MAJLIS KHIDMAT BAKTI BIL 2 TAHUN 2007
TEKS UCAPAN
Y. BHG. TAN SRI SIDEK HASSAN
KETUA SETIAUSAHA NEGARA
SEMPENA
MAJLIS KHIDMAT BAKTI
BIL. 2 TAHUN 2007
12 NOVEMBER 2007 (ISNIN)
8.00 MALAM
PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA
Bismillahir rahmanir rahim
Assalammualaikum warahmatullahi wabaraktuh dan Salam Sejahtera
Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
dan isteri,
Y. Bhg. Puan Sri Norshaadah Mohd Nor
Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri
Y. Bhg. Dato’-Dato’ dan Datin-Datin
Dif-dif yang diraikan,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan rahmat Nya dapat kita bersama-sama dalam Majlis Khidmat Bakti ini, untuk meraikan rakan-rakan seperjuangan yang baru melangkah ke dunia persaraan setelah tamat perkhidmatan atau berakhirnya tempoh lantikan kontrak masing-masing. Majlis ini juga turut meraikan pegawai-pegawai yang baru dilantik bagi mengisi jawatan-jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam.
2. Bagi pihak Kerajaan dan Perkhidmatan Awam, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Saudara-saudari yang telah meninggalkan perkhidmatan setelah menabur bakti dan jasa kepada perkhidmatan awam dan negara. Segala sumbangan dan jasa yang telah diberikan adalah tidak ternilai dan akan tetap dikenang serta menjadi sebahagian dari lipatan sejarah perkhidmatan awam.
3. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pegawai-pegawai yang baru dilantik ke jawatan-jawatan tinggi Kerajaan. Sukacita ingin saya mengingatkan bahawa pelantikan ini adalah satu amanah, yang turut menuntut kemantapan integriti, kecekapan, keikhlasan dan kecemerlangan dalam menjalankan tugas.
Hadirin yang dihormati sekalian
4. Bagi rakan-rakan yang telah bersara, saya percaya Saudara-saudari telah mempunyai perancangan tertentu. Ada yang telah atau akan memegang jawatan penting dalam syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau GLCs, sektor korporat mahupun syarikat sendiri.
5. Begitu juga, ada yang telah lama menantikan saat persaraan ini bagi menumpukan perhatian kepada diri dan keluarga serta aspek kerohanian, tanpa diganggu gugat oleh tugasan-tugasan yang mendesak di pejabat.
PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
6. Bersara dari perkhidmatan Kerajaan tidak bermaksud terhentinya segala aktiviti seharian atau langsung tidak melakukan apa-apa pekerjaan. Selaras dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat, masa yang terluang boleh dimanfaatkan dengan menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti ilmu keagamaan, landskap, hiasan dalaman, pengkomputeran atau lain-lain ilmu yang tidak berkesempatan untuk didalami semasa sedang berkhidmat .
7. Cara menambah ilmu bukan hanya terhad kepada pembacaan atau menghadiri kelas, malah boleh juga didapati melalui pengalaman perjalanan dan pemerhatian. Sebagai contoh, dalam tempoh Tahun Melawat Malaysia yang sedang berlangsung pada tahun ini, ramai pelancong asing yang sudah lewat usia, telah datang melawat ke negara ini untuk melihat keindahan Malaysia sambil mengutip pengalaman dan ilmu melalui pemerhatian dan perhubungan dengan orang lain.
Hadirin yang dihormati sekalian,
PERKHIDMATAN PAKAR RUNDING
8. Ilmu pengetahuan yang telah dikumpul dalam tempoh perkhidmatan dengan Kerajaan bukan sahaja berguna untuk kemahiran diri, malah juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan yang lumayan. Maka tidak hairanlah ada di kalangan Saudara-saudari yang telah bersara, dilantik sebagai Pakar Runding oleh syarikat swasta dan tidak kurang juga yang bergiat dalam syarikat sendiri atau bertindak secara ‘freelance’ untuk terus mempraktikkan ilmu yang diperoleh semasa dalam tempoh perkhidmatan.
9. Kepakaran dan pengalaman yang ada, baik dalam bidang pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan, pembangunan, latihan ataupun komunikasi, jika dibuat perancangan yang rapi, mampu membuahkan hasil perniagaan yang baik. Setiap individu mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing, terpulanglah kepada kreativiti dan kehebatan diri masing-masing untuk merealisasikannya.
PENULISAN KREATIF
10. Selain itu, bagi pesara yang mempunyai kemahiran dalam penulisan kreatif, mereka adalah digalakkan untuk menulis memoir, autobiografi, biografi, rencana atau lain-lain penulisan kreatif dan ilmiah sebagai sumbangan kepada masyarakat dan negara. Memoir yang berbentuk perjalanan hidup semasa sedang berkhidmat dalam Kerajaan boleh dijadikan sebagai bahan rujukan oleh penjawat awam yang lain. Jangan kita memandang remeh kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa dalam perkhidmatan, kerana peristiwa-peristiwa ini bakal menjadi teladan generasi akan datang dan mungkin menjadi satu sejarah negara.
11. Dalam hubungan ini, mungkin catatan harian seorang gadis berusia 13 tahun yang bernama Anne Frank di Amsterdam semasa perang dunia kedua boleh dijadikan sebagai contoh. Catatan hariannya telah dijadikan sebuah buku bertajuk “Anne Frank : The Diary of A Young Girl” dan merupakan dokumen sejarah yang luar biasa, diterjemahkan ke dalam 30 bahasa serta dijadikan filem dan dokumentari. Begitu besarnya impak ilmu pengetahuan dan pengamalan dalam kehidupan kita, sekiranya kita pandai menggunakannya secara kreatif.
PENGURUSAN KESIHATAN
12. Sudah menjadi fitrah, semakin meningkat usia, semakin banyak isu-isu kesihatan yang akan dihadapi. Walaupun tidak lagi memegang jawatan yang penting, amalan cara hidup sihat perlu diteruskan. Perubahan kepada gaya hidup yang kurang aktif boleh menyebabkan berlakunya masalah kesihatan seperti berat badan berlebihan, tekanan darah tinggi, dan sebagainya.
13. Pakar Perubatan menganggarkan lebih 50% gangguan kesihatan adalah berkait rapat dengan cara dan gaya hidup. Perancangan awal boleh membantu mengurangkan tekanan dan seterusnya memastikan para pesara meneruskan kehidupan seharian tanpa tekanan yang boleh memudaratkan kesihatan. Dengan perancangan dan persediaan yang teliti, para pesara akan lebih bersedia untuk menghadapi perubahan dalam kehidupan seharian apabilah telah bersara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
PERKHIDMATAN YANG CEMERLANG
14. Majlis pada malam ini juga turut meraikan pegawai-pegawai yang baru dinaikkan pangkat bagi memegang jawatan-jawatan tertinggi dalam Perkhidmatan Awam. Kenaikan pangkat ke jawatan lebih tinggi juga bermakna Saudara-saudari telah diamanahkan dengan “kuasa” yang tertentu. Kuasa yang diberikan ini adalah satu tanggungjawab yang besar bagi melaksanakan pembangunan negara serta kebajikan rakyat. Saya ingin mengingatkan diri saya sebelum mengingatkan Saudara-saudari supaya Jangan sekali-kali “kuasa” tersebut disalahgunakan untuk kepentingan diri mahupun keluarga. Dalam apa jua keadaan, anggota perkhidmatan awam perlu bertindak dengan adil dan saksama serta dengan penuh integriti untuk kepentingan orang ramai. Anggota perkhidmatan awam perlu mempermudah urusan semua pihak. We should facilitate, and not frustrate.
15. Dalam hubungan ini, Saudara-saudari selaku pegawai-pegawai tertinggi di agensi masing-masing perlu sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang responsif, mesra, penuh budi bahasa, berintegriti dan sentiasa membuat penambahbaikan demi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan.
16. Sebagai peneraju di organisasi masing-masing, Saudara-saudari adalah juga bertanggungjawab dalam memastikan setiap pegawai yang di bawah pengawasan Saudara-saudari mengamalkan nilai dan etika yang betul, iaitu sentiasa bertanggungjawab, jujur, amanah, cekap dan berintegriti. Laporan oleh Ketua Audit Negara berhubung salah urus dana awam baru-baru ini, boleh dijadikan panduan dan teladan bagi memastikan kesilapan yang sama tidak berulang lagi.
17. Y.A.B. Perdana Menteri, semasa menyampaikan ucaptama Konvensyen Integriti 2007 menyatakan bahawa kita perlu menanam tekad untuk membetulkan integriti diri masing-masing supaya setiap yang dirancang akan membawa kebaikan. Beliau telah menyarankan supaya kita melakukan muhasabah diri dengan bertanyakan soalan mengenai apa yang betul dan apa yang salah dalam setiap perkara yang dilakukan. Nilai dan etika yang baik perlu ditunjukkan oleh Saudara-saudari terlebih dahulu, dan seterusnya diterapkan kepada seluruh anggota jabatan. Kehadiran individu yang berintegriti berserta komitmen yang tinggi pastinya akan dapat membantu usaha kerajaan membasmi rasuah, menangani penyelewengan dan membanteras salah guna kuasa.
Hadirin yang dihormati sekalian,
MELAKUKAN PERUBAHAN
18. Sebagai pemimpin, Saudara-saudari bertanggungjawab untuk menentukan corak kepimpinan masing-masing. Dalam senario hari ini, adalah amat penting bagi Saudara-saudari sentiasa bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran serta sebarang ketidaktentuan. Ketidaktentuan beserta arus perubahan yang begitu drastik dan di luar kawalan seharusnya lebih menyedarkan kita supaya terus meningkatkan potensi perkhidmatan awam.
19. Dalam hubungan ini, Saudara-saudari perlu mengambil corak kepimpinan yang proaktif, di mana kita perlu berusaha membuat perubahan yang signifikan supaya sumbangan penjawat awam akan terus kekal relevan.
20. Kita mampu melakukan perubahan semasa kita masih lagi sedang berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Janganlah kita menyesal di kemudian hari kelak, iaitu apabila telah memasuki alam persaraan, barulah kita sedar yang kita tidak melaksanakan sebaik-baiknya apa yang sepatutnya kita laksanakan. Pada masa itu, semuanya agak terlambat.
Hadirin yang dihormati sekalian,
PENUTUP
21. Akhir kata, semoga kita sentiasa memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat dan rezeki kurniaan Nya selama ini. Segala nikmat yang diperoleh hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
22. Bagi rakan seperjuangan yang akan ataupun telah meninggalkan perkhidmatan, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan. Segala jasa dan budi baik yang telah dicurahkan sudah pasti akan menjadi kenangan. Bagi Saudara-saudari yang baru dilantik ke jawatan lebih tinggi, saya ucapkan selamat menjalankan tugas dengan penuh komited dan berintegriti.
23. Marilah kita sama-sama berdoa semoga masyarakat dan negara terus berkembang maju serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Semoga majlis pada malam ini akan dapat dijadikan sebagai suatu kenangan manis dalam sejarah kehidupan diri masing-masing.
Sekian.
Wabillahitaufik walhidayah. Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabaraktuh.