibadian murni. Oleh itu, dalam usaha memastikan Malaysia terus maju dan berdaya saing, kita amat memerlukan modal insan perkhidmatan awam yang terbilang, iaitu anggota perkhidmatan awam yang mempunyai kapasiti pengetahuan, daya intelek, kreativiti dan inovasi yang tinggi, di samping memiliki ciri-ciri keperibadian yang luhur dan unggul bagi membolehkan perkhidmatan awam berfungsi dengan cekap dan berkesan serta berupaya menangani persekitaran yang sentiasa berubah.
PERANAN KMK DAN INOVASI DALAM MENJANA MODAL INSAN TERBILANG
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. Program-program KMK dan Inovasi adalah merupakan kaedah yang berkesan bagi melahirkan modal insan terbilang dalam perkhidmatan awam. KMK khususnya, mempunyai prinsip asas yang mengiktiraf pekerja sebagai sumber paling bernilai dalam organisasi dan dengan itu menyediakan forum kepada mereka untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan dan seterusnya melaksanakan tindakan yang diputuskan secara bersama. Menerusi aktiviti-aktiviti KMK juga, mereka berpeluang mempelajari teknik-teknik penyelesaian masalah yang berkesan, dilatih menganalisis sesuatu isu secara kritikal, didorong untuk menggunakan daya kreativiti dalam bekerja dan dipupuk disiplin kerja mereka secara berpasukan.
7. Dalam hal ini, program-program KMK dan Inovasi sebenarnya memberi kesempatan kepada anggota perkhidmatan awam untuk mengasah kebolehan dan menajamkan kompetensi mereka. KMK dan Inovasi juga adalah mekanisme pengurusan yang berkesan untuk membina modal insan perkhidmatan awam yang berketrampilan tinggi bagi merealisasikan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan agensi-agensi awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
MENINGKATKAN KERELEVANAN KMK
Para hadirin yang dihormati sekalian,
8. Menyedari potensi besar yang dimiliki, KMK tidak seharusnya dianggap sebagai aktiviti yang kurang memberi impak signifikan kepada pembangunan dan daya saing negara. Persepsi seperti ini mungkin terjadi kerana sikap segelintir Ketua Jabatan yang beranggapan KMK hanya untuk tujuan ritual semata-mata, iaitu, sama ada untuk memasuki pertandingan atau ingin menunjukkan kepada stakeholders serta pelawat bahawa organisasi mereka juga terlibat dengan KMK. Dalam hubungan ini, sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan kerelevanan KMK supaya dapat memberikan impak yang signifikan kepada perkhidmatan awam dan juga masyarakat.
9. Saya ingin mencadangkan supaya pendekatan KMK dikaji semula dengan memberi perhatian utama kepada penerapan knowledge-based dan creativity-driven di kalangan pihak pengurusan dan pekerja bagi membolehkan organisasi menghasilkan nilai tambah. Oleh itu, KMK versi baru seharusnya memberi tumpuan kepada idea, pembelajaran, perkongsian ilmu dan penciptaan nilai menerusi strategi penyelesaian masalah yang lebih berkesan dan teknik analisis yang terkini, misalnya dengan menggunakan kaedah “blue ocean strategy”. Produk akhir KMK seharusnya menjurus kepada penciptaan output organisasi, iaitu, sama ada berbentuk produk atau perkhidmatan yang dapat dirasai dengan ketara dan dinikmati secara meluas oleh masyarakat pengguna. Dengan itu, impak dan sumbangan KMK terhadap pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negara akan lebih berjaya.
Para hadirin yang dihormati,
10. Pada masa ini, usaha-usaha sedang giat dilaksanakan untuk membentuk jentera pentadbiran kerajaan yang kemas, cekap dan sistematik. Persekitaran yang kondusif akan menarik minat pihak swasta untuk melaksanakan lebih banyak pelaburan yang akan memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. Segala bentuk kelulusan yang melibatkan prosedur yang rumit perlu dipermudah, manakala peraturan berkaitan perlu sentiasa dikemaskinikan. Dalam hal ini, kerajaan telah menubuhkan PEMUDAH (Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan) pada bulan Februari 2007, yang bertujuan untuk mengkaji semula prosedur dan peraturan sedia ada bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan di negara ini, serta meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Alhamdulillah, kebanyakan kelulusan, prosedur, pembayaran balik cukai serta pemprosesan dokumen-dokumen sekarang, dibuat secara cekap and pantas, hasil inisiatif PEMUDAH.
11. Namun demikian, sebagai penjawat awam, kita tidak sepatutnya mudah berpuashati dengan tahap pencapaian yang diperolehi, sebaliknya perlu sentiasa memikir dan melakukan pembaharuan pada setiap masa, sama ada dari segi prosedur kerja atau proses bekerja di organisasi masing-masing. Dalam konteks ini, aktiviti KMK boleh digunakan untuk membantu jabatan bagi meningkatkan kelancaran proses pemberian perkhidmatan, memudahkan urusan yang melibatkan sektor swasta dan orang ramai, menjimatkan masa dan kos yang perlu ditanggung oleh pelanggan serta meningkatkan ketelusan dalam membuat keputusan. Malahan masalah seperti peningkatan kos perbelanjaan, kelewatan pelaksanaan projek dan ketidakcekapan penyelenggaraan harta awam seperti yang ditimbulkan dalam Laporan Audit Negara, boleh diatasi menerusi program-program KMK yang dijalankan dari masa ke semasa.
12. Satu kajian yang dilakukan oleh INTAN mengenai keberkesanan pelaksanaan KMK di agensi-agensi kerajaan tertentu baru-baru ini, mendapati bahawa majoriti penjawat awam yang ditemui bersetuju bahawa KMK berjaya merangsang dan menjana idea-idea bernas, memperbaiki sistem dan proses kerja serta berjaya membantu menyelesaikan masalah organisasi dengan berkesan. Keberkesanan KMK dalam organisasi akan dapat membantu usaha kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai. Apabila penjawat awam berupaya memberikan perkhidmatan dengan cekap, telus dan mesra sepertimana yang diharapkan, mereka akan lebih dipercayai dan dihormati oleh para pelanggan dan masyarakat.
PEMBUDAYAAN INOVASI DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Hadirin yang dihormati sekalian,
13. Penjawat awam bermentaliti kelas pertama adalah mereka yang berupaya membuat perubahan bukan sahaja dalam cara bekerja, tetapi juga dalam menghasilkan produk-produk baru di peringkat antarabangsa. Untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif serta membolehkan kita menjadi pemain di peringkat global, cara berfikir yang biasa perlu diubah. Anggota perkhidmatan awam perlu “think out of the box” untuk menghasilkan rekacipta dan produk baru. Kaedah inilah juga yang telah pun digunakan oleh para perekacipta sebelum ini. Sebilangan mereka pernah dianggap sebagai orang yang tidak waras di zamannya. Walau bagaimanapun mereka inilah sebenarnya yang telah berjaya mencipta dan menghasilkan banyak perkara baru sehingga menjadikan dunia lebih maju dan moden seperti sekarang ini.
14. Kita juga mahu melihat Perkhidmatan Awam Malaysia disanjungi di peringkat dunia kerana anggota-anggotanya boleh membawa perubahan di pentas dunia menerusi hasil ciptaan mereka. Untuk itu, kakitangan awam dan agensi kerajaan perlulah sentiasa meningkatkan penerokaan inovasi untuk menghasilkan pembaharuan dari segi kaedah dan produk bagi meningkatkan kesejahteraan kehidupan manusia. Usaha-usaha yang dibuat melalui program inovasi ini diharap dapat membolehkan Perkhidmatan Awam Malaysia turut memahat nama sebagai penyumbang kepada penciptaan inovasi yang diiktiraf di peringkat dunia.
15. Pembinaan budaya inovasi dalam perkhidmatan awam turut memerlukan daya kreativiti dan keusahawanan yang tinggi. Dalam hal ini, kejayaan untuk menerapkan budaya inovasi bergantung kepada kebolehan pemimpin organisasi untuk menerapkan nilai-nilai kreativiti dan keusahawanan di kalangan penjawat awam. Namun demikian, inovasi akan memerlukan kita mengambil risiko kerana pelaburan dalam bidang berkenaan akan sentiasa berhadapan dengan uncertainty. Oleh itu, komitmen dan sokongan pihak pengurusan atasan sangatlah penting untuk terus menjana dan menggerakkan pembentukan budaya cemerlang yang mengutamakan kreativiti dan inovasi.
PENUTUP
Para hadirin yang dihormati sekalian,
16. Saya berharap idea-idea kreatif dan inovatif yang telah dipersembahkan di dalam konvensyen KMK dan pameran inovasi kali ini adalah merupakan idea-idea baru yang benar-benar praktikal dan boleh dikongsi bersama. Menerusi perkongsian pintar di antara agensi-agensi awam yang mengambil bahagian, usaha untuk mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi dalam organisasi serta hasrat murni untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan, akan dapat direalisasikan.
17. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada kumpulan-kumpulan yang berjaya memenangi Anugerah KMK serta penerima-penerima Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam dan Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Antara Sektor Awam Dengan Sektor Swasta Tahun 2007. Kerjasama yang telah terjalin di antara sektor awam dan sektor swasta melalui penganjuran anugerah inovasi ini diharap dapat diteruskan untuk memberi sinergi kepada program pembangunan negara yang sedang dilaksanakan.
18. Kepada yang kurang berjaya, saya berharap mereka tidak berasa kecewa atau berputus asa. Apa yang lebih penting ialah tuan-tuan dan puan-puan telah menghasilkan karya dan ciptaan yang berkualiti dan mampu memberi impak kepada peningkatan perkhidmatan dan produktiviti di agensi masing-masing. Sekali lagi, syabas dan tahniah saya ucapkan.
19. Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menganjur dan menjayakan Konvensyen KMK dan Anugerah Inovasi pada kali ini.
Sekian.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.