PEMBENTANGAN KERTAS KERJA OLEH Y. BHG. TAN SRI MOHD SIDEK HASSAN, KETUA SETIAUSAHA NEGARA “PEMUPUKAN DAN PEMBUDAYAAN REKA CIPTA DARI SUDUT UNDANG-UNDANG, PENTADBIRAN DAN KEPIMPINAN
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
YM Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas, Ketua Pengarah IKIM
Para hadirin sekalian.
Saya mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan keizinan serta limpah rahmat Nya kita dapat berkumpul dalam majlis ini, sempena Seminar “Pemupukan Dan Pembudayaan Rekacipta: Pengalaman Dan Rencana Tindakan” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM.
2. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada IKIM kerana menjemput saya bagi menyampaikan kertas kerja dalam Seminar ini. Kertas kerja saya akan membincangkan usaha pemupukan dan pembudayaan reka cipta atau invention di kalangan penjawat awam dari perspektif undang-undang, pentadbiran dan kepimpinan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
LATAR BELAKANG
3. Pembangunan ekonomi hari ini dipacu oleh persekitaran ekonomi global. Negara-negara bersaing di antara satu sama lain dan perlu terus berdaya untuk menghadapi persaingan. Untuk terus bersaing, negara perlu mengeksploitasi dan mengembang bakat yang ada, mendapatkan sumber inspirasi dan idea baru serta merangsang perniagaan baru dan terus merekacipta industri baru.
4. Bagi sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia, inovasi membuka jalan yang baru untuk menghasilkan rantaian nilai ekonomi yang lebih baik yang akan menjadi faktor kritikal kejayaan ekonomi di abad ke-21. Inovasi berasaskan ekonomi akan membolehkan negara mencapai matlamat Visi 2020 dan Misi Negara.
KADAR REKA CIPTA DI MALAYSIA
5. Namun demikian, negara kita masih jauh ketinggalan dalam merekacipta sesuatu produk atau teknologi. Dari segi perbandingan, pendaftaran paten antara negara di Asia, didapati bahawa negara China mempunyai peningkatan yang begitu besar pada tahun 2005, iaitu peningkatan 834% berbanding tahun 1995. Ini diikuti oleh Korea 106% dan Jepun 10%. Sedangkan Malaysia hanya di peringkat bawah 5%.
6. Sementara itu, dari jumlah paten yang telah diluluskan, Amerika Syarikat unggul dengan 1.7 juta paten diikuti oleh Jepun (1.18 juta), Jerman (410 ribu) dan Korea (405 ribu). Negara China yang baru sahaja membuka ekonominya kepada pembaharuan mempunyai 190 ribu paten, berbanding dengan Malaysia hanya 1,327 paten sahaja. Ini jelas menggambarkan tahap pembudayaan reka cipta yang tinggi di negara-negara berkenaan.
HASRAT KERAJAAN
7. Oleh itu adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk menggalakkan persekitaran di mana penyelidikan dan inovasi terus berkembang. Kerajaan mengambil pendekatan dan mengamalkan prinsip bahawa ilmu dan idea perlu dimanfaatkan secara keseluruhan untuk kesejahteraan masyarakat. Rekaciptaan dan inovasi menjadi kunci utama untuk meneruskan kelestarian pertumbuhan ekonomi negara. Ekonomi global akan terus berdepan dengan persaingan yang dinamik untuk menjana pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai bidang industri. Sejajar dengan ini, aktiviti reka ciptaan perlu disokong dari pelbagai sudut, termasuk Undang-undang, Pentadbiran dan Kepimpinan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
STRATEGI SEDIA ADA
8. Di bawah RMK-9, Kerajaan telah menetapkan teras pembangunan sains, teknologi dan inovasi untuk menyumbang ke arah pertumbuhan inovasi serta meningkatkan produktiviti dan daya saing. Usaha akan dipergiat ke arah menguasai dan memanfaatkan sains dan teknologi bagi penggunaan secara meluas dalam menjana pengetahuan, inovasi dan pertumbuhan. Antara strategi yang sedang dan akan dilaksanakan adalah seperti berikut:
i) memperkukuhkan National Innovation System, NIS untuk memberikan sumbangan lebih berkesan ke arah pembangunan dan penyebaran teknologi baru bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan pertumbuhan;
ii) mempertingkatkan modal insan sains dan teknologi sebagai sumber utama inovasi dan kelebihan daya saing;
iii) menggalakkan ketekno-usahawanan bagi meningkatkan keupayaan inovasi negara dan menambah bilangan syarikat berasaskan sains dan teknologi;
iv) meningkatkan kemampuan dan keupayaan teknologi Enterprais Kecil dan Sederhana (EKS) bagi menghadapi cabaran globalisasi dan persaingan yang semakin sengit;
v) menentukan keutamaan dan penggabungan inisiatif R&D dan pengkomersilan bagi memastikan pengagihan sumber secara lebih berkesan serta meningkatkan kadar pengkomersilan R&D dan pulangan pelaburan;
vi) menumpukan kepada aktiviti R&D terpilih bagi menjana sumber pertumbuhan baru;
vii) menggalakkan penstandardan dan jaminan kualiti untuk meningkatkan daya saing dan kesejahteraan pengguna;
viii) meningkatkan kesedaran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi menyumbang ke arah memupuk budaya kreatif dan inovasi; dan
ix) mempertingkatkan rantaian antarabangsa dalam pembangunan STI untuk memperoleh pengetahuan global.
9. Oleh itu, dalam usaha memastikan Malaysia terus maju dan berdaya saing, kita amat memerlukan modal insan perkhidmatan awam yang terbilang, iaitu anggota perkhidmatan awam yang mempunyai kapasiti pengetahuan, daya intelek, kreativiti dan inovasi yang tinggi, serta berupaya menangani persekitaran yang sentiasa berubah. Melalui strategi-strategi ini, Kerajaan berharap teras Kedua Misi Nasional iaitu melahirkan warga yang “berminda kelas pertama” serta memiliki daya intelek dan keperibadian murni akan tercapai.
10. Inovasi yang dihasilkan tidak semestinya dilakukan secara besar-besaran, tetapi boleh lebih berbentuk incremental. Apa yang lebih penting ialah, perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan hendaklah sentiasa berterusan walaupun dalam bentuk yang kecil. Penambahan nilai perlu ada bagi setiap perubahan atau penambahbaikan. Jika proses ini berlaku secara berterusan, saya pasti keadaan ini akhirnya berjaya memberi kesan yang ketara kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhannya.
Saudara-saudari sekalian,
11. Usaha sedang giat dilaksanakan untuk membentuk jentera pentadbiran kerajaan yang kemas, cekap dan sistematik. Persekitaran yang kondusif akan menarik minat pihak swasta untuk melaksanakan lebih banyak pelaburan yang akan memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara. Segala bentuk kelulusan yang melibatkan prosedur yang rumit perlu dipermudah, manakala peraturan berkaitan perlu sentiasa dikemaskinikan.
12. Dalam hal ini, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH pada bulan Februari 2007, yang antara lain bertujuan untuk mengkaji semula prosedur dan peraturan sedia ada bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan di negara ini, serta meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Sehingga kini, banyak kelulusan, prosedur, pembayaran balik cukai serta pemprosesan dokumen-dokumen dibuat secara cekap dan pantas, hasil inisiatif PEMUDAH.
Hadirin yang dihormati sekalian,
DASAR DAN UNDANG-UNDANG SEDIA ADA
Dasar Sains dan Teknologi Negara Kedua (DSTN2-2001)
13. Dalam memupuk pembudayaan reka cipta, beberapa dasar telah dihasilkan oleh Kerajaan. Antaranya ialah Dasar Sains dan Teknologi Negara Kedua (DSTN2) di mana pelan tindakan di bawah pelaksanaan Dasar ini ialah:
• mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk inovasi, rekaciptaan dan keusahawanan;
• meningkatkan kemahiran pemikiran kreatif dan kaedah penyelesaian masalah di peringkat sekolah rendah;
• menyokong Majlis Rekabentuk Malaysia untuk menggalakkan aktiviti rekaciptaan; dan
• memberi dorongan untuk meningkatkan prestij dalam bidang rekaciptaan dan inovasi melalui anugerah yang bersesuaian.
Dasar Harta Intelek Negara (DHIN)
14. Selain itu, Kerajaan pada tahun 2007 telah memperkenalkan Dasar Harta Intelek Negara yang bertujuan untuk memanfaatkan harta intelek sebagai enjin pertumbuhan baru bagi meningkatkan kemakmuran ekonomi dan sosial negara. Dasar ini menjadi payung bagi menentukan hala tuju harta intelek untuk menjana ekonomi negara. Dasar Harta Intelek Negara juga dirangka untuk merealisasikan hasrat kerajaan supaya harta intelek menjana pulangan yang maksima bagi setiap aktiviti kreativiti dan R&D yang dijalankan sama ada oleh pihak awam mahupun swasta. Dasar ini akan mewujudkan masyarakat yang menghormati dan prihatin terhadap hak-hak harta intelek.
Akta Paten 1983
15. Negara kita juga mempunyai Undang-undang bagi pembangunan dan perlindungan serta keselamatan rekacipta. Akta Paten 1983 merupakan undang-undang paten yang kukuh dan menjadi salah satu rangka kerja dasar yang penting untuk menyokong, memacu dan melindungi aktiviti rekaciptaan atau inovasi di negara ini. Akta ini telah dipinda pada tahun 2005 bagi mempercepat dan mempermudah proses pendaftaran dan pemberian paten serta menggalakkan lebih banyak syarikat mahupun individu rakyat Malaysia memfailkan rekaciptaan dan inovasi masing-masing.
16. Di samping itu pelbagai akta dan undang-undang telah digubal bagi melindungi rekaciptaan seperti Trade Marks Act 1976, Copyrights Act 1987, Industrial Designs Act 1996, Layout Designs and Integrated Circuit Act 2000 dan Geographical Indications Act 2000.
Hadirin yang dihormati sekalian,
MEKANISME SEDIA ADA
17. Dalam melaksanakan dasar dan undang-undang yang berkait dengan aktiviti rekacipta, semua jentera perkhidmatan awam adalah bertanggungjawab untuk menggerakkannya supaya matlamat Kerajaan, termasuk di bawah RMK-9, akan tercapai. Komitmen pemimpin organisasi adalah amat penting bagi memastikan pelan tindakan organisasi adalah selari dengan dasar Kerajaan.
18. Kerajaan telah menubuhkan dua Majlis yang bertanggungjawab dalam memandu dan menetapkan hala tuju aktiviti rekacipta, iaitu:
a) Majlis Inovasi Negara
Pelaksanaan strategi inovasi negara diawasi oleh Majlis Inovasi Negara yang ditubuhkan pada tahun 2004 dan dipengerusikan oleh Y.A.B Perdana Menteri bagi menerajui usaha menggubal dasar dan strategi untuk menggalakkan inovasi di peringkat kebangsaan. Majlis ini dibantu oleh Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Inovasi Negara yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.
b) Majlis Tindakan Harta Intelek
Pelaksanaan dasar harta intelek diawasi oleh Majlis Tindakan Harta Intelek Negara yang juga dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Ini dibantu oleh Jawatankuasa Pemandu Harta Intelek Negara yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Perbadanan Harta Intelek atau MyIPO merupakan agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan harta intelek di Malaysia. Pada tahun 2007, Mahkamah Harta Intelek telah ditubuhkan bagi mempercepatkan pendengaran kes-kes berkaitan harta intelek serta melindungi hak-hak pereka cipta.
Pengiktirafan Dan Ganjaran
19. Dalam menggalakkan lebih ramai perekacipta, Kerajaan turut memberi pengiktirafan dan ganjaran yang menarik kepada mereka. Antara anugerah yang disediakan ialah Anugerah Inovasi Negara yang diperkenalkan sejak tahun 2006 dan merupakan anugerah tertinggi yang diberikan oleh kerajaan kepada ahli sains dan perekacipta. MAMPU juga menyediakan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (AIPA) dan Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Di antara Sektor Awam dan Sektor Swasta (AIPB) bertujuan memberi pengiktirafan kepada hasil inovasi yang diperkenalkan oleh agensi Kerajaan dan sektor swasta.
Insentif Kewangan
20. Di samping pembiayaan kerja-kerja penyelidikan dalam bentuk geran R&D, Kerajaan juga menyediakan insentif kewangan kepada perekacipta. Dari segi pengagihan royalti, dua insentif telah diperkenalkan iaitu:
a) insentif pengecualian cukai pendapatan yang diterima oleh perekacipta dari pengkomesilan harta intelek R&D yang dihasilkan mulai 2005; dan
b) menaikkan kadar pengagihan royalti ke 80% kepada penyelidik dan 20% kepada institusi mulai 2008.
LANGKAH MENGHADAPI CABARAN
Saudara-saudari sekalian,
“Think Out Of The Box”
21. Cabaran bagi membudayakan kreativiti dan inovasi dalam Perkhidmatan Awam adalah merupakan satu tanggungjawab yang besar dan memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak, sama ada kakitangan sokongan, pegawai dan pemimpin organisasi sendiri. Penjawat awam bermentaliti kelas pertama adalah mereka yang berupaya membuat perubahan bukan sahaja dalam cara bekerja, tetapi juga dalam menghasilkan produk-produk baru di peringkat antarabangsa. Untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif serta membolehkan kita bersaing di peringkat global, cara berfikir yang biasa perlu diubah.
22. Anggota perkhidmatan awam perlu “think out of the box” untuk menghasilkan rekacipta dan produk baru. Kaedah inilah juga yang telah pun digunakan oleh para perekacipta sebelum ini. Sebilangan mereka pernah dianggap sebagai orang yang tidak waras di zamannya. Walau bagaimanapun mereka inilah sebenarnya yang telah berjaya mencipta dan menghasilkan banyak perkara baru.
“Risk Taker”
23. Selain itu, Inovasi memerlukan kita mengambil risiko kerana pelaburan dalam bidang berkenaan akan sentiasa berhadapan dengan ketidakpastian (uncertainty). Oleh itu, komitmen dan sokongan pihak pengurusan atasan sangatlah penting untuk terus menjana dan menggerakkan pembentukan budaya cemerlang yang mengutamakan kreativiti dan inovasi.
Kumpulan Mutu Kerja (KMK)
24. Pendekatan KMK perlu dikaji semula dengan memberi perhatian utama kepada penerapan knowledge-based dan creativity-driven di kalangan pihak pengurusan dan pekerja bagi membolehkan organisasi menghasilkan nilai tambah. Oleh itu, KMK versi baru seharusnya memberi tumpuan kepada idea, pembelajaran, perkongsian ilmu dan penciptaan nilai.
25. Produk akhir KMK seharusnya menjurus kepada penciptaan output organisasi, iaitu, sama ada berbentuk produk atau perkhidmatan yang dapat dirasai dengan ketara dan dinikmati secara meluas oleh masyarakat pengguna. Dengan itu, impak dan sumbangan KMK terhadap pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negara akan lebih berjaya.
Mekanisma Pembiayaan
26. Memandangkan pembiayaan merupakan faktor utama yang menggalakkan inovasi, langkah akan diambil untuk meningkatkan akses dan menambah baik mekanisme pembiayaan. Sehubungan ini, skim geran R&D dan pengkomersilan akan diperluas dengan mengambil kira aktiviti dalam rantaian nilai dari penyelidikan ke pasaran. Skim ini akan melengkapkan usaha membangunkan model perniagaan dan kewangan yang berdaya maju untuk pengkomersilan penemuan R&D. Di samping itu, lebih banyak modal teroka akan dimobilisasikan bagi mewujudkan syarikat berteknologi tinggi.
Institusi Penyelidikan & Universiti
27. Dalam tempoh RMK-9, usaha akan ditumpukan ke arah meningkatkan keupayaan institusi penyelidikan dan universiti untuk menghasilkan teknologi yang diperlukan untuk inovasi produk dan proses serta memperkemas mekanisme pemindahan teknologi yang berkesan. Sehubungan ini, kerjasama antara institusi penyelidikan dan universiti dengan industri dalam R&D akan dipergiat.
28. Penggabungan infrastruktur STI akan dilaksanakan bagi memastikan kemudahan dan peralatan sedia ada digunakan secara optimum. Sehubungan ini, penilaian akan dibuat ke atas taman teknologi, pusat inkubator serta kemudahan penyelidikan di universiti dan institusi penyelidikan bagi meningkatkan keberkesanan dalam mengkomersilkan R&D dan mewujudkan syarikat baru berasaskan S&T.
Pelaburan Modal Insan
29. Memandangkan sumber manusia Sains & Teknologi merupakan teras kepada penemuan dalam bidang sains dan inovasi, usaha akan dipertingkatkan untuk menambah pelaburan modal insan dan penguasaan ilmu pengetahuan. Pelbagai langkah akan diambil bagi meningkatkan bilangan RSE (Researcher, Scientist & Engineer) dengan kadar tahunan purata 17.7 peratus bagi mencapai sasaran 50 RSE bagi setiap 10,000 tenaga buruh menjelang tahun 2010.
30. Bagi mewujudkan permintaan untuk RSE, pusat kecemerlangan dalam bidang teknologi terkini akan ditubuhkan serta keupayaan R&D di universiti dan institusi penyelidikan akan dinaikkan taraf. Di samping itu, lebih banyak syarikat berasaskan teknologi akan diwujudkan. Kerjasama dalam R&D antara universiti, institusi penyelidikan dan sektor swasta terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) akan dipertingkatkan.
Memantapkan Ekosistem Sedia Ada
31. Persekitaran yang kondusif adalah amat penting bagi membolehkan pihak swasta menerajui pembangunan ekonomi negara. Ini pastinya memerlukan kerjasama yang erat antara kedua-dua sektor awam dan swasta. Segala perkhidmatan yang melibatkan prosedur yang complicated dan banyak red-tape perlulah dikaji semula untuk dipermudahkan. Perkhidmatan perlu diberikan dengan cepat, cekap, berkesan serta tepat pada masanya.
RUMUSAN
32. Bagi membolehkan aktiviti rekaciptaan terus berkembang pesat, negara memerlukan kepimpinan yang kuat dan berwawasan dari pelbagai sektor kerajaan, sektor swasta dan perniagaan, pertubuhan dan komuniti, ahli akademik serta media. Sokongan undang-undang dan pentadbiran adalah penting untuk memantapkan usaha mempergiatkan rekaciptaan. Sebarang bentuk kekangan dan halangan yang membelenggu aktiviti rekacipta di semua peringkat sama ada di sektor awam atau swasta perlu diatasi segera. Persepsi negatif terhadap rekaciptaan hendaklah dihindari. Rekaciptaan harus dijadikan sebagai budaya kita.
Sekian,
Wabillahittaufiq walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.