SEMINAR MENGENAI PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB JABATAN/AGENSI TEKNIKAL PERINGKAT NEGERI DAN DAERAH DALAM MEMPERKEMASKAN PELAKSANAAN PUSAT SETEMPAT (OSC)
Bismillahir rahmanir rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Y.Bhg. Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Y.Bhg. Dato’ Ahmad Fuad bin Ismail
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
Y.Bhg. Dato’-dato’, Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan,
Para hadirin yang dihormati sekalian
Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia Nya kita dapat bersama-sama pada pagi ini, dalam Seminar mengenai peranan dan tanggungjawab jabatan dan agensi teknikal peringkat negeri dan daerah dalam memperkemaskan pelaksanaan Pusat Setempat (OSC).
2. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT kerana telah menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Seminar pada pagi ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. Pada hari ini, perniagaan diusahakan dalam persekitaran yang semakin mencabar. Seperti mana saudara-saudari sedia maklum, daya saing negara dinilai oleh para pelabur dan peniaga dari pelbagai aspek. Malaysia dilihat sebagai amat kompetitif dan ini disokong oleh kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh badan-badan piawaian antarabangsa. Sebagai contoh, Laporan Kajian Daya Saing Dunia 2008 (World Competitiveness Report) yang dijalankan oleh Institute for Management Development (IMD) dari Lausanne, Switzerland, meletakkan Malaysia berada di tangga keenam dunia dalam konteks daya saing negara untuk kecekapan perkhidmatan awam (government efficiency) bagi kategori negara-negara yang mempunyai populasi penduduk 20 juta ke atas. Antara lain, kajian ini mengukur empat (4) petunjuk-petunjuk daya saing sesebuah negara yang merangkumi aspek-aspek berikut iaitu, pertama: ukuran prestasi ekonomi, kedua: kecekapan perkhidmatan awam, ketiga: kecekapan persekitaran perniagaan, dan yang keempat: penyediaan infrastruktur. Ini membuktikan bahawa usaha-usaha penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Kerajaan selama ini berada di landasan yang betul dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara benar-benar kompetitif di peringkat global.
Hadirin yang dihormati sekalian,
4. Sungguhpun Malaysia telah diletakkan di kedudukan yang baik di peringkat global, kita tidak harus mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa. Sebaliknya, kita hendaklah senantiasa terus berusaha dalam meningkatkan dan memperbaiki sistem penyampaian perkhdimatan awam sedia ada. Dalam hubungan ini, antara lain, penambahbaikan yang boleh diberi penekanan adalah berkaitan dengan pemberian kelulusan bagi permohonan pembangunan tanah yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi teknikal, baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri. Perkara ini turut juga melibatkan beberapa peruntukan undang-undang yang diterima pakai seperti Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan lain-lain perundangan yang berkaitan.
5. Namun begitu, sering kali kedengaran aduan-aduan pelanggan mengenai ketiadaan keseragaman dalam amalan dan pelaksanaan prosedur pengawalan pembangunan ini oleh jabatan dan agensi yang terlibat, dan ada kalanya berlaku kelewatan. Selain itu, kefahaman dan tafsiran mengenai peruntukan akta-akta sedia ada juga perlu dipertingkatkan untuk mengelakkan wujudnya tatacara yang mungkin boleh mengelirukan pelanggan. Satu lagi aspek yang juga tidak kurang pentingnya adalah penekanan terhadap ketelusan dan full disclosure mengenai syarat-syarat yang dikenakan kepada pelanggan. Ada kalanya berlaku situasi di mana syarat-syarat ini telah dipinda dengan tidak sewajarnya sehingga menimbulkan kekeliruan dan ketidakpuasan hati pelanggan. Selain itu, teradapat juga urusan memproses kelulusan dibuat secara berturutan dan dikemukakan secara berasingan serta memakan masa yang lebih lama dari tempoh masa yang ditetapkan. Lebih-lebih lagi, para pelanggan pula tidak diberi pilihan dalam mengemukakan permohonan kerana sistem yang diguna pakai adalah tidak fleksibel dan tidak business friendly. Semua contoh-contoh yang disebutkan ini kemungkinan tidak berlaku di agensi di mana tuan-tuan dan puan-puan semua bertugas. Sungguhpun demikian, kita semua harus sentiasa meletakkan contoh-contoh tersebut di dalam ingatan agar kita menjadi lebih cekap, tepat, pantas dan yang paling penting mesra pelanggan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. Menyedari hakikat bahawa perkhidmatan awam yang telus, cepat dan efisien akan secara langsung memperbaiki produktiviti negara, meningkatkan keyakinan pelabur dan memberi kesejahteraan kepada rakyat, Kerajaan telah mengambil langkah bagi mempertingkatkan sistem urusan memproses cadangan pemajuan ini. Sehubungan dengan ini, pada 13 April 2007, Kerajaan telah melancarkan konsep Pusat Setempat atau One Stop Center (OSC). Setakat ini kita telah melihat kesan perubahan positif dalam sistem memproses kelulusan cadangan pemajuan. Jika dahulu kelulusan bagi sesuatu pemajuan yang bermula dari proses pembangunan tanah, pelan susun atur, pelan bangunan dan pelan-pelan lain rata-rata mengambil masa melebihi satu tahun, kini tempoh masa kelulusan telah dipendekkan kepada 4 hingga 6 bulan melalui satu carta alir kerja yang seragam, ringkas dan dilaksanakan secara serentak oleh semua jabatan teknikal.
7. Urusan penambahbaikan cadangan pemajuan ini tidak akan terlaksana dengan jayanya tanpa pemantauan yang rapi dan berterusan. Sehubungan itu, KPKT telah diarah oleh Jemaah Menteri supaya memantau pelaksanaannya. Bagi tujuan tersebut, semua OSC perlu menyediakan kertas makluman status permohonan kepada KPKT secara berkala. KPKT akan menyelaraskan kertas makluman ini dan menyediakan laporan bulanan untuk dibentangkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Pada masa yang sama, Laporan tersebut akan juga dibentangkan di dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Mesyuarat Panel Pemantauan Penyampaian Perkhidmatan (Panel 3P).
8. Dalam pada itu juga, bagi menyokong pelaksanaan OSC, sebanyak 533 jawatan telah diluluskan bagi mengisi pelbagai kekosongan di Unit OSC di 103 Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara. Jawatan yang telah diwujudkan merupakan jawatan di peringkat persekutuan dari kalangan pegawai-pegawai teknikal yang berlatarbelakangkan perancangan seni bina dan kejuruteraan. Selain itu, bagi pelaksanaan dan pemantauan OSC, satu unit khas yang dinamakan Pasukan Inspektorat dan Kualiti telah diluluskan di KPKT.
9. Seterusnya, bagi memastikan pihak yang terlibat, seperti Pihak Berkuasa Tempatan, jabatan dan agensi teknikal, perunding-perunding profesional serta orang ramai, memahami akan pelaksanaan konsep OSC ini, latihan secara berterusan telah dilaksanakan menerusi seminar, ceramah, bengkel dan hebahan secara berkala.
10. Penambahbaikan ini juga telah mendapat sokongan yang padu dari badan-badan profesional seperti Pertubuhan Perancang Malaysia, Pertubuhan Arkitek Malaysia dan Institut Jurutera Malaysia kerana mereka telah memberi maklum balas terhadap proses kerja secara terperinci untuk mewujudkan cadangan proses kerja yang lebih mantap. Setakat ini, KPKT telah mengeluarkan Buku Panduan Edisi Kedua hasil semakan Buku Panduan Edisi Pertama dengan mengambil kira pandangan, nasihat serta input daripada pelbagai pihak.
Hadirin yang dihormati sekalian,
11. Pelaksanaan OSC adalah selaras dengan polisi “No Wrong Door” yang dipelopori oleh kerajaan pada masa ini, di mana ianya merupakan satu “single point of entry” yang membolehkan pelanggan mendapatkan pelbagai perkhidmatan dari mana-mana agensi melalui satu kaedah yang bersepadu. Pelanggan hanya perlu mengemukakan dokumen permohonan cadangan pemajuan ke kaunter OSC tanpa perlu lagi berurusan dari satu jabatan ke satu jabatan yang lain untuk mendapatkan ulasan.
12. OSC akan menyelaraskan semua urusan dari peringkat dokumen dikemukakan sehingga peringkat keputusan dimaklumkan kepada pelanggan. Jabatan teknikal sepatutnya mengemukakan maklum balas dalam tempoh 14 hari atau selewat-lewatnya 40 hari bagi kawasan yang tidak mempunyai Rancangan Tempatan. Sehubungan itu, adalah menjadi kewajipan saudara-saudari yang bertugas di jabatan teknikal untuk memberikan ulasan dalam tempoh yang ditetapkan tersebut. Perkara ini penting kerana ia mencerminkan keupayaan jabatan terbabit untuk memenuhi piagam pelanggan yang kita sendiri telah tetapkan dan persetujui bersama.
13. Setakat ini, maklum balas positif berhubung pelaksanaan OSC menunjukkan penerimaan yang baik, namun saya percaya masih banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki bagi memantapkan lagi proses kerja OSC. Antara aduan yang sering dibangkitkan adalah Unit OSC tidak menerima maklum balas saudara-saudari berhubung permohonan yang telah dikemukakan mahupun menerima ulasan teknikal dalam tempoh yang ditetapkan.
14. Selain itu, terdapat juga banyak aduan berhubung keputusan-keputusan yang dibuat oleh jabatan teknikal adalah tidak konsisten, tidak telus atau tidak munasabah sehingga menimbulkan kesusahan di pihak pelanggan. Keperluan dan syarat-syarat jabatan ditokok tambah di peringkat akhir yang menyebabkan permohonan menjadi tidak lengkap serta tidak mematuhi keperluan jabatan dan ini pastinya akan melewatkan proses kelulusan. Kadangkala keperluan baru oleh jabatan dikemukakan secara adhoc iaitu selepas permohonan didaftarkan dan semasa semakan sedang dibuat. Berhubung perkara ini adalah wajar ditetapkan cut off date yang khusus agar jelas permohonan-permohonan mana yang tergolong di bawahnya yang patut dikenakan syarat baru yang dilaksanakan tersebut.
Hadrin yang dihormati sekalian,
15. Bagi memastikan pelaksanaan OSC yang lebih bersistematik dan berkesan, saudara-saudari mestilah memahami serta jelas dengan proses kerja OSC yang telah digubal. Hala cara baru ini membolehkan proses semakan oleh Jabatan teknikal dilaksanakan secara serentak. Penyediaan dokumen permohonan oleh pelanggan adalah berdasarkan kepada checklist yang telah disediakan, dan sekiranya lengkap, maka tiada sebab mengapa ulasan tidak dapat dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan. PBT bergantung kepada ulasan teknikal bagi membolehkan satu perakuan yang menyeluruh dikeluarkan. Dalam hubungan ini, mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan Ke-60 yang bersidang pada 3 Jun 2008 bersetuju bahawa sekiranya jabatan teknikal tidak dapat memberi ulasan dalam tempoh yang ditetapkan serta tidak hadir mesyuarat sebanyak 2 kali berturut-turut maka Mesyuarat Jawatankuasa OSC boleh membuat keputusan.
16. Di samping itu, kita telah berjanji kepada para pelanggan bahawa sekiranya permohonan yang diterima adalah tergolong di bawah salah satu kategori berikut, iaitu, projek kerajaan; pemajuan yang mengguna pakai konsep “Bina Kemudian Jual”; projek berimpak tinggi; atau projek yang melibatkan pelaburan asing, maka proses kelulusan adalah secara fast track. Selain itu, sekiranya permohonan diterima secara lengkap dan serentak, kelulusan perlu diberikan dalam tempoh 120 hari atau 4 bulan. Sehubungan itu, input daripada Jabatan teknikal hendaklah lengkap dan diselaraskan di peringkat Jabatan bagi membolehkan kelulusan dikeluarkan dengan cepat. Saya percaya saudara-saudari akan melaksanakan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan matlamat kita tercapai.
Hadirin yang dihormati sekalian,
17. Susulan dari penggubalan akta mengenai pengurusan sisa pepejal dan pengurusan air negara, beberapa Suruhanjaya telah ditubuhkan bagi menggantikan jabatan teknikal sedia ada, umpamanya Jabatan Perkhidmatan Pembentungan yang digantikan dengan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN). Dalam kaitan yang sama, Kerajaan bersetuju dengan penyertaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menyemak peruntukan telekomunikasi sebagai salah satu kemudahan yang perlu disediakan oleh pemaju di dalam setiap projek perumahan. Penyertaan Indah Water Konsortium, IWK adalah sama penting kerana SPAN telah menurunkan kuasa kepada IWK untuk memberi ulasan teknikal terhadap aspek pengurusan pembetungan dalam sesuatu cadangan pemajuan. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (PPSPN) pula perlu dirujuk bagi mengurus dan mengenal pasti amaun sisa pepejal yang akan dijana dalam proses pembinaan sesuatu cadangan pemajuan. Peranan jabatan-jabatan ini adalah sama penting dengan peranan yang Jabatan Teknikal laksanakan dalam mengawal pembangunan.
18. Pada masa ini telah terdapat permintaan daripada pihak yang mengemukakan pelan kepada PBT supaya proses penghantaran dokumen dan semakan dilakukan secara elektronik. Cara konvensional yang diguna pakai sekarang adalah agak ketinggalan atau outdated, serta membebankan kerana salinan pelan dalam bentuk linen yang besar dan berat perlu disediakan dan dikemukakan. Maka sudah tiba masanya sistem tersebut dimodenkan supaya lebih cepat, atas talian, cekap dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Sistem OSC online ini membolehkan maklum balas dibuat secara tepat dan cepat tanpa perlu mengadakan pertemuan di antara pihak yang mengemukakan permohonan dengan pegawai PBT. Dengan cara ini, ia dapat meningkatkan prestasi dan tadbir urus yang baik oleh PBT.
Hadirin yang dihormati sekalian,
19. Saya berharap saudara dan saudari yang mewakili Jabatan Teknikal masing-masing akan dapat memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan hasrat Kerajaan melalui pelaksanaan OSC ini. Usaha penambahbaikan sistem penyampaian Kerajaan adalah merupakan satu perjalanan, di mana kesampaian ke matlamatnya adalah bergantung kepada tahap kepuasan rakyat selaku pelanggan utama kita. Usaha ini tidak akan terhenti, malah akan melalui pelbagai peringkat dan semua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam menjayakannya. Sekiranya kita gagal melaksanakan tanggungjawab, atau tidak mencapai tahap yang diharapkan, mungkin ada pihak lain yang sanggup melaksanakannya dengan cara yang lebih baik.
20. Kerajaan tidak akan teragak-agak menggugurkan mana-mana pihak yang secara sengaja melemahkan tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan. Sebaliknya Kerajaan menjanjikan pulangan yang setimpal kepada mereka yang benar-benar komited, yang mempunyai merit dan mampu menghasilkan keputusan terbaik, sebagaimana dinyatakan dalam Key Perfomance Indicators atau KPI masing-masing.
21. Kejayaan pelaksanaan konsep OSC amat bergantung kepada komitmen dan kerjasama di pihak pentadbiran pusat, negeri, dan daerah. Segala perubahan ini telah dibincangkan dengan terperinci bersama semua pihak yang terlibat di pelbagai forum termasuklah di Mesyuarat Jemaah Menteri dan Mesyuarat Negara Mengenai Kerajaan Tempatan. Namun, apa yang lebih penting adalah kesungguhan semua pihak, iaitu kerajaan negeri, kerajaan tempatan, jabatan-jabatan teknikal dan lain-lain yang berkaitan, untuk memikul tanggungjawab bagi menjayakannya. Kerajaan Pusat sentiasa bersedia membantu. Dalam hubungan ini, Jabatan Perkhidmatan Awam akan memberikan perjawatan yang secukupnya jika diperlukan dan pihak Perbendaharaan pula akan membantu berhubung aspek pembiayaan.
22. Bagi mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan seminar ini.
Sekian
Wabillahittaufiq walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.