MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KUALITI SEKTOR AWAM (AKSA)
TEKS UCAPAN ALUAN
YBHG TAN SRI MOHD SIDEK HASSAN
KETUA SETIAUSAHA NEGARA
MAJLIS PENYAMPAIAN
ANUGERAH KUALITI
SEKTOR AWAM (AKSA)
30 NOVEMBER 2007 (JUMAAT)
JAM 8.00 MALAM
PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia
Y.B. Dato’ Seri Syed Hamid Albar
Menteri Luar Negeri
Y.A.B. Dato’ Seri Shahidan Kassim
Menteri Besar Perlis
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri
Yang Berhormat Setiausaha-Setiausaha Parlimen
Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Y. Bhg. Dato’ Normah Md Yusof
Ketua Pengarah MAMPU
Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan Nya, kita dapat berhimpun dalam majlis yang penuh bermakna pada malam ini, iaitu Majlis Penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam 2007.
2. Majlis ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan Kerajaan kepada agensi sektor awam yang telah berjaya dipilih sebagai penerima Anugerah Kualiti Sektor Awam bagi tahun 2007. Majlis ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk menerapkan budaya kualiti dalam Perkhidmatan Awam ke arah meningkatkan kecemerlangan dalam sistem penyampaian perkhidmatan.
3. Bagi pihak Perkhidmatan Awam Malaysia, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di atas kesudian untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan majlis pada malam ini, walaupun beliau mempunyai jadual yang amat padat. Sesungguhnya kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri telah memeriahkan majlis ini serta meningkatkan semangat kami untuk menyemarakkan usaha-usaha membudayakan kualiti dalam sistem penyampaian perkhidmatan oleh agensi-agensi kerajaan.
Para hadirin sekalian,
4. Sistem penyampaian perkhidmatan merupakan teras utama perkhidmatan awam kepada rakyat, sektor perniagaan dan pihak-pihak yang berkepentingan. Justeru itu, budaya penarafan atau ranking sering digunakan sebagai penanda aras kepada kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan. Dalam aspek ini, Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka tidak ketinggalan turut diberi penarafan oleh badan-badan penarafan antarabangsa.
5. Sebagai contoh, Laporan Doing Business 2008 yang diterbitkan oleh World Bank, telah meletakkan Malaysia pada kedudukan tangga ke-24 dari sejumlah 178 negara yang dikaji. Perkhidmatan Awam mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sangat penting bagi memperbaiki lagi ranking negara, kerana kualiti perkhidmatan yang disampaikan akan menjadi ukuran dalam menilai kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan secara keseluruhannya.
6. Dalam hubungan ini, Pasukan Petugas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH yang ditubuhkan pada 7 Februari 2007, sedang melaksanakan langkah-langkah bagi mengurangkan masa dan prosedur untuk pengeluaran dan pembaharuan lesen-lesen perniagaan dan transaksi lain, seiring dengan inisiatif-inisiatif Kerajaan dalam bidang ini terutamanya pada peringkat Kerajaan Tempatan. Untuk tujuan tersebut, 5 Kumpulan Fokus telah diwujudkan di dalam PEMUDAH bagi menangani Areas of Concern yang telah dikenal pasti di dalam Laporan Doing Business tersebut, iaitu aspek penguatkuasaan kontrak; perdagangan merentas sempadan; pendaftaran harta; pembayaran cukai; dan penamatan perniagaan.
7. PEMUDAH adalah komited untuk mencapai penambahbaikan dalam bidang-bidang tersebut dalam masa yang terdekat, selaras dengan usaha Kerajaan untuk menambah baik iklim perniagaan dan daya saing negara. Matlamat utama kita adalah supaya kedudukan Malaysia akan dapat ditingkatkan dan diperbaiki supaya berada di kalangan 10 yang terbaik menjelang tahun 2010. Ini adalah merupakan cabaran kepada PEMUDAH, khususnya Perkhidmatan Awam, dan saya percaya dan yakin dengan komitmen serta usaha gigih yang sedang dilaksanakan matlamat tersebut akan tercapai, Insya Allah.
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Sebagai salah satu usaha membudayakan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, Kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan Sistem Star Rating bagi agensi-agensi Kerajaan. Hasil lawatan MAMPU pada 6 Ogos hingga 4 September 2007, 28 Kementerian telah diberi penarafan bintang. Kementerian yang cemerlang diberi 5 bintang sementara kementerian yang tidak memuaskan diberi 1 bintang.
9. Seterusnya, program ini akan dilaksanakan ke agensi-agensi Kerajaan yang lain dengan memberi fokus kepada agensi barisan hadapan, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan. Bagi tujuan tersebut, kriteria penilaian perlu dimantapkan lagi, maka sehubungan itu Sistem Star Rating ini dijangka dilaksanakan ke semua agensi Kerajaan pada awal tahun hadapan. Saya ingin menasihatkan agensi-agensi Kerajaan supaya bersedia kerana bilangan bintang yang diperoleh akan menjadi kayu ukur atau indikator kepada tahap kecemerlangan mereka.
Para hadirin sekalian,
10. Program Anugerah Kualiti Sektor Awam atau AKSA merupakan satu lagi inisiatif dalam usaha mengadakan benchmark ke arah peningkatan prestasi kerja cemerlang di kalangan agensi sektor awam. Berbeza dengan Sistem Star Rating, AKSA mempelawa agensi-agensi Kerajaan untuk dinilai dan diberi penarafan berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.
11. Bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan dari agensi Kerajaan, mulai tahun ini, AKSA telah dibuat penambahbaikan, di mana beberapa sub-kategori telah diperkenalkan. Sementara itu, satu anugerah baru telah diperkenalkan, iaitu Anugerah Kualiti Pengurusan Projek.
12. Secara umum, empat kriteria utama telah diberi penekanan, iaitu aspek pencapaian kecemerlangan organisasi, pencapaian tahap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan, kecekapan mengurus sumber manusia, kewangan dan aset organisasi serta tahap komitmen dan gaya kepimpinan di dalam sesebuah organisasi.
13. Melihat kepada kriteria tersebut, saya yakin agensi-agensi yang mengemukakan pencalonan, yang di senarai pendek dan yang bakal menerima anugerah pada malam ini, telah sedaya upaya mematuhi dan memenuhi kriteria kecemerlangan yang ditetapkan. Untuk itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang telah mengambil bahagian pada tahun ini.
Para hadirin sekalian,
14. Pada tahun ini, program AKSA telah menerima sebanyak 106 pencalonan bagi enam kategori yang dipertandingkan. Dari jumlah tersebut, 9 pencalonan terpilih untuk menerima anugerah. Kepada agensi-agensi yang akan menerima anugerah pada malam ini, tahniah dan syabas saya ucapkan. Kepada yang telah berusaha tetapi masih belum berjaya mencapai kemenangan, jadikanlah persaingan ini sebagai proses peningkatan kualiti untuk terus membina kekuatan yang ada di samping memperbaiki kelemahan yang masih wujud.
15. Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya berharap proses penganugerahan ini akan menjadi dorongan kepada agensi-agensi Kerajaan yang lain untuk terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keupayaan penyampaian perkhidmatan masing-masing ke tahap yang paling cekap dan yang paling berkesan.
16. Kepada ahli-ahli Panel Penilai, saya mengucapkan terima kasih di atas usaha, komitmen dan sumbangan yang telah diberikan dalam menjayakan program anugerah ini. Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih di atas kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan amat berbangga dengan komitmen dan kesungguhan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri dalam soal pengiktirafan dan gerakan kualiti Perkhidmatan Awam. Kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri pada malam ini sudah cukup menjadi dorongan dan semangat kepada kami untuk terus berusaha meningkatkan mutu Perkhidmatan Awam supaya lebih cemerlang dan menjadi antara yang terbilang di dunia.
Sekian.
Wabillahitaufik walhidayah Wasalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh