MAJLIS KHIDMAT BAKTI BILANGAN 1 TAHUN 2008
Bismillahir rahmanir rahim
Assalammualaikum warahmatullahi wabaraktuh dan Salam Sejahtera
Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri
Y. Bhg. Dato’ Sri-Dato’ Sri, Datin Sri-Datin Sri, Dato’-Dato’ dan Datin-Datin
Dif-dif yang diraikan,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat Nya kita dapat hadir dalam majlis ini untuk meraikan rakan-rakan seperjuangan yang baru melangkah ke dunia persaraan setelah tamat perkhidmatan atau berakhirnya tempoh lantikan kontrak masing-masing.
2. Bagi pihak Kerajaan dan Perkhidmatan Awam, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan yang telah menabur bakti dan berjasa kepada perkhidmatan awam dan negara. Segala sumbangan dan jasa yang telah diberikan adalah tidak ternilai dan akan tetap dikenang.
3. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara-saudari yang baru dilantik ke jawatan-jawatan tinggi Kerajaan. Sesungguhnya pelantikan ini adalah satu amanah yang menuntut kemantapan integriti, kecekapan, keikhlasan dan kecemerlangan dalam menjalankan tugas.
Hadirin yang dihormati sekalian,
4. Sering kali saya nyatakan bahawa semasa masih lagi dalam perkhidmatan, adalah menjadi kewajipan serta tanggungjawab kita untuk melaksanakan perubahan dan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada orang ramai. Janganlah kita menyesal di kemudian hari kelak, iaitu apabila kita telah bersara dan tiada lagi dalam perkhidmatan, bahawa kita tidak melaksanakan sebaik-baiknya apa yang sepatutnya kita laksanakan, kerana pada masa itu, semuanya telah terlambat.
5. Bagi rakan-rakan yang baru saja melangkah ke alam persaraan, saudara-saudari masih lagi boleh terus menyumbang kepada mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan menghantarkan sebarang cadangan pembaharuan dan penambahbaikan melalui saluran yang ada. Sekiranya terdapat sebarang kelemahan dalam perkhidmatan awam ataupun sekiranya saudara-saudari mempunyai pengalaman yang kurang memuaskan apabila berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan, hantarkanlah aduan mahupun cadangan tersebut kepada saya melalui email, ataupun kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan yang berkaitan.
6. Saudara-saudari yang telah bersara mempunyai “kelebihan” kerana pernah berada dalam Perkhidmatan Awam dan sekarang ini, di luar Perkhidmatan Awam pula. Mungkin apabila berada di luar, banyak kelemahan dapat dilihat, dan sehubungan itu adalah menjadikan kewajipan saudara-saudari untuk memaklumkan kelemahan tersebut kepada rakan-rakan yang sedang berkhidmat supaya pembaharuan dan penambahbaikan yang sewajarnya boleh diambil.
7. Oleh itu, bagi kita yang masih lagi dalam perkhidmatan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap segala aduan mahupun rungutan yang dikemukakan, tidak kira daripada rakan-rakan yang telah bersara mahupun daripada orang awam. Berilah keutamaan dan perhatian terhadap segala aduan dan rungutan yang diterima, serta tangani isu dan masalah yang dibangkitkan dengan bijak. Sebenarnya aduan dan rungutan orang ramai adalah merupakan maklumbalas yang terbaik bagi kita, untuk mengetahui keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan sehingga ke peringkat akar umbi.
8. Aduan orang ramai adalah merupakan “mata” dan “telinga” bagi pihak Kerajaan. Sebenarnya mereka semua membantu kita untuk “turun padang”. Ini kerana, bagi kita mengawasi dan melihat dengan sendirinya kemajuan pelaksanaan dasar dan keputusan Kerajaan di peringkat negeri dan daerah, pastinya kita tidak mampu untuk melawat ke seluruh pelusuk negara. Sehubungan dengan itu, melalui aduan dan maklumbalas yang dikemukakan, orang ramai telah “turun padang” bagi pihak kita bagi mengenalpasti kekurangan dan kelemahan yang berlaku.
9. Oleh itu, kita perlu mendengar luahan perasaan mereka ini dan membantu menyelesaikan permasalahan yang ada. Ini adalah lebih baik daripada kita sendiri “turun padang” secara fizikal dan melihat kekurangan yang berlaku, tetapi tiada sesuatu apa pun yang dilakukan untuk mengatasinya. Namun demikian, ini tidak bermakna saudara-saudari tidak perlu untuk mengadakan sebarang program “turun padang” langsung. Dari masa ke semasa, lawatan perlu juga diadakan bagi melihat keadaan sebenar di peringkat akar umbi. Pada masa yang sama, sebarang masalah yang timbul ditangani, di samping melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan yang diperlukan.
10. Dalam melaksanakan penambahbaikan, ianya haruslah dilaksanakan secara sistematik dan sistemik. Ini bermakna kita janganlah menyelesaikan kes yang dilaporkan sahaja, tetapi keseluruhan sistem yang berkaitan kes, supaya aduan yang sama tidak timbul kembali. Ini juga bermakna kita perlu menangani masalah secara keseluruhan.
11. Sebagai contoh, katakan terdapat aduan orang ramai bahawa mereka tidak boleh membuat pembayaran Cukai Harta secara online di Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Dalam menangani masalah ini, janganlah hanya Cukai Harta sahaja dibolehkan pembayaran secara online. Pembayaran-pembayaran lain, umpamanya pembaharuan lesen, bayaran denda, sepatutnya juga boleh dilaksanakan secara online. Inilah yang dimaksudkan sebagai menangani masalah secara sistemik, iaitu keseluruhan sistem dikaji dan dibuat penambahbaikan sewajarnya supaya lebih cekap dan berkesan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
12. Akhir kata, marilah kita bersama-sama sentiasa memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat dan rezeki kurniaan Nya selama ini. Segala nikmat yang diperoleh hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
13. Bagi rakan seperjuangan yang akan ataupun telah meninggalkan perkhidmatan, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan. Segala jasa dan budi baik yang telah dicurahkan sudah pasti akan menjadi kenangan. Bagi saudara-saudari yang baru dilantik ke jawatan lebih tinggi, saya ucapkan selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan berintegriti.
14. Semoga majlis pada malam ini akan dapat dijadikan sebagai suatu kenangan manis dalam sejarah kehidupan diri masing-masing.
Sekian.
Wabillahitaufik walhidayah. Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabaraktuh.