MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PERWAKILAN PUSPANITA KALI KE-26
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Y. Bhg. Puan Sri Wan Noorlina binti Wan Hussin
Yang Dipertua PUSPANITA Kebangsaan
Y.Bhg. Puan Sri Norshaadah Mohd. Nor
Timbalan Yang DiPertua I
Y.Bhg. Datin Sri Norhayati Omar
Timbalan YDP II
Penasihat-Penasihat dan Pengerusi-Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kementerian dan Negeri
Ahli Majlis Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Tertinggi PUSPANITA
Y. Bhg. Puan Sri-Puan Sri, Datin-Datin, Perwakilan PUSPANITA, serta
Hadirin yang dihormati sekalian.
Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia Nya Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Kebangsaan Kali Ke-26, dapat diadakan.
2. Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan terima kasih kerana dijemput untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan mesyuarat perwakilan ini. Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada PUSPANITA Kebangsaan kerana dapat melangsungkan mesyuarat agung perwakilannya pada hari ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini sesungguhnya ini menandakan sokongan padu terhadap perjuangan PUSPANITA sehingga kini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. PUSPANITA adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan atau NGO, yang mempunyai banyak hubungkait dengan Perkhidmatan Awam. Ini adalah kerana ahli PUSPANITA terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam wanita, dan juga isteri kepada anggota Perkhidmatan Awam. Salah satu dasar perancangan PUSPANITA iaitu, untuk membantu meningkatkan prestasi dan imej perkhidmatan awam ke arah menyokong pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan, adalah amat baik dan bertepatan sekali. Ini bermakna kejayaan dalam mengurus dan mengendalikan PUSPANITA secara tidak langsung mempamerkan kecekapan dan profesionalisme anggota Perkhidmatan Awam.
4. Dalam konteks ini, saya ingin menasihatkan kepada semua ahli PUSPANITA, khususnya ahli Majlis Tertinggi dan ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi, bahawa apabila mengurus, mentadbir dan melaksanakan apa juga kegiatan dan program PUSPANITA, hendaklah mengikut panduan, peraturan serta prosedur yang telah ditetapkan oleh Persatuan, dan sebaik-baiknya berpandukan kepada proses dan prosedur semasa dalam Kerajaan. Sebagai contoh, sekiranya PUSPANITA berhasrat mendapatkan sesuatu perkhidmatan atau barangan, ianya hendaklah didapatkan melalui proses Sebutharga atau Tender. Dalam hubungan ini, amalan-amalan semasa Kerajaan dalam pengendalian Sebutharga dan Tender hendaklah dipatuhi.
5. Saudari-saudari perlu sentiasa prihatin berhubung aspek integriti dan ketelusan. Dengan cara ini, boleh diyakini bahawa apa jua yang dilaksanakan adalah telus dan saksama, serta tidak akan mengundang sebarang kontroversi atau masalah. Ini pastinya akan dapat memantapkan lagi prestasi dan imej Perkhidmatan Awam.
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. Saya sering mengingatkan kepada anggota Perkhidmatan Awam bahawa tiada kompromi berhubung aspek Intergiti. Integriti merupakan salah satu tonggak utama bagi memastikan kejayaan dalam merealisasikan agenda-agenda yang telah disusun untuk kemajuan dan kemakmuran negara. Begitu juga bagi PUSPANITA, Integriti perlu dijadikan sebagai prinsip utama dalam melaksanakan program dan aktiviti, serta mentadbir amanah yang diberikan.
7. Integriti bukan saja merujuk kepada isu-isu rasuah dan salah guna kuasa semata-mata, malah lebih dari itu. Amalan budaya kerja yang cemerlang pastinya menuntut integriti dan akauntabiliti. Ini bermakna konsep Integriti sentiasa mengawal segala pergerakan dan tindakan kita dalam melaksanakan tugas-tugas harian. Ini merangkumi aspek integriti dalam ketepatan waktu dan pengurusan masa, integriti dalam menyediakan maklumat, integriti dalam memberi perkhidmatan yang terbaik, integriti dalam berhubung dengan ketua jabatan serta rakan sekerja, dan sebagainya.
8. Sebagaimana diketahui, PUSPANITA telah diberi amanah untuk menjaga dan mentadbir aset-aset tertentu seperti pengurusan dan pentadbiran PUSPANITAPURI, tabung PUSPANITA dan sebagainya. Amanah dan tanggungjawab ini perlu ditadbir dan dijaga dengan sebaik mungkin. PUSPANITA juga mempunyai kewangan yang kukuh, dan pelbagai aktiviti telah dianjurkan oleh PUSPANITA pada setiap tahun dengan menggunakan peruntukan kewangan yang disediakan. Perkembangan ini adalah amat baik dan begitu menggalakkan, dan saya mengucapkan syabas kepada pengurusan PUSPANITA di setiap peringkat atas usaha tersebut.
9. Namun, adalah menjadi kewajipan saya untuk menasihatkan saudari-saudari supaya sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah, atau dalam lain-lain perkataan, menguruskan hal kewangan dengan bijak, serta berbelanja dengan cermat dalam menganjurkan program dan aktiviti PUSPANITA. Rancangkanlah terlebih dahulu sesuatu program atau aktiviti yang ingin dijalankan, dan gunakan kewangan yang diperuntukkan dengan sebaik mungkin. Ini adalah bagi memastikan setiap aktiviti yang dianjurkan adalah bersesuaian serta memberi faedah dan manfaat kepada ramai ahli.
Hadirin yang dihormati sekalian,
10. Dalam keadaan dunia sedang dilanda dengan krisis makanan yang meruncing pada ketika ini, saya ingin menasihatkan sesama kita supaya mengubah gaya hidup dengan mengutamakan amalan berjimat-cermat, mengelakkan pembaziran serta berbelanja mengikut keperluan. Sebagaimana sedia maklum, wanita adalah merupakan pengguna yang terbesar dalam negara. Para isteri sering diamanahkan oleh suami untuk mengendalikan barang dapur, membeli belah, serta mengatur perbelanjaan keluarga. Oleh itu, saudari-saudari mestilah menjadi pengguna yang bijak dan sentiasa berwaspada dalam menguruskan perbelanjaan harian dengan memberi keutamaan kepada barangan keperluan terlebih dahulu, dan pastikan barangan yang dibeli adalah setimpal dengan harga yang ditawarkan.
11. Sehubungan dengan itu, melalui PUSPANITA, saya berharap agar ahli-ahli dapat bergerak cergas dalam menangani masalah kepenggunaan yang sering diketengahkan dalam media massa, seperti kenaikan harga barangan tanpa kawalan, dengan menganjurkan program atau kursus kepenggunaan serta pengurusan perbelanjaan yang berhemah. Adalah diharapkan melalui progam yang dianjurkan, akan dapat melahirkan pengguna yang bijak berbelanja.
12. Apabila kita menjadi pengguna yang bijak, kita akan dapat membantu kerajaan dalam mempertingkatkan ekonomi negara serta mengurangkan masalah kenaikan harga barangan yang semakin menjadi-jadi diseluruh dunia pada masa ini. Pengguna yang berhemah juga adalah pengguna yang “sedikit berbelanja dan banyak menabung”. Galakkanlah diri kita membuat simpanan untuk kegunaan masa depan bagi diri dan anak-anak. Dengan amalan berjimat cermat, kita akan dapat membina keluarga bahagia, serta tidak perlu bergantung kepada orang lain atau kerajaan dalam mengurus persekolahan anak-anak ataupun untuk keperluan keluarga.
13. Tindakan berjimat-cermat juga boleh dilakukan dengan menanam sendiri bahan makanan harian seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan untuk kegunaan seisi keluarga selaras dengan kempen Bumi Hijau yang dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 3 Mac 2006. Tidak kira di mana tempat tinggal kita di kawasan bandar, sama ada di apartmen atapun rumah teres, amalan bercucuk tanam tanaman makanan berkonsepkan laman dapur atau “edible garden” adalah sangat digalakkan mengikut ruang sedia ada serta bagi memenuhi keperluan makanan untuk kegunaan sendiri dan keluarga.
14. Apabila kita mengambil bahagian dan mampu menyediakan sumber makanan sendiri, ianya boleh memberi kesan besar dalam menghadapi masalah kemerosotan bekalan makanan. Di samping itu, amalan ini juga akan dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan disamping mempunyai persekitaran perumahan yang kehijauan, cantik dan menarik.
Hadirin yang dihormati sekalian,
15. Sebagaimana sedia maklum, Y.A.B. Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa insentif baru bagi anggota perkhidmatan awam sempena Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam, 3 hari lalu, pada hari Sabtu, 10 Mei 2008. Insentif-insentif ini termasuklah:
• Melanjutkan had umur persaraan wajib bagi kakitangan awam dari 56 tahun ke 58 tahun mulai 1 Julai 2008;
• Bayaran pencen dikira mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, berkuatkuasa 1 Januari 2009;
• Penambahbaikan ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dari segi kaedah pelaksanaannya dari semasa ke semasa;
• Bayaran Pencen Terbitan 100 peratus kepada ahli keluarga kakitangan awam yang meninggal dunia;
• Bayaran “ex-gratia” kepada ibu atau bapa kakitangan awam yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris.
16. Pengumuman insentif baru ini adalah merupakan “hadiah” kepada anggota perkhidmatan awam dan membuktikan keprihatinan serta pengiktirafan pucuk pimpinan Kerajaan terhadap sumbangan perkhidmatan awam kepada proses pembangunan negara. Dalam hubungan ini, saya berharap anggota sektor awam hendaklah terus meningkatkan kecekapan dan bertindak pantas dalam membuat keputusan supaya perkhidmatan awam dihormati bukan saja oleh rakyat negara ini, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Perkhidmatan yang berkualiti dan pantas akan dapat menarik pelabur yang sentiasa mahukan layanan yang efisien kerana jika tidak, Malaysia akan ketinggalan.
17. Kakitangan awam perlu juga meningkatkan keupayaan dan memperkasakan diri dengan ilmu yang berkaitan. Ini adalah supaya kita sentiasa peka dan tahu apa perubahan yang berlaku dan seterusnya mengambil pendekatan terkini bagi menjadikan sektor awam yang lebih cemerlang lagi. Oleh itu, peranan saudari-saudari selaku ahli PUSPANITA yang juga merupakan anggota Perkhidmatan Awam, hendaklah melaksanakan tugas dengan lebih komited dan cemerlang. Sementara itu, bagi ahli PUSPANITA yang merupakan isteri kepada anggota Perkhidmatan Awam, berikanlah galakkan dan dorongan kepada suami puan-puan untuk berusaha dengan lebih cemerlang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
18. Seterusnya, saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada Penasihat-Penasihat Cawangan PUSPANITA, sama ada di peringkat kementerian, negeri mahupun daerah. Saya mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan kerana sudi melapangkan masa untuk menghadiri majlis perasmian pada hari ini. Kehadiran saudara-saudara menunjukkan sokongan saudara-saudara terhadap perjuangan dan aspirasi PUSPANITA. Saya berharap Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri dan Dato’-Dato’ akan sentiasa memberikan perhatian dan bimbingan terhadap perjalanan PUSPANITA di cawangan masing-masing, sekurang-kurangnya untuk memberi motivasi dan semangat.
19. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengingatkan saudari-saudari ahli PUSPANITA sekalian kepada motto PUSPANITA, iaitu “Wanita Sepakat, Negara Meningkat”. Ini adalah merupakan semangat yang kita semua perlu hayati sepenuhnya dan perlu diamalkan dan dijayakan. Bagi merealisasikannya, hubungan silaturahim dan muafakat di kalangan semua ahli perlu dipertingkatkan. Apabila terdapat hubungan yang baik dan rapat, maka banyak perkara yang berfaedah boleh dilaksanakan secara bersama, ataupun isu-isu yang berbangkit dapat ditangani dengan sebaik mungkin. Secara tidak langsung usaha yang dilaksanakan secara muafakat, persefahaman serta kerjasama yang erat, akan menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.
20. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih atas jemputan ini dan saya berharap mesyuarat agung PUSPANITA pada hari ini akan berjalan dengan lancar dan jayanya. Semoga PUSPANITA akan tertambah maju dan mencipta kejayaan demi kejayaan pada masa hadapan.
21. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahhir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PUSPANITA Kali Ke-26.
Sekian,
Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.