MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KELAPAN
TEMA: “Kesepakatan Bersama Menjamin Kesejahteraan Pentadbiran Negara”
Bismillahir-Rahmannir-Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Bin Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia,
Y.B. Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Parlimen,
Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan,
Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, dif-dif jemputan, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia Nya jua kita dapat berhimpun pada pagi ini dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam atau MAPPA kali Ke-8. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, di atas kesudian Yang Amat Berhormat untuk menghadiri majlis ini. Sesungguhnya kehadiran Y.A.B. Dato’ Seri di majlis ini menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap perkhidmatan awam negara.
2. Sebagai mewakili anggota perkhidmatan awam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa kebanggaan yang tidak terhingga kerana dapat berkhidmat bersama-sama Y.A.B. Dato’ Seri untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Malah keakraban hubungan antara Y.A.B. Dato’ Seri dengan anggota perkhidmatan awam sememangnya begitu terasa sekali selaras dengan pendekatan “bekerja bersama-sama saya” seperti yang dihasratkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri.
3. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan hadirin sekalian ke MAPPA-8 pada tahun ini. Saya percaya harus banyak isu dan perkara yang akan disentuh dan dihuraikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri pada pagi ini, untuk kita jadikan peringatan dan panduan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
4. MAPPA dianjurkan dengan tujuan untuk memberi peluang kepada anggota-anggota pentadbiran, pegawai-pegawai kanan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan atau GLC, dan kali ini juga kehadiran tokoh-tokoh dari sektor korporat dan swasta, untuk mendengar amanat dan nasihat daripada Y.A.B. Dato’ Seri sendiri, mengenai harapan pucuk pimpinan. dan mengenai hala tuju pembangunan negara, khususnya untuk tahun 2008 ini. Untuk makluman Y.A.B. Dato’ Seri, bagi MAPPA Kelapan ini seramai 226 orang pemimpin korporat, swasta dan GLC ada bersama-sama kita di sini untuk mendengar ucapan Y.A.B. Dato’ Seri. Ini, selain daripada penglibatan secara video conferencing anggota perkhidmatan awam di Kuching, Sarawak dan di Kota Kinabalu, Sabah.
5. Majlis ini juga memberi peluang kepada anggota perkhidmatan awam, GLC dan tokoh-tokoh sektor korporat dan swasta untuk berinteraksi dan berdialog secara langsung dengan Y.A.B. Perdana Menteri mengenai isu-isu semasa berkaitan dengan meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan awam.
6. Tema persidangan pada tahun ini yang bertajuk “Kesepakatan Bersama Menjamin Kesejahteraan Pentadbiran Negara”, adalah bertepatan dengan hasrat untuk mencapai kemuafakatan dengan semua pihak, yang meliputi anggota pentadbiran, anggota perkhidmatan awam, serta tokoh-tokoh GLC, sektor korporat dan swasta, bagi membantu kerajaan melaksanakan tanggungjawab meningkatkan kepentingan negara serta sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat. Setiap seorang dari kita mempunyai peranan yang penting untuk bersama-sama merealisasikan misi nasional.
7. Jawatan dan peranan kita mungkin agak berbeza; antara kita ada penggubal, ada pelaksana, ada pemantau, dan sebagainya, tetapi hasrat dan tujuan kita adalah sama, iaitu memastikan Malaysia mencapai misinya. Oleh itu, amat perlu untuk kita berganding bahu dan bermuafakat demi mencapai matlamat negara. Sehubungan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam persediaan MAPPA Ke-8 ini, khususnya INTAN, JPA serta warga perkhidmatan awam di Sabah dan Sarawak.
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Kita pasti ingat, pada hari Khamis, 11 Januari tahun lalu, di dalam dewan ini, sempena MAPPA ke-7, Y.A.B. Perdana Menteri telah mengumumkan mengenai penubuhan sebuah pasukan bagi memudah cara perniagaan untuk meningkatkan daya saing negara. Seterusnya, PEMUDAH, atau Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan diwujudkan, yang dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan Kerajaan dan tokoh-tokoh dari sektor swasta. PEMUDAH telah diberi tugas untuk mengkaji dan mengambil langkah-langkah ke arah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan seterusnya meningkatkan daya saing negara.
9. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana urusan-urusan tertentu telah dapat disingkatkan dan sebahagian karenah birokrasi dalam perkhidmatan awam telah dapat diatasi melalui usaha PEMUDAH, dan juga lain-lain tindakan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
10. PEMUDAH dan anggota Perkhidmatan Awam adalah komited untuk terus melakukan penambahbaikan dalam pelbagai sektor pada masa yang terdekat, selaras dengan usaha Kerajaan untuk menambah baik iklim perniagaan dan daya saing negara. Kami percaya melalui usaha-usaha ini, kedudukan Malaysia di dalam laporan-laporan antarabangsa seperti oleh Bank Dunia, “Doing Business Report” atau “World Competitiveness Report”, akan dapat ditingkatkan dan diperbaiki supaya berada di kalangan 10 yang terbaik di dunia dalam masa yang terdekat, iaitu menjelang tahun 2010.
11. Namun, sungguhpun mendapat pengiktirafan antarabangsa adalah satu kebanggaan dan satu pencapaian, apa yang lebih penting ialah kita, penjawat awam, menghayati bahawa kita melakukan penambahbaikan untuk manfaat kita sendiri, manfaat negara kita dan kepuasan pelanggan kita. There is nothing more satisfying than to feel that our efforts are truly appreciated because they are truly relevant and we make a difference.
12. Dalam hubungan ini, atas rasa tanggungjawab dan kesedaran tersebut, pada hari Rabu, 16 Januari 2008, kami telah mengumumkan Komitmen Perkhidmatan Awam 2008, di mana tahun ini akan menyaksikan pengukuhan serta penambahan kepada inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan, agar Perkhidmatan Awam Malaysia benar-benar Perkhidmatan Awam Kelas Pertama.
Y.A.B. Dato’ Seri serta para hadirin sekalian,
13. Kami seluruh anggota perkhidmatan awam amat menyedari amanah dan tanggungjawab besar yang harus dipikul demi memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara, sejajar dengan hasrat Kerajaan. Saya yakin kerjasama erat di antara anggota Pentadbiran, penjawat awam dan sektor swasta akan memastikan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dan seterusnya kejayaan misi nasional.
14. Perkhidmatan awam telah banyak menerima bimbingan dan nasihat Y.A.B. Dato’ Seri, sepanjang tempoh Dato’ Seri menerajui Kerajaan. Lebih istimewa lagi kerana Y.A.B. Dato’ Seri sendiri telah melalui pengalaman sebagai anggota perkhidmatan awam suatu ketika dulu, dan sekarang ini mengetuai barisan anggota Pentadbiran. Sudah tentu penglibatan dan pengalaman berharga Y.A.B. Dato’ Seri itu amat bernilai untuk dikongsi dengan kami.
15. Oleh itu sempena tahun 2008 yang baru bermula ini, kami amat menghargai amanat dan nasihat Y.A.B. Dato’ Seri, agar dapat dijadikan panduan dan pedoman untuk kami semua menempuhi tahun ini dengan jayanya.
16. Untuk itu, saya dengan segala hormatnya menjemput Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Bin Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia untuk menyampaikan amanat beliau sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kali Kelapan pada tahun ini.