MAJLIS PERASMIAN SIMPOSIUM AUDIT DALAM 2008
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Setia Ambrin bin Buang
Ketua Audit Negara,
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’- Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan,
Para hadirin yang dihormati sekelian.
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin Nya dapat kita bersama-sama menghadiri Simposium Audit Dalam bagi tahun ini. Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Audit Negara atas inisiatif menganjurkan Simposium buat kali kedua ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana menjemput saya untuk menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan simposium ini.
Saudara-saudari sekalian,
2. Dalam menghadapi suasana perkhidmatan awam yang semakin mencabar, peranan saudara-saudari sebagai Juruaudit Dalam memerlukan komitmen yang tinggi bagi memastikan aspek tadbir urus organisasi sentiasa kukuh, berintegriti dan berakauntabiliti. Justeru, penganjuran simposium ini bertujuan memberi kesempatan untuk saudara-saudari bermuhasabah, bertukar-tukar fikiran serta menyumbangkan idea bagi meningkatkan lagi mutu Institusi Audit Dalam. Ini juga merupakan peluang bagi Juruaudit Dalam di sektor awam untuk berkenalan, berinteraksi serta mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain supaya peranan saudara-saudari dapat dimantapkan lagi demi kebaikan organisasi masing-masing.
3. Sesungguhnya, pada hemat saya, Kerajaan kita telah memberi pengiktirafan yang sewajarnya terhadap peranan Juruaudit, sama ada Audit Dalam mahupun Audit Luar, yang mencerminkan komitmen Kerajaan untuk menerapkan budaya akauntabiliti dan integriti dalam perkhidmatan awam. Hakikat ini adalah jelas apabila Kerajaan telah menambah bilangan perjawatan Juruaudit di Jabatan Audit Negara dan di Unit Audit Dalam dengan jumlah yang signifikan bagi membantu Kerajaan meningkatkan kualiti tadbir urus di peringkat Kementerian, Jabatan dan agensi. Kerajaan juga telah menubuhkan Akademi Audit Negara untuk membangunkan modal insan dalam bidang pengauditan, sekaligus meningkatkan profesionalisme Juruaudit demi keberkesanan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan.
4. Selain itu, Kerajaan juga telah bersetuju untuk mengkaderkan pengisian jawatan di Unit Audit Dalam di pelbagai Kementerian dan Jabatan oleh Juruaudit terlatih dari Jabatan Audit Negara. Saya berdoa dan percaya langkah-langkah bagi memperkasakan Unit Audit Dalam telah dapat membantu Kementerian dan Jabatan memastikan fungsi Audit Dalam dilaksanakan dengan berkesan bagi menangani gejala-gejala negatif seperti pemborosan, pembaziran mahupun penyelewengan.
5. Saya percaya langkah-langkah ini adalah wajar memandangkan program, aktiviti dan projek Kerajaan sentiasa bertambah pada setiap tahun, begitu juga dengan peruntukan kewangan yang disediakan. Adalah amat penting setiap ratusan sen, malah jutaan ringgit sekalipun yang dibelanjakan dapat memberikan faedah yang sewajarnya kepada rakyat, Negara dan Kerajaan. Oleh itu saya amat mengalu-alukan strategic partnership yang terjalin di antara Jabatan Audit Negara dan Unit Audit Dalam bagi menjamin tadbir urus yang terbaik dan berakauntabiliti, selain memberi nilai tambah kepada Kementerian dan Jabatan dalam memenuhi ekspektasi rakyat dan negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. Kebelakangan ini peranan Juruaudit Dalam bukan hanya tertumpu kepada memastikan kawalan dalaman dan aset sesebuah organisasi sentiasa kukuh dan selamat, bahkan Juruaudit Dalam juga dikehendaki memberi khidmat perundingan serta menambah nilai kepada sesebuah organisasi yang merangkumi aspek pengurusan risiko, etika, sokongan kepada Pengurusan dan juga tanggungjawab sosial korporat. Selaras dengan fungsi tersebut, Juruaudit Dalam bertanggungjawab dari segi pelaporan secara terus kepada Ketua Kementerian dan Jabatan. Dalam hubungan ini, saya percaya penyelewengan dan amalan yang tidak beretika akan dapat didedahkan dalam masa yang singkat atau dapat dielakkan sama sekali, sekiranya Juruaudit Dalam melaksanakan peranan yang proaktif sebagai “mata dan telinga” kepada pihak pengurusan.
7. Di sinilah letaknya keberkesanan Unit Audit Dalam bagi membantu pihak Pengurusan Tertinggi dengan memberi maklumat yang tepat dan objektif serta mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang sewajarnya. Pengurusan Tertinggi, seterusnya perlu mengambil tindakan berdasarkan nasihat yang diberikan bagi menangani sebarang kelemahan dan kekurangan yang telah dikenalpasti. Adalah diharapkan melalui kerjasama pelbagai pihak akan dapat memastikan wujudnya akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan wang awam serta menggalakkan pentadbiran yang cekap dan berhemat di setiap Kementerian dan Jabatan.
8. Dalam hubungan ini, inisiatif Jabatan Audit Negara untuk menerbitkan sebuah buku panduan bertajuk “Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Dari Perspektif Jabatan Audit Negara” amatlah dialu-alukan. Saya percaya buku panduan ini amat berguna bagi mereka yang terlibat dengan pengurusan kewangan dalam mengambil tindakan penambahbaikan yang cekap dan berkesan untuk mengatasi kelemahan yang ada. Ini, secara tidak langsung akan membantu jabatan mencapai rating Indeks Akauntabiliti yang lebih baik. Saya berharap setiap pegawai dan kakitangan yang terlibat dengan pengurusan kewangan akan menjadikan buku ini sebagai rujukan utama mereka dalam melaksanakan kerja-kerja seharian.
Para hadirin yang dihormati sekelian,
9. Pada awal tahun ini, Kerajaan telah mengumumkan mengenai Komitmen Perkhidmatan Awam 2008, yang juga telah menyentuh aspek pengamalan prinsip integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam. Dalam usaha Kerajaan meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, prinsip dan amalan tadbir urus yang terbaik merupakan asas penting bagi kejayaan pelaksanaannya. Objektif tadbir urus adalah untuk menyemai dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Kerajaan melaksanakan dasar yang telah dimandatkan di samping mengekalkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem penyampaian awam.
10. Tadbir urus terbaik juga memberi penekanan terhadap aspek prestasi dan pematuhan. Kedua-dua aspek ini mempunyai kaitan secara langsung dengan tugas pengauditan, iaitu menilai pelaksanaan program dan aktiviti agensi dari aspek kecekapan dan keberkesanan, serta memastikan tiada sebarang pembaziran sumber kewangan. Selain itu, Juruaudit Dalam juga hendaklah memastikan setiap prosedur, peraturan dan undang-undang yang berkaitan dipatuhi, dalam melaksanakan pengurusan kewangan yang telus dan berakauntabiliti. Dalam hubungan ini, amalan tadbir urus yang berkesan adalah merupakan suatu proses yang berterusan, dan penambahbaikan hendaklah sentiasa dilakukan dari masa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya.
11. Dari pemerhatian saya, satu aspek tadbir urus yang perlu diberi perhatian adalah berhubung kait dengan prestasi anak-anak syarikat kepada Badan-Badan Berkanun Kerajaan. Ada sesetengah anak syarikat ini telah lama wujud, tetapi bukan sahaja tidak menunjukkan keuntungan malah terus bergantung kepada bantuan kewangan dari badan induk. Saya berpandangan bahawa pihak Unit Audit Dalam perlu memantau pengurusan anak-anak syarikat ini sama ada boleh mencapai KPI yang telah ditetapkan mahupun berdaya maju. Penilaian dan input seumpama ini akan dapat membantu Lembaga Pengarah di Badan Induk mengambil langkah yang sewajarnya untuk memperbaiki prestasi anak syarikat, ataupun menutup anak syarikat yang bermasalah. Peranan nilai tambah yang sebeginilah yang sepatutnya dilaksanakan oleh Juruaudit dalam memberikan penilaian yang objektif dan bebas kepada pihak pengurusan selaras dengan tanggungjawab dan tuntutan akauntabiliti kepada organisasi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
12. Adalah menjadi harapan saya agar Institusi Audit Dalam ini akan terus melaksanakan peranan yang aktif dalam memastikan urus tadbir perkhidmatan awam yang terbaik. Juruaudit sememangnya sentiasa dikaitkan dengan sifat-sifat ketelitian, objektif, berimbang dan telus. Ini berpunca dari kesediaan dan kesungguhan serta komitmen tinggi dalam menghasilkan pengauditan yang bermutu. Sungguhpun demikian usaha ke arah peningkatan kualiti perlulah dilipatgandakan supaya peranan Audit Dalam terus relevan serta menepati keperluan semasa dalam menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berintegriti.
13. Dalam hubungan ini, adalah penting bagi saudara-saudari sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan, bukan sahaja dalam bidang kewangan, bahkan juga bidang-bidang lain seperti pengurusan sumber manusia, ekonomi, ICT serta bidang-bidang yang menjadi core business di tempat saudara-saudari bertugas. Ketua Kementerian dan Jabatan sentiasa mengharapkan laporan yang objektif dan bernas daripada Juruadit dan saya percaya mereka tidak akan dihampakan.
14. Akhir kata, saya berharap kesempatan mengambil bahagian dalam Simposium ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Juruaudit dalam usaha untuk meningkatkan profesionalisme demi keberkesanan serta kecekapan pengurusan kewangan serta meningkatkan standard akauntabiliti awam di Malaysia.
15. Dengan lafaz Bismillahhir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Simposium Audit Dalam Tahun 2008.
Sekian
Wabillahittaufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.