PERSIDANGAN PENINGKATAN DAYA SAING NEGARA: PERANAN DAN INISIATIF SEKTOR AWAM

July 15, 2008 4:55 pm 0 comments

Share this Article

Author:

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Y. Bhg. Tan Sri Ismail Adam
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Y. Bhg. Tan Sri Khalid Ramli
Ketua Pengarah ICU JPM

Y. Bhg. Dato’ Normah Md. Yusof
Ketua Pengarah MAMPU

Y. Bhg. Dato’ Nik Zainiah binti Nik Abd Rahman
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Ketua Setiausaha Kementerian

Ketua Jabatan Persekutuan

Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Wakil-Wakil Agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan,

Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan para hadirin sekalian.

Pertama sekali saya ingin memanjat kesyukuran kepada Allah SWT di atas segala nikmat dan kurnia Nya serta dengan keizinan Nya jua kita dapat sama-sama turut serta dalam majlis yang bermakna ini.

2. Terlebih dahulu sukacita saya merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selaku penganjur bersama yang telah menjayakan “Persidangan Peningkatan Daya Saing Negara: Peranan dan Inisiatif Sektor Awam” pada hari ini. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak penganjur kerana menjemput saya untuk merasmikan persidangan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Dalam dunia yang kian global tanpa sempadan dan jurang masa, Malaysia tiada pilihan kecuali menyusun strategi dan langkah untuk terus bersaing di persada pasaran dunia. Semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan pada 26 Jun 2008, Y.A.B Perdana Menteri telah menyatakan sekali lagi komitmen Kerajaan untuk mengambil segala langkah yang perlu untuk terus meningkatkan tahap daya saing negara. Salah satu langkah strategik ke arah ini ialah melaksanakan dasar yang menyokong perniagaan melalui kajian semula peraturan dan amalan pendekatan liberalisasi yang lebih luas bagi memupuk persekitaran yang kondusif untuk sektor swasta. Galakan aktiviti pelaburan dan komersial akibat proses ini sudah tentu akan membantu dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

4. Kerajaan sedar bahawa kejayaan komitmen untuk meningkatkan daya saing negara banyak bergantung kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan agensi-agensi Kerajaan. Tumpuan diberikan kepada usaha untuk memudahkan segala aspek aktiviti pelaburan dan komersial dengan menambah baik dan merekayasa proses dan prosedur kerja serta meminda peraturan dan undang-undang yang berkaitan. Perkara ini juga menjadi tumpuan utama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) yang telah memperkenalkan pelbagai penambahbaikan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang menyokong peningkatan tahap daya saing negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Dalam pembangunan negara yang berteraskan persaingan ini, laporan-laporan penarafan oleh badan-badan antarabangsa menjadi sumber yang kritikal kepada para pelabur dan pengusaha dalam proses memilih destinasi pelaburan dan perjalanan aktiviti komersial. Penemuan laporan-laporan penarafan sedemikian adalah berasaskan dua kategori maklumat atau data. Pertamanya ialah komponen hard data, iaitu data yang diperoleh daripada dokumen dan pernyataan rasmi oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Keduanya ialah komponen soft data yang diperoleh berdasarkan persepsi dan tanggapan pelabur, usahawan dan orang awam tentang persekitaran perniagaan yang wujud di sesebuah negara. Persepsi sedemikian turut memberi kesan kepada tahap daya saing sesebuah negara.

6. Salah satu laporan penarafan daya saing tahunan yang menjadi rujukan utama di peringkat global ialah IMD World Competitiveness Yearbook yang dikeluarkan oleh Institute for Management Development (IMD) yang berlokasi di Lausanne, Switzerland. Penarafan oleh IMD adalah berdasarkan 4 faktor utama iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur.

7. Pada tahun 2008, IMD telah menyenaraikan Malaysia pada kedudukan ke-19 secara keseluruhan daripada 55 ekonomi, iaitu peningkatan 4 anak tangga berbanding dengan kedudukan ke-23 pada tahun 2007. Malaysia mengatasi United Kingdom yang berada di kedudukan ke-21 , Estonia ke-23, Jepun yang berada di tangga ke-22, Thailand ke-27, dan Korea ke-31. Namun yang menjadi tanda aras kepada kita ialah negara-negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Hong Kong, Switzerland dan Luxembourg yang berada di kedudukan 5 anak tangga teratas di kalangan 55 ekonomi dunia.

8. Di kalangan negara-negara yang mempunyai populasi melebihi 20 juta, Malaysia menduduki tempat ke-7, iaitu peningkatan dari tempat ke-8 dalam tahun 2007.

9. Di samping itu, Malaysia telah mencatatkan peningkatan bagi keempat-empat faktor daya saing iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur. Faktor pertama iaitu Prestasi Ekonomi merangkumi penilaian secara makro ekonomi domestik seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), perdagangan antarabangsa, pelaburan antarabangsa, tahap guna tenaga dan harga. Berhubung faktor ini, Malaysia meningkat ke tangga ke-8, iaitu peningkatan 4 anak tangga berbanding dengan kedudukan ke-12 pada tahun 2007.

10. Faktor kedua iaitu Kecekapan Kerajaan mengukur tahap keberkesanan dasar Kerajaan dalam mewujudkan suasana yang kondusif terhadap daya saing termasuk menilai pembiayaan awam, dasar fiskal, kerangka institusi dan perundangan perniagaan. Bagi faktor Kecekapan Kerajaan, Malaysia disenaraikan di kedudukan ke-19 iaitu peningkatan sebanyak 2 anak tangga daripada kedudukan ke-21 pada tahun sebelumnya. Ini membuktikan bahawa usaha-usaha Kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaiannya telah mencatatkan hasil yang membanggakan khususnya dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif. Namun kita tidak boleh merasa selesa atau berpuas hati. Kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan prestasi tersebut.

11. Faktor ketiga iaitu Kecekapan Perniagaan pula mengukur sejauh mana syarikat swasta beroperasi secara inovatif, berkeuntungan dan sama ada beroperasi secara bertanggungjawab. Di dalam laporan tahunan daya saing yang terkini, Kecekapan Perniagaan meningkat satu anak tangga di kedudukan ke-14.

12. Faktor keempat iaitu Infrastruktur, yang mengukur tahap asas, teknologi, saintifik dan sumber manusia yang memenuhi keperluan perniagaan, berada di kedudukan ke-25, meningkat satu anak tangga daripada kedudukan ke-26 dalam laporan yang lepas.

13. Kita juga boleh berbangga dengan kejayaan Malaysia kerana telah dapat mengekalkan kedudukannya di antara 10 negara teratas bagi sub-faktor di dalam perdagangan antarabangsa untuk tiga tahun berturut-turut dengan berada di kedudukan ke-5 dalam laporan IMD. Pada tahun 2007, Malaysia berada di tangga ke-6. Ini adalah pencapaian yang signifikan apabila kita mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara perdagangan utama di dunia.

Hadirin yang dihormati sekalian,

14. Walaupun kita boleh berbangga dengan pencapaian ini, Laporan IMD turut menyenaraikan beberapa cabaran utama yang harus ditangani oleh Malaysia seperti berikut:

Pertama, keperluan untuk Perkhidmatan Awam mencapai tahap perkhidmatan yang berinovatif, proaktif dan memberi keutamaan kepada pelanggan;

Kedua, keperluan membangunkan Enterprais Kecil dan Sederhana (EKS) yang berinovasi dan berdaya tahan agar lebih dinamik;

Ketiga, keperluan jalinan kerjasama sektor awam- swasta untuk menggerakkan ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi;

Ke-empat, keperluan mempertingkatkan kreativiti dan inovasi modal insan untuk ekonomi yang berasaskan pengetahuan; dan

Kelima, keperluan mempertingkatkan lagi infrastruktur saintifik dan teknologi bagi memenuhi keperluan ekonomi yang kompetitif.

15. Adalah jelas bahawa Perkhidmatan Awam mempunyai peranan yang penting dalam membantu Kerajaan menangani kesemua tersebut. Sehubungan itu, kita harus menyahut cabaran ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

16. Mengikut Laporan IMD untuk tahun 2008, komposisi data bagi faktor Kecekapan Kerajaan atau Government Efficiency terdiri daripada 16% bagi hard data dan 34% bagi soft data. Ini bermakna skor soft data bagi faktor Government Efficiency akan memberi kesan yang signifikan kepada penarafan keseluruhan daya saing negara. Sehubungan ini, Kerajaan telah pun memutuskan bahawa Perkhidmatan Awam perlu meneliti semua aspek faktor Government Efficiency yang menunjukkan skor yang rendah atau negatif di samping menambah baik skor sedia ada bagi aspek-aspek yang dianggap sebagai baik.

17. Ini akan melibatkan penelitian kedua-dua aspek hard dan soft data. Namun saya sedar bahawa yang lebih kritikal ditangani ialah soft data yang melibatkan persepsi para pelabur dan pengusaha. Kita harus berani berdepan dengan keadaan ini dan mengkaji punca atau root cause persepsi sedemikian. Ini bermakna langkah pertama kita adalah untuk menghalusi soalan-soalan yang digunakan berkaitan Government Efficiency dalam memperoleh pandangan responden sektor swasta.

18. Langkah kedua adalah untuk menentukan persekitaran dasar, peraturan, prosedur dan amalan sedia ada di kementerian dan agensi masing-masing yang didapati boleh menyumbang kepada persepsi dan tanggapan negatif. Berpandukan penelitian sedemikian, maka langkah seterusnya yang perlu diambil adalah untuk mengenal pasti tindakan khusus yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi persepsi tersebut.

19. Itulah sebenarnya hasrat MAMPU dan MPC dalam menganjurkan bersama Persidangan Peningkatan Daya Saing Negara dengan tema Peranan dan Inisiatif Sektor Awam pada hari ini. Saya percaya persidangan ini akan memberi pendedahan dan kefahaman mengenai faktor-faktor di sebalik penarafan daya saing negara. Kefahaman dan kesedaran ini seterusnya akan dapat membantu peserta persidangan untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam membantu meningkatkan daya saing negara.

20. Saya percaya perbincangan semasa round table dalam persidangan ini juga akan membawa faedah perkongsian maklumat yang lebih luas tentang usaha dan inisiatif yang sedang atau akan diambil yang akan memberi kesan positif terhadap persepsi tentang persekitaran perniagaan di Malaysia. Dalam banyak keadaan, kementerian dan agensi Kerajaan mungkin telah pun melaksanakan pelbagai usaha penambahbaikan yang tidak disedari oleh sektor swasta. Persidangan ini akan membolehkan kita mengenal pasti dan mengumpul usaha-usaha sedemikian untuk dihebahkan dan dipromosikan secara lebih meluas. Dengan cara ini tanggapan pelabur dan pengusaha lambat laun dapat dipengaruhi secara positif. Ini adalah satu outcome yang saya harapkan daripada persidangan ini.

21. Saya percaya MAMPU dan MPC akan menggunakan hasil perbincangan daripada persidangan ini untuk merangka pelbagai langkah susulan ke arah memperbaiki penarafan faktor Government Efficiency khususnya dari segi aspek persepsi sektor swasta tentang persekitaran perniagaan negara. Kita juga perlu menyusun strategi untuk meningkatkan program promosi usaha-usaha penambahbaikan sektor awam melalui mekanisme perkongsian dengan sektor swasta serta program outreach yang sesuai ke arah meningkatkan tahap persepsi positif tentang daya saing negara.

Hadirin yang dihormati sekalian,

22. Tumpuan kepada langkah meningkatkan tahap daya saing negara adalah penting kepada usaha Kerajaan untuk memenuhi matlamat Misi Nasional. Dalam mengekalkan daya saing negara, Kajian Separuh Penggal RMKe9 telah menetapkan bahawa penyampaian Perkhidmatan Awam perlu ditransformasikan agar lebih mesra pelanggan melalui beberapa langkah strategik.

23. Ini termasuk langkah seperti pengintegrasian perkhidmatan, perekayasaan penyampaian perkhidmatan, peningkatan perkongsian maklumat dan infrastruktur, kajian semula rangka kerja perundangan dan kawal selia, peningkatan kawalan kendiri (self regulation) dan pembangunan kompetensi anggota Perkhidmatan Awam. Saya berharap peserta persidangan akan turut memberi tumpuan kepada perkara-perkara ini semasa membincangkan langkah-langkah proaktif ke arah meningkatkan daya saing negara.

24. Dalam usaha kita menambah baik penyampaian perkhidmatan, adalah amat penting kita melaksanakannya dengan penuh integriti – Delivery with Integrity. Tiada gunanya kita melakukan sesuatu itu dengan cepat sekiranya ia dilaksanakan tanpa integriti. Perkhidmatan Awam yang berintegriti merupakan elemen yang amat penting dalam memastikan negara kita kompetitif.

25. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada MAMPU dan MPC kerana telah bertindak pantas dalam merangka respons kepada seruan Kerajaan untuk menangani isu-isu persepsi yang memberi kesan kepada daya saing negara melalui penganjuran persidangan ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada peserta persidangan di atas sumbangan mereka kepada usaha murni ke arah mencapai matlamat meningkatkan daya saing negara ke tahap antara yang terbaik di persada global.

26. Seterusnya, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Peningkatan Daya Saing Negara: Peranan dan Inisiatif Sektor Awam.

Sekian.
Wabillahittaufiq walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply



+ nine = 16

Categories

  • Speeches

    UM LEAD SHARING ON PURPOSEFUL AND PRINCIPLED LEADERSHIP COURSE

    Thursday, 30 November 2023 UM LEAD – Centre for Leadership and Professional Development, Universiti Malaya   I must thank Datuk Dr Anis for inviting me to share my “personal journey on providing leadership and in particular in promoting integrity”. 2. I recall meeting Dr Anis then with IIM when he came to tutor the Chairman of IIM at the KSN’s official residence in November 2006 on what I was expected to say and do in relation to that year’s CPI […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS SAMBUTAN HARI INTEGRITI NASIONAL TAHUN 2023 PERINGKAT KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) – WACANA INTEGRITI KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI (KPT) SIRI 3 TAHUN 2023

    INTEGRITI – PERLUKAH ANDA DIPERHATI? 16 November 2023 Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Warga Keluarga Kementerian Pendidikan Tinggi yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana dengan berkat limpah kurniaNya jua kita diberi kesempatan untuk berkumpul dalam majlis yang pada saya amat bermakna pada pagi ini bersempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi. 2. Peranan Saudara-saudari sekalian sangat penting. Bukan semasa-mata sebagai pemimpin dan barisan pelapis […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2022

    7 Jun 2023 Millennium Ballroom 1, Le Méridien, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, Rakan-rakan media, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya jua kita dapat bersama-sama pada hari ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) […]

    Read more →
  • Speeches

    EXECUTIVE TALK AT THE NATIONAL RESILIENCE COLLEGE PUTRAJAYA “EMPOWERING GOOD GOVERNANCE IN THE PUBLIC AND PRIVATE ADMINISTRATION – ISSUES AND CHALLENGES.”

    28 March 2023 National Resilience College Precinct 1, Putrajaya Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, A very good morning, And Salam Malaysia Madani, YBhg Major General Datuk Haji Mohd Nizam Haji Jaffar, Commandant of the National Resilience College, YBhg Brigadier General Dato’ Norsham Md Tap, Deputy Commandant of the National Resilience College, YBhg Major General (R) Dato’ Abdul Rahim Mohd Yusuff, Head of Academics, and Gentlemen. It is an honour and a pleasure to be with all of you today, at the […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA JABATAN AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    15 Disember 2022 Kenyir Ballroom 2, Tingkat 2, Hotel Doubletree By Hilton Lakeside Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Tan Sri, Dato Sri’, Datuk-Datuk dan Dato’-Dato’, Ketua dan Wakil Ketua Jabatan Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 2. Pertama-tama sekalinya saya bersyukur kita dapat bermesyuarat pada pagi ini. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada […]

    Read more →
  • Speeches

    OPENING REMARKS MESYUARAT KOORDINASI SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN BERSAMA DENGAN KETUA-KETUA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN SELIAAN

    23 Jun 2022 Selangor Meeting Room Putrajaya Marriot Hotel   Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Dihormati Barisan Pesuruhjaya EAIC, Yang Berbahagia Dato Sri’-Dato’ Sri dan Datuk-Datuk, Ketua dan Wakil Ketua Agensi-agensi Penguatkuasaan Seliaan, Yang Berusaha Puan Norhayati Ahmad, Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama-sama bertemu di pagi ini. 2. Pertama-tama sekalinya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua dan Wakil Ketua Agensi-Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →
  • Speeches

    PERSIDANGAN PENGURUS KANAN DAN JURUTERA DAERAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN MALAYSIA 2022

    MEMPERKASAKAN PERKHIDMATAN KEJURUTERAAN DALAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERKAITAN AIR SESI I TAJUK – PERKHIDMATAN AWAM: MEMPERKASA PERKHIDMATAN BERMUTU TINGGI 14 Jun 2022 Hotel Casuarina, Ipoh, Perak Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Yang Berusaha Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Dr. Md. Nasir Md. Noh, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Yang Berbahagia Dato’ Ir. (Insinyur) Sabri Abdul Mulok, Timbalan Ketua Pengarah […]

    Read more →
  • Speeches

    MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN JASAMU DIKENANG SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN TAHUN 2021

    1 Jun 2022 Dewan Cashmere, The Zenith Hotel, Putrajaya Bismillahirahhmanirrahim, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera, Barisan Pesuruhjaya, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Puan Norhayati binti Ahmad, Setiausaha EAIC, Yang diraikan para penerima anugerah, serta Seluruh warga kerja EAIC yang saya hormati sekalian. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah rahmat dan keizinanNya jua dapat kita bersama-sama pada pagi ini, dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Dan Jasamu Dikenang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan […]

    Read more →